Jumaat

PERKEMBANGAN POKOK ZUCCHINI CROCKNECK KUNING MUSIM KETIGA

Tags



Ini kali ketiga tanomkinotuan menyemai dan menanam pokok zucchini crockneck kuning yang jarang-jarang ditanam di negara kita. Adapun yang menanamnya hanya bersifat individu dan hobi ditanam di laman rumah. Tanomkinotuan tidak terkecuali dengan mencuba menanam zucchini crockneck kuning ini. Sudah 3 kali penanaman benih zucchini crockneck dan belum ada masalah teruk berlaku ke atas pokok kecuali daun dimakan belalang dan buah dibaham ulat pengorek buah.

Ramai diluar sana berpendapat pokok zucchini hanya boleh tumbuh di negara-negara 4 musim dan tidak tumbuh baik di negara kita. Sehingga kesanggupan dan keinginan untuk mencuba menanamnya terbantut. Harga sebiji zucchini yang dijual di pasaraya agak mahal kerana permintaannya melebihi penawaran.

Dan ramai sahabat tanomkinotuan di Facebook cuba bertanya iklim dan cuaca tempat tanomkinotuan yang mana bersuhu sejuk dan terletak di kawasan tanah tinggi. Tanomkinotuan tinggal di Daerah Keningau, salah satu daerah yang terdapat di kawasan pedalaman Sabah. Tapi Keningau juga sama seperti tempat-tempat lain, mengalami arus pemodenan dan kemajuan. Pokok-pokok setiap hari ditebang untuk memberikan laluan pembinaan dan perladangan sehingga suhu naik mendadak. Kini Keningau juga agak panas. Bahangnya boleh membakar kulit.

Ketahuilah bahawa pokok zucchini adalah tanaman musim panas (summer squash crop) bermaksud ia ditanam di negara-negara 4 musim pada tempoh musim panas dan bukan ditanam pada musim sejuk, salji atau musim bunga. Pokok zucchini akan mati pada suhu terlalu sejuk. Dengan mempelajari sifat pertumbuhan dan cuaca yang sesuai untuk pertumbuhan pokok tersebut, kesimpulannya pokok zucchini boleh hidup subur ditanam di negara kita kerana iklim panas dan lembab sepanjang tahun malah menariknya pokok zucchini boleh ditanam di negara kita sepanjang tahun tanpa masalah, jadi mengapa kita tidak mencuba untuk menanamnya? Tentulah pokok zucchini lebih baik pertumbuhannya di kawasan tanah tinggi dan bersuhu sejuk tetapi jika kena caranya pokok zucchini boleh membesar dan berbuah lebat jika ditanam di kawasan tanah rendah. 

Ciri yang perlu diketahui oleh semua ialah pokok zucchini merupakan pokok yang high feed (penggunaan baja nutrient adalah tinggi). Tidak boleh berjimat cermat menggunakan baja jika menanam pokok zucchini kerana pertumbuhan pada tahap maksimum, pokok cantik dan sihat adalah bergantung kepada keseimbangan jumlah baja/zat makanan dalam tanah yang sangat tinggi. Pokok zucchini boleh membesar sehingga 3 inci dalam sehari dan daun pokok zucchini membesar kira-kira 6 inci dalam masa 2 hari. 

Oleh itu untuk mendapatkan pokok zucchini yang sihat dan cantik, media harus cukup zat makanan. Sebelum menanamnya harus menambah 1 kilo kompos atau baja organik ke dalam tanah dan digaul hingga sebati. Rehatkan tanah tersebut selama 1 minggu dan barulah anak pokok zucchini ditanam ke dalam batas. Selepas 2 minggu dialihkan ke batas, tambah semula kompos di sekeliling.pangkal pokok seperti bukit. Lebih elok menggunakan kompos kelapa sawit atau tumbuh-tumbuhan kerana ia sesuai untuk pembentukan batang, dahan, tangkai daun dan akar untuk membesar dengan baik. 

Bagi pembuahan pula anda boleh meletakkan baja alfalfa atau serbuk kulit telur hancur. Juga menggunakan baja organik yang lain untuk tujuan pembuahan yang bantak. Tanah harus senantiasa lembab untuk memudahkan akar menyerap nutrient.  Jangan terlalu basah pula. Pokok zucchini sesuai disiram 2 kali sehari agar media tidak terlalu basah dan juga tidak terlalu kering. 


Pengalaman tanomkinotuan menanam pokok zucchini ialah penjagaannya tidaklah serumit mana. Hanya bubuh baja npk organik 2 minggu sekali. Walaupun pokoknya sudah berbuah pembajaan yang konsisten harus dilakukan mengikut jadual yang diselang selikan dengan baja buah organik dan booster roti, kompos teh dan baja cecair ikan.

Tanomkinotuan juga akan menimbus semula kali kedua dengan kompos di pangkal pokok zucchini untuk mengalakkan batang atasnya berakar untuk pokok tumbuh dengan baik. 

Cuma yang perlu diambil perhatian sedikit ialah benih yang dibeli. Rata-rata benih zucchini yang dijual adalah benih import di mana ditanam ditempat asalnya. Oleh itu, apabila benih tersebut ditanam di negara kita benih mengalami kejutan cuaca dan suhu menyebabkan berlaku gangguan untuk bercambah. Kes ini boleh diatasi dengan mengubah tektik percambahan. Guna cocopeat atau peat moss yang dimasukkan ke dalam cup plastik. Masukkan benih zucchini dengan menanam secara mengiring di permukaan media, separuh terbenam dan separuh lagi terkeluar dari permukaan. Letak cup plastik tersebut ditempat terkena cahaya matahari pada waktu pagi. Media harus lembab dan tidak terlalu basah.

Ia bukan sahaja cepat membesar tetapi selang 3 minggu lebih anda sudah boleh melihat bunga jantan dan betina yang membesar sebagai buahnya. Tanomkinotuan pernah memetik beberapa bunga jantan untuk dijadikan goreng tempura. Ranggup dan lembut untuk dikunyah. Memang terbaik. Masak tumis dan sup juga sedap. Begitu juga dengan campuran dalam topping pizza. Menyelerakan dan memang sedap.

Adakah anda berminat menanam pokok zucchini? Adakah anda ingin mencubanya? Tanam pokok zucchini di laman rumah anda, lihat hasil buahnya yang cukup memikat.

Selamat bertani dan menuai hasil. 

TEKNIK MEMBUAT PEGGING POKOK MULBERI

Tags


Masalah jerebu melanda negara kita belum reda sepenuhnya malah semakin teruk dialami di satu-satu tempat. Diminta semua jaga kesihatan, guna penutup muka ketika keluar rumah dan banyakkan minum air. Masalah jerebu yang tebal boleh menghalang sinaran matahari sampai ke bumi dan kesan sampingan kepada tumbuhan untuk melakukan proses fotosintesis. Harap masalah ini cepat-cepat berlalu.

Hari ini tanomkinotuan ingin berkongsi cara membuat pegging yang sangat asas kepada pembaca yang inginkan pokok tanaman berbuah lebat dan bertunas banyak. Selalunya peniaga-peniaga bunga sering melakukan teknik ini kepada bunga kertas, bunga raya untuk kelihatan cantik dan dilihat seperti bonzai. Ini bagi yang sudah berlevel tinggi. 

Teknik pegging ialah teknik menurunkan, membengkokkan, melingkarkan batang tumbuhan ke bawah dengan menggunakan tali rafia, dawai halus atau tali sesuai untuk mengekalkan kedudukan batang pokok yang dikehendaki. Tujuan pegging ialah untuk mengalakkan bunga dan buah pada tanaman tersebut menjadi banyak dari yang biasa. Teknik pegging boleh dilakukan pada tanaman jenis berbatang sederhana keras seperti mulberi, bunga ros, bunga kertas, jambu batu, jambu bol dan sebagainya. 

Tanomkinotuan telah mencuba teknik pegging ini kepada pokok mulberi untuk mendapatkan buah yang banyak di kemudian hari. Masa sesuai untuk melakukan pegging untuk pokol mulberri ialah ketika pokoknya masih muda di mana ia mudah dilenturkan mengikut kesesuaian. 

Pertama, pilih batang mulberri yang mahu dipegging. Cantas batang yang kurang elok, berpenyakit dan kurus. 


Potong daun-daun pada batang yang ingin dilenturkan atau dipegging. Supaya tunas, bunga dan seterusnya buah baharu akan cepat keluar dan banyak.


Seterusnya lakukan lenturan secara berhati-hati dan perlahan-lahan ke bawah dengan mengikatnya dengan tali rafia dan tali rafia tersebut diikat pula pada pangkal pokoknya atau pacakkan kayu berhampiran pokok untuk tempat mengikat tali tersebut. 


Anda boleh juga mengaplikasikan pelbagai teknik lenturan mengikut saiz dan tinggi pokok anda. Contohnya melingkarkan batang pokok mulberi secara round table (bulatan) atau bengkokan batang. 


Bagi mereka yang menanam pokok mulberri dalam pasu atau kontena juga boleh membuat teknik pegging pada pokok mulberi anda. Lagi mudah kerana saiz pokoknya tidak terlalu besar dan tinggi. Hanya luruhkan daun dan hanya tinggalkan daun pucuknya. Pegang salah satu pucuk pokok dan jatuhkan ke bawah secara perlahan-lahan. Dengan menggunakan tali ikat hujung tali pada pucuk pokok mulberi (pastikan jangan ketat sangat) seterusnya hujung tali yang satu lagi ikat pada batang pokok mulberi atau pada kayu yang dipancang. Biar batang pokok mulberi tersebut melengkung ke bawah. 


Selain pokok mulberri pokok bunga kertas dan bunga ros juga boleh dipegging untuk dapatkan banyak bunga pada pokoknya. Teknik pegging adalah kemajuan sains dalam bidang pertanian yang boleh kita praktikkan untuk kebaikan bersama dan boleh mendapat hasil yang lebih lumayan. Adakah pokok mulberi anda dipegging?


Selamat menuai bertani dan menuai hasil.

Khamis

PANDUAN MENCAMBAHKAN BATANG CEKUR MANIS

Tags

Tentu ramai pembaca di luar sana meminati sayur cekur manis. Ia bukan saja sedap malah cepat disediakan dan cepat masak. Bagi tanomkinotuan memasak maggie laksa asam akan dicampurkan segenggam daun atau pucuk cekur manis ini sudah cukup dan sangat menyelerakan. Apa kata belajar cara-cara mencambahkan keratan batang cekur manis untuk ditanam di dalam pasu atau di atas tanah di laman rumah.


Dapatkan cekur manis yang boleh dibeli di pasar atau minta dari kawan anda. Lurutkan daunnya dari pangkal tangkai daun ke bawah. Ia mudah dan kerja pun cepat. Daun dan pucuk tersebut bolehlah dimasak ikut selera pembaca.


Beginilah keratan batang cekur manis setelah dibuka daunnya. Seterusnya dengan menggunakan pisau, potong tangkai daun sependek mungkin hingga selesai. Hati-hati jangan mencederakan tempat keluar tunas itu.


Setelah tangkai daunnya dipotong. Ia lebih praktikal dan kemas.


Guna gelas atau apa-apa bekas yang sesuai, isikan air bersih setengah gelas dan rendam keratan batang cekur manis di dalamnya. Tunggu sehingga dua minggu untuk pengakaran dan tunas baharu muncul.


Lihat akarnya sudah pun keluar dari batang cekur manis. Buang keratan batang yang mati atau tidak bertunas.



Beginilah hasilnya. Kini keratan batang cekur manis sudah berusia 2 minggu 2 hari. Keratan ini sudah mengeluarkan akar dan tunas yang baru dan bolehlah dipindahkan ke pasu atau polibag saiz besar. Seelok-eloknya tanam sebatang cekur manis untuk 1 pasu atau polibag. Simpan polibag ditempat teduh selama 1 minggu untuk menguatkan akar pokok dan tidak layu/mati terkena sinaran matahari yang terik. Selepas seminggu kemudian barulah dialihkan di kawasan terbuka. 

Tunggu tunas pokok cekur manis anda panjangnya kira-kira 9 inci barulah dituai. Petik tunas tersebut kira-kira 3 inci dari pangkalnya untuk memberi ruang pertunasan semula. Ia akan bertunas selepas itu malah semakin rimbun.

Selamat bertani dan menuai hasil.

BENIH ASPARAGUS BERCAMBAH DITEPI POKOK TUTAN HITAM

Tags


Pada awal bulan April yang lepas, tanomkinotuan ada menuai buah asparagus yang sudah dikira matang tetapi tidaklah berwarna merah seperti yang ditonton di youtube mahupun blog-blog berbahasa English. Namun tanomkinotuan optimis keadaan ini dan ingin menyemai benih tersebut pada cup plastik yang memang tersedia tersimpan di dalam stor. 

Oleh kerana masih ada kerja-kerja yang perlu dibereskan tanomkinotuan letakkan benih-benih asparagus itu terlebih dahulu di atas batas hanya beralaskan sehelai daun dan menyambung semula kerja-kerja yang terbengkalai. Tiba-tiba mendung awan sejak tadi mencurahkan titisan-titisan hujan yang semakin lebat. Apa lagi tanomkinotuan mwnyimpan segala baja dan alatan pertanian dan bergegas kembali ke rumah hingga terlupa membawa benih asparagus yang dituai tadi.

Keesokan harinya tanomkinotuan kembali semula ke KBR untuk mengambil semula benih asparagus tetapi malangnya sudah tidak kelihatan di tempatnya, mungkin dibawah arus hujan lebat tidak tahu sudah ke mana. Tanomkinotuan pasrah saja bukan rezeki kali ini.

Pada petang tadi, tanomkinotuan menuai sawi putih taiwan sambil mencabut rumput rumpai di tepi batas, terpandang tanomkinotuan satu pokok yang sangat dikenali. Walaupun sebelum ini tidak pernah menyemai benih asparagus melainkan membeli anak pokok asparagus dari orang lain tetapi tanomkinotuan boleh mengecam anak pokok asparagus elok tumbuh bersebelahan dengan pokok tutan hitam/meranti hitam. Teruja dan gembira tidak terkata. Tercari tanomkinotuan kalau-kalau masih ada anak pokok asparagus yang lain tetapi hampa. Namun satu pokok ini pun sudah memadai di mana tanomkinotuan akan tuai buah asparagus matang untuk pembenihan masa akan datang. Lagi pula sepokok asparagus di KBR kini galak berbuah.

Dengan berhati-hati tanomkinotuan korek anak pokok asparagus tersebut bersama tanah dan pindahkan ke polibag bersaiz besar. Harap bolehlah hidup subur kiranya. Anak pokok asparagus tidak mudah mati kerana sememangnya akar asparagus mampu hidup dalam tanah yang lembab dan kaya nutrient. Simpan polibag tersebut di bawah lindungan matahari selama 1 minggu barulah dialihkan ke tempat terbuka bagi pertumbuhan yang sihat.



Tuaian sayuran di KBR yang terbaru. Sawi putih taiwan, pucuk cekur manis, kacang panjang hijau, terung hijau bulat. Dan juga florence fennel. Dapatlah memberikan bekalan sayur kepada dapur tanomkinotuan sekeluarga. Sawi putih taiwan ini sudah dimasak semalam, masak sos tiram dengan udang kering. Resepi ringkas dan menyihatkan. Emak tanomkinotuan sangat menyukai sawi putih taiwan. Sayur kegemaran paling utama.

Fennel tu baru saja digunakan untuk masak sup daging dan semasa entry ini ditulis, sup daging masih di atas dapur gas dengan menyebarkan aroma yang cukup memikat dan mengujakan. Pokok fennel sangat beraroma yang ringan. Sesuai ditambah dalam masakan berasaskan sup daging dan ayam atau sebagai pelengkap dalam pelbagai resepi salad. Aroma yang hangat dan menyelerakan hingga menambah sepingan dua nasi. Haha.

Pokok kacang panjang hijau kini diakhir musim tuaian. Pokoknya mula menguning dan produktiviti buahnya juga berkurangan. Ini menandakan pokok kacang panjang tidak lama lagi akan mati. Tanomkinotuan akan mencabutnya dan mengembur semula batas tersebut untuk ditanam jenis sayuran/tanaman lain. Namun begitu tanomkinotuan sudah pun menanam beberapa pokok kacang panjang hitam untuk kelangsungan bekalan kacang panjang ini dan akan menyemai semula benih kacang panjang variati galaxy di kemudian hari. 

Terung hijau bulat dapatlah dua biji kelmarin. Boleh ditambah dalam apa-apa masakan yang sesuai nanti. Mungkin malam ini ingin memasak kari daginglah pula memandangkan banyak daging tersimpan dalam peti sejuk semasa pembahagian daging korban raya haji yang lepas. Jadi bolehlah dicampurkan sekali buah terung hijau bulat itu nanti. 

Kepada mereka yang ingin mendapatkan benih kacang panjang hitam, benih kacang panjang hijau dan benih terung hijau bulat hantar email ke borosmomogun@gmail.com untuk info selanjutnya. 

1. Kacang panjang hijau - RM2.50
2. Kacang panjang hitam - RM2.50
3. Terung hijau bulat -RM2.90

Bagi mereka yang ingin merasa pengalaman menanam pokok asparagus di halaman rumah sendiri, apa kata mencuba menanam akar asparagus/crown dari KBR. Asparagus variati Mary Washington hanya RM75 untuk satu akar pokok. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Rabu

POKOK FIG/TIN POKOK PADANG PASIR YANG DIBERKATI

Tags

Kiriman anak pokok fig

Zaman kanak-kanak tanomkinotuan sangat menarik dan meriah. Walaupun hidup dalam suasana persekitaran kampung tetapi kehidupan kami seperti kanak-kanak yang lain. Permainan pun gaya kampung juga seperti bermain gasing, bermain sumpit daripada buluh, bermain ting ting, mencipta senapang dari buluh (nasib tidak menjadi penjenayah antarabangsa haha) dan sebagainya.

Masa kanak-kanak inilah sebelah petang tanomkinotuan mengikuti sekolah agama yang diadakan di kampung oleh seorang ustazah juga berasal dari kampung ini.  Selepas balik dari sekolah harian bergegas semula ke sekolah agama. Bergemalah kelas tersebut dengan alunan bacaan surah-surah lazim yang sememangnya tiap hari disuruh oleh ustazah kami. Salah satu surah yang berkesan di hati tanomkinotuan ialah surah At-Tin, Surah pokok Tin atau fig tree. Nama pokok ini tersurat dalam Al-Quran Al-Karim juga pada kitab-kitab sebelumnya.


Inilah pokok yang sangat diidam-idamkan oleh tanomkinotuan. Selain mengumpul pokok herba, menanam sayuran dan pokok bunga dari spesis keladi tanomkinotuan juga ingin mengumpulkan jenis-jenis pokok fig atau pokok tin. Sangat teruja dan menarik apabila membaca blog-blog sahabat di internet mengenai pokok fig ini. Mereka sangat berjaya menanam pokok fig secara individu atau secara ladang hingga berbuah, pelbagai jenis dan variati yang boleh dilihat dan dibaca dalam blog rakan-rakan lain.


Pokok fig mempunyai bermacam-macam warna buahnya seperti ungu, kuning, oren dan lain-lain. Nama panggilan mengikut variati juga pelbagai. Sampai naik pening kepala tanomkinotuan mengingatnya.

Dengan saranan seorang rakan, beliau memperkenalkan penanam pokok fig ini kepada tanomkinotuan di facebook. Dengan demikian, tanomkinotuan periksa satu persatu rakan penanam di FB secara teliti dengan tujuan pertama melihat jenis-jenis fig yang mahu dibeli dan kedua ialah melihat harga yang berpatutan. Secara kesimpulannya, harga pokok fig bukanlah murah di pasaran. Rata-ratanya mencecah RM80 ringgit ke atas malah ada harga yang mencecah RM120 sepokok. Harganya juga meningkat mengikut variati pokok fig.



Selesai ditanam di dalam pasu

Setelah mencongak ke kiri dan mencongak ke kanan maka tanomkinotuan berhubung dengan ahlinya. Hari isnin lepas barang tempahan sudah pun tiba di tangan tanomkinotuan. Pokok fig jenis Black Ishia Fig ini telah ditut untuk pengakaran dan bukannya dipangkas atau ditanam dalam media. Tanomkinotuan teruja melihat media yang digunakan untuk pentutan di mana media sangat hitam dan peroi jenisnya. Tiba di rumah tanomkinotuan sediakan pasu bersaiz besar dan masukkan potting soil ke dalamnya. 

Namun sebelum itu, ada tanomkinotuan membaca artikel-artikel mengenai panduan menanam pokok fig. Maklumlah ini pertama kali menanam pokok ini seumur hidup. PH media yang sesuai bagi penanaman pokok fig ialah 6.3 hingga 6.5. Pokok fig menyukai media yang peroi kaya nutrient dan tidak menakung air. Pokok fig akan layu dan mati jika media yang digunakan untuk pokok tersebut sekiranya media terlalu basah atau sangat-sangat menakung air. Tambah sekam padi bakar untuk media yang berkualiti dan tidak menakung air secara berlebihan. Selamatlah pokok fig tanomkinotuan untuk seketika. 

Hanya saja menunggu perkembangan tumbuhbesarannya. Untuk ketika ini tanomkinotuan tidak mahu bercakap banyak. Apa-apa pun boleh berlaku terhadap pokok fig ini. Semoga pokok fig tanomkinotuan hidup dengan baik. Sementara itu, ia di simpan dalam rumah konon-kononnya untuk keselamatan. Baru saja ditanam dalam pasu dan belum mampu untuk bertahan dari sepak terajang cuaca ekstrim dan kelakuan liar dari ternakan ayam dan kucing. Hehe... Bombastik punya bahasalah pula.

Selain pokok fig, ada bersama tempahan tempoh hari ialah pokok mulberri putih panjang. Juga ditempah dari orang yang sama. Variati mulberri merah sudah ada malah dah muntah-muntah makan, gugur sendiri buahnya yang ranum sudah tidak larat untuk memetik dan mengunyah. Tanomkinotuan mahu makan pokok mulberri dari variati yang lain pula. Barulah boleh cakap hidup ini memang ceria. Hahaha

Pokok mulberi putih masih dalam polibag tidak dialihkan ke mana-mana tempat. Biarkan dulu pokoknya. Bila sudah sesuai dialihkan barulah dipindahkan ke tanah saja lebih sesuai. 

Kini tanomkinotuan sudah mempunyai sepokok pokok fig dari Black Ishia Fig sebagai permulaan. Pada masa akan datang tanomkinotuan tambah lagi jumlahnya dengan membeli variati yang lain pula. Bolehlah berangan-angan berada di padang pasir nan panas walaupun sekitarnya nan menghijau oleh rumput kerbau.

Selamat bertani dan menuai hasil.

PANDUAN MEMBUAT BOOSTER BAJA ROTI

Tags


Hari ini tanomkinotuan ingin berkongsi satu lagi jenis baja cecair yang boleh dibuat sendiri di rumah. Baja booster untuk segala tanaman dari sayuran, herba, buah-buahan dan bunga-bungaan. Bahan-bahan asas pun mudah diperolehi dari dapur anda. 

Banyak jenis baja booster yang boleh diperolehi di pasaran sama ada dalam botol kecil atau dalam gelen bersaiz besar di mana berfungsi untuk menambah kesuburan dan kualiti tanaman anda. Selain menggunakan baja jenis felet atau bebola kecil kita juga boleh mempelbagaikan penggunaan baja untuk keputusan yang maksimum, contohnya baja booster buatan sendiri. Lagipula ianya jimat dan senang dibuat. Booster baja mudah diserap oleh daun yang disembur padanya menyebabkan daun tanaman lebih hijau, lebar dan sihat. Berikut adalah panduan dan langkah-langkah membuat booster dari roti (bread):

Alatan yang diperlukan:

1. Botol mineral 1.5 liter

2. Alat penapis  (diguna selepas seminggu penjerukkan bahan)

3. Botol mineral 1.5 liter yang baru atau bekas yang sesuai.

4. Bekas spary atau alat penyembur.


Bahan-bahan yang diperlukan:

1. 1 keping roti masimo (atau apa-apa jenama).

2. 200 gram gula perang/gula merah/mollusa.

3. Tiga sudu besar susu segar (optional).

4. Air tanpa-klorin 1.4 liter


Cara penyediaannya booster roti:

1. Sediakan air bersih tanpa klorin, guna air hujan atau air kolam. Namun jika menggunakan air paip berklorin, pastikan direhatkan air tersebut dalam baldi selama dua hari pada cahaya matahari atau ditempat terbuka barulah digunakan.

2. Carik-carikkan roti pada cebisan kecil dan dimasukkan ke dalam botol yang disediakan.

3. Tuang susu segar ke dalam botol.

4. Masukkan gula perang ke dalamnya sehingga selesai.

5. Seterusnya tambah jumlah air ke dalam botol tetapi jangan terlalu penuh. Tinggalkan ruang kira-kira 2 inci untuk ruang udara dan gas.

5. Tutup botol dan goncang botol tersebut seketika dan simpan di tempat selamat untuk penjerukan selama 7 hari.

6. Setiap 2 atau 3 hari diminta untuk membuka penutupnya agar gas dapat dibebaskan. Apabila gas terkumpul dengan banyaknya di dalam botol menyebabkan berlaku letupan dan juga mengalami masalah pada masa membuka tutup botol pada hari ke-7.

7. Anda boleh mengelak masalah ini dengan menebuk penutup botol ditengahnya untuk membebaskan gas yang dihasilkan.

8. Selepas 7 hari, booster roti anda sudah selesai. Tapis booster roti anda untuk mengasingkan sisa roti yang tidak hancur dan simpan booster roti anda dalam bekas yang lain. Dengan ini anda sudah boleh menggunakan booster anda untuk tanaman anda.

Cara penggunaannya ada dua cara pertama ialah masukkan 1 tutup botol booster roti dengan 100 ml air, kacau seketika. Cara kedua, tidak perlu tambah air atau apa-apa. Masukkan ke dalam bekas spray atau alat penyembur dan semburlah pada tanaman anda secara merata dan keseluruhan pokok, daun, batang, ranting dan pangkal pokoknya. Boleh disembur pada setiap hari, sekali dalam 2 hari sekali dalam 4 hari atau seminggu sekali. Terpulang pada anda mana masa yang sesuai untuk anda.

Penyemburan harus dilakukan pada waktu pagi atau waktu petang agar dapat mengurangkan masalah sampingan yang mungkin dihadapi pada tanaman anda. Jika hujan berlaku, sembur semula tanaman anda untuk keputusan yang memuaskan. 

Resepi asal baja booster roti tidak menggunakan susu segar dan gula perang hanya sekeping roti dan 1.5 liter air tanpa klorin peram 4 hingga 7 hari. Ada yang berpendapat bahawa booster baja roti tidak perlu ditambah lagi dengan air cuma sembur atau siram pada tanaman, tanomkinotuan menambah susu segar dan gula untuk menambah lagi kualiti booster tersebut untuk tanaman di KBR. Cubalah resepi baja booster roti ini, anda akan tahu hasilnya yang amat membanggakan.

Selamat bertani dan menuai hasil. 

Isnin

POKOK KENTANG BERCAMBAH DI KBR

Tags


Siapa tidak mengenali ubi kentang, antara bahan yang banyak digunakan dalam masakan dapur kita seperti ayam masak kari, sebagai campuran dalam donat goreng, sebagai bahan pemekat kuah dan juga sebagai bahan resepi begedil. Gorengan kentang yang ranggup dicicah dengan sos cili memukau selera. 

Nama saintifik ubi kentang ialah Solanum tuberosum (English: potato) ini adalah berasal dari Negara Peru dan Bolivia yang dibawa oleh penjajah Spain pulang ke negara asalnya dan mula tersebar ke seluruh belahan dunia. Kini ubi kentang adalah makanan ruji bagi sebahagian negara di dunia kerana kandungan kaborhidratnya menyamai kaborhidrat yang ada pada bijirin lain.

Tanomkinotuan telah mencuba untuk menanam ubi kentang di KBR. Ini hanya percubaan yang pertama untuk melihat sejauhmana pokok kentang mampu beradaptasi dengan cuaca di negara kita. Tidaklah tanomkinotuan teruja untuk menanam cumanya terdapat hirisan kulit kentang di atas meja tempohari oleh emak tanomkinotuan yang memasak resepi kari daging. Jadi tanomkinotuan telah memilih kulit kentang yang agak tebal sedikit bersama tunas yang sedia ada pada kulit tersebut. 

Namun pertama sekali adalah tanomkinotuan simpan dalam cup plastik berisi potting soil bersama benih sawi kerinting. Oleh kerana potting soil tersebut senantiasa lembab kerana siraman yang konsisten untuk pertumbuhan benih sawi tersebut menyebabkan kulit kentang bertunas itu juga mendapat manfaatnya di mana kulit kentang tersebut tidak mati tetapi tunasnya membesar dengan baik. Pada masa itu akar kentang belum keluar lagi. Sementara di KBR tanomkinotuan telah membuat batas untuk tanaman sawi putih taiwan yang telah direhatkan selama seminggu setelah dibubuh baja. 

Kira-kira mata tunas kentang sudah bersaiz setengah inci, tanomkinotuan alihkan ke batas dengan mengorek sedalam 2 inci dam menanam kulit kentang bertunas dengan menghalakan mata tunas ke atas lalu ditimbus semula dengan tanah. Masa ini batas tersebut telah ditanam dengan sawi putih taiwan dan sudah mencecah usia 2 minggu. 

Sekembalinya tanomkinotuan ke rumah jumaat lepas, dapat dilihat tunas kentang sudah pun keluar dan nampak elok seperti gambar di atas itu. Pada masa ini di tempat tanomkinotuan setiap petang hujan mencurah-curah berserta angin kuat. Untuk pengetahuan semua, pokok kentang alah dengan hujan lebat, pokoknya akan reput jika tanah atau batas tersebut terlalu basah. Namun pada permulaan percambahan pokok kentang menyukai hujan yang banyak. Oleh yang demikian batas harus dibuat agar lebihan air hujan tersebut dapat dikurangkan atau membuat atap daripada plastik lutsinar agar pokok kentang tidak terkena hujan secara langsung.

Pokok kentang hidup subur pada jenis tanah yang peroi, sedikit berpasir dan kaya dengan zat makanan. Pokok kentang juga perlu ditimbus dengan tanah disekeliling pangkal pokok untuk memberikan kelebihan pokoknya berisi dengan banyak.

Akar Jewels of Opar

Pokok jewels of opar di KBR juga sudah dituai induk pertamanya. Tanomkinotuan tuai 3 pokok yang ditanam dalam polibag. Jewels of opar adalah variati ginseng jawa cuma berbeza kudup bunga di mana bunga jewel of opar bersaiz kecil dan buahnya berbentuk bulat kecil sedikit berbanding dengan ginseng jawa. 

Asalnya tahun lepas tanomkinotuan ambil anak pokok jewels of opar dengan kawan dan ditanam di KBR. Kini pokok itu sudah kira matang kerana batangnya bertukar menjadi warna gelap dari warna asalnya hijau muda. Bila tanomkinotuan tarik pokoknya dari polibag, terjojol lah akarnya yang panjang dan cantik. Tersenyum tanomkinotuan akan hasil akar jewels of opar yang diperolehi hari ini.

Oleh kerana emak tanomkinotuan tidak berapa sihat disebabkan termakan makanan tercemar yang dibeli di gerai oleh adik tanomkinotuan tempoh hari, kesihatannya terjejas. Sampai menjadi pengunjung setia tandas tidak sampai pun sepuluh minit. Sudah diarahkan pergi ke klinik tetapi degil. Jadi hendak marah pun serbah salah. Pada petang itu, dia menyuruh memasak bubur ayam kerana nasi biasa tidak berselera hendak makan. Tanomkinotuan siapkan bahan-bahannya dan masaklah bubur itu. Teringat tanomkinotuan akan akar jewels of opar tersebut lalu mencucinya dan campakkan ke dalam bubur yang tengah mengelegak. Keesokan harinya subuh lagi emak tanomkinotuan sudah bergegas keluar untuk menoreh getah. Mata sepencarian keluarga tanomkinotuan. Legalah hati kerana kesihatan emak tanomkinotuan pulih seperti sedia kala. Jangan tidak percaya pula, akar tersebut lembut tanpa urat dan rasanya seperti kacang tanah rebus. Tak tahulah kalu boleh makan macam tu. Hehe



Tanomkinotuan kongsikan gambar pudina kawan tanomkinotuan nun jauh di Kuala Lumpur. Walaupun sibuk bekerja dan belajar tetapi masih ada kesempatan untuk dia bercucuk tanam di laman rumah dan sememangnya ditanam dalam pasu. Gambar pudina di atas sangat cantik dan subur tanpa sebarang penyakit. Menggunakan tanah potting soil berkualiti tinggi pokok pudina nampak hijau dan menyerlah cantik dalam pasu yang diletakkan di sudut dinding. Sudah menjalar dan terjuntai ke bawah. 

Pokok pudina sesuai dijadikan teh hijau dengan aroma pudina yang memikat. Daun-daunnya juga boleh dicampurkan dalam resepi salad yang digemari. Satu yang membuatkan tanomkinotuan teruja akan pokok ini ialah tahap dan kualiti daunnya yang lembut dan hijau terang. Ini bermaksud, pokok pudina sesuai diletakkan di tempat 70% teduhan dari sinaran matahari. 

Tanomkinotuan belum mendapat kebenaran pun dari dia yang gambar pudinanya dimasukkan ke dalam entry kali ini. Halalkan yer gambarnya. 

Bagi pembaca yang berminat untuk mendapatkan benih Jewels of Opar pada harga RM2.50 1 pek dan keratan batang pokok pudina berharga RM5.00 (10 batang) email ke borosmomogun@gmail.com untuk maklumat selanjutnya. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Sabtu

POKOK HERBA STEVIA: KHASIAT BERMUTU TINGGI

Tags


Siapa yang tidak mengenali pokok herba ini yang sering diwar-warkan menerusi hebahan media elektronik seperti surat khabar, majalah, jurnal dan tidak lupa juga cara hebahan tradisi menerusi mulut ke mulut. Mungkin ada yang terbaca, mendengar dan melihat khasiat pokok ini sama ada surat khabar, dari rakan atau TV. Pokok ini dikenali sebagai pokok herba manis atau pokok gula, nama umum lazim yang disebut-sebut oleh pencinta pokok herba ini ialah pokok stevia. Nama saintifiknya ialah Stevia Ribaudiana. Uniknya pokok herba ini mengandungi kandungan gula atau rasa manis pada daunnya 150 kali ganda daripada gula yang kita makan sehari-hari.

Inilah pokok herba yang dicari-cari oleh tanomkinotuan. Empat tahun lepas ada penjual pokok stevia ini berdagang di Tamu Ground, Keningau. Namun pada masa itu tidak terfikir pun untuk membelinya, hanya memerhati dan sekadar bertanya kepada penjual tersebut akan cara menanam, penjagaan dan khasiat-khasiat terkandung pada pokok tersebut. Tipikal tidak ingat seperti tanomkinotuan, walaupun sudah tahu serbah sedikit  mengenai pokok ini, harus juga bertanya itu ini hingga penjual mengerah ilmu dalam otaknya untuk dilontarkan menerusi mulutnya seboleh-bolehnya dapat difahami oleh tanomkinotuan dan pasti serta kagum penjual lelaki itu dalam lingkungan 50-an sememangnya pakar terhadap pokok herba stevia. Selepas berbahasa basi tanomkinotuan meminta berundur untuk berjalan. 

Bila dikenangkan semula terasa rugi pula tidak membeli pada masa itu, jika sudah penuh laman rumah hanya ditanam pokok herba stevia ini saja, tidak ada pokok bunga pun tidak mengapa. Dan juga kenapa tidak terniat untuk membelinya masa itu kerana tanomkinotuan belum terfikir untuk berkebun hanya sebagai pengguna semata-mata.

Tahun 2014 adalah tahun pertama tanomkinotuan mula menjalankan aktiviti bertani walau pun sejak kecil lagi sudah terlibat kerja-kerja kebun ini. Selain jenis sayuran ditanam tanomkinotuan juga cuba mengumpulkan jenis-jenis pokok herba yang ada dan salah satunya ialah pokok stevia. Pokok stevia yang ada sekarang ini dibeli dari sahabat lama yang memang pengumpul tegar pokok-pokok herba.

Pokok stevia berasal dari negara Amerika Latin dan tumbuh meliar di semak hutan seperti negara Paraguay, Brazil dan sebagainya. Pokok ini sudah pun digunakan oleh puak Quarani sejak 1500 tahun yang lalu di Amerika Latin sebagai ubat tradisional dan juga sebagai pemanis makanan. Kini pokok telah tersebar meluas ke negara-negara lain hingga ke negara Malaysia selepas satu artikel jurnal mengenai pokok ini diterbitkan pada tahun 1955.

Pokok ini adalah pokok jenis perennial renek dalam keluarga Asterraceae dalam genus stevia. Berikut adalah faedah kesihatan menggunakan herba ini:

1. Rendah kalori - mengandungi kompaun glycoside yang juga terdiri daripada stevioside, steviolbioside, rebaudioside A-E dan juga dulcoside. 

2. Stevioside adalah glycoside non-kaborhidrat yang boleh mengurangkan glukosa dan kaborhidrat lain yang dimiliki. Reboudioside A yang terkandung dalam daun stevia 300 kali ganda lebih manis berbanding gula biasa dan ianya kimia yang bukan terproses,  Ia juga tahan suhu tinggi dan bukan melalui proses penapaian. 

3. Pokok stevia mengandungi sterols dan kompoun antioksidan seperti triterpenes, flavonoid dan tannins. Kandungan flavonoid polyhenolic antioksidan phyto-chemicals dalam daun pokok ini ialah seperti kaemferol, isoquercitrin, isosteviol, quercetin, chlorogenic asid dan caffeic acid. Kaemferol dikatakan boleh mengurangkan masalah radang pangkreas pada pesakit. 

4. Sebahagian ekstrak glycoside pada pokok stevia dapat meluaskan atau mengembangkan saluran darah, meningkatkan sodium dan air kencing yang sihat, juga dapat menurunkan tekanan darah.

5. Chlorgenic acid dapat membantu menurunkan tahap gula dalam darah.

6. Pemanis non-kaborhidrat pokok stevia tidak menggalakkan pembiakan bakteria pada mulut manusia malah pemanis dalam pokok stevia mampu menjejaskan pertumbuhan bakteria yang mengakibatkan kerosakan gigi. 

7. Pokok stevia juga mengandungi beberapa vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh badan.

Sudah ramai industri di seluruh dunia mengunakan penganti gula ini dalam pemprosesan makanan mereka. Contohnya, coca cola di Jepun sudah menggunakan ekstrak stevia bagi minuman mereka. Ia juga sesuai dijadikan teh stevia dibuat sendiri di rumah dengan memasukkan beberapa helai daun stevia ke dalam gelas dan tuang dengan air panas. Tunggu beberapa minit dan sedia untuk dinikmati.

Pokok stevia ditanam menggunakan keratan batang. Ambil batang pokok stevia yang sederhana matang. Potong kira-kira 6 inci. Rendam ke dalam air 1 jam dan sedia untuk ditanam sama ada dalam pasu atau tanah di laman rumah. Untuk menuainya hanya petik pucuk muda dan keringkan simpan dalam bekas sesuai dan simpan ditempat selamat. Guna bila perlu.

Pokok stevia adalah anugerah Tuhan kepada kita, ia menjadi alternative kedua yang sihat dan berfaedah kepada peminumnya. Apa kata anda mencuba menanam pokok stevia di laman anda sebagai pengganti gula yang sedia ada. Anda boleh jimat duit bertahun-tahun selagi pokok stevia anda masih megah tumbuh di laman atau tepi dapur anda. Cuba sekarang dan anda merasai keterujaan yang harmoni.

Selamat bertani dan menuai hasil. 

Ahad

TUAIAN TERBARU SAYURAN DI KBR (OKTOBER 2015)

Tags

Bulan Oktober ni tidak ada yang dituai di KBR, majoriti sayuran yang ditanam untuk musim ini ialah sayuran buah dan tanaman herba yang sedang membesar di KBR, namun tanomkinotuan masih dapat menuai beberapa jenis tanaman seperti di bawah:


Ini adalah akar ginseng jawa yang dicabut tadi pagi. Ternampak daging ayam di peti sejuk terperap sudah 2 minggu, terfikir hendak memasak sup ayam dengan mencampurkan akar ginseng jawa, kurma cina dan buah goje kering. Maka tidak berlengah lagi tanomkinotuan ke KBR dan tuai sepokok ginseng jawa yang sudah berusia 8 bulan. 

Inilah akarnya, semakin lama pokok ginseng jawa tumbuh semakin besar isi lobaknya. Bagi pendapat tanomkinotuan seeloknya tuai ginseng jawa melebihi 3 tahun untuk keputusan yang memuaskan. Ia dapat membantu meningkatkan kecerdasan tubuh badan daripada letih, lesu dan tidak bermaya. Akar ginseng jawa juga bermanfaat untuk hubungan suami isteri. Pucuk mudahnya dipetik untuk campuran dalam telur dadar atau campuran dalam sup berasaskan daging lembu, kambing mahupun ayam. Ia tidak berbau dan rasa neutral. 


Tuaian kacang panjang hijau ini dituai tadi pagi. Berbuah dengan banyaknya. Tanomkinotuan tuai sekali buah yang sudah tua untuk benih pada masa akan datang.

Pokok kacang panjang akan tetap menghasilkan buah hingga di akhir produktivitinya malah walaupun pokoknya mula mengering pucuk/tunas muda akan mula tumbuh di panggal pokoknya untuk membesar dan menghasilkan buah semula. Pangkas pokok yang kering untuk memberi ruang tunas tumbuh dengan baik. Bubuh baja dan gembur tanah. Pokok baharu ini tidak lama lagi akan membekalkan hasil buah untuk dapur anda.


Pokok swiss chard masih tumbuh dengan megah di KBR. Sempat dituai beberapa daun muda tadi pagi. Pokok swiss chard sesuai tumbuh dengan cuaca kita yang panas dan lembab sepanjang tahun.

Sempat memasak daun muda swiss chard yang dicampurkan dengan daging ayam kampung. Jadi menu tanomkinotuan tengahari tadi ialah sup ayam ginseng jawa dan sayur tumis swiss chard bersama ayam kampung. Masaklah perut menerima menu dari segala-galanya bersumberkan ayam. Haha.


Tuaian terung hijau bulat merupakan satu variati terung yang mempunyai rasa ringan dan tidak gatal. Tanomkinotuan mempunyai rasa alergik gatal pada lidah apabila memakan beberapa jenis makanan seperti terung, udang dan ketam laut. Tetapi terung ini tanomkinotuan boleh makan dengan banyak. Rasa gatal yang dialami tidak berlaku.

Pokok terung jenis ini berbuah dengan banyak. Hasil di atas adalah hasil hanya 1 pokok sahaja. Tanomkinotuan tuai sekali buah yang sudah matang untuk benih tanaman musim akan datang.



Daun kolestrol spinach atau okinawan spinach ni sudah berkali-kali dituai. Hari ini tanomkinotuan petik daun mudahnya. Cuci bersih potong dua menggunakan pisau bubuh sedikit garam, cili padi dan hirisan timun dengan perahan limau kasturi. Gaul sebati dan rehatkan sekejap. Sudah boleh dihidangkan. Pokok herba ini sangat baik untuk mengurangkan masalah kolestrol dalam badan.




Tuaian hasil kobis bunga yang sihat di KBR. Ini adalah hasil tuaian minggu lepas dan baru hari ini dapat diposkan dalam blog. Lupakan jari jemari di sebelah kobis bunga.




Tuaian minggu lepas, daun bayam hijau bulat ni tumbuh dengan sendiri celah-celah batas. Tanomkinotuan tidak cabut tetapi membiarkan pokoknya sehingga membesar. Dan dituai untuk dimasak dengan hirisan halia.

Begitulah serba sedikit tuaian yang sempat diambil gambarnya. Untuk laporan khas dalam blog ini.

Selamat bertani dan menuai hasil.