Isnin

KACANG BUNCIS RENEK HIJAU BUAH YANG MERIMBUN

Tags



Kejayaan menanam buncis renek tahun-tahun lepas dari variati Franch Bean Bush memberikan semangat kepada tanomkinotuan untuk mencuba lagi menanam buncis renek dari variati lain. Benih Buncis renek jenis Franch Bean Bush ialah berwarna putih. Kacang buncis renek yang mendapat permintaan pasaran di negara Eropah, Amerika dan sebahagian negera di Asia kerana produktiviti pokok yang tinggi untuk hasilkan tuaian. Buncis renek dikategorikan sebagai jenis buncis merimbun (bush) tanpa memanjat di mana tidak perlu memasang pancang atau junjung kepada pokok.

Pelbagai variati buncis renek yang boleh dicuba untuk menanamnya. Ada warna hijau, kuning dan ungu dan ianya jenis heirloom atau open-pollinated. Maka dengan keterujaan tanomkinotuan kepada pokok buncis renek. Tahun ini tanomkinotuan sekali lagi mencuba menanam benih buncis renek variati Provider Bean Bush yang juga sesuai ditanam dinegara kita kerana kesesuaian cuaca dan iklim. Tahun ini tanomkinotuan menanam 3 variati buncis renek iaitu Franch Bean Bush, Provider Bean Bush dan Purple Bean Bush. Semuanya senang membesar dan menghasilkan pulangan buah yang sangat banyak pada pokoknya. Tinggal tanomkinotuan menunggu benih buncis renek kuning sampai ke tangan tanomkinotuan pula, tidak sabar untuk menyemainya.

Satu pertanyaan, mengapakah di Malaysia tidak ada para petani berusaha untuk menanam buncis jenis renek secara ladang atau komersil? Adakah produktiviti penghasilan buah pada buncis renek ini kurang berbanding buncis biasa (jenis memanjat atau pole)?, Adakah buncis ini sukar untuk dijaga? atau permintaan bagi buncis ini kurang di pasaran? hanya para pengusaha kebun dan ladang mampu menjawap soalan-soalan di atas.

Tanomkinotuan dapatkan benih buncis renek yang dibeli dari laman sesawang online. Menanamnya langsung pada batas yang telah disediakan. Batas tersebut telah pun digembur, dibubuh kompos dan sedikit baja subur organik bagi menambah kualiti tanah dan cukup nutrient. Pokok buncis renek boleh tumbuh semua jenis tanah yang diperkayakan dengan kandungan nutrient tanaman kecuali tanah liat. Jika anda menanamnya pada tanah liat pastikan tanah tersebut ditambah kompos dalam kuantiti yang banyak agar ia cukup membekalkan zat makanan kepada pokok buncis kemudiannya.

Tanomkinotuan korek lubang sedalam 1 inci dengan jarak antara lubang ialah 2 kaki. Dan menanam dua biji setiap lubang. Bila benih telah bercambah tanomkinotuan cabut sepokok pada setiap lubang agar pertumbuhannya agak baik. Pada mulanya, selepas 2 minggu pokok buncis bercambah atau anak pokok buncis sudah mempunyai 2 atau 4 helai daun harus dibubuh baja subur. Baja subur organik bertujuan untuk mempercepatkan tumbuhbesaran anak pokok. Kali kedua pembajaan pula bubuh atau tabur baja subur organik bersama baja buah dengan melebihkan jumlah baja buah untuk pengeluaran buah yang banyak. guna fish meal untuk tujuan tersebut. 



Pokok buncis provider hijau kini sudah pun mengeluarkan buah yang comel dan sedikit pendek berbanding buncis yang lazim dijual di pasaran. Bentuk buah ialah jenis bulat dan bukan leper.Pokok buncis renek amat cepat menghasilkan buah dengan mengeluarkan bunga-bunga warna putih berbentuk seekor itik yang mengembangkan sayap. Terdapat banyak serangga menghampiri pokok buncis renek ini. Jika anda lihat banyak serangga datang pada pokok anda seperti kelulut, lebah, dan serangga lain jangan khuatir kerana serangga-serangga ini tidak merosakkan pokok buncis tersebut tetapi membantu anda untuk melakukan proses pendebungaan secara semula jadi di mana bunga-bunga tersebut akan bertransfomasi menjadi buah berwarna hijau. 

Aktiviti merumput adalah rutin yang harus dilakukan. Dengan semangat membara tanomkinotuan buang rumput disekelilingnya agar nutrient tidak diambilalih oleh rumput rumpai. 

Sebenarnya disebelah pokok buncis renek ini berdirinya dua pokok buncis hijau jenis pole (memanjat) yang baharu sahaja belajar menghasilkan bunga-bunganya. Bimbang juga tanomkinotuan jika berlaku pendebungaan silang yang menghasilkan benih-benih yang tidak sah taraf. Pokoknya telah pun merimbun dengan pancang kayu yang disediakan. 






Apakah harus dilakukan ketika menanam buncis renek? Perkara utama ialah anda harus memastikan lokasi menanam buncis renek tidak kisah di pasu atau batas ialah cahaya matahari dari pagi hingga petang. Ni wajib untuk dapatkan pokok buncis bersaiz besar dan merimbun. Jika tidak cukup cahaya matahari sekurang-kurangnya melebihi 6 jam sehari pokok buncis memang ketot.


Keduanya ialah cukup nutrient pada tanah, batas atau pasu. Pastikan menanam di atas tanah elok dibuat batas dengan mengembur sedalam 1 kaki tambah kompos dan sedikit baja subur organik. Boleh juga ditabur kapur pertanian jika tanah terlalu berasid.


Ketiga ialah kelembapan tanah, siram dua kali sehari pagi petang untuk membentuk tanah yang lembab dan aktiviti mikroorganisma di dalamnya berjalan lancar. Ini membantu akar menyerap nutrient dengan baik.

Seterusnya ialah tambahan yang harus dibuat ialah merumput, penjagaan serangga perosak dan menambah booster kepada pokok. Tambahan-tambahan ini boleh membantu pokok buncis renek membesar dengan jayanya. Buncis tanomkinotuan minggu depan mula dituai. Bolehlah membuat resepi buncis renek masak telur masin dengan campuran kimchi sikit. Apa kata anda mencuba buncis renek dulu mana tahu anda jatuh cinta akan pokok ini.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon