Isnin

Cara Mencambahkan Benih Epal Royal

Pokok epal atau nama saintifiknya ialah Malus domestica adalah tumbuhan saka berbuah dalam kumpulan Rosaceae yang tumbuh di negara-negara yang mempunyai empat musim seperti di negara-negara Eropah, China, Jepun dan Timur Jauh. Negara kita lazimnya mengimport bertan-tan buah epal ini untuk pasaran ke seluruh negara. Pernahkah kita terniat dalam hati untuk menanam benih epal yang kita beli di pasaraya? terdapat pelbagai variati buah epal yang dijual antaranya epal royal, epal merah, epal hijau dan sebagainya. Tidak salah tanomkinotuan di Malaysia hanya ada dua ladang menanam epal secara komersil seperti di Kedah dan di Ba'kelalan, Lawas Sarawak di samping individu menanamnya secara persendirian kerana minat terhadap pokok epal yang ditanam di laman rumah. Banyak blog berkisar tentang menyemai benih epal, anda boleh baca sendiri.

Tanomkinotuan ada membeli epal di pasaraya berhampiran yang lepas dari variati epal royal. Seperti pembaca juga, tanomkinotuan meminati memakan buah epal yang ranggup dan masam-masam manis begitu. Tidak perlu diproses menjadi salad atau apa-apa resepi yang sering dibuat oleh orang lain, cuci buah epal bersih-bersih, gigit dan kunyah hingga selesai. Lagi nikmat dirasa.

Dengan semangat membeli dan melantak buah epal bersama adik tanomkinotuan, tanomkinotuan mencuba untuk menyemai 4 biji benih epal yang terdapat pada buah yang baharu sahaja selesai di makan. Hanya mencuba saja kalau-kalau ia boleh bercambah. Tanomkinotuan sediakan habuk kayu (jika tidak ada anda boleh mengantikan peat-moss, cocopeat atau kompos terproses) yang dimasukkan ke dalam cup palstik bersaiz kecil bertutup, Tanomkinotuan sembur habuk kayu tersebut dengan serum EM1 buatan sendiri agar ia sedikit lembab dan tidak terlalu basah. Langsung saja 4 benih epal tersebut dibenamkan ke dalam cup plastik tersebut dan simpan di dalam peti sejuk. 

Maaflah sebab gambar proses awal penyemaian benih epal ini tidak ada sebab tanomkinotuan tidak terfikirpun hendak mengambil gambar sebenarnya. 




Kira-kira 2 minggu kemudian, tanomkinotuan menjenguk semula pada cup plastik tersebut dan melihat kondisi benih epal royal di dalam peti sejuk sama ada bercambah atau tidak. Alangkah terperanjat di mana 2 benih dari 4 benih epal tersebut sudah mengeluarkan akar aka bercambah. Gambar di atas menunjukkan benih epal royal bercambah dengan akar berwarna putih sudah pun keluar beberapa inci dari benihnya, teruja tanomkinotuan. Dengan keadaan benih epal royal tersebut, tanomkinotuan menyediakan media untuk menyemainya secara normal. 





Tanomkinotuan menggunakan cup plastik saiz sederhana besar (cup plastik minuman) dengan menggunakan tanah di laman rumah yang digaul bersama kompos buatan sendiri. Selepas itu tanomkinotuan membuat lubang kira-kira setengah inci lebih kurang dapat membenamkan benih epal yang bercambah itu ke dalam tanah. Pada gambar di atas pula, tanomkinotuan sengaja meletakkan benih epal tersebut di atas permukaan media untuk tatapan para pembaca di luar sana. Jika tanomkinotuan mengambil gambar di mana benih epalnya sudah dibenamkan ke dalam, agak kurang feeling la katakan.

Selepas di benamkan ke dalam tanah, tanomkinotuan siram menggunakan air secukupnya dan cup plastik tersebut diletakkan di tempat selamat dengan area tersebut masih terkena bahang matahari bagi mempercepatkan proses percambahan dan pertumbuhan. 





Lebih kurang seminggu setengah, benih epal royal sudah tumbuh dengan baik dan mula mengeluarkan daun yang sebenar. Pada gambar di atas pula satu anak pokok sudah kelihatan membesar manakala sebiji lagi kulit biji tersebut belum tertanggal sepenuhnya. Cuma perhatikan dengan teliti di manakah kedudukan anak benih epal yang satu lagi dan masih bertungkus lumus untuk tumbuh dengan baik?

Percubaan tanomkinotuan menyemai benih epal adalah tidak dirancang sebenarnya. Ia hanya terdetik dalam hati tanomkinotuan. Selalunya tanomkinotuan akan rancang terlebih dahulu entry-entry yang ingin dimasukkan ke dalam blog agar info dan maklumat jelas dan nampak tulin. Walau bagaimana pun, tanomkinotuan tidak menaruh harapan yang tinggi pada anak pokok epal ini, jika ia berjaya tumbuh menjadi pokok besar pada suatu hari nanti dan mengeluarkan buahnya, tanomkinotuan bersyukur apa yang diberikan kepada tanomkinotuan dan sebaliknya pula tanomkinotuan pasrah tentang keadaan.

Jika anda ingin menyemai benih epal, ikuti kaedah yang dijelaskan di atas dan pilih buah epal yang dijual di pasaraya di mana buah yang masih segar dan tidak disuntik dengan ubat pencegah benih bercambah. Untuk makluman, biasanya buah epal import ini akan disuntik dengan sejenis bahan kimia untuk benih epal tidak bercambah bagi kepentingan ladang syarikat berkenaan dalam jangka masa panjang. Anda mesti faham apa yang saya maksudkan dan kadang-kadang juga buah epal ini juga akan disuntik bahan kimia untuk ketahanan buah tersebut bila sampai ke pasaran di negara kita. Maka dengan itu untuk hasil yang memuaskan pilih buah epal yang dirasakan tidak ada suntikan apa-apa hormon atau bahan kimia padanya.

Apa kata ubah angin anda untuk mencuba mencambahkan benih epal yang baru selesai di makan. Tidak luak sebenarnya. Jika berjaya maka rezeki anda dan jika sebaliknya jangan gusar dan bersedih. Beli saja buah epal di pasaraya untuk menikmati rasa epal yang ranggup dan enak.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Sabtu

TUAIAN RADISH CHERRY BEL UNTUK RESEPI SALAD HERBA

Tags
Hari ini genap 11 hari umat Islam berpuasa. Selamat menyambut bulan ramadan kepada pembaca muslim di luar sana.

Memikirkan juadah berbuka petang tadi tanomkinotuan ingin sekali merasa salad buatan sendiri. Pada petangnya kira-kira jam 4 petang, tanomkinotuan ke KBR untuk mencari kalau-kalau ada sayuran yang boleh dituai yang boleh dijadikan santapan salad bila berbuka nanti. Di tempat tanomkinotuan awal 90-an selalunya istilah berbuka puasa disebut 'bersungkai'. Perkataan ini berasal dari kaum Melayu Brunei dan sekitarnya yang diguna pakai untuk maksud berbuka puasa. Namun hari ini istilah ini sudah jarang digunakan di mana perkataan 'berbuka puasa' sudah menjadi kelaziman generasi zaman kini.



Berbalik pada cerita di KBR, tanomkinotuan melihat radish cherry bel yang ditanam dalam besen terbuang sudah mengeluarkan bulb lebih kecil daro saiz bola ping pong. Terdetik tanomkinotuan menuainya untuk salah satu bahan yang akan dicampurkan ke dalam salad nanti. Percaya atau tidak, radish cherry bel ini baru berusia 2 minggu. Kata orang menuai bulb radish yang masih kecil lebih sesuai kerana kurang pedasnya. Tetapi jika anda mahukan radish yang pedas tuailah pokoknya ketika berusia 3 minggu atau lebih.


Dengan itu tanomkinotuan mencabutnya satu persatu. Dapatlah tanomkinotuan menuai 6 biji radish cherry bel. Untuk ramuan bahan salad yang ingin disediakan tanomkinotuan memetik pucuk daun basil itali, pucuk ginseng jawa dan daun pudina.

Berbuka puasa dengan salad herba ini sesuai untuk kekalkan kesihatan dan menyegarkan semula tubuh badan kita. Berikut adalah resepi salad herba versi tanomkinotuan:

Bahan-bahan yang diperlukan:

1. 6 biji radish cherry bel dihiris nipis

2. Secekak daun pudina

3. Secekak daun basil itali

4. Secekak daun/pucuk muda ginseng jawa/akar som

5. 1 biji mangga mas madu separa masak dihiris nipis

6. 3 ulas bawang merah dihiris

7. 2 ulas bawang putih dihiris

8. 1 inci halia ditumbuk halus

9. 2 sudu makan sos ikan

10. 4 biji limau kasturi/limau nipis

11. Garam dan gula secukup rasa.

12. 1 biji cili merah dihiris nipis

13. 4 biji cili padi dipotong kecil


Cara penyediaannya:


1. Campurkan kesemua bahan tersebut ke dalam satu bekas kecuali garam, gula dan limau kasturi.

2. Gaul hingga sebati, tambah garam dan gula secukup rasa. Gaul lagi hingga sebati.

3. Akhir sekali, masukkan perahan limau kasturi dan gaul hingga limau tersebut sebati dengan kesemua bahan.

4. Simpan dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.

Salad herba ini sesuai dimakan bersama kambing panggang mahupun ayam. Aromanya dapat mengekalkan kesegaran rasa dan struktur daging kambing tersebut. Radish cherry bel sudah tidak terlalu pedas apabila perahan limau nipis mengurangkan rasa lidas tersebut. Apa kata semai radish cherry bel di laman rumah anda hari ini.

Selamat bertani dan menuai hasil.

PANDUAN MENGALIHKAN ANAK POKOK SAYUR FENNEL KE BATAS

Tags
Tempoh hari tanomkinotuan ada menyemai benih sayur fennel atau florence fennel dalam plastik berzip dan dimasukkan ke dalam peti sejuk selama 7 hingga 14 hari. Selepas bercambah tanomkinotuan pindahkan ke cup plastik untuk percambahan dan pertumbuhan secara normal. Kini anak pokok sayur fennel sudah pun berusia 2 minggu lebih dan sesuai di pindahkan ke batas. Setiap bahagian sayur fennel boleh dimanfaatkan sebagai sayuran. Benjolan di atas akar (bulb) boleh ditumis atau dicampurkan ke dalam sup, batang dan daunnya boleh mengantikan daun sederi sebagai perisa dan aroma pada sup atau masakan. Benihnya yang aromatik sesuai sebagai herba campuran dalam resepi daging panggang. Maksudnya, tidak ada yang dibuang.

Mencambahkan benih fennel dalam peti sejuk lebih berkesan berbanding menyemai benih tersebut langsung pada batas kecuali anda tinggal di negara 4 musim. Cuaca dan suhu yang sesuai memainkan peranan besar dalam percambahan benih ini. Dalam tempoh dua minggu dalam cup plastik, ia tidak mempunyai masalah untuk tumbuh dengan baik di mana ia sesuai dengan cahaya matahari terik dengan syarat rajin-rajinlah menyiram pagi dan petang pada setiap hari. 

Jika pembaca di luar sana ingin mencuba menanam sayur fennel, ikuti panduan di bawah cara mengalihkan anak benih fennel dari bekas semaian ke batas yang disediakan.  Klik di SINI bagi info dan cara menyemai benih florence fennel.



Setelah 2 minggu menunggu tumbubesaran anak benih fennel, tiba masanya untuk anak benih tersebut dipindahkan ke atas batas yang disediakan. Jika laman rumah agak terhad boleh juga menanamnya dalam pasu sederhana besar.

Untuk makluman pembaca, pokok fennel merupakan tanaman yang memerlukan banyak kandungan nitrogen. Oleh itu, tanomkinotuan membuat batas terlebih dahulu dengan mengorek tanah sedalam 1 kaki seterusnya mengembur tanah hingga menjadi serpihan kecil. Tanomkinotuan tabur kompos kelapa sawit dan kompos manure (tinja ayam) dan mengaulnya sehingga sebati. Tanonkinotuan tidak rehatkan tanah seperti mana biasa kerana tinja ayam tersebut sudah siap terproses.


Langkah seterusnya ialah leraikan anak benih fennel agar terpisah satu persatu. Jika anda menyemai dalam syoroform cup tidak perlu ikut langkah di atas memadailah anda tanam anak benih fennel bersama tanahnya. Bagi langkah yang dibuat oleh tanomkinotuan, jangan khuatir kerana anak benih fennel boleh hidup setelah ditanam dengan syarat buat teduhan menggunakan jaring hitam.


Setelah anak benih dileraikan, langkah berikutnya ialah membuat lubang sedalam 3 inci dengan jarak antara lubang ialah kira-kira 10 inci. Jangan kesah pada pokok ditengah-tengah batas dalam gambar di atas. Ia adalah anak pokok jambu batu.



Tanam sepokok anak benih fennel ke dalam setiap lubang dan timbus semula tanah. Padat-padatkan tanah di sekeliling batang anak pokok secara perlahan-lahan. Setelah selesai menanam, siram dengan air secukupnya. Pokok jambu batu telah disungkup dengan cup plastik.




Inilah hasil anak pokok fennel yang ditanam di atas batas. Peringkat akhir, letakkan teduhan seperti jaring hitam bagi mengelak daripada layu dan mati daripada sinaran matahari. Biarkan batas tersebut di bawah jaring hitam selama 4 hingga 7 hari biar pokok fennel benar-benar kuat barulah teduhan jaring hitam dibuka.

Pada peringkat awal, anak benih pokok fennel memerlukan siraman air yang mencukupi. Siram dua kali sehari dan tidak perlu ketika hujan. Setelah 2 minggu berikutnya tabur semula baja NPK organik untukbpertumbuhan yang baik. Tunggu 3 bulan barulah pokok fennel boleh dituai. Apa kata anda mencuba menanam sayur herba beraroma ini dalam diet keluarga anda. Ia cukup mengkagumkan.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Jumaat

PANDUAN MENUAI BENIH ZUCCHINI CROCKNECK

Tags


Tanomkinotuan hari ini berkongsi kepada pembaca sekalian bagaimana mendapatkan benih zucchini crockneck dari buahnya yang sudah matang. Tanomkinotuan menanam 2 pokok zucchini crockneck di KBR dan mematangkan sebiji buahnya untuk tujuan mendapatkan benihnya.

Masa paling sesuai mendapatkan benih zucchini ini ialah pada buah pertama muncul di pokoknya. Ini kerana biasanya buah pertama jarang diserang oleh ulat pengorek buah yang boleh mencacatkan proses pematangan.

Cara mengetahui buah yang dimatangkan itu sesuai dituai ialah melihat kulitnya bertukar kepada warna oren gelap dan kulitnya keras. Apabila ciri tersebut ada pada buah zucchini tersebut maka ia sesuai untuk dipetik/dituai untuk tujuan mendapatkan benihnya. 

Ambil buah zucchini tersebut dan belah menggunakan pisau yang tajam. Pastikan anda berhati-hati bilamana menggunakan pisau tersebut. Kerana kulit zucchini crockneck tersangatlah keras seperti labu. Belah dengan berhati-hati. Setelah selesai dibelah, kumpul benihnya ke dalam mangkuk yang diisi dengan air bersih hingga selesai.

Basuh benih tersebut dengan meramas perlahan-lahan dan kumpul benih zucchini tersebut ke dalam bekas leper seperti pinggan atau seumpamanya. Jemur benih tersebut di bawah cahaya matahari hingga benar-benar kering. Lebih kurang 3 hingga 4 hari mengikut sinaran matahari.

Benih yang dikeluarkan dari buah
zucchini matang.

Apabila benih zucchini sudah kering, simpan benih tersebut ke dalam bekas kedap udara atau ke dalam plastik berzip dan simpan di tempat selamat. Benih zucchini boleh bertahan selama setahun hingga dua tahun mengikut cara anda menyimpannya. Ambil beberapa benih dan semai dalam cup plastik terlebih dahulu jika hendak menanamnya semula.

Dengan kaedah mendapatkan benih zucchini ini maka anda tidak perlu lagi membeli semula benih zucchini crockneck untuk masa ini kecuali variati zucchini yang lain. Anda mempunyai benih zucchini untuk tanaman musim akan datang dengan syarat buah pokok zucchini anda adalah jenis hearloom/warisan dan bukannya jenis pokok zucchini hibrid. Bukankah kaedah ini bermanfaat kepada anda? 

Selamat bertani dan menuai hasil.

TUAIAN KELEDEK PERTENGAHAN TAHUN 2015

Tags
Kebun Belakang Rumah (KBR) setakat ini masih dalam penyemaian benih dan tumbuhbesaran sayuran yang baru ditanam minggu-minggu lepas. Walau bagaimanapun, keledek yang ditanam awal bulan Mac yang lepas kini sudah membesar dan sudah boleh dituai. Tanomkinotuan hanya mencuba menanam pucuk muda yang direhatkan beberapa hari ditepi kolam. 

Ini kerana menanam keledek di Kebun Getah (KG) tidak selamat disebabkan serangan monyet liar yang sekali sekala menuai lebih dulu dari tanomkinotuan. Peristiwa tahun lepas pokok keledek yang baru ditanam berusia 1 bulan habis dicabutnya. Namun begitu pokok keledek di KBR hidup subur sehinggalah dituai. Berikut adalah proses tuaian keledek berserta gambar:



Anak pokok keledek pada gambar di atas baru berusia dua minggu. Ditanam menggunakan pucuk muda kira-kira 8 inci panjang. Sebelum keratan batang keledek ditanam tanomkinotuan gembur tanah terlebih dahulu barulah ditanam.



Pokok keledek berusia 1 bulan di mana ia mula hidup subur dan mula menjalar. 


Pokok keledek berusia 2 bulan. Pokoknya sudah menjalar dengan jauhnya. Tanomkinotuan biarkan saja, tidak ditaburkan dengan baja pun. 


Pokok keledek pada gambar di atas sudah berusia 3 bulan. Tanah di tempat-tempat tertentu sudah membengkak menandakan isinya sudah membesar. Masa untuk menuai isinya.


Antara isinya yang dijumpai dalam tanah. Berat isi keledek tersebut ialah 700 g. Teruja tanomkinotuan, Isi keledek tidak sebegini saiznya di KG.



Lagi isi keledek yang dijumpai dalam tanah. Tanomkinotuan hanya berpandukan tanah yang merekah dan mengoreknya. 



Hasil tuaian keledek. Inilah umbisi keledek yang dapat dikorek dalam tanah tadi petang kira-kira 2 kilo beratnya. Dengan ubi keledek ini, tanomkinotuan membuat bubur keledek yang dicampurkan dengan hirisan pisang, sedikit kacang hijau dan gula perang tanpa santan. Tanomkinotuan elakkan menambah santan dalam membuat apa-apa jenis bubur. Agar dapat merasa keaslian dan struktur bubur yang enak dan sedap. Tanomkinotuan dan ahli keluarga berbuka puasa dengan bubur keledek petang ini. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Isnin

SAYURAN YANG DITANAM DI KBR UNTUK MUSIM KEDUA

Tags
Hari ini barulah dapat membuat entry untuk kebun di KBR. Selepas mengemas batas dan menyemai beberapa benih sayuran beberapa minggu yang lalu kini, sayuran sudah pun tumbuh dengan galak. Antara sayuran yang tumbuh membesar setakat ini ialah seperti berikut:


Timun armenia yang sudah pun belajar memanjat. Bunga jantan sudah berkembang lebih awal berbanding bunga betina, namun sebelum tanomkinotuan bertolak pada pagi ahad, terlihat bunga betina timun armenia sudah mengeluarkan kudup bunganya.


Sayur texsel hijau sudah berusia 2 minggu. Hidup galak pada batas. Sayur pertama disemai dan ditanam di KBR bagi musim menanam yang baharu pada tahun ini.


Sawi bunga jepun, salah satu sawi kegemaran tanomkinotuan. Rasa yang ranggup dan manis berbanding sawi yang lain.


Sawi putih taiwan aka bok choi hijau baru berusia seminggu. Sudahpun tumbuh dengan baik. Tanomkinotuan hanya bubuh tinja kambing saja. 



Pokok zucchini hijau sudah menampakkan daunnya sebenar. Hanya 2 pokok ditanam kali ini kerana batas yang terhad. Pokok zucchini adalah tumbuhan high feed atau memerlukan baja yang banyak.


Pokok timun mini, terdapat 4 pokok semuanya. Setakat ini tumbuh tanpa sebarang masalah.



Radish mini bulat merah ditanam dalam besen terbuang. Dalam tempoh seminggu sudah pun mengeluarkan bulb berwarna merah.



Ini pula ialah pokok swiss chard. Selepas disemai dalam cup plastik tanomkinotuan pindahkan ke batas walaupun belum mengeluarkan daun sebenar. Kini ia tumbuh dengan baik. Maaf lah, sebab anak pokok swiss chard terlalu kecil pula.

Inilah contoh sayuran yang sudah beralih tempat ke batas. Beberapa jenis sayuran yang masih dalam cup plastik menunggu dialihkan seperti florence fennel, terung ungu bulat, sawi kerinting, sawi putih dan talinum paniculatum (variati ginsing jawa). Ni jika tuai selepas 3 tahun boleh dapatkan akarnya sebagai herba ubatan. Benih tersebut akan ditanam hujung minggu ni. Kena beli kompos untuk ditaburkan pada batas. Kompos sedia ada kini sudah habis. 

talinum paniculatum

Manakala ginseng jawa aka akar som yang dibeli dari Pn Diana tahun lepas kini sudah membiak dengan banyak. Jadi tanomkinotuan tanam kedua-dua variati ini secara berjauhan takut ia mendebunga secara silang nanti. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Rabu

BENIH SWISS CHARD BERCAMBAH DI DALAM PETI SEJUK

Tags
Tanomkinotuan ada membeli benih swiss chard melalui kedai online. Tanomkinotuan ingin mencuba pula benih-benih yang jarang ditanam di negara kita. Semaian pertama yang langsung disemai pada batas tidak bercambah walaupun tanomkinotuan meletakkan teduhan jaring hitam untuk melembabkan batas tersebut. Setelah 2 minggu setengah menunggu sah benih swiss chard tidak bercambah. Semaian kali kedua pula tanomkinotuan tukar teknik yakni menyemai benih swiss chard pada pasu mengunakan cocopeat bersama sedikit kompos dan diletakkan di tempat selamat. Tunggu 2 minggu benih ini juga tidak bercambah. Membusuk dan rosak.

Benih swiss chard tinggal sedikit. Jadi sayang kiranya benih-benih ini tidak bercambah sepokok dua. Jika bercambah dan hidup subur bolehlah merasa sayur ini. Jadi tanomkinotuan mencuba untuk dicambahkan dalam peti sejuk dengan memasukkannya ke dalam plastik berzip bersaiz kecil dengan menggunakan media habuk kayu (sebenarnya bukan habuk kayu pun, serpihan kayu yang diambil apabila dikorek oleh semut untuk membuat sarang), anda boleh menggunakan tanah, peatmoss atau cocopeat yang disteril terlebih dahulu.

Tanomkinotuan masukkan plastik berzip berisi benih swiss chard ke dalam kontena dan simpan di dalam peti sejuk. Tiap hari tanomkinotuan melihat kalau-kalau benih tersebut bercambah. Terlalu teruja ya amat... Hahaha.

Terdapat sedikit ditinggalkan dalam simpanan. Jika kaedah percambahan benih dalam peti sejuk tidak berjaya masih ada lagi benih untuk dicambah menggunakan teknik lain. Oleh itu tanomkinotuan cambahkan lebihan benih swiss chard tersebut dengan mengambil sehelai tisu dan menaburkan lebihan benih tersebut ke atas tisu seterusnya tisu dilipat sekali. Maksudnya benih tersebut berada di dalam tisu tersebut lalu tanomkinotuan spray tisu dengan serum EM1 hingga lembab, jangan terlalu basah. Tanomkinotuan masukkan tisu lembab tersebut ke dalam plastik lutsinar. Oleh kerana plastik ini tidak berzip maka tanomkinotuan lekatkannya dengan api lalu diletakkan ditempat terlindung yang masih terkena haba matahari. Tanomkinotuan sidai plastik tersebut seperti menyidai kain. Antara benih yang dicambahkan melalui kaedah ini ialah benih timun mini, benih swiss chard, benih asparagus, benih fennel dan benih taragon. 

Menakjubkan benih timun mini bercambah hanya dua hari saja manakala benih swiss chard bercambah setelah 5 hari. Sebenarnya tidak perasan hingga benih swiss chard sudah mengeluarkan daun. Teruja tanomkinotuan, dengan cepat dialihkan benih-benih swiss chard pada cup plastik dan kini ianya tumbuh dengan baik.




Dengan percambahan benih swiss chard yang disidai pada haba matahari, tanomkinotuan melihat pula benih swiss chard yang dicambahkan dalam peti sejuk. Masih belum ada perkembangan. Namun pada hari ke-7 benih swiss chard tersebut mula bercambah dalam plastik seterusnya tanomkinotuan tanam dalam botol mineral yang dipotong dua.



Gambar benih swiss chard yang dicambahkan melalui haba matahari tidak dapat diposkan di sini kerana teruja punya pasal sehingga lupa mengambil gambar. Akan datang tanomkinotuan tunjukkan cara bagaimana cambahkan benih melalui haba matahari (penghabaan benih).

Benih dicambah
dalam peti sejuk

Benih yang dicambahkan
menerusi penghabaan
matahari

Perkembangan bagi KBR hari ini masih dalam usaha pembersihan dan pembinaan batas. Belum ada yang boleh diceritakan dalam blog masa kini. Tanomkinotuan baru saja siap mengemas beberapa batas dan masih ada lagi beberapa batas yang perlu disiapkan. Tanomkinotuan baru hendak menyemai beberapa benih untuk ditanam di KBR. Antara benih yang sudah disemai ialah sawi bunga jepun, sawi putih kailan (bak choi), swiss chard, zucchini hijau dan sayur texsel hijau.  Jika ada rezeki akan dipos dalam blog untuk tatapan para pembaca.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Jumaat

PANDUAN MENCAMBAHKAN BIJI PATAU (PATAU SPROUTS)

Tags


Kepada pembaca diluar sana yang gemar akan patau sprout bolehlah mencuba menyemai sendiri biji patau yang boleh dibeli di tamu sekitar Sabah khususnya daerah Tambunan, Ranau, Keningau dan Dongongon, Penampang RM 2.50 satu tin (tin susu pekat manis adalah penyukat lazim yang digunakan) Info lanjut mengenai patau boleh klik DISINI.


Bahan-bahan yang perlu ialah:

1. Biji patau angaran ikut suka.

2. Tanah hitam.

3. Kotak saiz sederhana.

4. Pengetip kuku.

5. Air secukupnya.

Cara penyediaannya:


Sebelum diketip di atasnya

Selepas di ketip, 

1. Ketip hujung biji patau yang mempunyai lekuk dan bukan bahagian bawah hingga selesai semuanya. Lihat gambar biji patau di atas (gambar sebelum diketip)

2. Masukkan tanah ke dalam kotak atau bekas yang sesuai hingga setengah. Anda boleh menggunakan apa-apa jenis tanah. Tanah kosong pun boleh, ia hanya membantu untuk percambahan sahaja.

3. Seterusnya masukkan benih patau ke dalam kotak secara menegak dengan bahagian diketip dibenamkan ke bahagian dalam tanah. Lakukan penanaman benih patau hingga selesai.

4. Tabur tanah di atasnya senipis mungkin.

5. Dan seterusnya disiram dengan air yang cukup. Tutup kotak atau bekas tersebut dengan apa-apa alat yang sesuai. Plastik hitam pun boleh.

6. Biji patau akan mula bercambah pada hari ketiga dan akan boleh dituai pada hari keenam atau hari ketujuh. Namun tanomkinotuan suka menuai patau sprout pada hari kelima kerana akarnya tidak terlalu pendek dan juga tidak terlalu panjang. Anda juga boleh menanamnya di tanah atau batas laman anda. Pastikan ianya ditutup untuk memastikan media lembab sentiasa.

Kaedah penanaman patau sama caranya dengan taugeh atau kacang soya sprout yakni mendapatkan taugehnya. Namun percambahan benih patau seeloknya disemai menggunakan tanah. Jika anda menggunakan air untuk merendam benih patau tersebut ia masih boleh dituai hasilnya tetapi aromanya sangat kuat berbanding yang ditanam dalam tanah.

Makluman bahawa benih patau adalah antara benih yang mengambil masa kira-kira 1 bulan hingga 6 bulan untuk bercambah. Teknik mengetip hujungnya yang berlekuk (tips) adalah mempercepatkan ia bercambah dengan kelembapan mudah meresap ke dalam selaput biji patau, dengan ini ia boleh bercambah hanya 3 hari sahaja selepas disemai. Ia memendekkan masa untuk tuaian hasil.

3 hari: tanah mula
Merekah menandakan
biji patau sudah mula
berakar

Selepas 5 hari

Patau sprout bersama
Kulitnya

Patau sprout selepas
dibersihkan

Adik tanomkinotuan memasaknya dengan lada putih (lado topurak) bersama belacan. Aroma patau yang bergabung dengan aroma belacan cukup mengiurkan bagi yang memahaminya. Hahaha...

Selamat bertani menuai hasil.

Isnin

CARA DAN PANDUAN MENYEMAI BENIH SAYUR TEXSEL HIJAU

Tags

Sayur texsel hijau atau Abyssiana mustard ini berasal dari Timur Tengah dan Timur Afrika. Nama saintifiknya ialah Brassica carinata ini mudah tumbuh di negara kita juga dikenali sebagai Ethiopian cabbage. Panduan menyemai benih texsel hijau adalah seperti berikut.

Bahan-bahan yang diperlukan:

1. 15 - 20 benih texsel hijau.

2. Cup plastik saiz sederhana 

3. 1 cup tanah hitam

4. 1 cup cocopeat

5. 1 cup kompos

6. Air untuk menyiram.

Cara penyediaannya:

1. Campurkan tanah hitam, cocopeat dan kompos ke dalam satu bekas. Gaul sebati.

2. Masukkan media ke dalam cup plastik hingga penuh.

3. Tabur benih texsel hijau di atas media. 

4. Siram dengan air secukupnya. Letak cup plastik anda di tempat teduh dan selamat yang masih terkena cahaya matahari seperti tepi jendela dapur atau seumpamanya.

Benih texsel mula bercambah pada hari ketiga dan membesar dengan baik. Anda boleh alihkan anak pokok texsel hijau apabila berusia 2 hingga 3 minggu.

Selamat bertani dan menuai hasil.