Sabtu

Panduan Menanam Kentang Kundasang





Menanam kentang sendiri merupakan satu kepuasan yang sangat berbaloi dalam diri kita. Dimaklumi bahawa kentang adalah tumbuhan yang berasal dari Amerika Selatan dan telah ditanam oleh kaum Inca dan Mayan 2000 tahun yang lampau. Menyebar ke Eropah dan USA serta di seluruh dunia kerana kepentingannya dalam diet pemakanan harian khususnya di negara-negara Barat.

Walau bagaimanapun terdapat satu variati kentang yang tumbuh asli di Sabah, khusunya Daerah Ranau. Variati kentang kundasang ini menyukai suhu sejuk dan sesuai tumbuh di tanah tinggi serta menyukai hujan lebat tidak seperti kentang variati import yang tidak menyukai media terlalu basah lecun. Cuma saiz kentang kundasang atau juga disebut oleh orang tempatan sebagai kentang kampung ini mempunyai ubi bersaiz kecil dan warna kulit pucat kecoklatan.

Berikut ialah panduan menanam kentang jenis kentang kundasang. Tanomkinotuan berpandukan kepada kentang jenis kundasang ini. Jika anda menanam jenis kentang import pastikan ditanam di bawah teduhan DIY bagi mengelak hujan menimbah media anda.



Dapatkan benih kentang kundasang ini melalui pembelian secara online atau datang ke Sabah dan pergi ke gerai di kundasang sana dan bertanya kepada penjual tentang kentang kundasang. Anda pasti dilayan dengan senyuman manis para penjual yang putih melepak. Tidak percaya.... sila ke Kundasang.. hihi. Pilihlah ubi kentang yang matang, kurang penyakit dan sihat. Elak membeli ubi kentang yang berpenyakit dan bersaiz kecil sangat.

Sebelum ditanam, ubinya harus di biarkan ditempat suhu bilik untuk membolehkan ubinya bertunas. Tunggu hingga kira-kira 2 ke 3 minggu untuk proses penunasan ubi kentang Kundasang anda. 

Sementara menunggu ubi-ubi kentang ini bertunas, anda bolehlah menyediakan batas atau media penanaman. Kentang sesuai ditanam pada batas yang poros, kaya nutrient dan saliran air dan udara yang baik. Gembur tanah sedalam 1 kaki dalam dan 2 kaki lebar. Anda harus membuat batas jika menanam kentang kundasang dalam skala yang besar. Tabur kompos (kompos dari tumbuhan atau tinja binatang) untuk membaikpulih tanah anda. Untuk makluman anda, pokok kentang adalah jenis pokok yang perlukan nutrient yang banyak. PH tanah sesuai untuk kentang ialah 5.5 hingga 6.5 di mana sedikit berasid. Pokok kentang tidak berapa sesuai ditanam pada ph tanah 7.0 ke atas. Mungkin tumbuh dan membesar tetapi ubinya agak kurang.

Jika menanam pada pasu pula, anda boleh membuat media campuran sendiri atau membeli tanah campur di nusery berhampiran. Campurkan cocopeat, pasir sungai dan kompos dengan nisbah 2:1:1, anda boleh menggunakan pasu, polibag atau box yang besar untuk hasil pokok yang memuaskan. Biarkan batas dan media dalam pasu tersebut sehingga 2 minggu untuk menyebatikan tanah dan kompos.

Setelah ubi-ubi kentang tersebut telah bertunas kira-kira 1 inci maka ubi-ubi kentang tersebut bersedia untuk ditanam ke batas atau pasu anda. Caranya, Gembur semula batas yang dibiarkan selama 2 minggu, tidak perlu menambah apa-apa masa ini kerana sudah ditambah pada permulaan proses pengemburan tanah yang lalu. buat lubang sedalam 3 inci dengan jarak antara pokok 2 kaki ke 3 kaki. Tanam ubi kentang anda ke dalam lubang dengan mata tunas menuju ke atas. Kemudian timbus dan siram dengan air secukupnya.

Bagi menanam pada pasu pula, sediakan pasu bersaiz besar dan masukkan setengah media ke dalam pasu. Hanya setengah sahaja ya jangan penuhkan pula. Buat lubang di tengahnya dan tanam ubi kentang dengan mata tunas menengak ke atas. Timbus dengan tanah dan siram.

Percambahan mata tunas ubi kentang kundasang mengambil masa 14 hari untuk keluar dari permukaan tanah. Pada masa ini tidak ada proses yang perlu dibuat hanya dengan menyiramnya dua kali sehari ketika musim kemarau. Setelah anak pokok kira-kira 8 hingga 10 inci maka anda harus membuat hilling atau meninggikan batas anda dengan mengorek tanah disamping batas dan menambahnya disekeliling anak pokok. Tujuannya ialah agar berisi banyak dan dapat melindungi ubi kentang dari sinaran matahari. Bagi dalam pasu pula, anda hanya menambah tanah ke dalam pasu sehingga penuh. Perhatian yang perlu dimaklumi, jangan menimbus anak pokok kentang sehingga tidak kelihatan. ia akan mati.


Masa proses ini anda boleh menambah baja subur organik disekeliling tanah untuk pertumbuhan pokok yang sihat dan subur. Pembajaan perlu untuk tumbuhbesaran pokok kentang dan lupa menaburkan baja isi disekeliling pokok. Pokok kentang kundasang memerlukan tanah yang subur dan kaya nutrient untuk menghasilkan ubi yang banyak.

Sekiranya musim kemarau siram pokok dua kali sehari pagi dan petang. Tidak perlu ketika hujan. Pokok Kentang sudah boleh dituai setelah berusia 3 bulan ke 4 bulan. Jom menanam kentang.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Ahad

Keterujaan Menanam Tomato Indigo Rose




Menanam pokok tomato di laman rumah adalah satu kepuasan yang tidak terhingga kepada tanomkinotuan, dari mula di semai hinggalah menuai hasil penat lelah selama ini berbayar setelah pokok tomato yang ditanam menghasilkan buah yang cantik. 

Sebelum ini tanomkinotuan pernah mencuba menanam pelbagai jenis tomato seperti tomato ceri, tomato ceri anggur, tomato brandywine, tomato roma, tomato sungold, tomato plum gelap dan tomato ceri woodwick. Jika boleh tanomkinotuan mencuba menanam semua jenis tomato yang wujud tetapi disebabkan kekangan bekalan benih di Malaysia di mana kurang menyediakan benih tomato pelbagai variati. Oleh yang demikian sambil-sambil berguru kepada google terpandang satu jenis pokok tomato berwarna hitam. Adrenalin tanomkinotuan naik mendadak apabila terlihat buah tomato hitam ini. Keterujaan semakin bertambah.

Tanomkinotuan mencuba mendapatkan maklumat tomato tersebut dan ianya adalah jenis heirloom dan non-GMO. Dengan berbekalkan azam chewahhhh.... maka tanomkinotuan membeli benih tomato hitam ini yang digelar tomato indigo rose (Indigo rose tomato). Selepas dua minggu benih tomato indigo rose sampai di tangan tanomkinotuan. 







Ketibaan benih tersebut menyebabkan semangat dan keterujaan tanomkinotuan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata mahu pun tulisan, memanglah sebab tanomkinotuan pun tak mampu menulis perasaan dan keterujaan itu di sini... hahaha.

Oleh yang demikian bermulalah episod tanomkinotuan untuk memulakan projek baharu menanam benih tomato indigo rose tomato ini. Oleh kerana variati baharu, tanomkinotuan mencuba sedaya upaya menyediakan batas yang seeloknya. Rugi jika benih ini tidak diberi perhatian sepenuhnya.

Tomato menyukai full sun atau semi-shade, tanah poros dan kaya nutrient. Oleh yang demikian tanomkinotuan mencuba untuk menyediakan batas menggunakan campuran tanah hitam dan habuk kayu reput. Dengan memasang batas (raised bed) tanomkinotuan penuhkan dengan media campuran tanah hitam, serbuk kayu reput, cocopeat dan vermicast. Sedikit kapur pertanian bagi membaikipulih tanah dari berasid. Tanomkinotuan rehatkan 2 minggu dan sambil merehatkan media tersebut tanomkinotuan semai benih indigo rose tomato pada bekas semaian.

Tanomkinotuan menggunakan peatmoss sebagai media semaian. Meedia peatmoss memang terbaik untuk semaian. Boleh beli peatmoss di kedai nusery berhampiran. Peat moss dan cocopeat adalah dua benda berbeza. Jangan terseilap. Jika tidak ada peat moss bolehlah menggunakan cocopeat. Dengan menaburkan benih di atas permukaan tanah dan siram. Benih akan tenggelam dengan sendiri dan juga ada benih yang timbul tetapi jangan risau kerana akarnya akan masuk ke dalam.

Tips menyemai benih tomato adalah media janganlah terlalu basah sangat sekiranya diletakkan ditempat  semi-shade. Ini kerana bila media terlalu basah kulat mudah membiak dan boleh menyebabkan akar anak pokok tomato anda diserang dan mati.

Selepas dua minggu media pun sudah boleh digunakan dan benih tomato juga sesuai dialihkan ke batas.





Tibalah masa mengalihkan anak pokok tomato ke batas, tanomkinotuan periksa sekali lagi tanah tersebut dan mengemburkannya sekali lagi.  Tujuannya untuk mendapatkan kualiti pengudaraan yang baik dalam tanah. Tanomkinotuan berpuas hati. Nampak tanah tersebut subur dan kaya dengan nutrient dengan memperlihatkan lumut biru pada media. Ini tandanya tanah berada dalam keadaan subur.

Dengan membuat lubang 3 inci dalam dengan jarak 3 kaki, tanomkinotuan tanam anak pokok tomato indigo rose dengan hati-hati. Oleh kerana tanomkinotuan semai benih tomato indigo rose secara rawak. Maka tanomkinotuan terpaksalah mencabutnya dan tanam ke dalam batas. Untuk mengelakkan anak pokok tomato indigo rose tomato mengalami layu dan mati tanomkinotuan sungkup dengan jaring hitam selama seminggu.



Selepas 7 hari tanomkinotuan buka jaring hitam tersebut kerana anak pokok sudah kuat menerima cahaya matahari terik. Apa yang harus dilakukan ialah menyiramnya dua kali sehari untuk elak kekeringan pada musim panas. 

Selepas dua minggu dialihkan tanomkinotuan tabur baja subur untuk membantu pokok tomato ini membesar dengan baik. Harus diingat pokok tomato mudah diserang penyakit akar di mana kesannya daun akan mengeriting. Oleh yang demikian jaga media tersebut dengan tidak menyiram dengan air yang banyak.

Sebulan selepas dialihkan pokok tomato indigo rose sudah menampakkan kudup bunganya. Pada masa ini bolehlah menabur baja buah untuk kudup bunga kuat dan menghasilkan buah yang berkualiti tinggi. Tanomkinotuan sangat-sangat teruja apabila pokok tomato indigo rose yang berjumlah 7 pokok ini menghasilkan buah kali pertama. Buah yang terhasil pada mulanya ialah berwarna hijau muda dan bertukar menjadi ungu/hitam di atas apabila terkena cahaya matahari.

Buah tomato indigo rose tidaklah jadi hitam sepenuhnya, mana bahagian buah yang terkena cahaya matahari maka disitulah akan berubah warna ke warna hitam/ungu. Bahagian yang tidak bertukar menjadi ungu/hitam ia akan bertukar menjadi merah-oren apabila sudah masak.

Kini tanomkinotuan mula menuai buah masak tomato indigo rose ini. Buahnya separa keras dan sangat sedap tetapi tidaklah semanis rasa seperti sungold tomato. Namun keunikan tomato indigo rose ini menyebabkan tanomkinotuan bersemangat untuk menanamnya. Kata orang pelbagai variati tomato ditanam dapat menambah pengetahuan kepada pokok tomato dari pada rasa, struktur, buah, cara menanam dan paling penting pengetahuan kita akan berkembang. Jom menanam pokok tomato...

untuk benih indigo rose tomatoes ini boleh hubungi saya di email borosmomogun@gmail.com atau no whatsapp 019-5320756 (jus) untuk pertanyaan lanjut. Dijual sepeket rm2.00 dengan postage rm4. Tempah sekarang....

Panduan menyemai benih rhubarb victoria




Bagi masyarakat di negara ini masih belum mengenali pokok rhubarb secara dekat kerana ianya bukan pokok asal dari Asia khususnya di Asia Tenggara. Pokok rhubarb banyak ditanam di negara Barat. 

Batang daunnya dituai dan dimakan dan dijadikan sebagai tat, jem dan sebagainya.

Ia boleh ditanam melalui biji benih atau crown akar/mahkota akar seperti asparagus. Pokok ini mempunyai tahap atau tempoh hidup yang lama. 

Bahan yang diperlukan untuk menyemai benih rhubarb victoria:

1. Benih rhubarb
2. Media campuran
3. Bekas semaian
4. Air untuk menyiram

Berikut adalah panduan menanam benih rhubarb:

1. Dapatkan benih rhubarb victoria yang boleh dibeli di kedai pertanian atau kedai online. 

2. Sediakan media dengan menggunakan media campuran berkualiti tinggi. Boleh didapati di kedai nusery.

3. Beli tray semaian atau gunakan pasu kecil terlebih dahulu untuk menyemainya. Anda juga boleh menggunakan apa-apa jenis bekas semaian yg sesuai.

4. Masukkan media ke dalam bekas semaian hingga penuh. Padatkan sedikit tanah dan tambah tanah jika perlu.

5. Buat lubang ditengahnya sedalam 1 inci dan masukkan sebiji atau dua biji benih ke dalam lubang. Timbus lubang tersebut.

6. Siram dengan air yg cukup kemudian letak bekas semaian di tempat selamat dan terkena cahaya matahari pada waktu pagi. 

7. Tunggu benih rhubarb bercambah. Benih rhubarb mengambil masa kira-kira 5 hingga 14 hari untuk bercambah. Cabut satu anak pokok rhubarb untuk memberikan ruang sepokok pada bekas semaian untuk membesar dengan baik.

8. Apabila anak pokok rhubarb telah mempunyai 4 helai daun. Pindahkan ke batas yang tanahnya poros, kaya nutrient dan gembur. 

9. Jika menanam pokok rhubarb pada pasu/kontena, gunakan kontena saiz besar iaitu kira-kira 24 inci ke atas. Akar pokok rhubarb sama seperti pokok asparagus yakni sangat banyak. 

Pokok rhubarb sangat suka media yang agak lembab dan bukan ditakungi banyak air. Jika menanam dalam pasu/kontena besar guna tanah kompos yang kaya dengan nutrient. Boleh beli di kedai pertanian atau nusery berhampiran.

Pokok rhubarb sedia dituai selepas 2 tahun ditanam. Tanomkinotuan memaksa diri untuk menanam pokok ini di tempat tanomkinotuan dan lihat sama ada ianya sesuai atau tidak. Mana tahu rhubarb victoria sama dengan pokok swiss chard boleh tumbuh dengan baik di negara kita.

Jika anda inginkan benih rhubarb sila klik pada pautan iklan benih online di atas dan dapatkan benih rhubarb victoria dengan hanya rm2.00 sepeket. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Rabu

Kumpulan Pokok Herba Yang Tumbuh di KBR







Selain dari jenis sayuran yang ditanam, tanomkinotuan juga mula berjinak-jinak menanam pelbagai herba jenis kunyit dan kecur yang mana sangat menerika perhatian tanomkinotuan. Pokok-pokok herba ini banyak kegunaan dalam perubatan tradisional dan mampu mengubati penyakit-penyakit ringan. tidak hairanlah pokok-pokok herba ini banyak ditanam secara kecil-kecilan di laman rumah sebagai alternatif rawatan.

Tanomkinotuan juga menyukai pelbagai jenis pokok herba. Asal mendengar atau terbaca akan pokok berkhasiat disitulah tangan gatal ingin mencari dan mendapatkan pokok tersebut. Masalah juga sifat dan perilaku sedemikian hingga emak tanomkinotuan membebel memanjang hehe.






Jom lihat gambar-gambar berikut mengenai pokok herba dalam koleksi laman KBR.









Herba pertama yang ingin ditunjukkan ialah pokok sambung nyawa batik. Pokok ini sekeluarga dengan sambung nyawa hijau dan ungu. Dikatakan baik untuk mengurangkan kadar kolestrol dalam darah. Daunnya boleh dimakan sebagai salad, dibuat jus atau dimasak bersama telur dadar.









Ini pula pokok herba sambung nyawa hijau. Tumbuh baik pada cuaca panas seperti cuaca di negara kita. Fungsinya sama dengan pokok sambung nyawa yang lain dan juga boleh dimakan.









Pokok sambung nyawa ungu atau Gynura nepalliensis dalam bahasa botaninya adalah pokok beraroma sedap dan kuat. Enak dijadikan salad dan dicampur dalam telur dadar. Fungsinya juga boleh menurunkan kadar kolestrol dalam darah. Sebab itu pokok ini juga digelar sebagai Cholesterol Spinach herb.









Halia bara atau halia merah tidaka asing lagi dengan kita. Pokok ini banyak ditanam di negara kita secara perseorangan dan kecil-kecilan. Khasiatnya sebagai herba untuk kesihatan sudah diketahui umum. Tanomkinotuan tanam sepokok sebagai koleksi pokok herba di laman rumah.











Tidak bermakan jika daun sup ini tidak disertakan dalam masakan soto. Ia sangat beraroma dan sangat berkhasiat kepada pemakannya. Dikatakan ia boleh membantu mengubati anemia, menurunkan kadar kolesterol dalam darah, meningkatkan imunisasi dan batuk.









Pokok terang mata adalah nama pokok ini (tidak rasmi). Menyukai kawasan suhu sejuk di kawasan tanah tinggi. Sebab itu di Kundasang dan Cameron highland banyak ditanam pokok ini secara ladang. Ia mempunyai kandungan vitamin A yang tinggi. Tanomkinotuan mencuba menanamnya di lowland dan boleh hidup dengan baik cuma pokok dan daun tidaklah selebar pokok yang ditanam di tanah tinggi.











Pokok lidah buaya pokok herba yang banyak manfaat. Jika tangan melecur terkena api potong daunnya dan sapukan pada tempat melecur tersebut. Pokok lidah buaya tidaklah cerewet untuk dijaga dan tidak perlu membaja dengan kerap. Cukup sekadar menyiram dengan air bagi senantiasa melembabkan media maka tumbuhlah pokok ini dengan baik.









Pokok bawang dayak atau nama saintifiknya ialah Eleutherine palmifolia ini sangat cepat membiak jika media yang digunakan poros dan kaya zat makanan. Bunganya cantik berwarna putih disukai kelulut menghinggapinya. Khasiat pokok ini untuk mengurangkan masalah barah payu dara dan barah hati sangat berkesan.









Pokok lempoyang isi merah adalah tumbuhan asal di Asia. banyak ditanam kerana salah satu bahan untuk digunakan dalam mandian ibu-ibu yang baru lepas bersalin. Aroma kuat dan sangat cepat membiak.









Ini pula pokok herba oregano, aromanya sama seperti bangun-bangun bagus untuk mengurangkan selsema dan batuk-batuk. Daunnya dicarik-carik dan direndam dalam air panas dan minum sesudah air tersebut menjadi suam-suam kuku. Ia juga enak dicampurkan dalam daging untuk bahan perap.






Borage herb asal tumbuhan luar negara berjaya tumbuh sempurna di bumi Malaysia hingga berbunga. Bunganya cantik berwarna biru terang. Bunga ni sesuai dijadikan hiasan dalam air minuman sejuk.










Sayur pucuk ranti hitam atau tutan hitam (bahasa di sini) merujuk kepada satu jenis meranti yang tumbuh di kebun dan kawasan semak. Ia sangat sedap dimakan sebagai sayur namun rasa pahit sedikit berbanding sayur pucuk ranti hijau. Sangat mujarab menghilangkan ketuat pada badan. Ambil dua helai daun, hancurkan dan sapu pada ketuat 2 kali sehari hingga ketuat hilang.






Pokok kunyit sudah membesar ditanam di laman rumah. Raya tahun ini pokok kunyit ini akan dikorbankan. Tanomkinotuan akan tanam semula untuk kegunaan raya tahun depan. Jadi tidak perlu membeli kunyit guna sahaja yang ditanam.





Bawang kucai beraroma dan sedap dimakan bersama tumis ikan masin, lada putih dan cendawan sisir. Sayur tumis kegemaran tanomkinotuan. Pokok bawang kucai ini sangat mudah dijaga dan mudah ditanam di dalam pasu. Tuai dengan potong pangkal batangnya sahaja tanpa dicabut. Ia akan bertunas semula.











Tootache plant atau pokok herba ubit gigi ini mempunyai rasa tajam apabila dikunyah. Mulut, lidah dan sekitar mulut akan terbius seketika sebab itu ia sesuai untuk mengurangkan kesakitan ulser mulut, gigi dan sebagainya.








Basil itali adalah pokok herba yang popular di negara Itali sebagai penambah aroma kepada masakan. Siapa tidak kenal dengan spaghetti di mana sosnya dicampurkan dengan daun basil ini bagi meningkatkan sensasi aroma masakan.








Pokok herba rerama hijau tidak asing lagi kerana khasiatnya berkesan mengurangkan darah tinggi, kolesterol dan penyakit barah.





Pokok bayam brazil ini boleh dibuat sayur. Pokok renek bercabang dan membiak banyak daun mudanya sedap dimasak sebagai sayuran. Tidak berlendir dan sesuai masak tumis.





Pokok roselle putih jarang orang menanamnya. Kegunaannya sama seperti roselle merah tetapi menariknya ia sangat sedap di buat jem. Sapu sekeping roti anda dengan secalit jem roselle putih pasti enak dan mengujakan.








Kencur daun gelap adalah pokok herba yang banyak digunakan dalam perubatan tradisional Melayu. Tanomkinotuan menanamnya sebagai tambahan pokok herba di laman rumah.












Ini adalah pokok jari buaya yang dibawah masuk ke sabah dari Pahang. Pokok jenis menjalar dan berubi ini mempunyai daun 6 jejari dengan bunga berwarna merah jampu gelap. Ubat mujarab untuk penyakit jantung kata orang. Isinya dituai dan dicuci bersih, dihiris halus-halus dan dikeringkan. Ambil sekeping dua dan tuang dengan air panas dalam gelas. Sejukkan hingga suam dan minum airnya.





Bayam new zealand asal pokok dari New zealand. Daun nya boleh dibuat sayur dan salad. Sangat enak dan lazat. Cuma ia berlendir sedikit seperti bendi.





Pokok herba perilla hijau atau juga dikenali sebagai shiso. Daunnya dimakan dengan meletakkan bahan-bahan kesukaan di atasnya seperti daging, nasi, lauk pauk dan sos, dilipat dan dimakan. Alaahhhh macam dalam drama Korea itulah.





Ini kononnya kunyit hitam daun merah tetapi tanomkinotuan belum menilik lagi apakah benar isinya berwarna hitam. kita tengok selepas pokoknya berusia 3 tahun.





Pokok cincau hitam vietnam, inilah pokok untuk menghasilkan cincau hitam yang selalu kamu makan dan minum di restoran sekitarnya. Kaya dengan zat besi sesuai di makan ketika cuaca panas. Kata orang boleh mengurangkan panas badan.






Pokok ginseng jawa atau akar som ini manfaatnya sangat baik untuk para lelaki dan untuk mengurangkan keletihan badan. Pucuk muda enak dimasak bersama telur dadar atau dicampurkan ke dalam sup ayam atau daging.





Satu lagi variati kunyit hitam yang ditanam dalam pasu. Isi berwarna hitam dan gelap. Banyak digunakan dalam perubatan untuk merawat terkena sihir.













Dan akhir sekali ialah rumput beijing yang dikatakan boleh mengubati penyakit kanser. Juga boleh dicampurkan ke dalam masakan daging untuk mempercepatkan daging tersebut empuk.

Inilah antara pokok herba yang ada ditanam di laman rumah tanomkinotuan. Tanomkinotuan sangat suka mengumpulkan pokok-pokok herba sebagi hobi sampingan. Bolehlah digunakan untuk mencantikkan laman rumah sendiri. Kawan-kawan apa kata tanam sepokok pokok herba dirumah anda. Anda pasti boleh melakukannya

Selamat bertani dan menuai hasil.

Selasa

Panduan Menyemai Benih Basil Itali





PENGENALAN
Basil itali adalah adalah salah satu tanaman herba yang beraromatik dan tergolong dalam keluarga kemangi, selasih, tulasi dan sebagainya. Nama saintifik ialah Ocimum Basilicum adalah tumbuhan yang banyak ditanam di negara barat. Tidak seperti di negara kita majoritinya menanam pokok kemangi, selasih atau tulasi. Herba ini banyak digunakan dalam masakan Itali di Eropah sana. Namun hari ini sudah banyak orang menanam pokok herba basil itali sama ada ditanam untuk pokok hiasan atau diguna untuk memasak resepi kegemaran.

Secara harfiahnya basil adalah istilah yang digunakan di negara Barat bagi gelaran umum kepada jenis pokok herba berdaun dan merimbun ini iaitu Sweet basil aka basil itali, purple basil, Lemon basil (kemangi), holy basil (tulasi) dan Thai basil (selasih). Di negara kita setiap jenis ini mempunyai nama sendiri.

Sekali lagi tanomkinotuan berkongsi untuk panduan menanam benih basil untuk panduan kepada pembaca diluar sana. Berikut adalah panduan menyemai benih basil itali.


PEMBELIAN BENIH BASIL
Dapatkan benih itali sama ada beli di kedai nusery, kedai pertanian atau beli online yang terpercaya. Jika anda malas menyemai beli sahaja pokok basil itali yang banyak dijual nusery tu. Jaga pokok tu elok-elok.


PENYEDIAAN MEDIA TANAMAN
Terdapat dua cara untuk dapatkan media atau tanah sama ada anda membelinya di kedai pertanian atau membuat media campuran sendiri. Jika anda membeli media di kedai pertanian pilih media campuran yang berkualiti dengan menggunakan bahan-bahan yang berkualiti.

Jika anda membuat media sendiri sediakan bahan asas seperti cocopeat, kompos dengan pasir sungai atau perlite. Campurkan semuanya dan masukkan ke dalam tray semaian.

Jika anda menanamnya pada tanah di laman rumah atau kebun anda, buat penggemburan dengan mengorek setanggah kaki dalam dan gembur hingga tanah menjadi serpihan-serpihan kecil. Tabur kompos 2 genggam atau bubuh baja organik butir yang boleh dibeli di nusery berhampiran seperti brand baja kopi, baja humic atau baja guano. Rehatkan 4 hari.

Pokok basil itali menyukai tanah yang poros, kaya dengan nutrient, saliran air dan pengudaraan dalam tanah sangat baik.


PROSES SEMAIAN BENIH
Di sinilah yang anda perlu faham dan tahu iaitu menyemai benih basil itali. Terdapat pelbagai cara menyemai benih basil itali yang sering dipraktiskan oleh orang lain, cuma tanomkinotuan hanya kongsikan dua cara yang biasa iaitu semaian langsung ke atas tanah dan semaian pada tray semaian.

1. Semaian Langsung ke tanah
Korek tanah dan gembur tanah seperti mana yang dijelaskan di atas. Sebelum anda meyemai benih gembur sekali lagi tanah yang telah digembur tempoh hari dan bolehlah ditabur benih basil itali tersebut. Tidak perlu ditutupi dengan tanah di atasnya. Cukup sekadar anda menyiramnya dengan air secukupnya. Benih akan tenggelam sendiri ke dalam tanah.

Dalam proses percambahan ini batas atau tanah tersebut harus tidak diganggu seperti terpijak, dijadikan oleh haiwan seperti ayam tempat mencari makanan dan sebagainya. Tunggu 5 hingga 7 hari benih basil mula kelihatan di permukaan. Siram tanah jika didapati kering dan biarkan jika tanah masih dalam keadaan lembab.

2. Semaian menggunakan bekas/tray semaian
Sekiranya anda menggunakan bekas atau tray semaian untuk menyemai benih basil. Gunalah apa-apa bekas yang sesuai seperti kontena, cup plastik atau hendak menggunakan bekas semaian yang level tinggi sikit gunalah styorofoam warna hitam yang banyak dijual di nusery atau kedai pertanian.

Masukkan media yang dibeli atau dibuat sendiri ke dalam bekas semaian hingga penuh, tabur benih basil itali di atasnya dan siram dengan air secukupnya. Simpan tray semaian di tempat selamat dan terlindung di mana masih terkena haba di sekelilingnya.

5 hari ke 7 hari cambahan benih basil mula kelihatan, apabila kelihatan anak benih basil dipermukaan letakkan tray semaian tersebut sejam di bawah cahaya matahari untuk membolehkan anak pokok basil tersebut mendapat cukup cahaya dan mengurangkan masalah batang panjang (laggy).

Apabila anak pokok sudah berdaun 4 bolehlah dialihkan ke pasu besar untuk pertumbuhan yang baik. 


PEMINDAHAN ANAK BENIH BASIL
Jika anak pokok basil itali anda sudah berdaun kira-kira 4 helai daun bolehlah alihkan ke pasu (jika anda menanamnya dalam pasu). Dengan memasukkan media campuran ke dalam pasu hingga penuh dan hentak-hentakkan pasu secara perlahan bagi mengurangkan ruang-ruang kosong dalam media. Tambah lagi dengan media jika perlu.

Buat lubang ditengah-tengah pasu kira-kira 3 inci dan cabut anak pokok basil itali dengan berhati-hati lalu tanam ke dalam lubang dan tutup lubang tersebut seterusnya siram air secukupnya. Simpan pasu ditempat teduh terlebih dahulu untuk mengurangkan kematian anak pokok lebih kurang 7 hari. Apabila anak pokok sudah cukup kuat bolehlah diletakkan ditempat panas untuk pertumbuhan yang maksima.


PENJAGAAN DAN PEMBAJAAN
Pokok basil itali menyukai tanah yang lembab dan bukan terlalu basah. Siram tanah jika didapati kering dan tidak perlu jika musim hujan.

Cabut rumbut yang tumbuh di sekeliling pokok sama ada batas atau pasu. Anda boleh menggunakan mulsa (mulch) atau sunggkupan rumput kering, daun kering jerami dan sebagainya untuk mengurangkan kekeringan pada tanah dan mengurangkan rumput rumpai tumbuh pada tanah.

Pokok basil tidaklah perlu dibaja sangat kerap tetapi anda boleh menabur baja satu sudu ketika pokok masih kecil dan 3 sudu baja organik apabila pokok sudah besar.

SERANGGAN PENYAKIT
Pokok basil itali disukai oleh serangga seperti apid, hena dan belalang. Beberapa jenis bakteria dan kulat yang menyerang daun, batang dan akar.

Cara mengatasinya gunakan media/tanah yang tidak tercemar dengan kulat atau bakteria. Media jangan terlalu basah di mana jangan siram media jika media masih lembab. Jika terlalu basah takut media didatangi oleh kulat yang boleh menyerang pokok basil anda. Tabur baja ikut sukatan yang betul.

Bagi pokok yang diserang dengan hena dan apid sembur dengan racun organik (cili padi, bawang putih, sedikit minyak masak) atau boleh mencuba membuat racun semburan organik yang banyak ditunjukkan di internet.

Anda boleh menanam pokok basil bersama pokok tomato dalam satu batas. Mereka sangat serasi antara satu sama lain.

TUAIAN DAUN BASIL ITALI
Apabila pokok basil anda sudah setinggi 2 kaki bolehlah potong pucuknya untuk dicampurkan ke dalam resepi yang digemari. Jangan bimbang kerana pucuk muda akan muncul dan pokok basil anda lagi merimbun dan sihat.

Daun basil itali sangat sesuai dicampurkan ke dalam pizaa, macaroni dan sebagainya. Aromanya cukup memikat kepada mereka yang mengemari pokok herba ini. Jadi apa tunggu lagi jom menanam pokok basil di laman rumah.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Khamis

Panduan Menyemai Benih Bunga Kosmos







Bosan pula tanomkinotuan jika 100% hanya menanam sayur mayur di KBR. Sekali sekala ceriakan Kebun dengan warna warni bunga untuk hiasan yang menarik. Maka tanomkinotuan membeli benih online dan dapatlah bunga jenis komos.






Bunga kosmos ini mudah tumbuh di negara kita. Pelbagai bunga boleh didapati dan tanomkinotuan memilih kosmos Sulpur Gloria berwarna merah jambu dan kuning ditengah yang dikelilingi pusaran merah cerah. Nampak menawan dan cukup memikat. Bunga kosmos Gloria ini sangat rajin berbunga.




















Ramai di luar sana bertanya dengan tanomkinotuan cara menyemai benih bunga kosmos. Di sini tanomkinotuan ingin berkongsi pula cara menyemai bunga jenis kosmos. Panduan dan cara menyemai yang dikongsikan ini teraplikasi kepada semua jenis kosmos.







PENYEDIAAN BENIH BUNGA KOSMOS






Dapatkan benih kosmos di pasaran dengan membelinya di kedai-kedai pertanian berhampiran. Anda juga boleh mendapatkan benih kosmos dengan membuat pembelian online di internet yang terpercaya. Akhir sekali juga boleh mendapatkan benih dari rakan-rakan atau jiran tetangga. Pastikan cara anda untuk mendapatkan benih tersebut tidak menyinggung perasaan pemilik bunga kosmos tersebut. Tidak pasal-pasal diviralnya nama anda di laman-laman sosial kan naya.. hihi Setelah mendapatkan benih langkah seterusnya ialah penyediaan bahan media/pasu.







PENYEDIAAN MEDIA/BEKAS SEMAIAN
Sediakan bekas semaian untuk benih kosmos anda. Gunakan tray semaian atau stryofoam warna hitam yang boleh dibeli di kedai pertanian atau guna bekas terbuang yang ada dirumah anda lagi jimat dan 0 kos.



Masukkan media ke dalam bekas Styrofoam hingga penuh dan buat lubang 1 inci pada setiap media tersebut kemudian masukkan benih ke dalam lubang yang telah dibuat tadi. Timbus lubang tersebut lalu siram dengan air secukupnya. Simpan tray semaian tersebut di tempat selamat dan teduh tetapi masih terkena haba disekelilingnya. Benih kosmos mula bercambah selepas 5 ke 14 hari.




MENGALIHKAN ANAK POKOK KOSMOS KE BATAS ATAU PASU.
Tunggu anak pokok kosmos anda berusia 3 minggu atau daunnya berjumlah 4 helai daun sebenar. Jika anda ingin menanam anak pokok bunga kosmos di atas batas, sediakan batas dengan membuat pengemburan sedikit bagi melonggarkan rongga-rongga tanah untuk pengudaraan dan pengiran yang baik. Bubuh baja organik segenggam dan kapur pertanian satu sudu makan dan gaul merata. Rehatkan 1 minggu untuk baja dan kapur pertanian tersebut sebati dengan tanah. Jika anda perhatikan tanah nada berubah warna kehijau-hijauan menandakan tanah anda semakin subur dan sudah selamat dibaikpulih.

Setelah direhatkan selama seminggu, gembur sekali lagi tanah tersebut dan buat lubang sedalam 2 inci. Dengan berhati-hati cabut anak pokok bunga kosmos anda bersama tanah dan masukkan ke dalam lubang yang telah dibuat tadi. Timbus tanah dipangkal anak pokok dan padat-padatkan tanah tersebut lalu siram dengan air banyak. Untuk mengurangkan kadar kematian anak pokok sungkupkan atau buat teduhan jaring hitam selama 1 minggu agar anak pokok sempat berakar dan mampu hidup sesudahnya. Buka teduhan jaring hitam jika kelihatan anak pokok sudah kuat iaitu kira-kira 7 hari. Jika jaring hitam tidak ada teduhkan dengan apa-apa bahan yang ada disekeliling anda.

Jika anda menanamnya di dalam pasu pula. Proses menanam sama seperti di atas. hanya beli tanah campuran di nusery atau buat tanah campuran sendiri dengan menggunakan cocopeat, kompos dan perlite atau pasir sebagai bahan asas dengan nisbah 2:1:1. Gaul semua bahan hingga sebati dan masukkan ke dalam pasu hingga penuh. Proses memindahkan anak pokok ikut proses di atas seperti yang dinyatakan. Letak pasu anda ditempat teduh terlebih dahulu untuk mengurangkan kematian pokok.



















PEMBAJAAN DAN PENJAGAAN POKOK KOSMOS






Setelah anak pokok bunga kosmos anda berusia 3 minggu selepas dialihkan ke batas atau pasu, bubuh baja organik subur disekeliling pangkal pokok dengan kuantiti 1 sudu makan. Elok buat pengemburan tanah di sekeliling pokok terlebih dahulu barulah tabur baja tersebut dan siram dengan air secukupnya. Pada usia 1 bulan 2 minggu bubuh baja bunga untuk penghasilan bunga yang banyak.

Aktiviti merumput adalah aktiviti rutin yang wajib dilakukan. Anda harus membuang rumput yang ada pada batas dan pasu untuk mengelakkan persaingan mendapatkan makanan. Siram pokok bunga kosmos anda dua kali sehari ketika musim panas dan tidak perlu ketika musim hujan. Jangan terlebih baja pokok bunga kosmos anda khususnya baja kandungan nitrogen tinggi kerana dikhuatiri pokok bunga kosmos anda kurang menghasilkan bunga.










PEMBUNGAAN POKOK BUNGA KOSMOS






Pada usia 1 bulan pokok kosmos sudah menampakkan penghasilan kudup bunga. Sedikit masa lagi ia akan menghasilkan bunga-bunga yang mampu menyerikan laman rumah anda dengan kecantikannya. Pokok bunga kosmos berbunga singkat tetapi berpanjangan (sambung-menyambung) sebelum pokok mati.






Nikmati bunga kosmos anda dengan ucapan Alhamdullilah bagi yang Muslim dan Halelujah bagi yang Kristian. Usaha menanam pokok bunga kosmos berhasil. Jika tidak berhasil jangan gunda gulana, jangan bimbang usaha lagi moga tanaman yang kedua membuahkan hasil...

Selamat bertani dan menuai hasil....


Nota:
Alhamdullilah: Thank God (bahasa Arab)
Halelujah: Praise God (bahasa Hebrew)