Khamis

APAKAH PERLITE? KETAHUI PERLITE SEBAGAI BAHAN POTTING SOIL

Tags



Perlite selalunya dirujuk kepada batuan silika yang mengalami pengembangan pada suhu tinggi kira-kira 1600 F ke atas dan menjadi sangat ringan. Ia adalah batuan vulkano semasa berlakunya letusan gunung berapi yang mengalami pengembangan 13 kali ganda dari saiz asal. Perlite berwarna putih bersih. Negara US adalah pengeluar perlite terbesar dunia. Negara kita mengimport perlite dengan banyak kerana permintaan tinggi di pasaran sebagai campuran dalam media tanaman.

Sekiranya anda pernah membeli potting soil di nusery atau kedai pertanian dan mendapati media tersebut mempunyai benda berwarna putih, itulah perlite.

Tanomkinotuan menggunakan perlite sebagai pengganti pasir sungai dalam campuran media bagi membuat potting soil semaian atau pun media tanaman. Sebelum ini tanomkinotuan menggunakan pasir sungai sahaja tetapi agak berat sedikit. Menggunakan perlite dalam campuran mendapati media sangat ringan. Hanya angkat sebelah tangan saja siap dilambung-lambung lagi. Kikiki...

Penggunaan perlite dalam industry horticulural sangat meluas di mana perlite adalah bahan asas dalam pembuatan potting soil, soil starting mix dan sebagainya. Sebenarnya perlite digunakan dalam media campuran untuk mengantikan pasir sungai yang agak berat. Lagi pun perlite bersifat neutral dan tidak membawa penyakit. Ini bermaksud perlite sangat sesuai sebagai bahan media tanaman.

Kebaikan perlite dalam pertanian khususnya dalam campuran media:

1. Menyerap dan memegang air. Perlite adalah ringan di mana mempunyai rongga-rongga kecil di dalamnya. Apabila siraman dilakukan ia menyerap dan menyimpan air pada kadar yang sepatutnya kemudian akan mengalirkan lebihan air dalam pasu dengan kadar yang cepat. Oleh itu masalah lebihan air dalam pasu tidak berlaku dan pokol tanaman anda selamat dan membesar dengan baik.

2. Memberikan saliran yang baik dalam media. Perlite dapat memberikan saliran yang baik dalam media dengan menjadikan media tersebut mengalirkan air dengan cepat.

3. Memberikan ruang pengudaraan yang baik. Perlite juga berfungsi memberikan ruang-ruang udara dalam media. Dengan menambah perlite ini, media kurang mampat dan udara dapat bebas dalam media untuk kebaikkan akar dalam tanah.

4. Memperbaiki dan membaikpulih kualiti media. Perlite dapat membaiki kualiti media dengan menjadikan media ringan, pengudaraan yang baik dan saliran air yang baik.

Perlite sesuai untuk semaian keratan batang seperti pokok mulberri, bunga rose, dan pokok buah-buahan. Juga boleh digunakan untuk menanam umbisi saffron tanpa campuran media dan bahan lain, 100% perlite.


Pokok timun mini 

Gambar di atas ialah menggunakan campuran perlite dalam media. Pokok timun mini hidup baik dalam pasu dan kini pokoknya sudah mengeluarkan buah. 

Contoh pembuatan potting soil yang asas menggunakan perlite untuk media semaian atau media tanaman:

1. 200 gram cocopeat

2. 100 gram kompos

3. 50 gram atau 100 gram perlite

Campurkan kesemua bahan dan gaul hingga sebati. Masukkan media dalam pasu dan tanam pokok anda. Pokok anda membesar dengan baik bagai juara. Jangan lupa bubuh baja organik dua sudu setiap 2 minggu.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Selasa

PANDUAN MEMBUAT PENYIRAMAN SOLAR AIR TITIS

Tags

Botol plastik minyak masak saiz besar
Dan botol mineral 1.5 liter

Kadang-kadang aktiviti menyiram pada waktu pagi dan petang sangat-sangat menyeronokkan apatah lagi dilakukan bersama-sama dengan ahli keluarga. Aktiviti bertani khususnya menyiram ini dapat mengeratkan silaturahim sesama keluarga. Tetapi jika menyiram dengan mengangkat baldi atau alat menyiram satu batas ke satu batas yang lain sememangnya amat meletihkan. Lebih-lebih lagi jika anda menyiram sayuran yang amat luas. Boleh patah tulang tangan. Haha...

Namun begitu jika anda menggunakan siraman titis yang dikawal secara automatik sudah tentu dapat menjimatkan masa anda sekeluarga. Namun kos membuat siraman titis amat-amat tinggi. Anda perlukan batang paip, pump dan sebagainya dan sambung ke batas anda. Jika anda cukup modal mungkin boleh menggunakan kaedah ini.

Tetapi satu lagi cara yang boleh anda lakukan untuk aktiviti menyiram secara jimat masa ialah siraman solar titis atau Solar Water Distillation. Bahan yang diperlukan sangat mudah dan jimat serta kos tiada. Bahan-bahan yang diperlukan ialah:

1. Botol minyak saiz besar

2. Botol mineral 1.5 liter

3. Air bersih

Caranya, dengan menggunakan pisau tajam potong bahagian botol minyak masak di atasnya iaitu dibahagian kepala penutupnya. Cuci botol minyak masak tersebut menggunakan serbuk pencuci agar minyak yang melekat di dalamnya dapat ditanggalkan. Kemudian keringkan botol minyak tersebut menggunakan tuala kering atau sinari dengan cahaya matahari terik. 

Bagi botol mineral 1.5 liter, potong dua dengan pisau tajam. Bersihkan dengan air dan keringkan.

Untuk membuat siraman solar titis ini sangat mudah. Anda boleh meletakkan siraman solar titis pada jenis tanaman sayuran seperti jagung, tomato, cili, terung dan sayuran berdaun yang ditanam dengan jarak secara jauh.


Korek batas diantara pokok jagung. Korek sedalam 4 inci dalam dan luas mengikut saiz botol mineral 1.5 liter. 


Tanam dua potongan botol mineral seperti gambar di atas.


Timbus semula tanah di bahagian bawah dan padatkan tanah supaya botol tersebut tidak rebah apabila diisi dengan air nanti. Isi air bersih kedua-dua potongan botol separuh penuh. Tanomkinotuan isi air awal untuk seimbangkannya semasa ditanam. Terpulanglah kepada pembaca yang mana dirasakan sesuai.


Kemudian dengan menggunakan bekas botol minyak yang telah dipotong bahagian atasnya. Tutup botol berisi air itu seperti dalam gambar di atas.

Mungkin kita tertanya-tanya bagaimanakah teknik ini boleh membekalkan air kepada tumbuhan. Tidak masuk akal?? 

Sebenarnya air jika humid disekelilingnya agak panas. Air akan meluap ke udara melalui proses pemeluapan. Molikul-molikul air tersebut akan hilang diudara begitu sahaja akibat daripada haba atau cuaca panas. Namun apabila air dalam botol tersebut ditutup menggunakan bekas lutsinar seperti botol plastik minyak masak. Air yang meluap ke udara tersekat pada dinding botol plastik minyak masak tersebut dan bertukar kepada air. Apabila jumlahnya semakin banyak maka ia akan menitis semula ke tanah secara berterusan selagi air di dalam botol mineral itu masih ada/kekal. Maka dengan itu, ia dapat membekalkan sumber air pada tanah seterusnya diserap oleh akar pokok jagung.

Diharap penerangan sains di atas bolehlah difahami oleh semua. Tanomkinotuan adalah aliran sastera tulin lagi asli. Hari-hari bermalankolik dan bermetafora bagai masa belajar dulu. Kalau salah penjelasannya harap dimaafkan.


Maka cara ini mampu untuk menjimatkan tenaga anda daripada menyiram secara menual. Anda boleh isi semula dengan air di dalamnya sekiranya air tersebut berkurang. Untuk melembabkan keseluruhan batas. Anda boleh meletakkan mulsa/sungkupan pada batas seperti daun kering, rumput kering, kertas carik dan sebagainya. Dalam contoh ini tanomkinotuan menggunakan rumput kering untuk tujuan tersebut.

Anda tidak perlu risau sekiranya anda pulang ke kampung semasa perayaan, cuti sekolah, melancong atau out-station di luar kawasan. Teknik siraman solar air titis akan mengambil alih peranan menyiram tanaman anda. 

Adakah anda teruja dengan cara dan teknik mudah membekalkan air pada tanaman tanpa memeras tenaga anda. Tunggu entry pada masa akan datang cara siraman dalam pasu yang tidak mengerah tenaga yang banyak.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Isnin

PANDUAN MEMBUAT MOL PISANG (BOOSTER PISANG)

Tags


Pelbagai teknik dan cara kita mendapatkan booster untuk tanaman kita sama ada dibeli di kedai-kedai pertanian atau mencipta sendiri booster atau cecair pengalak tanaman ini dengan menggunakan bahan-bahan murah dan jimat. Antara booster atau cecair pengalak pertumbuhan tanaman yang popular digunakan oleh rakyat Malaysia ialah booster roti, Serum EM1, Booster cecair ikan, kompos teh dan sebagainya.

Kini tanomkinotuan ingin berkongsi pula satu lagi booster yang hangat dan disukai ramai untuk tanaman mereka iaitu mol pisang. Perkataan MOL ialah singkatan daripada Mikro Organisma Lokal di mana kita menggunakan bahan terpilih bagi pembiakan mikroorganisma untuk tujuan pemulihbaik tanah seterusnya mengalak pertumbuhan tanaman. Terdapat banyak asas atau bahan yang boleh dijadikan MOL seperti pisang (pokoknya, buah dan kulit), nasi, tauge dan sebagainya. Namun tanomkinotuan hanya menyinggung cara membuat MOL pisang, akan datang kita akan berbincang pula cara dan panduan membuat MOL menggunakan bahan-bahan yang lain. In Sha Allah...

Pisang adalah bahan yang mudah diperolehi dan kita boleh menggunakan sama ada kulitnya, isi berserta isinya, batangnya atau daunnya. Dalam perbincangan ini tanomkinotuan menggunakan kulit dan sedikit isi pisang. Berikut adalah bahan-bahannya dan cara penyediaannya,


Panduan Membuat MOL Pisang


Alatan yang diperlukan:

1. Bekas atau kontena 

2. sudu kayu


Bahan-bahan yang diperlukan:

1. 20 kulit pisang segar atau sebaliknya, disertakan isinya lagi bagus

2. 200 gram gula merah, gula perang atau molasses

3. 3 helai daun kobis

4. segenggam taugeh busuk/segar

5. 1.5 liter air non-klorin 

6. 2 sudu makan serum EM1 (optional)



Cara Penyediaannya:


1. Masukkan kesemua bahan di atas ke dalam kontena atau bekas yang sesuai.

2. Tuang dengan 2 sudu serum EM1 ke dalam kontena tersebut.

3. Kemudian tuang 1.5 liter air non-klorin ke dalamnya.

4. Dengan menggunakan sudu kayu anda gaul bahan-bahan tadi hingga sebati dan tutup bekas/kontena tersebut.

5. Simpan dan perap selama 2 minggu.

7. Selepas 2 minggu tapis dan ambil airnya dan simpan dalam botol lain. Dengan ini MOL pisang anda sudah selesai dan bersedia untuk digunakan.

MOL pisang selepas ditapis
Dapatlah 500ml

Cara penggunaan Booster MOL Pisang:

Cara menggunakannya ialah ambil 2 sudu makan booster MOL pisang dan tambah dengan 1 liter air dan sembur pada keseluruhan tanaman seperti sayuran, pokok buah-buahan, pokok herba dan sebagainya. 

Perlu diingat untuk keselamatan, buat semburan untuk sepokok dua terlebih dahulu untuk melihat kesan sampingan yang berlaku ke atas tanaman anda. Sekiranya daun terbakar atau rosak akibat semburan kurangkan dos MOL pisang anda. Tetapi jika pokok anda tidak ada tanda kerosakan bolehlah teruskan sukatan tersebut untuk tujuan penyemburan tanaman anda.

MOL pisang juga sesuai disiramkan pada batas yang belum ditanami sebarang pokok atau sayur. Caranya tambah 2 sudu mol pisang dengan 1.5 liter air dan siram batas anda secara menyeluruh dan rehatkan selama 2 minggu untuk bahan mikroorganisma bertindak balas dengan tanah tersebut. 

Selain itu, anda juga boleh menyiram pasu yang ditanam dengan bunga atau sayuran iaitu tambah 1 sudu makan dengan 1.5 liter air dan kacau sebati, siram hanya pada pasu hingga media menjadi basah atau lembab secara keseluruhan. Lakukan penyemburan dan penyiraman ke atas sayuran, batas dan media tanaman dalam pasu 2 minggu sekali dengan diselang-selikan dengan baja NPK organik yang lain. 

Sekiranya anda mempunyai batang pisang di kebun atau jiran, anda boleh menggunakan batang pisang sebagai asas atau bahan membuat MOL pisang dengan memotongnya menjadi saiz kecil dan masukkan ke dalam bekas. Semasa proses pemeraman ia mengeluarkan aroma yang kurang menyenangkan. Juga perlu diambil perhatian, setiap 2 hari atau 3 hari sila buka penutup bekas untuk membebaskan gas yang terhasil semasa proses pemeraman berlangsung dengan membuka secara perlahan-lahan penutupnya.

Booster MOL pisang sangat mudah dibuat di rumah. Jadi para pembaca diluar sana bolehlah mencuba membuat baja booster pengalak tersebut untuk sayuran anda. Lihat hasilnya, anda akan teruja dan kagum akan keberhasilan MOL pisang meningkatkan kualiti dan kuantiti tanaman anda. Apa tunggu lagi jom membuat MOL pisang.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Ahad

BENIH JAGUNG HEIRLOOM ONLINE

Tags

Jagung heirloom adalah jagung asli yang terhasil melalui proses pendebungaan secara semulajadi menerusi serangga-serangga yang menghampiri pokok jagung. Jagung heirloom mempunyai struktur dan rasa tersendiri dan berbeza dengan jagung manis.

Sesetengah jagung heirloom ini juga dipanggil jagung kampung kerana hanya petani kecil-kecilan yang sudi menanamnya. Jika ada lebih sikit, mereka akan jual buah jagung ini di tamu atau open market. Kini jagung heirloom semakin terpinggir dan tidak lama lagi akan terhapus. Ini kerana jagung manis hibrid mendapat dihati para penanam kerana cepat mendapat hasil dan tahan penyakit. 

Walau bagaimanapun tanomkinotuan ada beberapa jenis benih jagung heirloom yang boleh diperolehi dari blog tanomkinotuan dengan harga mampu milik. Terdapat 15 jenis benih jagung heirloom yang boleh anda boleh miliki dengan hanya RM29.00, sudah termasuk pos. Bagi pengemar-pengemar jagung heirloom diluar sana, anda boleh menanam 15 jenis jagung heirloom termasuk jenis jagung manis heirloom ini di kebun atau laman rumah anda dan menikmati rasa yang pelbagai dengan jagung ini. Antara benih jagung heirloom tersebut ialah:

1. Jagung manis kota belud. (25 biji)


2. Jagung pulut kelopak hijau (25 biji)


3. Jagung pulut kelopak ungu (25 biji)


4. Jagung perang kampung (25 biji)


5. Jagung pulut pandan kuning (25 biji)


6. Jagung purple Mix (6 biji - benih terhad)


7. Jagung kuning kampung (25 biji)


8. Jagung kampung putih susu (25 biji)


9. Jagung Liwan Bukit (25 biji)


10. Jagung Pulut Crocker (25 biji)


11. Jagung Waxy Black and White (10 biji - benih terhad)



12. Jagung Trusmadi kuning-putih (25 biji)



13. Jagung Ranau Borneo (25 biji)



14. Jagung Pulut Sook (25 biji)



15. Jagung Manis Thai (25 biji)



Dua daripadanya ialah jagung manis heirloom. Tanomkinotuan sertakan gambar benih agar pembaca mendapat gambaran awal setiap nama benih tertera. Tanomkinotuan beri 2 jenis benih percuma untuk pembelian benih jagung ini.

CARA TEMPAHAN:

Jika anda berminat pakej benih ini, sila bank in harga benih RM29.00 di salah satu akaun bank di bawah:

MAYBANK
No. Akaun 160090411250
Atas nama Jusery Bin Jausin

Atau

CIMB BANK
No. Akaun 7037965706
Atas nama Jusery Bin Jausin

Dan emailkan bukti pembayaran anda ke borosmomogun@gmail.com atau sms/WhatsApp bukti pembayaran ke nombor 019-5320756 (Jus) berserta:

Nama penuh:
Alamat rumah/tempat kerja:
No. Telefon:

Setelah menerima bukti pembayaran kami akan pos barangan kiriman anda dengan kadar segera.

Apa tunggu lagi tempah sekarang. Selamat bertani dan menuai hasil.


Jusery Bin Jausin
Tanomkinotuan.blogspot.com

Jumaat

PANDUAN MENANAM POKOK TOMATO CERI ANGGUR DALAM PASU

Tags


Bagi mereka yang mempunyai ruang terhad di rumah boleh menggunakan teknik menanam dalam pasu atau bekas yang sesuai. Keupayaan iklim negara kita yang panas dan lembab sepanjang tahun mendapati kita boleh berkebun bila-bila masa sahaja walaupun dalam pasu.

Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi cara menanam pokok tomato dalam pasu. Bagi mereka yang tinggal di kawasan perumahan pasu adalah menjadi pilihan. Pasu bukan sahaja sesuai tetapi juga boleh dialihkan ditempat lain jika ingin mengalihkan dari cuaca panas terik atau hujan lebat. Satu kelebihan yang tidak diperolehi daripada cara menanam pada batas. 

Tomato adalah sayuran jenis buah yang hidup pada cuaca dan suhu seperti di negara kita. Ia mudah dan hidup subur tetapi mudah diserang penyakit.

Pertama sekali anda perlukan benih tomato ceri anggur. Ceri anggur banyak dijual di supermarket atau pasar. Ambil sebiji dan keluarkan biji dari buah kemudian cuci dan keringkan sehingga kering. Lalu simpan benih tomato anggur dalam bekas kedap udara. Guna apabila perlu. Anda juga boleh membeli benih tomato anggur yang banyak dijual di nusery atau beli menerusi online yang berkelayakan dan dipercayai.

Semai benih tomato dalam bekas semaian seperti bekas KFC, pasu kecil atau kontena meggunakan media cocopeat atau peat moss atau pun pot starting mix (media semaian khas) yang boleh dibeli di kedai pertanian. Selepas 2 hingga 3 minggu barulah dialihkan ke pasu yang anda telah sediakan. 

Kemudian langkah kedua ialah sediakan media tanaman dan pasu bersaiz 18' inci ke atas tetapi saya syorkan menggunakan pasu bersaiz 24' inci ke atas. Ia penting untuk pergerakan akar pokok tomato di dalamnya. Anda boleh beli pasu-pasu yang murah serendah RM2.00 sahaja. Cari kilang atau kedai menjual pasu murah untuk save bajet anda.

Untuk media pula anda boleh beli potting soil yang murah di nusery berhampiran. Potting soil sangat bagus untuk pokok tomato anda. Ia mempunyai pengudaraan yang baik, saliran air dan terdapat ruang udara yang cukup untuk pertumbuhan pokok. Pilih potting soil yang berkualiti di pasaran. Anda juga boleh membuat sendiri potting soil sendiri di rumah di mana campurkan cocopeat, kompos dan pasir sungai dengan nisbah 2:1:1.

Untuk potting soil yang sesuai dengan pokok tomato tambah setengah mangkuk vermicast (tanah cacing), setengah genggam kapur pertanian, 2 sudu makan kulit telur ayam hancur dan 2 sudu makan potongan kulit pisang yang kering atau serbuk. Kulit telur dan kulit pisang ini sangat bagus untuk pembentukan buah pokok tomato kerana kaya dengan fosforus, kalsium dan magnesium.

Gaul media tersebut hingga sebati dan masukkan ke dalam pasu hingga penuh. Tekan sedikit media ke bawah agar lebihan ruang dapat dikurangkan. Tambah lagi hingga pasu penuh tetapi tinggalkan 2 inci dari permukaan mulut pasu untuk memudahkan anda menyiram nanti. Jika tanah penuh sangat air akan melimpah keluar nanti. 

Selepas 2 atau 3 minggu atau daun anak pokok tomato sudah berjumlah 4 helai. Bolehlah dialihkan ke pasu. Caranya, jika anda semai sebiji anak benih tomato dalam bekas. Tanam anak benih bersama tanah/media untuk kurangkan kematian anak pokok dengan membuat lubang ditengah pasu sedalam 3 inci atau mengikut saiz anak pokok. Tanam anak pokok bersama-sama tanah dan timbus semula serta padat-padatkan sedikit tanah. Kemudian siram pasu dengan air banyak lalu simpan di tempat teduh selama seminggu.

Sekiranya anda meyemai benih secara rawak anda harus menyiram anak benih terlebih dahulu untuk memudahkannya dicabut. Cabut secara berhati-hati, buat lubang ditengah pasu sedalam 2 inci atau mengikut saiz anak pokok. Tanam ke dalam lubang dan timbus semula dengan tanah lalu siram hingga media basah secara keseluruhannya. Letak pasu ditempat teduh atau tutup dengan jaring hitam selama seminggu.

Letak pasu anda ditempat strategik seperti di tepi dinding rumah anda. Tempat ini sangat bagus agar pokok tomato anda tidak terkena hujan lebat pada musim hujan. Hujan lebat kadang-kadang boleh membunuh pokok tomato anda yang menyebabkan kehadiran fungi menyerang akar pokok tomato jika tanah terlalu basah.

Selepas 2 minggu selepas dialuhkan ke pasu, anda boleh bubuh baja NPK organik dengan menanamnya ke dalam media. Caranya buat 4 lubang sedalam 3 inci, setiap lubang bubuh 1 sudu baja NPK ke dalamnya dan tutup semula. Dan siram dengan air. Kelembapan pada media mempercepatkan kulat mengurai baja tersebut untuk menghasilkan zat makanan pada pokok tomato. 

Sebulan lebih pokok tomato anda sudah belajar mengeluarkan putik bunga. Masa ini anda boleh membubuh baja buah 1 sudu yang dicampurkan dalam tanah. Pembajaan boleh dilakukan 2 minggu sekali dengan 1 sudu kecil baja organik dan semburan kompos teh, baja cecair ikan, mol pisang, EM1 dan booster roti. Harus dilakukan pembajaan secara selang seli.

Buah akan kelihatan setelah pokok tomato berusia 2 bulan di mana buahnya akan muncul di sepanjang batangnya mengikut pertumbuhan tunas baru. Pada masa ini adalah masa untuk media harus lembab untuk pokok tomato anda cukup kandungan air. 



3 minggu kemudian, buah mula bertukar menjadi kuning dan merah menandakan buah tomato ada sudah matang. Anda sudah boleh menuai hasil buah tomato anda dengan dimasak mengikut resepi anda sendiri. Pokok tomato boleh bertahan lama menghasilkan buah jika senantiasa menjaga baja dan air dalam pasu tersebut. Kini anda hanya perlu keluar rumah dan petik buah-buah tomato masak untuk bekalan dapur anda.

Apa kata tanam pokok tomato sepokok dua. Nikmatilah buah pokok tomato yang ditanam sendiri. Kenikmatan dan kegembiraan dapat dirasakan oleh penanam itu sendiri. Jom bertani.

Selamat bertani dan menuai hasil.

KODOP ATAU CENDAWAN SISIR ONLINE

Tags

Kodop atau cendawan sisir

Rakyat Malaysia sememangnya meminati memakan cendawan yang mudah diperolehi sama ada dibeli atau ditanam sendiri. Pelbagai jenis cendawan dapat dilihat dari segi warna, bentuk dan saiz yang sememangnya amat sedap dijadikan santapan seisi keluarga seperti cendawan tiram, cendawan butang, shitake, cendawan merah dan sebagainya.

Tahukah anda bahawa terdapat satu lagi jenis cendawan liar yang boleh dimakan dan tumbuh subur di pokok atau batang kayu mati. Cendawan yang dimaksudkan ialah cendawan sisir. Cendawan sisir atau nama saintifiknya ialah schizophllyum commune ini juga dipanggil mengikut kaum atau kawasan. Juga dikenali sebagai cendawan kukur oleh sesetengah tempat sememangnya diminati ramai dan juga kulat sisik.

Bagi kaum Kadazandusun, cendawan sisir atau cendawan kukur ini dikenali sebagai kodop. Istilah tersebut berasal dari kata akar 'modop' atau 'tidur'. Ini kerana apabila cendawan ini disinari matahari terik, ia akan menguncup dan kering akibat pemeluapan air pada cendawan tersebut. Oleh sebab itu cendawan ini digelar kodop kerana tidur setelah cahaya matahari berada tegak di kepala. 

Apa pun gelaran kepada cendawan ini yang pasti keenakan dan kesedapannya memang tiada tandingan. Sesiapa yang tinggal di kawasan kampung memang tahu benar akan cendawan ini. Cendawan Sisir atau cendawan kukur atau kodop ini sesuai tumbuh di negara kita yang mempunyai cuaca lembab dan panas sepanjang tahun.

Ciri-ciri cendawan sisir ialah bersaiz kecil. Berdiameter 0.10 hingga 2 cm dan tumbuh pada pokok-pokok atau batang dan tunggul kayu yang telah mati. Biasanya cendawan ini suka tumbuh pada jenis pokok yang mempunyai latex seperti pokok getah dan sebagainya. Cendawan ini akan boleh dituai setelah berusia 2 hari untuk mendapatkan hasil yang baik di mana strukturnya masih lembut dan tidak keras. Berwarna putih ke putih gelap dan berubah menjadi kecoklatan apabila sudah tua. Uniknya cendawan ini akan mengering apabila humid atau sinaran matahari terlalu terik dan panas dan mengembang semula sedia kala pada sebelah malam hingga ke pagi.

Cendawan sisir sangat disukai oleh serangga untuk memakannya. Tidak hairanlah jika dituai lambat cendawan ini akan rosak akibat serangan serangga yang memakannya.

Lazimnya kodop ini akan timbul di kayu mati atau tunggul kayu getah apabila musim hujan. Kelembapan yang tinggi diperlukan untuk pertumbuhan cendawan sisir ini. Semakin lembab pokok dan sekelilingnya serta semakin sejuk persekitarannya, semakin putih dan besar saiz cendawan ini terbentuk. Jika anda tuai sendiri cendawan ini pada pokok. Pilih cendawan sisir yang masih berwarna cerah, putih dan cantik.

Di Sabah cendawan sisir banyak dijual di tamu/open market di setiap daerah. Cendawan sisir atau kodop ini adalah bahan asas dalam resepi sayur campur bawang losun. Enak dimakan bersama jeruk bambangan mahupun kimchi jika ada atau jeruk sayuran yang lain.

Selalunya tanomkinotuan memasak cendawan sisir ini dengan bawang losun, bunga kantan, patau, ikan masin dan umbut tuhau. Juga cendawan ini sedap dicampurkan dalam resepi ayam masak patau dan juga petola ular tumis kunyit.. Ia juga amat enak dicampurkan dalam bubur nasi bersama daging ayam. Memang sedap dan menyelerakan. Bagi kaum Melayu selalunya cendawan ini dimasak gulai, masak lemak cili api, cendawan masak kuning dan sebagainya.

Mengimbau semula kenangan zaman kanak-kanak, tanomkinotuan tinggal di kaki Banjaran Crocker dan majoritinya menanam pokok getah. Apabila ada pokok getah mati maka disitulah cendawan sisir ini tumbuh mekar bagai juara. Maka kami beramai-ramai dengan membawa plastik memburu cendawan sisir dengan riang, bergelak ketawa sambil mengutip cendawan ini. Memang seronok dan menghiburkan. Jika mendapat cendawan sisir dalam jumlah yang banyak kami akan bersihkan kulit dan bendasing yang melekat dengan memotong tangkainya kemudian cuci berkali-kali. Seterusnya dijemur hingga kering dan disimpan dalam bekas kedap udara. Ia boleh bertahan hingga 3 bulan. 

Apabila ingin memasaknya, hanya ambil jumlah yang dikehendaki dan rendam di dalam air untuk beberapa minit. Cendawan ini akan mengembang 5 kali ganda seperti sedia kala dan bolehlah dimasak mengikut resepi yang disukai. Untuk maklumat cendawan ini cepat membusuk jika berkeadaan lembab.

Resepi cendawan sisir 1:

3 sudu besar minyak masak
1 cawan santan
1 biji bawang holland dihiris
200 gram cendawan sisir

Bahan kisar:

Setengah mangkuk bilis saiz kecil
1 batang serai
10 biji bawang merah
5 biji bawang putih
5 biji cili padi
2 inci halia
2 batang cili merah
1 sudu makan serbuk kunyit

Cara penyediaannya:

1. Masukkan minyak, masak hingga minyak panas.

2. Masukkan bahan kisar, goreng hingga naik minyak.

3. Kemudian masukkan cendawan sisir dan bawang holland. Kacau seketika. Masukkan santan dan kacau lagi biar sebati. Tunggu sehingga masak, angkat dan hidangkan.

Resepi cendawan sisir 2:

150 gram cendawan sisir

1 ikat bawang losun atau kucai leper dipotong 2 inci

Segenggam bunga kantan dileraikan

5 batang umbut tuhau dipotong menyerong

Setengah mangkuk biji patau atau petai

Setengah mangkuk bilis kering atau ikan masin

1 biji cili hijau atau kapsikum dipotong menyerong

1 biji bawang holland dihiris nipis

6 biji bawang merah dihiris nipis

4 biji bawang putih dihiris nipis

2 inci halia dihiris nipis

Minyak masak

Garam dan perasa.


Cara penyediaannya?

1. Panaskan kuali dan masukkan minyak masak. 

2. Masukkan bahan-bahan hirisan tersebut dan goreng hingga garing.

3. Masukkan ikan bilis, umbut tuhau dan cili hijau. Bunga kantan dan biji patau. Kacau dan masak hingga separa masak.

4. Kemudian masukkan bawang losun. Tunggu hingga masak dan hidangkan

Bagi mereka yang ingin mendapatkan cendawan sisir tetapi sukar mendapatkannya lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan bandar atau bandaraya memang sukar untuk mendapatkannya. Namun tidak perlu gusar dan bimbang. Tanomkinotuan menawarkan anda cendawan sisir dengan harga berpatutan dan mampu milik. Cendawan sisir kering boleh diperolehi di blog ini. Harga cendawan sisir mampu milik yang ditawarkan ialah:

1. 50 gram - RM8.00 


2. 100 gram -  RM15.00 (jimat RM1.00)


3. 500 gram - RM38.00 (jimat. RM2.00)


4. 1 kilogram - RM70.00 (jimat RM10.00)


Nombor 1, 2 dan 3 postage adalah RM11.00 sebungkus manakala nombor 4 pula postagenya ialah RM16.00 sebungkus.


Berminat mendapatkan cendawan sisir kering yang segar dan baharu bolehlah bank in sejumlah wang (harga cendawan dan postage mengikut rule di atas) ke no. Akaun MAYBANK 160090411250 dan emailkan bukti pembayaran ke borosmomogun@gmail.com atau whatsapp ke nombor 019-5320756 (Jus). Pengeposan barang akan di buat dengan kadar segera setelah menerima bukti pembayaran.

Apa tunggu lagi, nikmati cendawan sisir dengan resepi kegemaran anda sekeluarga. TEMPAH SEKARANG!!!!

Selamat bertani dan menuai hasil

Rabu

JAGUNG POPCORN TUMBUH BAGAI JUARA

Tags

Tuaian popcorn pertama

Jagung popcorn atau strawberry corn atau popcorn adalah pokok dalam kumpulan keluarga jagung. Namun buah popcorn mempunyai benih saiz kecil berbanding dengan variati jagung yang lain dan jarang dimakan muda tetapi perlu dimatangkan/tua barulah dipanggang dalam suhu panas untuk mengembangkannya. Boleh dijadikan peneman ketika menonton TV. Sambil mengunyah popcorn sambil menonton tayangan kegemaran.

Semasa membeli benih secara online tahun lepas, tanomkinotuan tempah dan beli benih popcorn ini. Saja tanomkinotuan mencuba sama ada pokok popcorn boleh tumbuh di sini. 

Tanomkinotuan hanya tempah 1 pek sahaja dan menanamnya dalam satu batas. Namun begitu hanya satu pokok yang membesar dengan baik dan menghasilkan buah hanya setongkol. Buah pertama jagung popcorn inilah dijadikan benih kemudian.

Ni buah yang dituai oleh tikus masa dijemur
Dan lupa diambil. Tidak ada rezeki.

Tanomkinotuan menanam semula kali kedua menggunakan benih yang dimatangkan di KBR. Namun begitu juga hanya 1 pokok yang membesar dengan jayanya, sudah berbuah dan sudah dituai. Tetapi tongkolnya kecil saja seperti bola ping pong. Benih ini juga akan dijadikan benih bagi tanaman musim ketiga akan datang. Tanomkinotuan ingin menyediakan batas sesempurna mungkin. Perlu digembur, dibubuh baja dan juga kapur pertanian. Pokok jagung tanaman kedua sebenarnya tidak terjaga dan terawat dengan baik. Lebih-lebih lagi terkena musim kemarau tempoh hari. Alamat pokok pun ketot saja pertumbuhannya.

Namun bukan rezeki tanomkinotuan. Benih tersebut hilang dibawa oleh tikus dengan lupa mengambilnya setelah dijemur dari pagi. Tanomkinotuan redha saja. 

Tanomkinotuan tidak berpuas hati, tanomkinotuan tanam lagi benih baharu menggunakan benih induk pertama. Pertama tanomkinotuan semai benih dalam cup plastik terlebih dahulu, selepas 2 minggu lebih tanomkinotuam alihkan 2 pokok popcorn ke batas di KBR dan 5 batang ditanam di hadapan rumah. Namun hanya 2 pokok yang berjaya tumbuh, 3 pokok lagi telah dijadikan medan percaturan hidup dan mati oleh cik-cik ayam mencari jarum emas yang dihilangkan oleh nenek moyangnya zaman dahulu hingga pokok jagung popcorn tanomkinotuan ranap ke bumi. Sudah tidak boleh diselamatkan lagi. Redha sajalah.



Dalam pemerhatian tanomkinotuan, jagung popcorn mudah tumbuh di negara kita, pokok tersebut memerlukan sinaram matahari penuh sekurang-kurangnya 6 jam sehari. Tahan kemarau dan cuaca panas dan musim hujan. Sama dengan ciri-ciri pokok jagung yang lain. Pokok jagung popcorn tidak menyukai tanah yang ditakungi air.

Pembajaan pula mudah 2 minggu sekali bubuh baja subur dan sebulan lebih bubuh baja buah pula, selang selikan dengan baja cecair ikan, booster roti atau kompos teh agar tanah mencapai kualiti yang diinginkan.

Bagi anak pokok popcorn yang ditanam di KBR pokoknya tidak bermasalah sangat, tumbuh dengan baik. Masalahnya anak pokok jagung popcorn yang ditanam di depan rumah. Apa tidaknya, seronok ayam-ayam tidak makan saman memakan daun-daunnya tiap hari. Seperti cacat daun pokok popcorn dikerjakan oleh ayam-ayam ini. Mengelak masalah ini tanomkinotuan mengelilinginya dengan dawai bersilang supaya kurang sikit dikerjakan daun tersebut dan boleh hidup dan membesar dengan baik tanpa masalah.

Tanomkinotuan tidak pernah memasak benih popcorn tapi mengetahui cara masak setelah berguru dengan google. Walaupun bahasa English dapat 9 waktu peperiksaan SPM tetapi hendak juga terhegeh-hegeh membaca dalam bahasa English. Pura-pura faham dengan rasa konfidentnya. Haha....

Kini tanomkinotuan tunggu pokok popcorn yang sedang membesar di laman rumah. Ada 4 pokok semuanya. Mudah-mudahan buahnya bersaiz besar dan matang dengan jayanya.

Selamat bertani dan menuai hasil.

SUASANA SUNDAY MARKET GAYA STREET DI KOTA KINABALU

Tags

Tanomkinotuan berada di Kota Kinabalu selama 4 hari 3 malam. Tanomkinotuan menghantar tempahan benih dan pokok langsung di pintu rumah. 2 tempahan dari Putatan, 4 dari papar dan 5 dari Likas. Terima kasih semua kerana menempah benih dari blog tanomkinotuan. Penghantaran by hand sebenarnya jarang tanomkinotuan lakukan. Ini kerana biasanya menggunakan pos laju sahaja. Tambah-tambah tanomkinotuan ke KK untuk bersantai dihujung-hujung tahun ini. Bolehlah hantar terus kepada pelanggan. 

Tanomkinotuan juga berjumpa dengan kawan-kawan sekuliah di UMS dulu. Banyak cerita keluar dan ketawa kegembiraan. Terima kasih sahabat, semoga persahabatan ini terjalin kukuh sampai bila-bila.

Ahad pagi, tanomkinotuan bersiap-siap untuk ke Sunday Market Gaya Street. Banyak sekali barang, sayuran, pokok buah, buah-buahan dan sebagainya dijual dengan pengunjung juga terlalu ramai, sesak jadinya. Oleh kerana penat masih terasa, idea terbantut pula hanya gambar menceritakan segalanya.






Bahagian jualan sayuran dan herba tersorok sikit dari laluan lazim. Bahagian ini selalunya petani tanam sendiri sayuran mereka. Bermacam-macam jenis sayuran yang boleh dibeli. Warga Kota Kinabalu berhampiran akan mencari barang keperluan mereka di sini, sayur-sayuran, buah-buahan, pokok dan juga pelbagai keperluan dapur. Tidak lupa juga pelancong dalam dan luar negara mengambil bahagian untuk meninjau dan mencari pengalaman suasana sunday market.

Keluar dari bahagian sayuran dan herba, kita akan bertemu dengan seksyen menjual kraftangan dan mutiara. Harga sangat berpatutan dan mampu milik. Pelbagai bentuk mutiara dan aksesori wanita ada dijual disini. Majoriti pelancong dari semenanjung berkunjung ke Gaya Streets ialah ingin memborong aksesori ini. Sehingga berbox-box pun ada, rasanya mereka jual kembali setibanya di tempat masing-masing.

Selain mutiara, terdapat juga pakaian lelaki dan wanita yang boleh dipilih mengikut selera masing-masing. Kraftangan versi Sabah boleh didapati dengan banyak. Anda boleh memilih untuk dijadikan canderamata atau hiasan rumah.








Saya sebenarnya datang ke sini semata-mata mencari pokok rerama hijau. Sudah tawaf 3 kali tidak berjumpa pokok yang dihajati. Tanomkinotuan sudah berputus asa, maka untuk redakan kekecewaan tanomkinotuan mencari pokok atau benda yang boleh di bawa pulang. Sekurang-kurangnya pokok yang memberi hasil buah atau daun pucuk yang dimakan. 

Tanomkinotuan bertawaflah kawasan tamu mencari pokok yang disukai. Terlihat tanomkinotuan pokok bidara, tanomkinotuan beli sepokok. Pokok bidara ini sudah mengeluarkan kudup bunga. Hanya tunggu hasilkan buah dan membesar. Haha

Sekali lagi berjalan lenggang kangkong terjumpa pokok herba rosemarry. Tanonkinotuan deal dengan penjual dan beli. Pokok rosemarry masih kecil lagi tetapi akan tanomkinotuan jaga hingga besar untuk pembiakan di kemudian hari. Sekali lagi berjalan meninjau sekeliling, tanomkinotuan terjumpa anak pokok kacang tanduk air. Gembira tidak terkata, apa tidaknya sudah lama tanomkinotuan mencari pokok ini. Bolehlah hiaskan kolam seciput di belakang rumah tanomkinotuan. Sebelum ini kolam tersebut sangat tidak mesra penguna, berhantu pun iya. 

Seterusnya berjumpa dengan pokok halau nyamuk. Tanomkinotuan angkat sepasu. Baunya seakan-akan bau racun serangga. Harap bergetarlah lutut kaki tangan sang nyamuk-nyamuk tu nanti agar tanomkinotuan pun tidur dengan nyenyak... Hehe


Pokok buah bidara 


Rosemarry


Pokok kacang tanduk air

Pokok halau nyamuk

Cukuplah 3 benda ni ada dalam tangan ada masa tanomkinotuan tambah lagi koleksi tanaman yang boleh dibeli di sana, tambah dengan baja tinja ayam panggang, baunya masyallah sedap. I tell you, tak berbau langsung seperti yang anda fikirkan. Mereka campurkan sejenis serpihan kayu untuk menyahbau baja tinja ini. Aromanya seakan-akan bau sinalau (daging panggang...bangat po hahahahaha). Kalau tidak cukup keimanan dalam diri, tanomkunotuan sudah borong benda-benda yang disukai. Tapi kenalah berhemat berbelanja tambah-tambah ekonomi kita sekarang ini sangat-sangat tidak sihat. RM1.00 bersamaan dengan $0.22 something.  Jadi berhemah berbelanja adalah terbaik.

Kepada mereka yang ingin merasai suasana mesra Sunday Market Gaya Street ini bolehlah berkunjung ke Kota Kinabalu setiap hari Ahad. Dan rasailah suasana yang menghiburkan. Apa tunggu lagi jom ke Gaya Street pada hari Ahad....

Selamat bertani dan menuai hasil