Selasa

TUAIAN HASIL DI KBR (MAC)

Tags

Bulan Mac tahun ini jarang tanomkinotuan mengemaskini blog disebabkan kesibukan yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu tanomkinotuan ingin juga berkongsi kepada pembaca diluar sana sebagai perkongsian bersama berhubung hasil bertani. Alhamdullilah minggu lepas di tempat tanomkinotuan sudah 2 kali hujan dengan lebatnya. Syukur kepada Allah Ajawazzala dengan nikmat yang diberikan kepada kita. Terdapat juga sunat hajat meminta hujan yang dilakukan di masjid kampung selepas solat Jumaat tempoh hari. Alhamdullilah.

Cuaca yang tidak lagi terlalu panas membolehkan kita bergiat aktif dalam bertani di laman seperti biasa. Sudah dikatakan boleh menyemai benih sayuran yang ingin ditanam. Kepada mereka yang baru bergiat bidang bertani ini, apa kata mencuba menyemai benih cili padi/burung yang boleh dibeli di kedai atau pasar. Pilih buah yang masak ambil benih dan semai sahaja dalam polibag atau pasu. Sudah besar bolehlah alihkan ke tanah atau pasu bersaiz besar. Yang sudah lama bertapak dalam kegiatan bertani boleh mencuba menanam benih asparagus atau pokok tin. Ramai yang mengatakan menanam benih kedua tumbuhan ini sangat mencabar. Pokok tin harganya pun boleh tahan... tanomkinotuan juga menunggu benih pokok tin, dahulu ada tanam tapi mati disebabkan ilmu mengenai tin kurang.. huhu

Berikut perkongsian hasil tani yang dituai beberapa minggu yang lalu. Antaranya ialah:



Tuaian tombak asparagus marry washington kini dah berusia hampir 3 tahun. Boleh dikatakan tombaknya sudah bersaiz besar dan tunas tumbuh dengan banyak walaupun pokok hanya 9 pokok sahaja yang ditanam dalam polibag. Bolehlah fefeling western foods bagai.. hahahaha


Tuaian daun bawang yang sangat-sangat kesihan kerana cuaca yang melampau-lampau. Asyik daunnya layu apabila tengahari dan kembali segar semula pada sebelah petang. begitulah rutinnya hingga dituai tempoh hari. Tanomkinotuan tuai untuk masak. 




Sempat merasa buah tomato roma yang ditanam di hadapan laman rumah. Musim kemarau pokok tomato sihat belaka. Maksudnya pokok tomato hanya disiram bila perlu kerana jika tanah terlalu lembab dan pencahayaan kurang, fungi mudah membiak dalam media menyebabkan serangan akar berlaku. Akibatnya pokok layu beberapa hari dan mati. Buah tomato ini dicampurkan ke dalam sup ayam bagi sup tu berwarna yang menyelerakan.  




Dengan adanya belacan di dalam peti sejuk, pucuk kangkung muda jadi sasaran. Tanomkinotuan tuai pucuk kangkung yang tumbuh melata di tepi kolam. kangkung ni asalnya ditanam dari benih tempoh hari. Setelah pokoknya dibiarkan dan berbuah... berguguran bijinya ditepi kolam hingga membiak dengan banyaknya. Sudah selesai satu masalah untuk bekalan sayur dapur juga dapat memberikan perlindungan kepada ikan yang ingin bermain di gigi air. Oleh kerana kolam sudah surut dengan lama. Elok sahaja pokok kangkung hidup subur ditepinya. Apa lagi dituai untuk masak kangkung belacan huhu... sedap weiiii...




Akhir sekali ialah bunga tongkeng. Kenal tak bunga ini? antara bunga yang boleh dimakan yang ada ditanam di KBR. Dicampurkan dalam telur dadar atau dalam sup. Memang mengujakan dengan bunga tongkeng yang beraroma wangi bergabung dengan aroma telur yang sudah dimasak/goreng.. pehhhhhhh... I tell you.... Pokok tongkeng jenis pokok memanjat dan daun berbentuk hati. Bunganya berkembang mekar ke bawah bukan ke atas sebab itu digelar bunga tongkeng kot? hehe ada-ada saja kan?

Cukup ini sahaja hasil sayuran yang boleh dikongsi kali ini. Ada masa dan ketika tanomkinotuan kongsikan pula sayuran lain yang sedang membesar dan sedia untuk dituai. Timun epal kristal, lobak putih sakurijima, kacang panjang renek, edamame, jagung  dan sebaginya. Marilah bertani untuk penjimatan dan kesihatan tubuh badan sekeluarga. Makan makanan sihat, segar dan organik melahirkan keluarga yang sihat dan cergas. Ceewaahhhhhh...... tapi betul kan?

Selamat bertani dan menuai hasil.

Khamis

PANDUAN MEMBUAT BOOSTER BELACAN

Tags

Satu lagi booster atau pengalak pertumbuhan pokok yang sihat yang boleh pembaca praktiskan kepada tanaman terutamanya pokok cili (semua variati cili) ialah cecair belacan. Belacan diperbuat dari udang geragau atau ribon yang ditambah garam dan dijeruk dalam tempoh tertentu dan kemudian dimampatkan. Oleh yang demikian proses penjerukan dalam membuat belacan ini sudah membiakkan beberapa mikroorganisma di dalamnya. Bakteria Halophilic lactic asid yang terkandung di dalamnya bermanfaat kepada tanah.

Booster belacan boleh dibuat sendiri di rumah dengan hanya bahan-bahan yang murah dan mudah diperolehi. Dengan itu berikut cara dan panduan menyediakan booster belacan secara bergambar; 



Benda atau barang yang diperlukan.

1. Mangkuk

2. Sudu

3. Besin kecil

4. Botol mineral kosong untuk menapai


Bahan-bahannya ialah:

1. 50 gram belacan. (tanomkinotuan menggunakan belacan papar)

2. 50 gram gula merah.

3. 300 ml air non klorin

Cara penyediaannya ialah:


Sediakan 50 gram belacan tersebut. Tanomkinotuan menggunakan belacan papar yang sedap itu. Dengan jenis belacan yang enak ini diharap pokok cili juga menyukainya. Hehe


Masukan belacan ke dalam mangkuk dan tuang air non klorin sebanyak 20 ml. Kacau dan hancurkan belacan hingga sebati.


Setelah proses mengacau (stir) dilakukan dalam jangka masa beberapa minit, beginilah rupa belacan tersebut.


Kemudian masukkan 50 gram gula perang ke dalam besin kecil. 


Tuang cecair belacan ke dalamnya berserta 280 ml air. (sebab mengapa hanya 280 ml air sahaja? Sebab 20 ml sudah digunakan untuk mencairkan belacan tadi. Rujuk gambar no. 3


Kemudian sebatikan bahan tadi dengan mengacau lebih kurang 10 minit atau hingga bahan-bahan itu hancur.


Seterusnya masukkan cecair belacan tadi ke dalam botol mineral hingga selesai. Tanomkinotuan menggunakan botol mineral 1.5 liter disebabkan tidak ada botol mineral saiz 500 ml. 


Beginilah rupa booster belacan tersebut. Pembaca harus peramkan dahulu cecair ini selama 30 hari atau genap 1 bulan. Barulah boleh digunakan. Pastikan penutup botol tersebut ditebuk menggunakan paku atau benda tajam untuk bebaskan gas. Dan guna kain untuk menutupinya agar tidak dimasuki serangga atau seumpamanya.

Cara menggunakan booster belacan pada cili:

Booster belacan sangat sesuai dengan pokok cili dengan mencairkan 1 sudu makan booster belacan dicampurkan 1 liter hingga 1.5 liter air non klorin. 

Dan sembur pada daun, ranting, pokok, dahan dan tanah sekali seminggu atau sekali dalam 2 minggu. Untuk mengelak masalah, sembur sebahagian daun dan pokok terlebih dahulu untuk melihat kesan sampingan yang berlaku. Jika daun pokok cili anda mengalami kelecuran atau seakan-akan terbakar, kurangkan dos booster belacan tersebut. Jika sebaliknya maka teruskan sukatan tersebut.

Lakukan semburan pokok cili pada waktu pagi dan lewat petang untuk mengurangkan kebarangkalian kerosakan tanaman pokok cili anda. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Ahad

UPDATE SAYURAN DI KBR BULAN MAC 2016

Tags

Sudah lama tidak membuat entry dalam blog ini. Awal-awal tahun sibuk dengan kerja-kerja yang perlu dibereskan sebelum due date. Hari ini baru dapat mengemaskini blog yang sudah bersawang kata orang. Fenomena el nino di negara kita masih berterusan hingga kini. Suhu meningkat bagai dalam ketuhar, panas bukan main. Kepada petani kecil-kecilan, petani sambilan dan petani suka-suka harus menambah usaha untuk menyiram tanaman sendiri bagi mereka yang menggunakan kaedah siraman manual seperti tanomkinotuan.

Baru-baru ini tanggal 13 Mac 2016 kita dihidangkan fenomena gerhana matahari, tempat tanomkinotuan gerhana separa sahaja, tidak mengelami suasana gelap remang-remang gitu. Namun situasinya amat berbeza sekali. Keadaan yang sangat sunyi, hening dan sinaran tidak terlalu panas. Agak sukar menyatakannya dalam bentuk perkataan Subahanallah. Maka digalakkan melakukan solat sunat gerhana sesiapa yang mempunyai masa terluang ketika itu dan pahala dan kebajikan solat sunat gerhana amat besar sekali. Untunglah yang dapat melakukannya.

Hari ini ingin tanomkinotuan ingin berkongsi sayuran yang tumbuh baik di KBR. Oleh kerana idea terbantut hendak membuat tajuk entry mengenai sayuran maka ini sahajalah yang termampu, in sha Allah akan datang tanomkinotuan membuat entry berkaitan nanti. Antara sayuran dan tanaman tersebut ialah:






Ini ialah pokok tomato epal. Buahnya bulat dan agak keras walaupun sudah masak/matang berbanding tomato jenis brandywine. Para petani suka menanam pokok tomato jenis ini kerana tahan lama dan bersaiz besar.

Tanomkunotuan dapatkan benih di supermarket tempoh hari. Ambil benihnya dan keringkan dahulu kemudian semai dan tanam di KBR. Dapatlah 10 pokok dan kini sudah mula berbuah dan buah yang masak itu sudah pun dimakan malam semalam. Tahan panas dan kurang serangan penyakit.




Selepas kejayaan menanam lobak merah variati kurado F1, lobak merah mini bulat, lobak merah snow white kini tanomkinotuan mencuba pula menanam lobak merah kosmik ungu. 

Benih ini disemai dalam peti sejuk selama dua minggu barulah disemai semula dalam pasu. Pertumbuhannya 80% berjaya. Tunggu pokok-pokoknya hasilkan lobak pula.




Pokok timun kristal bulat juga sedang membesar dan mula hasilkan bunga jantan. Semasa entry ini dibuat, kelihatan bunga jantan mula berkembang. 

Nampaknya pokok timun bulat senang diserang makhluk perosak. Sebelum ini jenuh tanomkinotuan membuang ulat-ulat hijau bertenggek di pucuk-pucuk mudah. Adalah dua tiga hari membelek-belek pucuk-pucuk tersebut untuk membuang sang ulat yang ghairah memakan daun muda. Nasib serangan tidak teruk. Kelihatan juga serangga pengorek buah sudah siap sedia bermalas-malasan di atas daun-daun timun ini. Belum keluar buah serangga ini sudah tempah mana buah yang disuntik untuk telur-telurnya.




Pokok markisa ungu kini boleh dituai. Dua biji untuk hasilkan air sirap markisa. Tambah hirisan daun pudina dan manisan stevia. Letak ais sikit. Memang sesuailah dikala cuaca panas sekarang. Aroma buah ini cukup memikat.




Siapa tahu buah apakah ini? Ya buah delima. Ditanam awal tahun 2014, awal tahun 2016 (bulan Mac) sudah berbuah dengan baik. Musim kemarau pula tu. Harap bertahan dan tidak ada ada masalah hingga matang. Belum ada pengalaman lagi mengenai pokok ini. Kira pokok ini berbuah sulung. Terdapat 3 biji semuanya.



Tomato roma juga sudah matang, namun cuaca panas buahnya mereka. Sudah dituai campur dalam sup tempoh hari. Buahnya juga jenis keras dan tahan lama. 

Inilah tanaman sempat dikongsikan buat masa ini. Masih berusaha untuk membina batas untuk tanaman sayuran berdaun. Batas-batas yang sudah siap dibuat kini sudah pun ditanam sayuran seperti radish sakurijima, kacang panjang renek, bendi alabama, timun kristal bulat, dan edamame. Hanya perlu dijaga dan berikan kasih sayang sepenuhnya. Semoga berjalan lancar dan syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan rezeki ini.

Selamat bertani dan menuai hasil.

PANDUAN MENANAM KANGKUNG MELALUI BIJI BENIH

Tags


Kangkung atau water spinach adalah tumbuhan yang boleh ditemui di Asia, Afrika, Amerika Latin dan Oceania.  Nama saintifik bagi pokok kangkung ialah Ipomoea spp. adalah jenis sayuran berdaun tropika dari keluarga Convolvulaceae. Kangkung sekeluarga dengan keledek sebab itu jika kita pernah memakan kangkung dan pucuk keledek sebagai sayur, rasanya seakan-akan sama. Kangkung sangat versatile di mana tertulis dalam Hikayat Sulalatus Salatin yang kononnya Hang Tuah dapat melihat muka maharaja cina dengan memakan kangkung yang tidak dikerat dengan mendonggakkan kepalanya ke atas. Kangkung hidup subur di kawasan berair atau tanah lembab. Tidak susah mencari pokok ini kerana sangat mudah beradaptasi keadaan dan suhu setempat.

Pokok kangkung sesuai tumbuh pada media yang lembab, peroi dan sedikit berpasir tetapi juga boleh hidup subur pada pelbagai jenis media atau tanah. Kangkung lebih sesuai disemai terus ke batas atau pasu dan biarkan membesar seperti yang diinginkan. Tidak perlu semai dan cabut untuk dialihkan. Kangkung juga perlukan cahaya matahari penuh melebihi 6 jam dalam sehari untuk pertumbuhan yang baik. 

Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi cara dan panduan menanam kangkung sama ada batas atau pasu melalui biji. Benih kangkung tidaklah cerewet untuk ditanam. Dapatkan benih kangkung yang dijual di kedai pertanian atau nusery berhampiran. Pertama pastikan benih kangkung tersebut haruslah baharu dan segar. Lihat tarikh luput pada pembalutnya terlebih dahulu dan jangan terbeli benih kangkung yang sudah tarikh luput. Benih sudah tidak bercambah sekiranya benih sudah mengalami tarikh luput. Anda juga boleh menanam kangkung dari keratan batang yang dibeli di pasar. Tanomkinotuan akan menyinggung tajuk ini pada akan datang.

Jika anda menanam kakung pada batas atau tanah di laman rumah anda, maka anda harus melebihi sedikit tenaga anda untuk membuat batas yang dikehendaki. Korek sedalam 1 kaki dalam dan bentuk batas 1 x 4 kaki persegi atau 2 x 6 kaki persegi, namun saiz
batas yang dibuat harus juga melihat keluasan laman rumah anda. Gembur batas sehingga tanah menjadi serpihan-serpihan kecil. Kemudian tabur kompos sebanyak 500 - 1 kilo pada batas yang dibuat. Jika tanah anda berasid maka perlu ditabur kapur pertanian (lime stone) untuk mengurangkan kemasaman media. Untuk mengetahui kedudukan nilai PH tanah anda, anda harus mempunyai penyukat nilai PH meter yang boleh dibeli di kedai pertaniaan atau hardware berhampiran. Tabur juga baja subur NPK organik yang juga boleh dibeli di kedai pertanian dengan 3 genggam atau lebih. Gaul media hingga sebati dan siram dengan air secukupnya. Rehatkan tanah selama 1 minggu hingga 2 minggu untuk memberikan ruang baja, kapur pertanian dan baja NPK organik sebati dengan tanah.

Bagi mereka yang ingin menanam dalam pasu pula, sangat mudah di mana anda perlukan media yang boleh dibeli di kedai yang dikenali sebagai tanah campur atau potting soil. Pilih tanah campur 6 in 1 kerana ia sangat berkualiti untuk pokok kangkung anda. Jika tidak anda boleh membuat media anda sendiri iaitu campuran cocopeat, kompos dan pasir sungai dengan nisbah bahan 2:1:1. Anda juga boleh menggunakan media campuran seperti tanah hitam atau tanah lampung yang ditambah dengan kompos tumbuhan dan sedikit pasir sungai. Selain itu, tanah merah juga boleh digunakan dengan syarat tambah kompos banyak-banyak. Masukkan media yang telah digaul sebati ke dalam pasu hingga penuh. Tips menanam sayuran dam pasu atau apa-apa bekas ialah sebelum memasukkan media anda haruslah mencari rumput kering, daun kering atau atau apa-apa tumbuhan kering dan masukkan ke dalam pasu tekan bahan tadi hingga menjadi padat di bawah barulah masukkan media ke dalamnya. Ini bertujuan agar air tidak bertakung lama di dalam pasu lebih lama dan juga akan menjadi makanan berzat kepada pokok kangkung apanila ia mula mereput. Oleh itu, mula dari sekarang segala rumput kering, daun kering atau apa-apa tumbuhan kering jangan dibakar tetapi simpan dalam tempat selamat. Anda boleh gunakannya apabila menanam sayuran di dalam pasu. Tetapi jika sukar mendapatkan bahan-bahan disebutkan tadi, guna batu pun boleh.

Setelah menyiapkan batas dan direhatkan selama 1 hingga 2 minggu maka anda sudah boleh menyemai benih kangkung. Pada batas anda, buat lubang sedalam 1 inci dalam dengan jarak antara lubang ialah 5 hingga 6 inci. Masukkan 1 hingga 2 biji ke dalam lubang dan siapkan hingga selesai. Kemudian siram menggunakan air secukupnya. 

Bagi yang menanam dalam pasu atau apa-apa bekas pula. Perkara yang sama dibuat iaitu buat lubang sedalam 1 inci dengan jarak antara lubang 5 inci. Masukkan 1 atau 2 benih dalam 1 lubang dan timbus dengan tanah kemudian siram dengan air. 

Percambahan benih kangkung mengambil masa selama 5 hari hingga 7 hari, anda sudah boleh melihat benih kangkung mula bercambah. benih kangkung sangat sesuai bercambah pada suhu 27 darjah celsius. Oleh yang demikian, kangkung sangat sesuai tumbuh di dengara kita yang bersuhu sedemikian. 

Selepas 2 minggu anak pokok kangkung bercambah tabur baja subur organik di keseluruhan batas atau pasu dan disiram dengan air yang cukup. 

Sekiranya ditanam di atas batas, tentu rumput rumpai tumbuh dengan banyak. Untuk mengelak persaingan antara pokok kangkung dan rumput rumpai cabut rumput rumpai tersebut hingga selesai. Pokok kangkung anda tumbuh dengan sihat dan segar.

Selepas 4 hingga 5 minggu (1 bulan lebih) pokok kangkung tanam sendiri sudah boleh dituai. Jika kangkung anda sudah mencecah 1 setengah hingga 2 kaki bolehlah dituai dengan memetik batangnya dan bukan dicabut. Ini kerana pokok kangkung akan bertunas semula dan menghasilkan pucuk-pucuk muda bagi bekalan dapur. Selagi pokok kangkung anda sihat dan dijaga bajanya serta disiram selalu selagi itu pokok kangkung tersebut menghasilkan sayur secara berterusan. Untuk pengetahuan pembaca, pokok kangkung adalah sayuran yang tidak cerewet untuk dijaga dan cepat mendapat hasil. Tanam kangkung dilaman rumah untuk sayuran dapur berterusan. 

Selamat bertani dan menuai hasil.