Sabtu

TIMUN EPAL KRISTAL BULAT MENGHIASI KBR DENGAN BUAH YANG ELEGAN

Tags

Pokok timun epal kristal

Ini kali pertama menanam dan melihat sendiri pokok timun jenis bulat bagai kristal bersinar di pokoknya. Selalunya tanomkinotuan menanam pokok timun yang biasa ditanam di negara kita iaitu timun cina (buah timun yang memang banyak dijual di pasaran Malaysia) dan beberapa variati timun kampung seperti timun kampung albino, timun kampung hmong dan timun betik. Variati timun ini tanomkinotuan sering melihat di jual di tamu-tamu mingguan di seluruh Sabah terutamanya kawasan di Daerah Ranau, Tambunan, Tamparuli dan Keningau serta ditempat-tempat lain. Bagi timun cina enak dimakan sebagai salad atau campuran dalam pelbagai hidangan seperti nasi lemak, sup dan sebagainya. Bagi timun kampung pula ianya memang lemak-lemak manis bila dibuat sayur tumis kerana tidak mengandungi rasa pahit. Sesuai dicampur dalam sup untuk menyejukkan badan atau blender dan bubuh sedikit madu dan air, minum semasa musim panas memang terbaik.

Kali ini tanomkinotuan menanam satu lagi jenis timun yang agak asing bagi rakyat Malaysia. Jenis timun ini kurang ditanam kerana benih yang sukar diperolehi. Timun yang dimaksudkan ialah timun epal kristal atau Apple Crystal Cucumber.

Buah timun epal kristal berjaya didebunga

Timun epal kristal bulat adalah jenis timun yang banyak ditanam di luar negara. Terdapat pelbagai variati timun jenis bulat yang wujud di dunia. Tanomkinotuan hanya ada benih timun epal kristal bulat yang mana sesuai ditanam di negara kita. Tidak kiralah di kawasan tanah tinggi atau tanah rendah atau dalam pasu mahupun batas. Yang penting senantiasa menjaganya dari serangan makhluk perosak yang tidak terjangka.

Timun epal kristal bulat mempunyai jenis pokok sederhana memanjat dan mengeluarkan bunga jantan dan bunga betina dengan banyak sekali. Daun bersaiz kecil berwarna hijau dan dahannya bercabang yang menghasilkan banyak buah. 3 minggu selepas ditanam ia mengeluarkan kudup bunga jantan diikuti dengan kudup bunga betina. Seminggu kemudian bunga betina bertukar menjadi bebola kecil yang sangat elegan dan membesar sebagai buah yang berwarna putih cair bak kristal yang disinari cahaya mentari pagi, berkilau-kilauan menarik perhatian. haha apasal bahasa ni lain macam.... bersajak ke apa?

Tidak sukar menanam timun epal kristal bulat ini. Oleh kerana tanomkinotuan menggunakan batas untuk tempat menanamnya dengan itu tanomkinotuan membuat penggemburan batas dengan keluasan 2 x 8 kaki persegi. Dengan menggunakan cangkul tanomkinotuan korek sedalam 1 kaki dan gembur selebar 2 kaki dengan kepanjangan batas ialah lebih kurang 8 kaki. Cukuplah untuk beberapa biji benih timun epal kristal yang akan ditanam. Untuk supaya pokok timun epal kristal ini tumbuh dengan baik tanomkinotuan menaburkannya dengan 5 kilo kompos kelapa sawit dan 2 genggam kapur pertanian lalu tanomkinotuan gaul sebati. Tanomkinotuan juga mengumpulkan rumput-rumput dan dedaun kering lalu dipotong kecil-kecil kemudian ditabur ke batas dan digaul sebati dengan media. Kerja memotong rumput kering sangat leceh tetapi berbaloi untuk pokok timun anda. Ia akan menjadi humus terbaik kepada pokok timun epal kristal anda apabila rumput dan daun tersebut mula mereput dalam tanah.

Buah timun epal kristal

Tanomkinotuan tidak merehatkan tanah seperti mana selalunya. setelah digembur, ditabur kompos dan kapur pertanian berserta potongan rumput dan daun kering. Tanomkinouan membuat lubang sedalam 1 inci ditengah-tengah batas dengan jarak antara lubang ialah 8 hingga 10 inci. Ini ukuran tanomkinotuan buat sendiri, jika pembaca mahukan ukuran yang fleksibal dan tepat sila meminta bantuan khidmat nasihat dari jabatan pertanian berhampiran. Almaklumlah hanya untuk menanam dan makan sendiri tanomkinotuan main hentam sahaja. 

Sebenarnya para pembaca yang budiman, boleh juga menyemai terlebih dahulu benih timun epal kristal ini dalam cup plastik terlebih dahulu. Semai sebiji benih untuk satu cup dan alihkan apabila benih sudah bercambah atau sudah mengeluarkan daun sebenar. Bagi benih timun (apa-apa jenis timun) kaedah menyemai boleh dilakukan dengan menyemai secara langsung ke batas atau menyemai terlebih dahulu pada cup plastik dan barulah dialihkan ke tapak penanaman sebenar. 

Dua minggu selepas bercambah tanomkinotuan bubuh semula baja npk organik dari jenama HUMIC fertilizer yang ada dijual dipasaran. Cuma gemburkan tanah semula disekeliling pokok dan berhati-hati melakukan aktiviti pengemburan agar akar halus pokok timun tidak terjejas, kemudian barulah tabur baja npk organik disekeliling pokok lalu siram menggunakan air secukupnya.

3 minggu sahaja bunga betina sudah kelihatan dan tangan tanomkinotuan gatal hendak membuat pendebungaan secara manual walaupun kelihatan serangga pendebunga berterbangan disekitar pokok timun tersebut seperti kelulut, lebah dan sebagainya. Tidak terkecuali juga serangga penggorek buah, mereka-mereka ini sudah standby untuk melakukan PESTA SUNTIKAN BUAH secara berjemaah. Tanomkinotuan hanya mampu mengucap dalam hati, tidak terkata apa-apa. Biarkan sahajalah kongsi-kongsikanlah harta Tuhan kan? hehe

Ikut kebiasaan tanomkinotuan setiap minggu kembali ke rumah namun pada waktu itu tanomkinotuan tinggal di tempat kerja selama dua minggu disebabkan tugasan yang harus disiapkan. Maka terabailah pokok timun epal kristal di KBR tanpa dibelai dimanja beberapa ketika. Sekembalinya tanomkinotuan ke rumah dan petangnya turun ke kebun belakang rumah alangkah terperanjat dan sedih melihat keadaan pokok timun epal kristal yang kurang bermaya dan kekeringan. Buahnya habis diserang serangga pengorek buah. Buah yang berjaya dibalut tempoh hari itu sahajalah yang berjaya membesar dengan jayanya dan sempat diabadikan dalam gambar. Namun buah ini juga tidak dapat diselamatkan kerana kekurangan air pada tanah, tambah-tambah lagi musim kemarau yang tidak ada maaf.

Jangan ditanya akan rasa timun tersebut, tanomkinotuan tidak sempat memakan walaupun sebiji, kira hendak matangkan sebiji dua yang terselamat dari seranggan serangga tetapi apakan daya rezeki kali ini tidak memihak kepada empunya badan. Jadi hanya gambar sebagai ingatan dan bukti bahawa tanomkinotuan pernah menanam dan memberikan kasih sayang pokok timun tersebut di KBR. 

walau bagaimanapun, terdapat benih lebihan yang berjaya dijual kepada pelanggan tempoh hari dan mudah-mudahan benih mereka hidup subur dan mengeluarkan hasil buah yang sangat memuaskan. Diharap juga mereka mematangkan sebiji dua buah yang ada agar benih dapat dikumpulkan ditanam semula. Untuk pengetahuan pembaca benih timun epal kristal ialah benih jenis heirloom atau open-polinated. Jika ditanam benihnya ia tetap menyerupai baka induknya tidak seperti benih jenis hibrid. Tanomkinotuan pada masa akan datang perlu membeli semula benihnya untuk ditanam di KBR dan diharap tanaman kali kedua ini mampu memperolehi hasil yang memberansangkan. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

LOBAK MERAH KOSMIC UNGU TUAIAN DI KBR CUKUP SIFATNYA

Tags

Bertemu kembali...


Pokok purple cosmic carrot

Tahukah para pembaca bahawa lobak merah (carrot) yang asli atau heirloom mempunyai warna pelbagai. Antara warna-warna lobak merah yang wujud di dunia ialah Putih, merah, kuning, jingga dan ungu gelap. Kesemua variati ini banyak ditanam diluar negara kerana cuaca yang sesuai pokok lobak tumbuh dengan baik. Dipercayai bahawa pokok lobak berasal dari negara Afganistan hingga ke sempadan Iran. Bentuk lobak merah juga pelbagai seperti jenis imperror (lobak sangat panjang), bulat dan sederhana. Rasa lobak memang enak sebagai ramuan sampingan dalam makanan atau dibuat sup dengan bahan utama yang dikehendaki. 

Penghujung tahun lepas tanomkinotuan menyemai lobak merah ungu atau Cosmic Purple Carrot yang dibeli secara online tempoh hari. Tahun lepas juga tanomkinotuan pernah menyemai dan menanam variati lobak seperti lobak merah bulat (miniature carrot), Lobak merah kurado F1 dan Snow White Carrot dan semuanya berjaya menghasilkan lobak yang cantik walaupun tidak bersaiz besar. tanomkinotuan agak hairan sebenarnya bila lobak kat luar negara sememangnya bersaiz besar tetapi bila ditanam di KBR pula saiznya kecil walaupun buahnya sempurna kejadian. Adakah tinggal di negara Asia ini semuanya akan menjadi kecil? mentang-mentanglah orang Asia kementot je maknya lobak merah yang ditanam pun kementot juga... hahahaha.. gurau ya.

Umbisi dah tertonjol keluar

Jadi mendapat benih lobak merah yang baharu cukup memberikan satu inspirasi yang sangat-sangat tinggi. Apa tidaknya pada benih tersebut dalam genggaman terdetik dalam hati 'adakah mampu menyemai dan pokok lobak ungu ini hasilkan lobak yang sempurna?' bolehkah lobak ungu ini tumbuh dengan baik di kebun saya?' dan pelbagai lagi. Satu cabaran sebenarnya dan tanomkinotuan suka akan apa-apa cabaran bertani. Ini satu kepuasan dan kejayaan jika ianya berjaya dilaksanakan tetapi jangan tanya cabaran untuk pokok fig aka tin, tanomkinotuan serrender awal-awal. hahahahaha. Dahulu semasa mula-mula berkecimpung dalam bidang bertani di laman rumah tanomkinotuan hampir-hampir serrender menyemai benih asparagus, hehe tetapi kini sudah kira bolehlah untuk peringkat kampung-kampung kata orang Sabah.. kah kah kah.

Tanomkinotuan sebenarnya sudah puas meyemai dan menanam pokok dan sayur pada batas yang sudah berkali-kali ditanam dengan sayuran. Jadi dengan niat menyahut cabaran tanomkinotuan semai dan tanam benih lobak merah ungu pada pasu kali ini. Saja hendak menukar angin santai pula. maklumlah menanam dalam pasu juga amat sesuai bagi mereka yang mempunyai ruang terhad. Sangat-sangat berbaloi dan praktikal. Tanomkinotuan juga hendak merasai satu kepuasan atau cabaran menanam sayuran dalam pasu. Sebelum ini sudah berkali-kali kegagalan demi kegagalan, kejayaan demi kejayaan serta cabaran demi cabaran yang dirasakan dalam bertani menggunakan batas hingga melecet kulit tangan. Apa salahnya tukar angin pula menggunakan pasu yang sesuai. Kini pokok brokoli tanomkinotuan ditanam dalam pasu dan setakat ini semuanya berjalan dengan baik.

Tanomkinotuan tidak mahu menggunakn media yang dijual di kedai, tanomkinotuan hanya sediakan media sendiri yang dibuat sendiri dengan campuran pelbagai jenis media. Selalunya tanomkinotuan hanya mencaburkan 3 bahan utama iaitu cocopeat, kompos dan pasir sungai sudah memadai untuk media yang berkualiti. Apa yang dimahukan disini ialah media yang kaya nutrient, pengudaraan yang baik dan peros serta saliran air yang baik. Media yang mempunyai ciri-ciri di atas sudah cukup sempurna untuk tanaman khususnya lobak merah ungu saya kelak. Namun jika pembaca membeli potting soil 6 in 1 dari kedai lebih elok sebenarnya.

Hasil purple cosmic purple

Oleh kerana benih lobak merah ungu tersebut mungkin dan rasanya dari luar negara maka tanomkinotuan semai dalam cup plastik bertutup terlebih dahulu. Sama seperti rumah hijau di mana hamparkan beberapa tisu dalam cup plastik, tabur benih lobak merah dan spray bagi lembab kemudian tutup cup plastiknya dengan penutup dan letakkan di tempat terkena haba di waktu pagi atau petang. Suhu diperlukan untuk percambahan benih tersebut.

Hanya 5 hari benih lobak merah ungu sudah bercambah, sebelum cambahan bersaiz panjang di mana baru benih tersebut mengeluarkan akar putih tanomkinotuan cepat2 pindahkan ke pasu untuk tanaman pokok. Tanomkinotuan tidak mahu menunggu apabila pokok dah keluar daun dan akar memanjang. Sangat leceh untuk memindahkan satu persatu sekiranya akarnya sudah memanjang dan berselirat pada tisu tersebut. Sekiranya pembaca menggunakn teknik cambahan di atas, sila pindahkan benih yang sudah nampak akarnya (nampak putih keluar dari kelopak benih), jangan tunggu benih sudah menjadi pokok, sukar nak tarik malah kadang-kadang boleh putus. Pemindahan benih yang sudah bercambah (keluar akar dari kelepok benih) sangat sesuai kerana ia dapat menghasilkan akar yang tetap dan lobak yang terhasil juga sangat cantik. Jika pembaca pindahkan anak pokok yang dah berakar panjang berkemungkinan lobak terhasil tidak cantik dan bengkok.

Dalam penjagaan lobak merah ungu, jangan sesekali membubuh baja yang menggandungi nutrient tinggi. Cukup membuat pembajaan di awal penyediaan media dan bubuh sedikit baja pada usia 2 bulan pokok lobak merah ungu dalam kuantiti yang sedikit hanya setengah sudu yang ditabur secara keseluruhan ke media. Dan satu sudu makan baja buah hanya sekali. Untuk tambahan pembajaan spray atau siram pokok lobak merah ungu menggunakan mol pisang, EM1, baja penggalak cecair ikan dan mol nasi 2 atau 3 minggu sekali. Letakkan pasu ditempat terkena sinaran matahari dari waktu pagi hingga petang. Juga jarakkan pokok lobak merah kira-kira 5 cm antara pokok.

3 bulan lebih pokok lobak anda sudah boleh dituai, dengan melihat benjolan umbisinya di tanah namun ianya bukan syarat utama untuk tuaian lobak merah ungu. Rasa lobak merah mempunyai sedikit kuat berbanding dengan rasa lobak yang biasa dijual di pasaraya. Lobak merah ungu sesuai dimasak sup atau dicampurkan ke dalam sayuran sebagai tambahan nutrisi. memang enak dan mempunyai kelainan yang unik tumbuh di dalam pasu pada laman rumah anda.

Akan datang tanomkinotuan hendak menyemai benih lobak merah ungu ini lagi. Mahu menanam beberapa pasu untuk bekalan dapur pada masa akan datang. Apa yang disukai oleh tanomkinotuan dengan lobak merah ungu ini ialah warnanya. cukup memikat dan cantik setelah dicabut dari tanah. Apabila dipotong warna di dalamnya berwarna jingga yang menawan. Tanomkinotuan masak lobak merah ini dalam sup ikan sahaja. lebih lembut tetapi sedikit berperisa kuat tetapi masaih sedap. Berminat menanam lobak merah ungu?

Selamat bertani dan menuai hasil.

Khamis

CROWN ASPARAGUS MARRY WASHINGTON HARGA DIBUKA

Tags

Crown asparagus marry washington



Tanomkinotuan ingin mewar-warkan kepada pembaca di luar sana yang berminat mendapatkan crown asparagus untuk ditanam di laman rumah. Blog tanomkinotuan.blogspot.com menyediakan keperluan anda untuk mendapatkan crown asparagusbagi mengelak dari kesukaran menyemai daripada benih. Crown asparagus variati marry washington kini dibuka untuk pengemar-pengemar pokok asparagus yang sememangnya tuaian dapat dipendekkan. Tanomkinotuan mempunyai usia pokok asparagus 3 tahun lebih yang hanya mengambil masa hanya 6 bulan untuk dituai.


Apa itu crown asparagus/ mahkota akar asparagus?

Crown asparagus ialah akar yang dicabut dari tanah dan dibersihkan dan dijual kepada peminat-peminat pokok asparagus untuk ditanam di laman rumah. Menanam crown atau mahkota akar asparagus ini lebih cepat dituai dan boleh ditanam di dalam pasu. 

Menanam crown asparagus atau mahkota akar asparagus ini satu alternatif yang sangat versatile jika menyemai asparagus dari benih kurang menjadi.

Di negara Barat menanam pokok asparagus secara ladang lebih menyukai menanam mahkota akar asparagus berbanding dari benihnya kerana ia dapat memendekkan tempoh tuaian dan hasil keuntungan juga cepat diterima.


Bolehkah pokok asparagus ditanam melalui akar/mahkota akarnya?

Untuk pengetahuan botani pokok asparagus dapat kita jelaskan bahawa bukanlah akar tersebut yang akan mengeluarkan tunas tetapi bahagian pinggangnya atau dalam bahasa Englishnya disebut crown iaitu menyerupai mahkota.

Pada mahkota tersebut maka munculnya tunas baharu dan seterusnya mengeluarkan akarnya yang pertama. Pokok asparagus boleh sahaja ditanam menggunakan mahkota akar malah ia dapat memendekkan masa tuaian berbanding menanam dari benihnya. 


Manakah yang terbaik, menanam dari biji benih atau crown asparagus? 

Mengikut pengalaman tanomkinotuan, di negara kita menanam asparagus dari benihnya mengambil masa 2 tahun hingga 3 tahun barulah tombak/shoots asparagus boleh dituai setelah tombaknya bersaiz besar.

Manakala menanam crown asparagus pula mengikut usia crown tersebut. Sekiranya pembaca menanam crown asparagus berusia 2 tahun hingga 3 tahun hanya mengambil masa 6 bulan pokok asparagus sudah boleh dituai hasilnya. 


Bagaimanakah kita menentukan tempoh tuaian crown asparagus tersebut?

Pembaca harus mengetahui usia crown yang dibeli, bertanya kepada penjual usia sebenar crown tersebut agar kita dapat menjangkakan pada bila ianya boleh dituai. Berikut ialah cara kiraan atau cara mengetahui tempoh masa tuaian tombak asparagus yang ditanam menggunakan crown atau mahkota akar asparagus:

1. Mahkota akar berusia 6 bulan - tempoh tuaian ialah 2 tahun 4 bulan.

2. Mahkota akar berusia 1 tahun - tempoh tuaian ialah 2 tahun

3. Mahkota akar berusia 2 tahun - tempoh tuaian ialah 1 tahun

4. Mahkota akar berusia 3 tahun - tempoh tuaian ialah 3 hingga 6 bulan.

Namun begitu kiraan di atas juga masih dipengaruhi oleh faktor media, kelembapan, nutrien dan cahaya matahari. 






Berikut adalah testimoni yang membeli crown asparagus dari blog tanomkinotuan, dan 100% keputusan yang diterima adalah sangat positif mengenai pertumbuhannya. 


Cara menanam crown asparagus pada batas atau pasu bersaiz besar


  1. Pada batas.
  • Gembur batas terlebih dahulu agar tanah menjadi serpihan-serpihan kecil.
  • Tabur kompos dengan jumlah yang banyak, kemudian tabur kapur pertanian.
  • gaul sebati dan rehatkan tanah selama 1 minggu
  • Buat lubang sedalam 1 kaki
  • tanam crown asparagus tersebut dengan merayapkan akarnya ke dalam lubang. Crown tu wajib ada ditengah lubang dan akarnya dirayapkan disekelilingnya. 
  • Timbus tanah lalu siram dengan air yang banyak. Elok agar crown tu terkeluar sedikit dari permukaan tanah dan jangan tanam terlalu dalam sangat.
  • Senantiasa siram media agar menjadi lembab. Tunggulah tunas pertama keluar dari tanah.

      2. Pada bekas pasu/kontena saiz besar
  • Beli media potting soil di kedai atau buat sendiri media dengan campuran 50% cocopeat, 30% kompos dan 20% pasir sungai. Campurkan kesemuanya dan gaul merata.
  • Masukkan media ke dalam pasu/kontena
  • Buat lubang ditengahnya dan tanam crown asparagus seperti di atas.
  • Timbus dengan tanah dan siram dengan air secukupnya.

Pada masa akan datang tanomkinotuan akan menunjukkan cara menanam crown asparagus secara terperinci berserta dengan gambar sekali.

Kepada para pembaca yang ingin menanam pokok asparagus dari crown asparagus berusia 3 tahun lebih variati marry washington, blog tanomkinotuan.blogspot.com ada membekalkannya dengan harga RM75 satu crown termasuk postage. Berminat untuk mendapatkannya? emailkan ke borosmomogun@gmail.com atau whatsapp ke 019-5320756 (Jus) untuk maklumat lanjut dan cara pembayarannya.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Rabu

KOBIS MUSIM PANAS TANAH RENDAH

Tags

Setelah mencuba menyemai dan menanam kobis ungu tahun lepas yang habis dimakan ulat seribu dan tanomkinotuan hanya berjaya memakan babynya sahaja iaitu tunas-tunas yang muncil dicelah daun yang masih dua tiga helai daun. Inilah yang dituai dan dibuat sayur masak sos tiram dan sememangnya amat sedap. Kini tanomkinotuan mencuba meyemai benih kobis biasa. Benih hanya dibeli di kedai RM2.00 sahaja. Agak murah tetapi benihnya jenis hibrid dan bukan jenis heirloom atau warisan. Benih hibrid cepait dituai.

Percubaan kali kedua menyemai dan menanam benih kobis ini sangat kuat kerana inginkan satu cabaran yang mencabar. Kata orang menanam kobis cabarannya sangat tinggi dari segi serangan makhluk perosak seperti belalang, siput babi dan ulat seribu. Ulat seribu jika menyerang dalam satu malam 90% daun tanaman akan botak tinggal batang. Jadi cabaran-cabaran ini tanomkinotuan ingin mengalaminya sendiri. dengan pengalaman-pengalaman ini kita dapat meningkatkan pemahaman kita berkaitan dengan tanaman dan serangga yang berkaitan.




Mungkin ramai pembaca di luar sana terfikir menanam pokok kobis di tanah rendah seperti taman perumahan di kawasan-kawasan bandar atau sub-bandar sangat-sangat mustahil dilakukan. Ini kerana pokok kobis merupakan pokok yang sesuai tumbuh membesar di kawasan tanah tinggi yang bersuhu sejuk. Benar dan saya mengiyakan pendapat ini bahawa kobis mempunyai pertumbuhan yang lebih baik di kawasan tanah tinggi seperti kawasan tanah tinggi Kundasang Sabah dan Tanah Tinggi Cameron Highland di semenanjung sana. Tidak hairanlah bahawa kobis-kobis yang banyak dijual di pasaraya berasal dari dua lokasi yang disebutkan di atas.

Tetapi harus difahamkan dan maklum bahawa kobis juga mempunyai jenis variati yang berbeza-beza mengikut ketahanan suhu dan kesesuaian pertumbuhan di kawasan-kawasan tertentu. Misalnya ada benih kobis sesuai ditanam di kawasan tanah tinggi yang bersuhu sejuk dan ada variati kobis yang sesuai ditanam di kawasan tanah rendah, terdapat juga benih kobis yang tahan akan salji dan suhu sejuk melampau dan juga terdapat benih kobis yang mempunyai ketahanan kepada suhu panas. Oleh yang demikian pembaca harus memilih benih kobis yang sesuai tumbuh di tempat anda. Jika hendak menanam kobis di tanah rendah pilih benih kobis yang sesuai tumbuh di kawasan tanah rendah, jangan pilih benih yang yang sememangnya khas ditanam di kawasan tanah tinggi, alamat memang tak jadilah.

Tanomkinotuan menggunakan benih kobis dari variati Gloria F1 Cabbage. Variati ini sememangnya tahan panas dan sesuai tumbuh di kawasan tanah rendah. Malah musim kemarau bulan-bulan lepas tidak menjejaskan pokok kobis tersebut walaupun tanah sudah bertukar menjadi batu. Jangan sahaja tanah tersebut dibiar kering pastinya pokok kobis akan layu pada tengahari. Tanomkinotuan tahu dan faham tempat tinggal tanomkinotuan mempunyai suhu kepanasan sehingga 29 darjah celsius hingga 31% darjah celsius. Jadi memilih jenis benih yang sesuai sangat dititikberatkan.

Semaian benih kobis dilakukan di tapak semaian terlebih dahulu. Ini bagi tanomkinotuan cuba mengelak dari benih diganggu oleh makhluk perasan hebat merosakkan tanaman, mentang-mentanglah pemakan sayur segar dan mentah. Suka-suka saja rosakkan pokok, batang dan daun. 

Lazimnya dalam peringkat semaian benih tanomkinotuan lebih menyukai menggunakan media campuran atau potting soil dalam menyemai benih. Media potting soil sangat gembur, kaya nutrient, pengudaraan yang baik dan saliran air yang sangat efektif. Dengan demikian proses percambahan benih sangat cepat dan subur belaka. Pernah tanomkinotuan menggunakan tanah biasa yang hanya dicampurkan dengan baja atau kompos untuk menyemai benih sawi kerinting aka ong king. Tetapi pertumbuhannya agak perlahan dan terbantut mungkin disebabkan pengudaraan dalam media kurang dan saliran air yang kurang. Media tersebut juga cepat kering dan keras. Oleh itu tanomkinotuan sarankan kepada pembaca menggunakan potting soil dalam proses menyemai benih. 

Makluman para pembaca, benih dari kelompok sayuran Brassica ini hanya mengambil masa 2 hingga 5 hari bercambah tidak kiralah dari sawi bunga, ong king, kailan, brokoli, kobis bunga, brussel sprouts, kohlrabi dan sebaginya. Memang cepat berbanding jenis benih sayuran lain. Masa 3 hari selepas di semai tanomkinotuan sudah melihat akarnya keluar dari biji benih berwarna putih, itu menandakan benih tersebut sudah bercambah. Tanomkinotuan hanya tabur diatas permukaan media dan siram tidak ditanam secara timbus. Apa yang perlu dilakukan oleh pembaca ialah memastikan media berada dalam keadaan lembab hingga benih bercambah dan membesar. Jangan media menjadi kering. Walau bagaimanapun, pastikan media tersebut hanya dalam kedaaan lembab dan bukan terlalu basah. Jika terlalu basah akan menyebabkan fungi membiak di dalam media dan menjejaskan pertumbuhan anak pokok.

Oleh kerana pada masa ini tanomkinotuan masih bermain dengan batas buatan sedniri, kobis tersebut ditanam di atas batas sahaja. (Semasa entry ini ditulis tanomkinotuan sudah beralih menanam sayuran menggunakan pasu, tukar-tukar angin pula). Oleh kerana kobis sangat high feed makan tanomkinotuan menabur batas yang telah digembur terlebih dahulu dengan manure green compos atau kompos berasaskan tumbuhan pada batas secara keseluruhannya. Kemudian digaul merata hingga sebati. Sedikit kapur pertanian ditabur pada batas tersebut untuk tambahan nutrient kalsium dan magnisum dalam tanah.

Tanomkinotuan menanam anak pokok kobis pada batas dan menjaganya seperti menjaga sayuran lain. Semasa entry ini dibuat kobis tanomkinotuan membesar dengan jayanya tetapi belum menghasilkan bebola kobis, dalam peringkat pertumbuhan sebenarnya. Akan datang tanomkinotuan akan mengupdate perkembangan pokok kobis di KBR dengan gambarnya sekali. Kobis sememangnya boleh ditanam di kawasan tanah rendah yang penting pilih benih yang tahan panas dan boleh ditanam dikawasan tanah rendah. Apa kata para pembaca mencuba menanam kobis di laman rumah, dalam pasu pun tidak mengapa dan tunggu hasilnya. Mengikut pengalaman kobis sudah boleh dituai selepas 4 bulan.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Ahad

POKOK EDAMAME DALAM PASU MUSIM KEDUA

Tags

Hujan berterusan mengantikan musim kemarau lepas memberikan kesegaran luar biasa kepada tanaman yang gersang akan sumber air berminggu-minggu. Tanomkinotuan kini sangat relax sementara hujan turun mencurah-curah. Dapatlah merehatkan badan dari melakukan penyiraman secara manual. Tidak lama lagi bulan ramadan menjelang tiba. Mungkin aktiviti bertani berkurangan disebabkan kita lebih tertumpuh kepada hal-hal berpuasa dan perayaan hari raya. Namun tanomkinotuan mencuba menanam sayuran daun yang cepat dituai untuk sayuran sahur dan bersungkai, jika di semenanjung lebih popular menggunakan istilah iftar namun di Sabah pula suka menyebut istilah bersungkai, perkataan ini rasanya berasal dari bahasa Kaum Brunei di Sabah dan merentas penggunaannya di kawasan pedalaman. Tetapi perkataan ini tidak popular di Pantai Timur Sabah. 



Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi pokok edamame tanaman musim kedua. Tahun lepas pokok edamame yang ditanam hanya sedikit sahaja. Kini tanomkinotuan tanam banyak-banyak untuk bekalan edamame rebus yang lazat itu. Tidak perlu lagi ke restoran Jepun dengan mengeluarkan belanja untuk menikmatinya. Kini tanomkinotuan tuai buah edamame dan rebus dirumah dan makan bersama keluarga sambil menonton TV.

Tanomkinotuan dapatkan benih melalui online tempoh hari. Tanomkinotuan menyukai menanam edamame kerana kurang masalah semasa proses penjagaan, lebih mudah berbanding menanam sayuran berdaun dari segi serangan makhluk perosak.

Terdahulu semasa tanomkinotuan mendapat benih edamame pertama, tanomkinotuan menanam langsung pada batas. Disiram sekali sekala sebab benih edamame tidak menyukai media terlalu basah. Dengan itu banyak benih edamame tidak bercambah dengan baik malah membusuk dalam tanah. Walau bagaimanapun, dapat jugalah tanomkinotuan merasa keenakan edamame rebus. Untuk pengetahuan membaca, edamame ini ialah kacang soya hijau. Istilah edamame adalah panggilan untuk tuaian buah kacang soya yang masih hijau podnya. Dituai untuk direbus dan dihidangkan. Rasanya seperti kacang lain dan sedap rasanya.



Untuk tanaman benih edamame kali kedua tanomkinotuan menukar teknik menyemai seperti dalam gambar yang pertama. Tanonkinotuan semai benih edamame menggunakan media cocopeat yang dimasukkan ke dalam kotak plastik bertutup. 

Tanomkinotuan masukkan media cocopeat setengah kotak plastik. Oleh kerana cocopeat tersebut sedia lembab maka tanomkinotuan tidak perlu lagi menyiramnya. Benih kacang soya ini tidak menyukai media basah, cukup sekadar lembab 

Tanomkinotuan membuat lubang sedalam 1 inci secara rapat dan masukkan benih-benih ke dalam lubang yang disediakan. Kemudian timbus semula lubang-lubang tersebut dan kotak plastik tersebut ditutup rapat-rapat. Untuk membolehkan benih edamame bercambah dengan baik, tanomkinotuan meletakkan kotak plastik tersebut ditempat terkena cahaya atau haba. Haba diperlukan oleh benih untuk memulakan proses percambahan.

Proses ini sama dengan rumah hijau. Ia memerangkap haba dan membolehkan humid sekitarnya meningkat membolehkan benih edamame bercambah dengan baik. Kaedah penyemaian sebegini hanya mengambil 5 hari sahaja untuk benih edamame bercambah



Setelah bercambah tanomkinotuan alihkan anak pokok yang belum berdaun (masih tertutup sepenuhnya) ke pasu dan polibag saiz kecil. Media yang digunakan ialah potting soil buatan sendiri seperti dalam gambar kedua.

Untuk makluman bahawa anak pokok yang belum mempunyai daun sebenar tahan untuk dialihkan dengan syarat simpan ditempat teduh terlebih dahulu. Apabila anak pokok edamame sudah terbuka dan menghasilkan daun pertama bolehlah diletakkan di tempat panas. Tujuannya untuk pertumbuhan anak pokok secara maksima.

Tanomkinotuan membeli pasu bersaiz besar dan mengalihkan anak pokok edamame ke dalam pasu besar. Pokok edamame disiram secara berkala.


Sebulan setengah selepas dialihkan ke pasu besar, inilah hasilnya. Pokok edamame kini menghasilkan pod-pod yang banyak dan cantik tapi sayang tanomkinotuan tidak sempat mengambil musim pokok itu berbunga. Sampai sahaja tanomkinotuan di rumah semua pokok sudah berbuah. Namun begitu, bunga pokok edamame yang baru ini berwarna ungu cerah berbanding dengan pokok edamame tanomkinotuan tahun lepas yang pokoknya berwarna putih. Mungkin keduanya berbeza variati.



Salah satu pokok edamame yang penuh dengan buah yang cantik. Masa ini (gambar) buahnya belum boleh dituai. Kena tunggu buah tersebut membengkak menandakan buah dah sesuai dituai. Beli benih edamame dan cuba tanam di laman rumah anda. Ia sangat menarik ditanam dan boleh menjadi kudapan sambil menonton TV atau bersantai dengan keluarga. 

Selamat bertani dan menuai hasil.