Selasa

TANAMAN TERBARU MUSIM INI (OKTOBER 2016) DI LAMAN

Tags



Lama tanomkinotuan tidak mengemaskini blog ini disebabkan kesibukan pada kerja harian. Maklumlah sudah hendak bercuti jadi haruslah dibereskan semua kerja-kerja agar kepala tidak berserabut apabila melangkah ke tahun hadapan. Tidak lama lagi kita akan berada di penghujung tahun, bulan ini sudah masuk bulan Oktober dan minggu depan pula sudah akan masuk ke bulan November. Tidak terasa cepatnya masa berlalu.

Begitu juga dengan kebun mini tanomkinotuan, silih berganti bertukar pokok sayuran pada batas-batas yang disediakan. Tahun lepas tanomkinotuan bercucuk tanam di belakang rumah. Bagi proses membaikpulih tanah pada kawasan tersebut, tanomkinotuan biarkan dahulu untuk tahun ini. Rumput sudah tinggi-tinggi dan sudah jadi semak. Kini bertani di depan rumah pula. hehe...

Hari ini tanomkinotuan berkongsi sedikit tanaman yang sedang mekar di laman rumah. Ada yang sudah pernah ditanam sebelum ini dan ada jenis tanaman yang baharu. Saja tanomkinotuan menanam jenis sayuran yang baharu untuk mengetahui sejauh mana kebolehan tanomkinotuan menjaga pokok-pokok tersebut. Berikut adalah sayuran yang sempat tanomkinotaun mengambil gambarnya:





Gambar di atas adalah pokok zucchini hijau. Sekali lagi tanomkinotuan menanam zucchini hijau untuk menyerlahkan kebun mini dengan dua pokok zucchini hijau. Disamping ditanam dengan pokok edamame variati midori (jenis edamame gergasi) dan juga sepokok kosmos sulfur gloria (warna ping dan merah ditengah bunga).

Nampak batas sebelahnya pula ditanam pokok edamame dari benih dan 2 pokok buncis renek hijau (french bean bush). 





Inilah batas paling bersaiz besar antara batas-batas yang ada. Ia ditanam dengan pelbagai jenis sayuran antaranya buncis hijau (jenis pole), Black seeds Simpson lettuce, Buttercrunch lettuce, Ruby leaf lettuce, kosmos sulfur gloria, kosmos merah jambu dan putih, kacang poii, basil itali, lobak lady finger, Russian kale, bunga marigold biru (tapi masih dalam tumbubesaran) dan bunga matahari monggolian gergasi.

Sebatas tanomkinotuan lambakkan benih dalam satu batas akibat daripada batas yang terhad. Sebenarnya kaedah ini sangat baik untuk mengelak seranggan penyakit bagi mana-mana pokok yang tumbuh disini. ia dikenali sebagai tanaman campuran (companion Plants).

Pokok salad tersebut sebenarnya sudah mula dituai, buncis renek dan buncis hijau memanjat sudah mula mengeluarkan bunga dan buah manakala sepokok bunga matahari sudah pun mekar bunganya dan tunggu menjadi matang. 





Ini pula ialah buncis ungu separa renek. Pokoknya tidaklah memanjat hingga merimbun seperti jenis buncis memanjat/pole. Ia jenis renek dan buah terhasil dari batangnya sangat banyak. Untuk pengetahuan pembaca terdapat dua jenis buncis ungu ni iaitu buah jenis bulat dan satu lagi ialah jenis leper sedikit. Pokok sangat produktif.





Inilah dia pokok kosmos gloria yang ditanam sebaris pada batas. Awalnya pertumbuhan sangat perlahan tetapi selepas keluar daun sebenar pertumbuhan sangat cepat dan berbunga cantik. 




Bawang kucai yang ditanam tahun lepas kini sangat rimbun dan sihat. sudah beberapa kali menuai daunnya untuk dijadikan sayur tumis bersama ikan amsin dan lada putih. Sangat beraroma wangi dan enak. Pokok kucai boleh dijadikan salah satu tanaman yang boleh ditanam di batas sayuran bagi menakutkan sesetengah serangga merosakkan sayur yang ditanam. 

Ia pokok cebat membiak dengan melakukan belahan pada sebatang pokok menjadi dua dan begitulah seterusnya. 




Inilah salad Black seeds simpson yang kini mula membesar pada batas yang bersaiz besar itu. Daunnya sangat lembut dan amat sesuai di makan sebagai salad. Pokok ini cepat membesar pada media yang sangat kaya dengan nutrient. 




Ini dikenali sebagai bayam jepun. Tanomkinotuan beli dari seorang kawan di alam maya. Katanya sayur ini sangat enak dan lembut. sesuai dimasak tumis, sup dan dimasak bersama telur dadar. tanomkinotuan tidak dapat memberi komen banyak-banyak di sini kerana belum ada pengalaman untuk memasak dan merasainya.

Ia mudah tumbuh dengan hanya menanam keratan batang yang dipetik dari induknya. Hanya gembur tanah dan tabur sedikit baja organik/kompos. Cucukkan sahaja keratan batang tersebut kira-kira 3 inci dan siram. Biarkan ia bertunas dan tumbuh dengan baik. Memerlukan air dan baja yang konsisten.





Sederet pokok timun marketmore sudah mula menjalar dan hasilkan bunga betina dan jantan. Hanya ditanam di tepi pagar kebun menyebabkan mungkin kesukaran untuk berbunga betina di bawah. Timun jenis ini berbeza sedikit dengan timun cina yang lazim dijual di pasar.




Serimbun pegaga liar yang tumbuh di kawasan kebun depan rumah dibiarkan tumbuh membiak. Dari sepokok pegaga ini telah menjadi banyak. Minggu ini akan dituai untuk dijadikan ulam makan malam.




Inilah dia pokok buncis renek hijau. Sudah hasilkan buah yang sangat banyak. Emak tanomkinotuan sudah tuai buah muda untuk dijadikan sayur minggu lepas. Enak dan manis berbanding buncis yang dibeli di kedai.



Tahukah pembaca sayur apakah ini? Inilah sayur yang dikenali sebagai kohlrabi putih. Pokok sayur ini termasuk dalam keluarga Brassica. Pangkal yang membengkak itulah yang akan dimakan. Buang kulitnya dan hiris nipis-nipis. Boleh dimakan sebagai salad, dicampur di dalam sup atau masak tumis bersama daging. Daun muda juga boleh dimakan.





Akhir sekali ialah tomato indigo rose berjaya ditanam di laman rumah. Tomato ini akan menjadi warna biru apabila terkena cahaya matahari hingga matang/masak. dan berwarna merah pula di dalamnya. Amat berjus dan ranggup. Tanomkinotuan sangat menyukainya.

Inilah cerita terbaru untuk kebun laman rumah tanomkinotuan. Menanam sebagai hobi tetapi berbaloi apabila mendapat habuan hasil yang sangat memberansangkan. Ia juga membekalkan hasil sayur mayur kepada bekalan dapur, jimat wang dan keluarga pun sihat. Jom bertani di laman rumah. Guna pasu untuk bertani pun boleh yang penting ada kemahuan disitu ada jalan. Cuba tanam cili padi dahulu, ambil benih cili padi di peti sejuk dan semai. Jaga hingga hasilkan buah. Anda tidak perlu membelinya lagi. Petik buah cili padi di laman dan prosesnya sebagai sambal belacan. mudah bukan?

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

2 komen

kelihatan sangat berkhasiat igu

Wah cikgu lama inda dgr khabar.


EmoticonEmoticon