Isnin

LABU BABY HANYA SEBIJI DI KBR.

Tags

Salam Ahad kepada semua pembaca. Moga dihujung minggu ini kita ambil kesempatan untuk beristirehat bersama keluarga tersayang. Beri kasih sayang sepenuhnya bersama anak-anak dan sudah tentu bermanja-manjaan bersama suami atau isteri. 

Kali ini mari mengenal buah labu. Labu yang ditanam oleh tanomkinotuan di KBR adalah jenis yang kecil/saiz kecil seperti kepala baby tidak hairanlah labu ini dikenali sebagai labu baby. Hari tu ada sahabat baik bersedekah benih labu baby dan tanomkinotuan meminta dengannya. Mudah-mudahan pemberi benih tersebut dilimpahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik. Amiin.


Sebenarnya tanomkinotuan tidak pernah menanam labu sebelum ini. Oleh kerana agak sukar mendapatkan benih labu tanomkinotuan tidak berbesar hati untuk menyemai atau menanamnya. Walaubagaimana pun, sebagai hobi bertani paksa diri mencuba menanam apa sahaja janji ianya boleh membekalkan sayur bekalan dapur. Dengan niat tidak betul ini tanomkinotuan hanya mendapat sebiji labu sahaja. Melihat kepada pertumbuhan pokok cukup baik dan bunga betina sangatlah banyak tetapi bunga jantan tidak pernah berbunga kecuali di awal penanaman. Maka dengan itu bunga betina membusuk begitu sahaja kerana tidak dapat didebunga. Rasa tanomkinotuan mungkin terdapat zat yang kurang dalam tanah menyebabkan ia berlaku sedemikian. Malah ulat pemakan buah juga berpesta keriangan. Redha sajalah.

Melalui pemerhatian tanomkinotuan, labu baby ini sama bentuk dengan jenis labu biasa cumanya labu baby tidak mempunyai lekuk atau parit pada buahnya. Membulat bujur dan bersaiz kecil. Pokok jenis menjalar dan mengeluarkan bunga betina dan bunga jantan dalam satu pokok. Bunga betina adalah bunga yang mengandungi bulb kecil pada bunga yang mekar. Bunga ini perlu didebunga oleh bunga jantan melalui perantaraan serangga pendebunga seperti kelulut, lebah dan serangga lain. Bunga betina inilah yang akan membesar menjadi buah kemudian. Pokok labu baby tanomkinotuan sedikit bermasalah dengan hanya mengeluarkan pokok bunga betina tanpa bunga jantan menyebabkan bunga betina tersebut membusuk dan gugur. Adalah muncul bunga jantan pada awal-awal pertumbuhan dan hanya satu sahajalah buah yang terhasil hingga sekarang. Ini akan dijadikan benih untuk tanaman musim akan datang. 

Semasa entry ini ditulis buah labu masih bergayutan di pagar dan masih dalam proses pematangan sepenuhnya. Tanomkinotuan hendak cuba membuat pai labu atau bubur labu apabila buah labu baby ini sedia untuk dituai. Tanomkinotuan sudah menelaah pelbagai resepi pai labu yang memikat hati. Bolehlah memakan pai labu pada petang-petang di beranda rumah sambil meninjau-ninjau tanaman di laman rumah. Boleh ke gini? haha

Menanam pokok labu tidaklah sesusah dan secerewet pokok tanaman 4 musim yang sangat digemari oleh rakyat kita seperti pelbagai herba luar negara atau sayuran luar negara. Oleh kerana pertumbuhan ciri-ciri asalnya ialah di lingkungan negara-negara Asia makan mudah pokok labu baby ini beradaptasi dengan cuaca setempat. Pentingnya pokok ini sangat menyukai cuaca panas sepanjang pertumbuhan dan elok dibiarkan menjalar/merayap di tanah seperti pokok tembikai dan bukan dipanjatkan kepada pagola atau pancang kayu. Ini kerana batang lembut pokok labu baby ini akan juga mengeluarkan akar bagi penyerapan makanan tambahan untuk kesempurnaan pertumbuhan. 

Terbaca entry kawan di blog hari tu bahawa pucuk dan batang separa muda ini boleh ditut dengan cara lukakan sedikit ruas batangnya dan ditutup dengan media campuran cocopeat kemudian ikat kejab dan tunggu batang ruangnya mengeluarkan akar selama 2 hingga 3 minggu. Apabila proses tut berjalan lancar dengan akar yang keluar tersebut sudah banyak dan kuat. Bolehlah kerat batang tersebut dan buka pembalut media tut tersebut. Akhir sekali sediakan batas yang kaya dengan nutrient dan tanam semula. Dikatakan bahawa cara ini membolehkan pokok labu baby tersebut serta merta hasilkan bunga dan berbuah. Jika pembaca di luar sana mempunyai pokok labu pelbagai variati apa kata mencuba kaedah ini untuk menanam labu. Tidak perlu lagi tunggu mendapatkan benih yang perlu dimatangkan. Sekembalinya tanomkinotuan ke rumah akan langsung dikerjakan batang dan ruas pokok labu baby sebelum adik perempuan tanomkinotuan cantas. Sebab hari itu sudah ada ura-ura dan cadangan mencantas pokok labu tersebut namun dengan kuasa tanomkinotuan yang hebat ini, selamatlah pokok labu baby buat sementara waktu. Hehehehehe... adakah pula?




Panduan ringkas menanam labu baby di laman rumah. Bagi tanomkinotuan pokok labu baby sangat sesuai dengan semua jenis tanah dengan melakukan pembaikan pada media tidak kira jenis tanah apa pun. 

Tanomkinotuan mengemburkan seluas 2 x 2 kaki persegi sedalam 1 kaki. Tanah dikorek dan digembur. Tanomkinotuan menambah kompos 4 genggam dan 1 sudu makan kapur pertanian. Digaul sebati dan menambah 2 genggam baja NPK organik (jenis butir). Tanomkinotuan rehatkan selama 1 minggu dan semai benih yang hanya tinggal 3 biji. Sebelum ini tanomkinotuan telah menyemai 4 biji labu baby tetapi mati disebabkan oleh gangguan kucing yang sangat rajin berkelah di laman rumah, bersantai dan dijadikan kamar peribadinya sehinggakan anak pokok yang baharu belajar membesar ranap tanpa rasa kesihan. hendak marah dengan kucing pun tak betul juga. Kucing tersebut manalah tahu apa-apa dan sekali lagi istilah redha dan sabar digunakan. hohoho

Setelah genap 1 minggu tanomkinotuan buat lubang ditengahnya dan masukkan sebiji benih labu baby. Kali ini tanomkinotuan pacakkan kayu disekelilingnya untuk menghalang segala kemungkinan yang berlaku. tidak mahu pisang berbuah dua kali. 
Benih labu baby dalam masa 5 hari becambah, membesar dan menjalar. Oleh kerana kawasan laman terhad pokok labu baby dipanjatkan ke pagar. Oleh kerana itu, hanya satu buah terhasil dari pokoknya. Mungkin labu baby tidak sesuai dipanjatkan ke pagar atau pancang kayu tetapi perlu menjalar ke tanah.

Walaubagaimana pun, setakat ini serangan makhluk perosak agak kurang mungkin disebabkan belum dikenali atau seumpamanya. Jadi tanomkinotuan tidaklah terlalu memberikan penjagaan yang terlalu rapi cukup sekadar meninjau kelembapan tanah dan menabur baja NPK organik selang 2 minggu bersama dengan baja alfalfa untuk buah. Walaupun cukup diberikan zat masih degil tidak berbuah banyak. Apakan daya....

Sudah tentu rakyat Malaysia menyukai memakan buah labu tidak kiralah apa jenis labu yang ada di pasaran. Pelbagai cara mereka menghidangkan resepi berasaskan labu. Tanomkinotuan pula ingin mencuba membuat pai labu yang diwar-warkan oleh sahabat tanomkinotuan kononnya pai labu memang sedap. Para pembaca sekalian cubalah menanam labu baby dilaman rumah. Tanam dalam pasu pun boleh yang penting cukup kelembapan dan zat makanan, terdapat jenis labu yang boleh dimakan pucuk mudanya kira 2 dalam 1. Bertani dapat memberikan kesihatan tubuh badan dan dapat memakan sayuran organik tanam sendiri.

selamat bertani dan menuai hasil

Selasa

RADISH MALAGA UNGU HASILKAN BULB MENAWAN

Tags

Pokok Radish Malaga Ungu

Bertemu lagi kita pada entry kali ini, Hujan yang turun membasahi bumi minggu lalu benar-benar memberi satu rahmat kepada manusia khususnya para petani sambilan atau suka-suka di laman rumah. Apa tidaknya, kemarau beberapa bulan dari awal tahun memberi impak yang cukup besar kepada tanaman kita. Walaubagaimana pun, bahang panas pada tengahari tidak berubah. Ia benar-benar perit dan boleh terbakar kulit. Kipas yang berpusing ligat tidak mempunyai apa-apa makna. Adakah ini dunia kita semakin tenat? Semoga suhu kepanasan menurun untuk keselesaan para penghuninya di dunia.

Suka saya maklumkan bahawa semua order atau tempahan benih dari blog tanomkinotuan.blogspot ini akan diurus 7 hari bekerja. Ini kerana tanomkinotuan berada nun jauh di pedalaman untuk bertugas. Hari Jumaat barulah kembali ke rumah dan esoknya (sabtu) akan melakukan pengeposan semua pesanan benih dari kawan-kawan kecuali pada hari sabtu minggu pertama setiap bulan kerana waktu ini pos laju bercuti. Pengeposan 1 hari bekerja dapat dilakukan pada hari cuti am atau tanomkinotuan berada di rumah atau pekan. Diharap para pembaca sekalian dapat memahami kekangan ini dan dipihak tanomkinotuan memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku.

Hari ini tanomkinotuan ingin berkongsi dengan para pembaca semua mengenai satu lagi tanaman dari keluara lobak atau radish. Tanomkinotuan mencabar diri untuk melakukan penyemaian dan menanam segala jenis tumbuhan yang lazim ditanam di negara kita atau pun luar negara. Satu kepuasan yang tidak terhingga di rasai jika segala tanaman kita menjadi pokok yang sihat dan mengeluarkan rezeki yang berlimpah ruah. Alhamdullilah. Oleh itu jenis lobak atau radis yang dimaksudkan itu ialah Radish malaga ungu. Lobak ini selalunya ditanam secara ladang di negara-negara tertentu kerana sesuai sangat dicampurkan di dalam salad. Warna yang cukup elegan dan menawan ini memberikan dekorasi hidangan salad yang begitu versatile dan mengujakan.

Lobak Malaga Ungu adalah jenis lobak yang mempunyai tempoh tuaian yang pendek seperti mana jenis-jenis lobak yang lain. Pokok yang bersaiz kecil dan berdaun hijau seperti roket. Pangkal akarnya akan menghasilkan bulb lobak yang membesar bulat berwarna ungu. Purata saiz umbisi lobaknya ialah sebesar bola ping pong atau lebih. Bagi pengemar radish mereka mempunyai pelbagai cara untuk menghidangkannya sama ada di campurkan ke dalam salad, dicampurkan ke dalam hidangan berasaskan sup dan sebagainya.

Pokok radish malaga ungu dari pandangan atas


Tanomkinotuan mendapatkan benih radish malaya ungu ini dengan membelinya secara online. Untuk makluman, jika anda ingin membeli apa-apa benih secara online pastikan anda percaya dan yakin akan laman sesawang tersebut agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini di kemudian hari.

Benih radish malaga ungu sama seperti benih jenis lobak lain cuma bersaiz agak kecil. Dengan benih yang sudah ada dalam genggaman, Tanomkinotuan langsung beraktiviti menyediakan segala kelengkapan yang diperlukan. Oleh kerana tanomkinotuan sudah puas dan muntah-muntah hijau menyemai dan menanam benih dan anak pokok pada batas, juga sudah pening kepala melihat polibag-polibag hitam yang bertebaran dilaman rumah hahahahaha, kini tanomkinotuan beralih pula bekas-bekas berasaskan plastik terbuang. Ternampak besen plastik bersegi 4 di stor dan meminta izin kepada emak untuk menggunakannya kerana besen tersebut harus dibuat lubang. Ini memang satu kerja yang agak cerewet, panaskan besi pada api dan cucuk kat dasar besen tu. 

Setelah tanomkinotuan mendapat besen plastik berwarna merah I tell you hehe, kini beralih pula dengan media. Tanomkinotuan bereksperimen dengan media semaian dan tanaman kali ini. Tidak mahu sangat terikat dengan cara membuat media campuran di internet atau melalui pembacaan. kadang-kadang kita harus mempunyai keinginan tanpa batas untuk berekperimen sendiri. Oleh kerana rumah kampung tanomkinotuan mengambil tanah sebelah parit (parit dimaksudkan ialah parit yang tidak dibuat semen. Parit tanah saja) dengan mengorek tanah secukupnya dan tanomkinotuan sinari matahari selama 1 minggu. Biar tanah tersebut kering dan dapat mengurangkan atau menghapuskan mikrob jahat di dalamnya.

Setelah itu tanomkinotuan hancurkan tanah tersebut hingga menjadi serpihan-serpihan kecil. Untuk menambah kualiti pada tanah tersebut tanomkinotuan menambah 500 gram kompos kelapa sawit yang diambil sendiri di kilang sawit berhampiran. Di tempat tanomkinotuan tidak lama lagi lanskap yang dapat dilihat adalah pokok kelapa sawit sahaja, Lalu di kilang sahaja semerbak bau asap kelapa sawit yang bilamana diterjemahkan aromanya seperti aroma ulat mulong atau butod dalam pokok rumbia yang sudah membusuk. Tidak lupa juga dengan menambah 500 gram tinja ayam terproses, 150 gram kompos manure green (tumbuhan) dan daun kering yang dipotong kecil-kecil. Setengah genggam kapur pertanian dan segenggam baja NPK organik (humic brand). Oh ya terlupa nak beritahu bahawa kuantiti tanah yang digunakan ialah 2 kilo sahaja. Bolehlah disebut tanah parit. haha


Kelihatan bulb lobaknya yang membesar


Media campuran tadi digaul hingga sebati dan dimasukkan ke dalam plastik dan diikat kejap. Tujuan memasukkan ke dalam plastik tersebut ialah untuk merehatkan media tersebut selama 2 minggu agar semua bahan sebati dan matang sepenuhnya. Dikhuatiri nanti akan memberi kesan tidak baik kepada benih sekiranya media tidak matang atau masih dalam proses pereputan. Dua minggu kemudian, dilihat media menjadi hitam sepenuhnya dan beraroma tanah secara natural. Sangat-sangat suka akan baunya yang semula jadi. Untuk mendapatkan aroma seperti ini sila guna kompos dan tinja ayam yang sudah terproses sepenuhnya atau matang sepenuhnya. jika tidak harus diperap lebih lama lagi. Namun untuk menjimatkan masa anda boleh menggunakan potting soil yang boleh dibeli kat kedai, jimat masa dan tenaga anda.

Tibalah masa yang ditunggu-tunggu, tanomkinotuan memasukkan media tersebut ke dalam besen 4 segi yang telah pun ditebuk hingga penuh dan menekan dan menghentak-hentak agar ruang udara dalam media dapat dikurangkan. jika tidak dilakukan seperti ini tanah akan menyusut 30% apabila disiram dengan air. bagi tanomkinotuan menggunakan tanah dalam bekas semaian haruslah penuh. Bermaksud bukanlah penuh hingga setara dengan mulut bekas semaian tetapi pasu tersebut akan dimasukkan dengan media agar akar tumbuhan yang ditanam bebas bergerak di dalamnya dan tinggalkan 2 inci dari mulut bekas semaian agar air tidak melimpah keluar apabila menyiram nanti.

Kemudian tanomkinotuan buat lubang sedalam 1 inci dengan jarak lubang ialah 6 inci. Tanomkinotuan masukkan dua biji benih dalam satu lubang untuk keselamatan, kadang-kadang benih tidak akan bercambah atas pelbagai faktor. Oleh itu menyemai 2 benih dalam satu lubang akan memberikan satu harapan yang tinggi akan benih akan bercambah salah satu daripadanya. jika kedua-dua benih tersebut bercambah dalam satu lubang, pilih pokok yang kurang sihat dan gunting biarkan pokok yang satu lagi untuk pertumbuhan yang galak.

Radish malaya ungu hanya mengambil masa 3 hari percambahan. Anak pokok sudah kelihatan keluar ke permukaan media. 2 minggu selepas percambahan kita dapat melihat pokok-pokok radish malaga ungu sudah mengeluarkan bulb yang menawan dengan berwarna ungu. Kemudian 2 minggu seterusnya bulb radish sudah boleh dituai. Semasa entry ini ditulis. Pokok radish tanomkinotuan masih dalam peringkat tumbuhbesaran. Tanomkinotuan hanya menunggu seminggu 5 hari untuk proses tuaian pada akan datang.

Mengikut pakar pertanian dari Barat, kita boleh menanam benih radish malaga ungu bersama dengan pokok lain seperti lobak merah, terung, kacang panjang dan sebagainya. Oleh kerana tempoh tuaian yang singkat ia tidak mengganggu pertumbuhan antara pokok atau tanaman lain dan dapat menjimatkan ruang tanaman anda. Teruja dengan pokok radish ini? apakata anda mencuba untuk menanamnya di dalam pasu. Tanomkinotuan ada membekalkan benih radish malaga ungu dengan harga RM2.90 sahaja, postage rm4.00 (pos ekspress). 

Anda boleh emailkan ke borosmomogun@gmail.com atau whatsapp ke 019-5320756 (jus) untuk maklumat lanjut. Anda juga boleh membeli benih di SINI. Atau ingin mendapatkan benih sayuran dan herba seperti berikut:

1. Russian tarragon RM2.90
2. Thyme RM2.90

Selamat bertani dan menuai hasil....

Ahad

CINCAU HITAM RM55.00 TERMASUK POSTAGE

Tags



Setelah berusaha membesarkan dan membiakkan pokok cincau yang dibeli tahun lepas kini tanomkinotuan telah membiakkan beberapa anak pokok cincau dalam bekas tanaman yang kurang popular dan low grade iaitu cup plastik. Walaubagaimana pun, pokok cincau hitam ini tumbuh dengan baik.

Pokok cincau hitam adalah dikenali sebagai Cincau Hitam Vietnam iaitu tumbuhan renek menjalar yang dibuat dan diproses menjadi cincau hitam yang sering kita makan sehari-hari. Siapa tidak kenal air cincau bandung kan?

Oleh itu tanomkinotuan hari ini membuka harga untuk anak pokok cincau kepada para pembaca yang berminat untuk mendapatkan anak pokok untuk ditanama di laman rumah. Harga promosi anak pokok cincau ialah RM55.00 sahaja termasuk postage. Pengeposan dilakukan seluruh Malaysia.

Cara pengeposan selamat dengan memasukkannya ke dalam botol mineral 1.5 liter dan digam agar dapat mengurangkan pergerakan dan kerosakan kepada anak pokok cincau hitam tersebut. 

Berminat mendapatkan pokok cincau hitam bolehlah whatsapp ke 019-5320756 (Jus) atau emailkan ke borosmomogun@gmail.com untuk maklumat lanjut.

Selamat bertani dan menuai hasil.

PANDUAN MENANAM POKOK KACANG PANJANG RENEK DALAM PASU

Tags


Kacang panjang adalah salah satu sayuran yang banyak dikomersilkan di negara ini. Terdapat beberapa variati kacang panjang yang biasa kita nampak dijual dipasar atau supermarket seperti kacang panjang galaxy (warna putih), kacang panjang hitam, kacang panjang hijau, kacang panjang thai (warna hijau dengan benih merah-putih), kacang panjang perang dan sebagainya. Kesemua variati di atas adalah jenis kacang panjang pokok menjalar (pole).

Tahukah pembaca terdapat satu lagi variati kacang panjang yang dikenali sebagai kacang panjang renek (bush) yang boleh ditanam dalam pasu. Variati kacang panjang ini tidak menjalar malah pokok renek dan tidak perlu menggunakan junjung atau pancang kayu. Cukup sekadar tanam dan dijaga kelembapan media dan pembajaan. 

Pokok kacang panjang renek dipercayai berasal dari negara jiran kita iaitu negara Filipina. Juga pokok ini adalah hasil gabungan antara pokok kacang panjang memanjat dengan cawpea (cv. group unguiculata) telah menghasilkan variati kacang panjang renek. Pokok ini di bawah ke negara Thailand dan menyebar dari utara semenanjung Malaysia. Pokok ini banyak ditanam secara ladang dan juga secara kecil-kecilan. 

Hari ini kita berkongsi panduan menanam kacang panjang pokok renek dalam pasu yang mudah dijaga dan tidak cerewet.

BENIH KACANG PANJANG POKOK RENEK
Pembaca perlu dapatkan benih kacang panjang pokok renek yang boleh dibeli dari kedai pertanian atau nusery berhampiran. Pastikan lihat terlebih dahulu tarikh luput pembungkusnya di mana dapatkan benih yang masih baharu berdasarkan tarikh luput tertera.

Selain itu pembaca boleh mendapatkan benih kacang panjang pokok renek daripada kedai benih online yang berkelayakan. 

Selain itu, pembaca juga boleh mendapatkan benih kacang panjang pokok renek dari saudara mara, jiran tetangga dan kawan-kawan yang ada menanamnya. Bolehlah minta beberapa biji untuk ditanam.

PENYEDIAAN PASU DAN MEDIA:
Benih kacang panjang pokok renek adalah jenis benih bersaiz besar. Oleh yang demikian benihnya boleh sahaja semai langsung dalam pasu atau hendak samai dalam tray semaian terlebih dahulu pun tiada masalah.

Beli pasu bersaiz besar atau hendak menggunakan polibag pun boleh. Pilih polibag uv bersaiz 16x 16 atau 18 x 16. Polibag yang digunakan ini membolehkan akar bebas bergerak di dalamnya. Antara bekas tanaman yang boleh anda gunakan ialah polibag, kontena saiz besar, besen, baldi dan sebagainya. Gunakan bahan kitar semula lagi baik dan jimat.

PENYEDIAAN MEDIA TANAMAN
Anda boleh mendapatkan media tanaman di kedai pertanian atau nusery berhampiran. Belilah tanah campuran atau potting mix yang berkualiti yang mengandungi peatmoss atau cocopeat, perlite, vermiculite atau pasir, habuk kayu dan kompos jerami. Media berkualiti akan menjadikan pokok kacang panjang renek anda tumbuh dengan baik.

Anda juga boleh membuat media campuran sendiri dengan menambah tanah hitam atau merah, pasir sungai atau perlite dan kompos. gaul sebati dan sedia untuk digunakan. Jika sukar mendapatkan bahan-bahan media campuran memadai menggunakan tanah dis ekeliling rumah anda dengan syarat dibaikpulih dengan menambah kompos/baja organik di dalamnya dengan jumlah yang banyak dan rehatkan selama 2 minggu agar kompos atau baja organik tersebut matang sepenuhnya.

PROSES PENANAMAN BENIH KACANG PANJANG RENEK
Setelah langkah di atas sudah dilakukan, langkah seterusnya ialah memasukkan media ke dalam kotena atau pasu pilihan anda seperti berikut:

  • Masukkan terlebih dahulu sedikit serpihan kayu buruk, rumput kering atau daun kering ke pasu atau kontena. Tujuan meletakkan bahan-bahan tersebut ialah mengurangkan dan mempercepatkan pengaliran air keluar dari bekas tanaman. bahan-bahan ini juga akan menjadi kompos dan makanan kepada pokok kacang panjang renek anda setelah ia mereput. Anda juga boleh menggunakan batu-batu kecil untuk tujuan di atas.
  • Kemudian masukkan media ke dalam pasu hingga penuh. Padat-padatkan sedikit agar ruang udara di dalamnya dapat dikurangkan.
  • Buat lubang kira-kira 1/2 inci dan semai sebiji atau dua biji benih kacang panjang renek ke dalam lubang dan timbus dengan tanah. jangan lupa menyiram dengan air secukupnya. 
  • Letakkan ditempat terkena cahaya matahari langsung kerana kacang panjang renek memerlukan haba yang tinggi untuk bercambah dengan baik.
  • Jagalah pokok kacang panjang enek anda seperti mana menjaga tanaman yang lain.

Kacang panjang renek akan mula bercambah setelah 5 hari hingga 7 hari disemai. Anda sudah boleh melihat rekahan tanah menandakan benih kacang panjang renek mula bercambah. 

Bubuh baja subur pada minggu ke2 selepas disemai. Kira-kira 4 helai daun. Selepas pokok kelihatan mengeluarkan kudup bunga bubuh baja buah sekali lagi berserta sedikit baja subur untuk pertumbuhan sihat dan pembuahan yang banyak. 

Kematangan buah kacang panjang renek sangat cepat, oleh itu anda harus memetik buahnya lebih kerap agar tidak terlalu tua kecuali anda jadikan buah tersebut benih pada tanaman musim akan datang. Semoga panduan menanam kacang panjang renek ini dapat membantu para pembaca bagaimana memulakan menanam kacang panjang renek di laman rumah. Bertani sama seperti profesion-profesion lain di mana perlukan sedikit ilmu untuk melaksanakannya. Dengan itu, hasil tanaman juga tampak maju dan bekalan dapur anda sentiasa cukup.

Berminat menanam kacang panjang renek dengan harga kasih sayang RM2.99 (anggaran benih 15 biji) dan postage RM4.00 (pos ekspress), sila whatsapp ke 019-5320756 (jus) atau email ke borosmomogun@gmail.com untuk info selanjutnya.

Isnin

PENYEBAB KEMATIAN ANAK BENIH DALAM SEMAIAN (DAMPING OFF) DAN CARA MENGATASINYA

Tags
Anak pokok epal

Keterujaan dan keghairahan kita untuk bertani terutamanya para pekebun yang baharu sahaja menceburi bidang ini di rumah secara sambilan atau suka-suka akan menghilangkan segala-galanya keterujaan dan keghairahan apabila berlaku kes kematian anak-anak benih yang baru bercambah di dalam bekas semaian seperti pasu, tray semaian, kotak, kontena dan sebagainya. Adakah kes ini juga dalami oleh anda? sehinggakan semangat anda yang mengunung tinggi untuk bertani luntur sama sekali?

Ketahuilah bahawa masalah kematian anak-anak benih atau dalam istilah bahasa Englishnya ialah damping off dalam semaian juga berlaku kepada para pakar atau mereka yang sudah lama berkecimpung di dalam bidang tersebut. Dengan itu soalan-soalan di bawah menjadi teras kepada perbincangan kita pada kali ini antaranya ialah;

1. Apakah yang dimaksudkan dengan kematian anak-anak benih diusia awal? 

2. Apakah penyebab kepada berlakunya kematian anak-anak benih dalam usia awal?

3. Bagaimanakah cara kita mengelak masalah ini berlaku?

4. Bolehkah anak-anak benih ini diselamatkan lagi?

5. Adakah masalah kematian benih-benih awal ini akan berlaku sekali lagi atau berkali-kali?


Tanomkinotuan menyenaraikan beberapa persoalan yang harus kita tumpukan untuk merungkai permasalahan ini hinggakan kita memahami sebenar-benarnya yang berlaku khususnya kematian anak-anak benih diusia awal. Seringkali kita terdengar, terbaca akan rintihan dan keluhan kawan, sahabat handai dan orang terdekat tentang isu ini di mana-mana. Jadi Apakah masalah sebenarnya? 


1. Apakah yang dimaksudkan dengan kematian anak-anak benih diusia awal? 
Kematian anak-anak benih diusia awal atau damping off ialah penyakit horticultural atau keadaan yang disebabkan oleh sejumlah perbezaan pathogen-pathogen di dalam media yang membiak dalam kadar yang tinggi dan menyerang anak-anak benih yang baru bercambah melalui akar dan batang lembut. Menyebabkan berlakunya perubahan ciri anak benih seperti batang dari bawah mengecut dan kering walaupun daun pemulanya masih elok, anak benih terkulai dan beberapa daunnya pula layu. Namun ciri perubahan yang berlaku berbeza-beza mengikut jenis pathogen yang terlibat. Dengan berlakunya kes seperti ini terhadap benih semaian anda, sememangnya agak sukar untuk menyelamatkannya kecuali bertindak melakukan pencegahan lebih awal.

Tanomkinotuan juga pernah mengalami benda yang sama. Di awal pembabitan aktiviti bertani ini pernah menyemai benih sawi bunga dan bercambah dengan baik hingga memenuhi ruang bekas semaian. Hati gembira bukan kepalang namun setelah dua tiga hari. Satu persatu anak benih sawi bunga layu, tumbang, terkulai dengan batang lembut di bawahnya (pangkal akar) menyusut dan kering. Seminggu kemudian anak benih tersebut mati sepenuhnya. Tanomkinotuan agak kecewa sebenarnya kerana keghairahan untuk bertani terbantut dan menurunkan kadar motivasi yang tinggi itu sebelum ini.

Namun istilah putus asa dibuang jauh-jauh malah tanomkinotuan semai semula benih tetapi bukan diletakkan di kawasan teduhan tetapi di tanam di atas tanah terbuka. Alhamdullilah anak-anak sawi membesar dengan jayanya dan berjaya dialihkan ke batas yang disediakan dan berjaya dituai dan menjadi sayur bekalan dapur untuk beberapa minggu.


2. Apakah penyebab kepada berlakunya kematian anak-anak benih dalam usia awal?
Penyebab kepada berlakunya kematian anak-anak benih diusia awal ialah disebabkan oleh pathogen yang ada di dalam media dan menyerang melalui akar dan batang lembutnya. Pathogen membiak dalam media dan menyerang anak-anak benih tersebut. Secara umumnya pathogen penyebab kematian anak-anak benih di usia awal boleh dibahagikan kepada 2 kumpulan yang utama iaitu fungi sebenar termasuklah Rhizoctonia, Fusarium dan Thielaviopsis genera. Kumpulan kedua, sebelum ini diklasifikasikan sebagai kumpulan kulat tetapi kini dimasukkan dalam kumpulan oomycetes iaitu Pythium dan Phytophthora genera.

Pathogen-pathogen ini bukan sahaja menyerang benih sayuran tetapi juga menyerang tumbuhan yang hidup di alam semula jadi di sekeliling kita.


3. Bagaimanakah cara kita mengelak masalah ini berlaku?
Melalui pencegahan awal kita boleh mengurangkan kadar jangkitan pada benih semaian kita. Akan tetapi setelah jangkitan ini berlaku kepada anak benih sayuran anda memang sukar dan malah anak benih anda sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Namun terdapat beberapa cara dan langkah yang boleh kita ambil sebagai langkah pencegahan dan keselamatan untuk benih dan anak benih seperti mana di bawah ini:

  • Lakukan pensterilan terhadap media yang ingin digunakan khususnya media yang dibuat sendiri oleh kita dengan menggunakan oven atau microwave dengan suhu kepanasan di antara 180 - 200 F selama 10 minit atau sehingga media mendesing.
  • Bekas semaian yang pernah digunakan sebelum ini haruslah dicuci bersih dan keringkan.
  • Jangan terlebih siram anak benih dan media, media hanya berkeadaan lembab sahaja. Media lembab boleh mengundang kehadiran pathogen ke media tersebut dan membiak di dalamnya dan menyerang anak benih anda.
  • Letakkan bekas semaian anda di kawasan yang mempunyai pengudaraan yang baik. pengudaraan yang baik menjadikan anak pokok sihat dan tidak mengalami tekanan. Ini dapat mengelakkan berlakunya kematian anak benih yang baru bercambah.
  • Boleh menabur sedikit racun anti-fungal ke dalam media sebelum menyemai benih. Racun tadi dapat membunuh kehadiran atau keberadaan fungi di dalamnya dan dapat mengurangkan serangan ke atas anak pokok. Kaedah ini tidak digalakkan bagi pengamal-pengamal nutrisi organik.
  • Anda juga boleh menaburkan sedikit serbuk kayu manis sebagi agen anti fungal dipermukaan media, juga boleh menggunakan peat-moss dan pasir yang ditabur dipermukaan untuk tujuan yang sama.
Ringkasnya, sterilkan media yang digunakan, menjaga kebersihan bekas semaian, pengudaraan yang baik serta menambah bahan-abahn anti-fungal ke dalam media adalah benda yang boleh menghindarkan diri kita dari masalah kematian anak benih pokok tanaman. Namun tanomkinotuan lebih menyukai menggunakan kaedah sendiri iaitu menyemai benih di dalam bekas semaian dan meletakkan bekas tersebut ditempat terkena cahaya matahari sekurang-kurangnya 3 jam atau kawasan terlindung/teduhan tetapi masih terkena haba. Untuk makluman semua, pathogen akan mati atau kurang membiak pada kawasan yang suhu atau haba yang tinggi dan anak pokok yang akan disemai selamat. Juga tanomkinotuan praktiskan siraman mengikut keperluan. Jangan overwater kata orang kampung tanomkinotuan hehe...


4. Bolehkah anak-anak benih ini diselamatkan lagi?
Maaf sekali lagi bahawa jawapannya ialah tidak dapat diselamatkan. Namun bagi serangan awal mungkin boleh dialihkan anak benih yang belum dijangkiti penyakit dan tanam dalam bekas lain, simpan ditempat teduh dulu hingga anak pokok benar-benar kuat barulah diletakkan ditempat panas.



5. Adakah masalah kematian benih-benih awal ini akan berlaku sekali lagi atau berkali-kali?
Ya. Masalah ini akan berulang kembali sekiranya media yang digunakan telah dijangkita atau fungi membiak di dalamnya. Oleh itu lakukan pensterilan media, kebersihan bekas semaian, dan kawal mutu siraman. Dan paling penting ialah media harus disinari dengan cahaya matahari sekurang-kurangnya 3 jam.

Oleh yang demikian untuk mengelak masalah ini kita seharusnya mengambil pencegahan awal di mana dapat mengurangkan serangan kulat pada anak benih yang baru bercambah. masalah kematian anak benih di usia awal kurang berlaku pada kawasan yang mempunyai suhu tinggi atau dalam keadaan suhu sekitar. Oleh itu para pembaca kenalah tahu di mana bekas-bekas semaian benih itu patut diletakkan agar tidak timbul masalah kematian benih nanti. Mudah-mudahan artikel yang tidak seberapa ini bermanfaat kepada para pembaca. Dan jangan putus asa atau merajuk dengan ujian yang kita hadapi dan anggaplah ianya sebagai cabaran yang perlu kita tempuhi untuk berjaya dalam aktiviti bertani. Semoga kita berhasil untuk mencapai apa yang kita inginkan dalam aktiviti sampingan ini.

Selamat bertani dan menuai hasil

Ahad

PANDUAN MENUAI BENIH ASPARAGUS DAN MENYIMPANNYA

Tags

Buah asparagus Marry Washington


Dalam entry kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi kepada pembaca di luar sana cara dan panduan menuai benih asparagus di kebun mini anda. Ramai pembaca di sini mempunyai sepokok atau beberapa pokok asparagus yang ditanam dalam pasu, kontena, bekas terbuang yang sesuai mahupun ditanam di atas tanah. Lazimnya kita sering dihidangkan resepi-resepi yang menggunakan tombak asparagus sebagai bahan utama terutamanya makanan ala Barat. Sesiapa yang gemar menonton rancangan masakan di channel TLC astro sememangnya tidak asing dengan tombak asparagus ini. Jamie Oliver seorang chef terkenal Britain menggunakan tombak asparagus dalam rancangan masakannya sekali sekala.

Teruja dengan itu maka ramai rakyat Malaysia mencuba membeli benih, anak pokok dan crown asparagus untuk ditanam di laman rumah. Pokok asparagus sebenarnya pokok musim panas, bermaksud ia sangat sesuai tumbuh dan memebsar di negara yang beriklim panas seperti di negara kita malah pokok asparagus boleh hidup sepanjang tahun dan mengeluarkan hasil tombak secara berterusan. Tidak seperti di negara 4 musim, pokok asparagus menjadi sedikit dormant (tidak aktif, berdiam, tidur) pada musim sejuk dan mula menghasilkan tombak menjelang musim panas. Jadi kita amat-amat bertuah sebenarnya.

Sekiranya pembaca mempunyai pokok asparagus di tanam di laman rumah. Anda boleh mendapatkan benih percuma dari pokok tersebut untuk menambah koleksi pokok asparagus anda. 

Pokok asparagus berusia 3 bulan ke atas akan menghasilkan bunga berwarna putih saiz kecil secara kumpulan (1 hingga 5 kuntum) yang mengarah secara rawak. Bunga-bunga ini memenuhi keseluruhan dahan dan ranting seolah-olah seperti pokok sakura  di jepun yang berbunga lebat. Anda boleh lihat bunganya berbentuk kon dengan kelopak kembang di hujungnya. Bunga-bunga ini akan berubah menjadi buah berwarna hijau keputihan dan membesar kepada warna hijau muda seterusnya bertukar kepada warna merah apabila sudah matang. 

Semakin berusia pokok asparagus anda maka semakin lebat buah terhasil dan ini menjadikan satu kelebihan utama kepada anda untuk mendapatkan benih asparagus untuk koleksi diri sendiri atau sedekahkan kepada sahabat handai mahupun dijual untuk perniagaan dari pintu rumah.

Setiap buah pokok asparagus mengandungi 1 biji hingga 5 biji benih berwarna hitam. Anda perlu menunggu buah asparagus tersebut matang sepenuhnya dengan mencuba memicitnya. Jika didapati buah tersebut lembut dan pecah bermaksud buah asparagus tersebut sudah boleh dituai. 

1. Tuai buah-buah asparagus yang sudah matang atau yang sudah berubah ke warna merah. Ia sangat mudah di petik kerana tangkainya sangat rapuh.

2. Kemudian asingkan benih dari kulitnya satu persatu. Tujuan mengasingkan kulit ialah suapaya biji asparagus cepat kering apabila ianya dikeringkan. Sekiranya dikeringkan bersama buah-buahnya sekali, ia mengambil masa yang lama untuk mengering.

3. Masukkan benih asparagus ke dalam mangkuk dan isikan air paip untuk membuang sisa-sisa kulit dan isinya. Lebih baik mengeringkan biji asparagus tanpa ada sisa-sia kulit dan isi menempel pada biji. Clean and clear begitu. 

4. Hamparkan tuala atau tisu, letakkan benih-benih asparagus di atas tuala yang baru sahaja dibasuh tadi untuk toskan lebihan air. Lakukan hingga selesai.

5. Dengan menggunakan bekas leper atau piring tabur benih aspaargus di atasnya dan jemur di bawah cahaya matahari 1 hari atau 2 hari atau benih asparagus benar-benar kering.

6. Apabila benih asparagus sudah kering masukkan dalam bekas kedap udara dan simpan di  tempat selamat. Guna apabila ingin menyemai benih asparagus.

Kerja mengasingkan benih dari buah asparagus sangat mencabar kesabaran apatah lagi jumlah buah yang banyak. Satu teknik mudah yang boleh anda praktiskan ialah oleh kerana buah asparagus yang sudah matang agak lembut. Anda boleh menggunakan tangan untuk memicitnya dalam mangkuk. Lakukan hingga selesai dan asingkan benih dan kulitnya. Kulit asparagus tidak keras malah nipis seperti kulit bawang.

Setelah benih-benih asparagus anda sudah kering bolehlah disimpan di dalam bekas tertutup seperti cup plastik atau botol bertutup. Simpan di tempat selamat dan boleh semai beberapa biji jika ingin menambah koleksi pokok. Benih asparagus yang baharu dan segar hanya mengambil masa 14 hari untuk bercambah dan percambahannya benih kira-kira100%. Ini dapat dibuktikan hasil eksperiment tanomkinotuan pada 2 kali menyemai benih asparagus yang diambil benih dari induknya. Pertama kali menyemai tanomkinotuan semai 35 biji benih asparagus dan semuanya tumbuh dengan baik (35 anak pokok ini sudah sold out penghujung tahun lepas dan awal tahun ini). Semaian kedua pula hanya berjumlah 30 biji dan semuanya telah bercambah dalam masa 14 hari sahaja. Mengikut kajian umum suhu terbaik untuk percambahan benih asparagus ialah


  •  21 - 26 darjah Celsius atau 70 - 80 F (waktu siang)
  • 18 - 20 darjah celsius atau 65 - 70 F (waktu malam)

Bagi tanomkinotuan, ramai pembaca di luar sana kecewa kerana cubaan menyemai benih asparagus gagal. Terdapat beberapa kemungkinan mengapa kegagalan berlaku dalam menyemai asparagus antaranya:

  • Benih asparagus telah tarikh luput. Benih asparagus selalunya diimport dari luar negara dan dijual kepada pelanggannya. Kadang-kadang penjual tidak akan menarik balik benih asparagus atau benih lain yang sudah tarikh luput kerana mahukan keuntungan, yang rugi adalah kita sebagai pembeli. Oleh itu pastikan tarikh luput benih tersebut dahulu kemudian barulah dibeli.
  • Serangan kulat atau virus. Tanah yang dijangkiti kulat atau virus akan menyerang benih asparagus dan benih lain. Ini menyebabkan benih asparagus tidak akan bercambah. Tabur sedikit racun kulat pada tanah untuk mengelakkan benih asparagus anda diserang.
  • Gangguan serangga seperti semut. Semut adalah binatang yang suka mengumpul makanan ke sarang. Segala benih termasuk asparagus akan diangkut sama atau cuba ditebuk untuk mendapatkan nutrient di dalamnya dengan memecahkan benih itu menjadi saiz kecil. Serangan semut menyebabkan benih tidak akan bercambah.
  • Faktor cuaca dan kelembapan. Benih asparagus memerlukan sinar cahaya atau haba yang tinggi untuk membolehkan benih bercambah dengan baik. Oleh itu letakkan tray semaian anda di tempat teduh tetapi masih terkena haba agar benih asparagus tersebut boleh bercambah seperti yang sepatutnya. Jaga kelembapan media di mana kekalkan media yang lembab dan elakkan kekeringan media. Harus diingat bahawa media yang terlalu basah juga akan menyebabkan benih asparagus lemas dan membusuk.

PERHATIAN:

Pokok asparagus ialah jenis tumbuhan sepasang (pokok jantan dan pokok betina) atau dalam bahasa Englishnya dipanggil dioecious, bermaksud pokok betina adalah pokok yang menghasilkan biji benih dan pokok jantan menghasilkan tombak saiz besar dan cantik. Walaubagaimana pun pokok betina masih memerlukan pokok jantan untuk pendebungaan. 

Oleh yang demikian, pastikan sekurang-kurangnya anda mempunyai 2 atau lebih pokok asparagus untuk membolehkan pokok asparagus anda menghasilkan buah untuk pematangan benih. Agak sukar meneka mana pokok asparagus jantan dan mana pokok asparagus betina melainkan pokok tersebut sudah menghasilkan buah. Maknanya, Pokok asparagus yang berbuah adalah pokok betina manakala pokok yang hanya hasilkan bunga/ hanya berbunga adalah pokok jantan.

Kepada mereka yang inginkan anak pokok asparagus variati Marry Washington bolehlah menempah anak pokok dengan harga RM3.00 sepokok dan postage RM15.00 dan crown asparagus variati sama dengan harga RM75.00 (berusia 2 tahun hingga 3 tahun) dan postage RM15.00 emailkan ke borosmomogun@gmail.com atau whatsapp ke 019-5320756 (Jus) untuk pertanyaan lanjut. ANAK POKOK ASPARAGUS TERHAD HANYA 30 ANAK POKOK SAHAJA.

Selamat bertani dan menuai hasil.