Selasa

Tuaian Kacang Tanah Hitam dan Kacang Batik


Ini kali ketiga tanomkinotuan menanam kacang tanah. Kali pertama pada 2 tahun lepas yang ditanam di kebun getah. Tanomkinotuan membuat batas memanjang dan menanam benih kacang tanah tersebut. Kali kedua pula ditanam di belakang rumah yang juga ditanam bersama jagung. Ia ditanam bersama pokok jagung cuma bezanya pokok jagung yang ditanam musim kedua tahun lepas ialah jagung pulut kelopak ungu manakala untuk tahun ini pula ialah jagung pulut hitam korea. Dua pokok ini iaitu jagung dan kacang tanah berkaborasi antara satu sama lain. Ia sesuai ditanam bersama.

Tanomkinotuan pernah mencari benih kacang tanah yang rare dan jarang diperolehi di mana-mana. Sudah puas menanam kacang tanah jenis biasa (warna merah gelap dan putih). Biasanya tanomkinotuan cepat bosan sekiranya menanam benih yang sama setiap tahun dan tidak bermasalah sekiranya menanam spesis yang sama tetapi variati berbeza. Ini kerana seni bertani juga harus dipraktiskan. Sepanjang waktu wajib menambah pengalaman pada setiap jenis tanaman untuk ilmu sendiri. Ini adalah perkara asas dan perlu diambil perhatian sewajarnya.

Pada tahun lepas masa cuti yang singkat tanomkinotuan berhajat ke tamu (open-market) sekitar tempat lokasi tanomkinotuan. Mencari benih atau keratan pokok yang boleh dibawah pulang bagi menambah koleksi tanaman. Ditamu kadang-kadang kita dapat melihat pelbagai benih/sayuran yang pelik dan jarang dijual di mana-mana. Sebab itulah tanomkinotuan sangat suka melilau-lilaukan mata ini untuk menetapkan target yang dihajati.

Tanomkinotuan sangat bertuah di mana seorang pakcik menjual benih kacang pulut hitam dan kacang tanah batik dalam bungkusan yang tertera harganya RM10.00 sekilo. Fuhhh.... kacang paling rare lah katakan.. haha


Companion plants: kacang tanah dan jagung


Sekembalinya tanomkinotuan ke rumah pada petangnya, bereskan apa yang perlu dan langsung ke batas untuk membuat pemgemburan. Tanomkinotuan kalau sudah berada di laman kebun lupa segala desas desus sekeliling. Padu dan penuh perhatian bermain-main dengan tanah dan alat pengembur. Tanomkinotuan tidak meletakkan baja subur organik terlalu banyak sebab pokok kacang tanah sudahpun mempunyai ciri tersendiri yang unik di mana mampu mengeluarkan sumber nutrient utama iaitu nitrogen ke dalam tanah melalui lentil-lentil yang ada pada akarnya. Oleh yang demikian, bubuh baja ala kadar sudah memadai.

Tanomkinotuan membuat lubang sedalam 2 inci dengan jarak 1 kaki setengah. Oleh kerana batas terhad maka jarak dikecilkan agar semua benih yang ada dalam genggaman mendapat keadilan yang sewajarnya di batas. haha... Tanomkinotuan tanam sebiji kacang untuk satu lubang dan selesaikan kerja tersebut hingga selesai. Menanam kacang tanah sangat mudah. Jangan pening-peningkan kepala dengan SOP pertanian yang memeningkan. Yang penting simpan ilmu menanam tersebut dalam kepala, ia akan digambarkan secara langsung dalam fikiran anda secara maya. Mudah dan jimat masa.

Percambahan benih kacang tanah agak lambat sebenarnya ia mengambil masa 7 hingga 20 hari untuk bercambah dan percambahannya tidak serentak. jadi bersabarlah jika menanam kacang tanah ini. 14 hari selepas ditanam, sudah boleh nampak daun pertama muncul di permukaan. Pada masa ini tanomkinotuan hanya mencabut rumput rumpai yang mula merebak dan membesar di batas. Rumput pada masa ini harus dicabut dan buang bagi mengelak persaingan mendapatkan makanan akan datang. Siraman pagi dan petang jika tidak hujan juga jangan dilupakan. Ia memerlukan kelembapan tanah untuk menyerap zat makanan.



Kacang tanah sudah boleh dituai


Tempoh satu bulan selepas ditanam, pokok-pokok kacang sudah mula menghasilkan bunga-bunga yang cantik, jenis bunga kelopak selapis dan berwarna kuning terang pada celah-celah batang daun. Bunga-bunga ini wajib didebunga oleh serangga pendebunga untuk transformasikan bunga tersebut kepada pod/isi dalam tanah. Bunga kacang ini senantisa keluar dari bawah ke atas. Dan jangan hairan apabila terdapat akar dari celah batang menuju ke tanah. Ini sebenarnya akan bertukar dan membesar ke tanah sebagai isi berkulit kacang tanah.

Bagaimanakah kita mengetahui pokok kacang tanah sudah boleh dituai? Apakah tips mudah yang perlu diikuti? Tanomkinotuan tidaklah sangat mengetahui kaedah yang tepat bila masa pokok kacang ini dituai paling sesuai tetapi bagi tanomkinotuan, apabila dedaun pokok kacang di pangkal pokok mula mengering seperti gambar dombor dua di atas maka bolehlah tuai pokok kacang tersebut dengan mencabutnya. 


Isi kacang bersama pokoknya


Inilah pokok kacang yang dicabut dari batas. Mengeluarkan isi kacang yang matang sepenuhnya. Jika pokok kacang dituai pada tempoh pokok belum bersedia untuk dituai maka anda akan mendapati isi kacang tidak matang dan ini satu kerugian yang amat nyata kepada anda. percayalah...



Sebaldi isi kacang tanah

Inilah hasil tuaian kacang tanah tanam sendiri di laman rumah. Tanomkinotuan bila congak-congak berat isi kacang ini kira-kira 2 kilo lebih dan selamat dicuci bersih dan direbus dengan dibubuh sedikit garam bagi meningkatkan rasa lemak pada isinya. Sedap sangat haha.

Rasa dan struktur isi sedikit berbeza dengan kacang biasa, ia sedikit pulut dan amat enak dikunyah dengan rasa garam menyerap isi kacang memang lemak-lemak manis dengan ranggup yang menyerlah. Tidak sedar memakan kacang rebus sambil menonton tv bersama keluarga di ruang tamu, habis licin besen tersebut dan ada yang bertanya 'kacang rebus ada lagi kah?' haha... dengan bangganya tanomkinotuan menjawap, 'tiada sudah, habis' dengan gaya tutur kata dialek Melayu Sabahan. hihihi.....



Kacang tanah hitam


Kacang tanah batik


Jadi kepada pembaca diluar sana yang ingin mencuba menanam 2 variati kacang di atas iaitu kacang tanah hitam dan kacang tanah batik bolehlah menghubungi tanomkinotuan untuk mendapatkan benih. Harga kasih sayang rm2 (12 biji), postage rm4 atau rm11.60. Boleh email ke borosmomogun@gmail.com atau whatsapp ke 019-5230756 (Jus). Kacang ini juga jarang dijual di Negeri Sabah kerana kacang tanah ini lazimnya hanya ditanam di kampung-kampung dan bukan secara komersil (secara ladang). Jom menanam kacang...

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

3 komen

Asalam saudara..jarang saya ke laman ini, sebab dalam blog saya lidt tetap ke bawah padahal ada entri baru kan..itu sebab saya tak berpeluang ke sini..

seorang insan yag cukup berbudi kepada tanah.tahnia kio

Tak apa ba cigu. Hihi. Main2 saja boi ni...


EmoticonEmoticon