Selasa

APAKAH ITU EM1 (EFFECTIVE MICROORGANISM)?: Manfaat kepada alam dan kehidupan

Tags
Kemajuan sains dan teknologi bukan sahaja mengembangkan penghasilan produk dalam bidang perindustrian, perubatan, pendidikan dan komunikasi tetapi juga dalam bidang pertanian khususnya penghasilan baja sintetik dan racun serangga kimia yang secara langsung memberikan kesan tidak sehat kepada kehidupan manusia dan alam sekitar. Dengan isu-isu sebegini, maka pada tahun 1970-an melalui kajian Terua Higa dari Universiti Ryukyu, Jepun telah menemui bahawa terdapat mikroorganisma yang boleh hidup bersama dan mempunyai nilai manfaat yang besar dalam bidang pertanian dan juga dalam bidang lain di mana telah mengabungkan lebih 80 microorganisma di dalam bahan-bahan yang dipilih untuk dikomposkan. Pada tahun 1982 produk EM1 mula dipasarkan di Jepun.


APAKAH ITU EM1 (EFFECTIVE MICROORGANISM)

EM1 ialah kaedah penggunaan mikroorganisma berfaedah dalam bahan-bahan dikompos bagi mempercepatkan aktiviti pengomposan untuk kebaikan pada tanah, haiwan, manusia, sungai dan alam sekitar. Secara umumnya terdapat 3 jenis bakteria di dalam EM iaitu Bakteria Laktic Asid, Yis dan Bakteria Potosintetik. Tahukah anda semasa tsunami melanda di negara kita EM1 disembur kepada mangsa korban untuk mengelak daripada berbau busuk?. 


MANFAAT EM1 KEPADA NILAI UMUM

1. Sembur pada sayuran bagi penggalakan pertumbuhan secara optimum. Sayuran tumbuh dengan baik.

2. Semburan EM1 pada tanaman, bunga-bungaan dan pokok buah-buahan mengelak dari serangan makhluk perosak. Tanaman kekal tumbuh sihat dan galak.

3. EM juga ditambah dalam pembuatan bahan asas/sisa dapur yang ingin dikomposkan. Fungsi EM mempercepatkan penapaian atau pengkomposan dari 3 bulan kepada 2 hingga 3 minggu sahaja. Kompos kaya dengan zat nutrisi yang diperlukan oleh tumbuhan.

4. Pencemaran sungai dan berbau busuk boleh dikurangkan dengan menyiram cecair EM ke dalam sungai. EM yang mengandungi bakteria baik akan memakan mikrob jahat hingga sungai kembali bersih. Kebanyakan negara menggunakan kaedah ini untuk mengawal pencemaran sungai.

5. Boleh disemburkan/dituang pada parit rumah untuk mengurangkan bau busuk.

6. Digunakan untuk mengurangkan bau busuk pada kasut, stokin, kusyen dll. Spray menggunakan ratio EM yang betul.

7. Boleh digunakan dalam bidang penternakan. Campurkan ratio EM yang betul di tempat minum haiwan ternakan seperti ayam, itik, kambing, lembu dll. 

8. Dapat memperbaiki kualiti tanah dengan cepat. Bakteria dalam EM akan memakan bahan organik dalam tanah dan membebaskan bahan nutrisi kepada tanaman.

9. Disemburkan kepada mayat untuk mengelak dari bau.

10. Boleh ditambah ke dalam aquarium untuk mengelak daripada timbulnya bau yang kurang menyenangkan.

11. Tambah dua sudu besar EM ke dalam satu gelas air, diminum selepas makan. Tetapi pastikan proses pembuatan EM anda haruslah bersih dengan menggunakan air tapis.

12. Serum EM juga berkesan mempercepatkan percambahan benih khususnya benih yang rumit bercambah di negara kita misalnya lobak merah, parsly, dan fennel. Rendam benih dalam campuran serum EM dan air dengan nisbah 1:1000. 

13. Gempa bumi di Jepun baru-baru ini telah menggunakan cecair serum EM untuk pembersihan lumpur, bangunan dan sebagainya.


CARA MEMBUAT EM1:

Bahan-bahan yang diperlukan ialah:


1. Satu cawan kecil beras kampung (beras baharu dituai tahun itu). Boleh guna apa-apa jenis beras jika beras kampung sukar diperolehi.


2. Gula perang


3. Susu segar


4. Air tanpa clorin. Guna air hujan atau air bertapis.


5. Botol nescafe besar atau kecil.


6. Botol mineral 1.5L


7. Penuras/penapis air.



Cara penyediaannya:


1. Masukkan beras ke dalam bekas botol nescafe.


2. Tuang dengan air tanpa klorin 100 ml. Tutup botol tersebut dan goncang hingga air bertukar menjadi putih/keruh. Air tersebut berubah menjadi keruh dan ia kaya dengan kandungan karbohidrat.


3. Tapis air beras tadi ke dalam botol yang lain menggunakan alat penuras untuk mengasingkan cecair beras dan biji beras. Tutup botol yang berisi air beras dan simpan di tempat selamat sehingga 1 minggu untuk ditapai. 


4. Seminggu kemudian, air beras tersebut mempunyai lapisan di permukaan dan tapis cecair beras tadi pada bekas botol lebih besar.


5. Tambah susu segar ke dalam cecair beras dengan nisbah 1:10 (cecair beras: susu segar contohnya 1 cup cecair beras dan 10 cup susu segar). Sukat jumlah banyak/liter cecair beras anda dan guna formula di atas. Tutup penutupnya dengan ketat dan goncang sedikit hingga susu segar sebati dengan cecair beras tersebut. Simpan semula botol tersebut di tempat selamat sehingga 1 minggu untuk ditapai kali kedua. Bebaskan gas dengan membuka botolnya pada hari ketiga. Anda boleh menggunakan susu asli UHL atau apa-apa jenama susu segar dalam kotak jika sukar mendapatkan susu segar dari ladang. Namun susu segar perahan yang baharu adalah lebih baik. Jangan guna susu yang telah basi.


6. Selepas 1 minggu, terdapatnya ketulan putih (curd) di permukaan, Tapis dan alihkan cecair tersebut pada botol yang lebih besar sedikit. Ambil cecair tersebut dan buang ketulan tersebut atau tambah dalam kompoS buatan sendiri. Sukat jumlah cecair beras + susu segar (EM) anda dan begitulah jumlah sukatan gula perang yang akan digunakan. Contohnya, jika cecair EM tersebut berjumlah 200 ml maka tambah 200 gram gula perang. Goncang hingga sebati. Maka serum EM1 anda sudah selesai. Lebih pekat gula lebih baik. Anda boleh simpan serum EM1 anda di tempat selamat dan diguna bila perlu. Jika anda menyimpannya di dalam peti sejuk tidak perlu letak gula perang. Gula perang adalah makanan kepada bakteria dalam EM dan EM anda boleh bertahan sehingga 6 bulan hingga 1 tahun.


8. Anda boleh tidak meletakkan gula perang atau molussa ke dalam serum EM anda dengan syarat simpan serum EM anda dalam peti sejuk. Jika ingin menggunakan serum EM pada apa-apa aktiviti seperti menyiram tanaman, membuat baja bokashi dan sebagainya tambah 2 sudu makan gula perang/molussa terhadap 2 sudu makan serum EM dan tambah 1 liter air tanpa klorin.



PANDUAN MENGAKTIFKAN EM INOCULANT MICROBIAL ANDA:

Untuk mengaktifkan serum EM anda, tambah 2 sudu makan serum EM ke dalam 1 liter air tanpa klorin. Dan 1 sudu makan gula perang (dicairkan) jika serum Em anda belum ditambah gula perang/molussa. Dibawah adalah cara tanomkinotuan mengaktifkan EM1 sendiri di rumah:

Bahan-bahan diperlukan:

1. Dua sudu makan serum EM1.

2. Dua sudu gula perang atau molussa.

3. Satu liter air tanpa klorin.

4. Besen dan botol mineral. 

PERINGATAN: Pengaktifan serum EM di sini bermaksud serum EM1 atau asli tanpa campuran air selepas diproses. Bahasa mudahnya ialah serum EM1 yang anda buat di rumah berdasarkan bahan-bahan di awal pos.

Cara penyediaannya:

1. Campurkan kesemua bahan tadi ke dalam botol mineral atau pilihan sendiri dan gaul hingga kesemua bahan menjadi sebati. 

2. Cecair tadi bolehlah digunakan untuk menyiram sayuran anda.

CARA MENGAKTIFKAN EM INOCULANT MICROBIAL VERSI TANOMKINOTUAN:

Bahan-bahan yang diperlukan;

1. Dua sudu makan serum EM1

2. Dua sudu makan gula perang atau molussa.

3. Satu liter air bersih tanpa klorin.

4. Satu sudu makan baja cecair ikan.

5. Botol spray / baldi

Cara penyediaannya;

1. Campurkan kesemua bahan tadi dan gaul hingga sebati.

2. Masukkan ke dalam botol spray atau baldi dan spray/siram pada sayuran anda.

 
CARA PENGGUNAAN:

1. Tambah 2 sudu makan serum EM ke dalam 1 liter air tanpa klorin dan spray/siram pada sayuran anda. Maknanya jika anda mempunyai sayuran skala besar, tambah 10 sudu makan serum EM ke dalam 5 liter air tanpa klorin.


2. Tambah 8 sudu makan serum EM untuk 4 liter air tanpa klorin dan siram ke batas yang belum ditanam sayuran.


3. Tambah 2 sudu makan serum EM dengan 1 liter air tanpa klorin, spray pada bahan kompos anda (tinja binatang, tumbuhan dll) yang anda ingin komposkan. EM mempercepatkan pengemposan sisa kompos anda secara pantas.


4. Untuk menghasilkan baja bokashi dari bahan suratkhabar, tambah 2 sudu besar serum EM, 1 sudu besar gula perang atau molussa dan 750 ml air tanpa klorin ke dalam 2 gallon bahan suratkhabar itu tadi. 

 5. Tambah 1 liter serum EM bagi 10 x 25 kaki persegi kolam anda bagi pembersihan, nyahbau dan kesihatan ikan ternakan anda. 


6. Guna nisbah 1:1000 (serum EM: air tanpa klorin) untuk merendam benih tanaman. Misalnya 1 titik serum EM bersamaan 1000 titik air tanpa klorin.



PERBEZAAN ANTARA SERUM EM, KOMPOS TEH DAN BAJA CECAIR IKAN.


Serum EM:


Ialah satu kaedah berteknologi tinggi di mana menggunakan sumber alami yang tinggi zat kaborhidrat bagi menghasilkan atau mewujudkan lebih mikroorganisma berfaedah dalam satu tempat yang baik kepada tanaman. Kaedah rumit sedikit berbanding dengan kaedah kompos teh dan baja cecair ikan.


Kompos teh:


iaitu cecair baja organik yang terhasil melalui kompos yang dicairkan dengan nisbah air tertentu serta dioksigenkan dalam tempoh tertentu bagi pembiakan bakteria berfaedah di dalamnya. Ditambah gula perang atau molussa. Bermanfaat kepada kualiti tanah.


Baja Cecair Ikan:


Ialah sumber yang dihasilkan melalui ikan yang diperam selama 1 minggu. Ia ditambah gula perang atau molussa. Sesuai disiram pada sayuran.


Jika anda menggunakan serum EM ke atas tanaman di kebun, anda boleh lihat perubahan ketara dari segi pertumbuhannya, daunnya, batangnya, buahnya dan bunganya cukup baik, kuat dan sihat;




Pokok buncis burgundy (ungu) mempunyai daun lebar dan tebal, batang kuat serta cepat pertumbuhannya selepas disiram serum EM dengan nisbah 2 sudu makan dicampur dalam 1 liter air tanpa klorin.


Sawi bunga jepun daun lebar, batang ranggup dan hijaunya cukup menyerlah.


Pokok zucchini tanpa serangan penyakit, buah rimbun dan daun sangat lebar.



Dan akhir sekali pokok bendi merah hidup dengan subur, daun lebar serta batangnya besar. Bukti bahawa serum EM berkesan memperbaiki kualiti tanah. Siram satu kali dalam 2 minggu. Selang seli dengan baja NPK, kompos, kompos teh dan baja cecair ikan. Teknik nenek dan datuk kita zaman dahulu menggunakan air basuhan beras yang disiram terus ke batas kebun adalah aktiviti benar dan berfakta, namun begitu, ia mengambil masa untuk mewujudkan bakteria lacto yang menguraikan karbohidrat pada beras tersebut untuk membebaskan zat makanan kepada akar tanaman.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Isnin

PANDUAN MENYEMAI SAWI BUNGA JEPUN DALAM POLIBAG

Tags
Antara sawi bunga kegemaran tanomkinotuan ialah sawi bunga jepun. Rasa dan struktur sangat ringan dan lembut dimakan. Tanomkinotuan sudah dua kali menanam sawi bunga jepun ini kerana mudah tumbuh dan cepat membesar. Dan menyemai semula benih sawi bunga jepun untuk tanaman musim akan datang. Tahukah anda bagaimana menyemai benih sawi dalam polibag? Tanomkinotuan suka menggunakan polibag kerana banyak terdapat di stor rumah tanomkinotuan. Berikut cara dan panduan menyemai benih sawi bunga jepun:

Bahan-bahan yang diperlukan;

1. Beberapa biji benih sawi bunga jepun

2. Polibag saiz sederhana.

3. 2 cup kompos tumbuhan (manure green)

4. 1 cup habuk kayu atau cocopeat

5. 1 cup pasir sungai. 

6. Air untuk menyiram


Langkah penyediaan;

1. Belah dua polibag tersebut, buang bahagian atas.

2. Campurkan media seperti 2 cup kompos, 1 cup habuk kayu dan 1 cup pasir sungai ke dalam bekas lain, gaul hingga sebati.

3. Masukkan media campuran tadi ke dalam polibag yang dibelah dua itu tadi hingga penuh. Padat-padatkan sedikit media dengan menekan atau menghentak-hentakkan secara sederhana. 

4. Tabur benih di atasnya dan timbus dengan sedikit tanah. Siram dengan air secukupnya secara sedikit demi sedikit. Boleh juga menggunakan spray untuk melembabkan media.

5. Simpan polibag anda di tempat selamat dan tunggu sehingga benih bercambah. Benih sawi bunga jepun mula bercambah di hari ke-3 hingga hari ke7. Pastikan media lembab untuk hasil percambahan yang baik, jika tanah nampak kering spray dengan air. Selepas 2 hingga 3 minggu benih sawi bunga jepun sudah boleh dialihkan ke batas atau pasu yang disediakan.

Anda boleh menggunakan media campuran dalam nisbah 2:1:1 (tanah hitam: pasir sungai: kompos) jika media di atas sukar diperolehi. 

Sawi bunga jepun

Selamat bertani dan menuai hasil

PANDUAN MENANAM POKOK PUDINA DALAM POLIBAG ATAU PASU

Tags
Entry lepas tanomkinotuan berkongsi tentang cara-cara menanam pokok pudina langsung pada batas, kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi pula bagaimana menanam pokok pudina di dalam pasu atau kontena yang sesuai. Semua orang sangat berminat menanam herba khususnya pudina, ia bukan saja beraroma unik tetapi juga manfaatnya yang banyak terutamanya dalam bidang perubatan tradisi dan masakan. Bagi mereka yang belum mengetahui aroma pudina ini, aromanya seperti aroma dalam ubat gigi jenama colgate hingga iklan colgate di kaca televisyen menayangkan betapa segarnya apabila menggunakan ubat gigi berperisa pudina. Berikut adalah cara dan panduan menanam pokok pudina dalam pasu/kontena:

Bahan-bahan yang diperlukan:

1. Satu pasu/polibag bersaiz besar.

2. Dua atau tiga

keratan pokok pudina.

3. Dua mangkuk besar tanah hitam/lom.

4. Satu mangkuk besar pasir sungai.

5. Satu mangkuk besar kompos.

6. air secukupnya untuk menyiram.


Cara penyediaanya:

1. Pastikan pasu atau bekas yang digunakan harus bersaiz sederhana atau besar agar akar pudina bebas bergerak di dalamnya dan boleh tumbuh membesar dan lama. Anda juga boleh menggunakan apa-apa bekas yang bersesuaian.

2. Rendam terlebih dahulu kira-kira 1 inci keratan batang pokok pudina di dalam air selama 30 minit hingga 1 jam.

3. Sediakan media tanaman dengan mencampurkan tanah hitam, pasir sungai dan kompos ke dalam besen besar dan gaul hingga sebati. Jika anda menggunakan tinja binatang seperti reputan tinja ayam maka anda harus membiarkan terlebih dahulu tanah anda selama 2 minggu untuk sebatikan tinja dengan tanah barulah ditanam.

4. Masukkan media tanaman ke dalam pasu hingga penuh, padat-padatkan tanah tersebut dengan menekan secara perlahan atau menghentak-hentakkan pasu tersebut agar ruang-ruang tanah menjadi mampat. Tambah media sekali lagi jika media kurang.

5. Buat 3 lubang sedalam 3 inci dengan jarak 3 inci antara lubang. Masukkan keratan batang ke dalam lubang dan timbus lubang tersebut. 

6. Akhir sekali siram menggunakan air secukupnya dan simpan pasu anda di tempat terlindung dari sinaran matahari terik bagi selama 1 minggu atau sehingga keratan batang pudina itu mengeluarkan tunas baharu bagi membenarkan pudina anda bercambah dengan baik. Cahaya terik akan menyebabkan keratan pokok pudina anda akan layu dan mati. 

7. Apabila pokok pudina anda sudah tumbuh dengan baik kira-kira seminggu atau 2 minggu, bolehlah dialihkan ditempat terkena cahaya matahari selama 1 jam setiap hari untuk menguatkan struktur batang dan daun. Ini bertujuan untuk membiasakan pokok tersebut kepada sinaran matahari. Apabila pokok pudina anda benar-benar kukuh simpan pokok pudina anda di luar bagi mempercepatkan tumbuhbesaran. Lakukan pembajaan selang 2 minggu untuk hasil yang baik dan siram mengikut keadaan, Pokok pudina akan mati jika terlebih air di dalam pasu.


Tips menanam pokok pudina:

1. Jika anda membeli pokok pudina di nusery dan ingin mengubahnya ke dalam pasu bersaiz besar lebih mudah sebenarnya. Ikut langkah di atas sahaja, pokok pudina anda terus saja hidup dengan syarat berhati-hati membuka bekas lama/plastik asal bagi tidak meleraikan/pecah tanah tersebut.

2. Seelok-eloknya menggunakan baja organik pada pokok pudina anda.

3. Jangan menggunakan tanah liat untuk menanam pokok pudina. Ia masih boleh tumbuh tetapi tidaklah secantik dan berkualiti apabila anda menggunakan media campuran yang disyorkan.

4. Pasir sungai boleh digantikan dengan perlite (abu vulcano) jika ada. Boleh juga menambah peat-moss ke dalam media campuran sedia ada untuk hasil yang baik.

Khasiat pudina untuk kesihatan tidak boleh dipertikaikan lagi oleh sesiapa. Oleh itu setiap rumah harus ada sepokok dua pokok pudina di halaman rumah. Ia bukan saja boleh dijadikan dekorasi penghias laman tetapi anda tidak perlu terhegeh-hegeh ke pasar semata-mata mencari daun pudina dalam masakan, buang tenaga, petrol dan duit. bandingkan dengan mereka yang ada pokok pudina yang ditanam, hanya beberapa langkah saja petik dan proses untuk masakan kegemaran. Mudah bukan? Apa tunggu lagi tambah koleksi herba dirumah anda dengan sepasu pokok pudina.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Ahad

HASIL TUAIAN SAYURAN DAN BUAH HARI INI.

Tags
Hujung minggu ni tanomkinotuan tidak ke mana-mana, hanya duduk di rumah sambil menonton rancangan-rancangan yang bersiaran di astro dan menyiapkan sedikit kerja-kerja tugasan yang saban hari semakin menimbun. Ingatkan bolehlah tidur memanjang tapi siap tugasan yang lain datang pula kerja baharu, nak tak nak kena siapkan juga ikut date line. Periuk nasilah katakan.

Namun pagi tadi, tanomkinotuan ke KBR mencari sumber sayuran untuk dimasak tengahari ini. Sayuran seperti sawi komatsuna nanane, sawi komatsuna rafido dan sawi hirosimana sudah habis dituai minggu lepas masa tanomkinotuan tidak ada di rumah. Makanya gambar sayuran tersebut tidak dapat di pos disini untuk tatapan umum. Apa yang tinggal cuma sawi bunga jepun, sawi kerinting dan sawi bak choi. Tanomkinotuan juga selitkan beberapa sayuran dan buah yang dituai sebelum ini. Saja untuk tatapan pembaca sekalian.



Ini adalah ubi sengkuang yang dituai di KBR pagi ini. Selain di KBR tanomkinotuan juga ada menanam sengkuang di KG yang telah dituai sebelum ini. Bila tanomkinotuan bandingkan saiznya, ubi sengkuang di KG lagi besar berbanding di KBR sedangkan tempoh menanam pada hari yang sama. Mungkin tanah kebun lebih subur berbanding tanah laman.


Ini pula ialah buah zucchini, hasil tuaian pertama di KBR. Pokok zucchini hanya dua pokok saja yang tumbuh dan kedua-duanya sedang berbuah sekarang walaupun sepokok itu agak ketot pertumbuhannya berbandin pokoknya di sebelahnya.



Buah roselle ini pula dituai di KG, terdapat dua pokok roselle yang kini galak berbuah. Jadi bolehlah tanomkinotuan proses jus roselle untuk minum petang.


Dan terakhir sekali adalah sawi kerinting dan sawi bunga jepun. Maaf sekiranya alas sayuran tersebut menjijikkan anda tetapi ia adalah karung bersih.

Gembira rasa dengan hasil tuaian ini. Tanomkinotuan kena tunggu dahulu sayuran dituai baru menanam semula sebab sudah terlalu penuh dengan tanaman hingga pokok jagung pulut dekat pokok mulberi terbantut pertumbuhannya. Hendak dicantas pokok mulberi tersebut tetapi baru saja dicantas baru-baru ini, lagi pula ia masih berbuah. Harap pokok jagung pulut tanomkinotuan dapat hidup dengan baik.

Selamat bertani dan menuai hasil.

CARA DAN PANDUAN MENYEMAI BENIH TERUNG SARAWAK

Tags
Terung Sarawak atau nama saintifiknya ialah Solanum macrocarpon adalah variati terung yang sangat popular di negara Sarawak. Nama lain bagi terung ini ialah terung asam, terung Iban, aubergine gboma, African eggplant, anthora dan antrua. Lazimnya, terung Sarawak dijadikan rempah masakan sebagai pengganti asam jawa atau limau nipis kerana mempunyai rasa asam berbanding jenis-jenis variati terung yang biasa ditemui. Berikut adalah langkah-langkah menyemai benih terung sarawak:

Bahan-bahan yang diperlukan:

1. Satu polibag bersaiz Kecil 5"X7".

2. Benih terung Sarawak.

3. 2 cup besar tanah hitam/lom.

4. 1 cup besar pasir sungai.

5. 1 cup kompos.

6. Air untuk menyiram.


Cara penyediaannya:

1. Sediakan polibag anda. 

2. Rendam benih terung Sarawak selama 30 minit. 

3. Campurkan kesemua media seperti tanah hitam, pasir sungai dan kompos ke dalam satu bekas terlebih dahulu. Gaul hingga sebati.

4. Masukkan media campuran tersebut ke dalam polibag tadi hingga penuh. Padat-padatkan media agar ruang udara di dalam polibag dapat dikurangkan. Jika tidak melakukan sedemikian, apabila menyiramnya tanah akan menyusut.

5. Taburkan benih terung sarawak di permukaan media dan timbus senipis tanah untuk melindunginya dari serangan makhluk serangga.

6. Siram benih terung Sarawak anda secukupnya dan simpan ditempat teduh dan selamat.

Benih terung sarawak akan mula bercambah dari hari ke-6 hingga hari ke14 hari. Terung sarawak lama sedikit bercambah dan anda dikehendaki sabar menunggu. Selepas 2 hingga 3 minggu disemai. Anak pokok terung sarawak sudah boleh dipindahkan sama ada di atas batas atau pada pasu yang sesuai jika anda ingin menanamnya di dalam pasu. Pilih pasu bersaiz 18 inci ke atas untuk pertumbuhan terung Sarawak yang lebih baik.

Tips menyemai terung Sarawak;

1. Anda juga boleh mengantikan dengan media campuran daripada 2 cup kompos, 1 cup perlite (abu vulcano) dan vermiculite. Campurkan ketiga-tiga media hingga sebati dan masukkan ke dalam polibag. Kaedah ini sangat popular di negara Barat.

2. Boleh menggunakan apa-apa bekas semaian yang murah seperti cup aiskrim, tupperware, cup plastik, tin susu dan sebagainya.

3. Juga boleh menggunakan tray semaian cup styorofoam yang boleh dibeli di nusery berhampiran. Lebih praktikal dan berkualiti. 

4. Anda juga boleh menggunakan tanah di halaman rumah anda dengan syarat tambah kompos dan dedahkan pada sinaran matahari selama 5 hari. 

Selamat bertani dan menuai hasil.  

Jumaat

PANDUAN MENANAM POKOK JAGUNG PULUT

Tags

Jagung pulut (Bahasa Kadazandusun: tawaran; luong; handum) adalah variati jagung heirloom yang banyak ditanam di Asia Tenggara khususnya Malaysia, Indonesia serta Brunei Darul Salam. Mungkin jagung jenis ini juga banyak ditanam di Thailand, Kambodia dan lain-lain. Pokoknya tidak jauh berbeza dengan variati lain seperti jagung Hibrid atau jagung GMO (tidak digalakkan menanamnya) di pasaran cuma yang berbeza ialah jagung pulut mempunyai pokok yang agak tinggi melebihi 1 meter, daun lebih panjang berwarna hijau muda. Satu pokok menghasilkan 2 hingga 4 buah jagung dengan rerambut halus berwarna putih krim atau merah muda. Kelopak daun dari buahnya berwarna hijau atau merah gelap keunguan serta isinya berwarna putih terang. Namun jagung pulut variasi pokok, daun dan kelopak buah berwarna merah keunguan kini jarang ditemui hari ini berkemungkinan mengalami kepupusan akibat kehadiran variati jagung yang baharu. Jagung pulut sangat digemari oleh pencinta jagung kerana bukan sahaja lemak-lemak berkrim serta manis (tidaklah sama manisnya dengan jagung manis) tetapi juga rasanya sedikit meleket seperti pulut sebab itulah variati ini dipanggil jagung pulut. Jagung pulut juga dikenali sebagai jagung kampung oleh penduduk setempat.

Tidak sukar untuk menanam jagung pulut disebabkan iklim di negara kita yang sesuai untuk menanam semua variati jagung termasuklah jagung pulut ini. Tidak seperti di negara yang mengalami 4 musim, jagung pulut boleh ditanam di negara kita sepanjang tahun. tidak perlu menghafal Kalendar penanaman seperti mana yang dipraktikkan oleh para pekebun di negara tersebut. Berikut adalah cara dan panduan untuk menanam jagung pulut di halaman rumah sama ada ditanam pada batas atau menggunakan polibag saiz besar atau pasu besar.

Pertama sekali, anda harus mendapatkan benih jagung pulut daripada orang yang ada menjualnya. Makluman untuk semua, nusery atau kedai pertanian tidak menjual benih jagung pulut ini. Di Sabah anda hanya boleh mendapatkan benih jagung pulut yang dijual di tamu (pasar minggu). Malah jika pandai tawar menawar anda boleh dapat harga yang berpatutan. Anda juga boleh mendapatkan benih jagung yang dijual secara online, pilih kedai online yang ada menjualnya dan boleh dipercayai.

Pilih lokasi menanam, lokasi atau tempat menanam jagung anda harus sesuai dari segi pencahayaan. Pokok jagung memerlukan sinaran matahari melebihi 6 jam sehari. Anda boleh menanam pokok jagung anda di halaman rumah seperti belakang rumah yang lapang, tepi pagar yang cukup sinaran matahari atau depan rumah anda. Jangan menanam benih jagung berhampiran dengan pokok besar, pokok bunga yang telah besar pokoknya. Ini kerana pokok akan mencuri zat makanan melalui akarnya yang telah panjang menjalar dalam tanah. Pada pasu, sama kes dengan menanam di atas batas, cahaya sangat penting untuk pertumbuhan jagung yang baik. letakkan polibag atau pasu anda pada kawasan yang disinari sekurang-kurangnya 6 jam atau lebih. 


Bagi anda yang menanam pokok jagung dalam tanah, elok rasanya membuat batas sekadar termampu. Korek tanah sedalam 1 kaki menggunakan cangkul dan tinggikan tanah menjadi batas kira-kira 9 inci hingga 10 inci tinggi. Buat batas bersaiz 1x6 atau mengikut jumlah benih jagung pulut yang hendak ditanam. Banyak jumlah benih yang ditanam maka batas anda juga perlu dipanjangkan. Batas tersebut harus digembur hingga menjadi serpihan-serpihan kecil, peroi dan lerai. Buang semua bendasing yang wujud di dalam tanah seperti batu, kayu reput, ranting, akar kayu, tile, serpihan semen, paku dan sebagainya. Tambah kompos pada tanah untuk memperbaiki kualiti tanah, jika anda menggunakan 1x6 saiz batas maka anda perlukan 3 kilo kompos yang perlu ditabur merata pada batas anda. Tambah kapur pertanian jika tanah didapati berasid (guna pengukat PH tanah yang mudah dibeli di kedai pertanian berhampiran). Anda juga boleh menambah tinja binatang terproses yang boleh dibeli di pasaran dengan harga berpatutan. Baja murah atau kos zero juga boleh kita perolehi di mana anda boleh meminta tinja binatang kepada sesiapa yang ada memelihara/menternak kambing, lembu, arnab atau kuda di tempat berkenaan. Tabur tinja binatang tersebut pada batas anda sebanyak 3 kilo dan sebatikannya dengan tanah. Jika anda tinggal berhampiran dengan kilang kelapa sawit, ada sisa hitam yang mereka akan buang. Selalunya dilonggokkan tidak jauh dari kilang. Anda boleh juga mngambilnya dan tabur pada batas tetapi jangn terlalu banyak. Cukup beberapa genggam saja. Tapi jika anda menanam sayur berdaun pula amat sesuai jika anda tabur dengan kuantiti yang banyak pada batas kerana kompos kelapa sawit akan melebarkan dan merimbunkan daun sayuran anda. 

Bagi mereka yang memilih menanam pokok jagung di dalam polibag atau pasu besar. Hanya sediakan media campuran dengan nisbah 2:1:1 (tanah lom/hitam:pasir sungai:kompos/baja organik). Boleh ditambah kompos kelapas sawit juga. Campurkan media tersebut dan isikan ke dalam polibag atau pasu anda.

Apabila batas dan pasu/polibag telah disediakan, anda sudah boleh menanam benih jagung ke dalamnya. Sebelum itu, rendam terlebih dahulu benih jagung selama 1 hingga 2 jam, kemudian buat lubang pada batas sedalam 2 inci hingga 2 1/2 inci dengan jarak antara lubang ialah 2 kaki setengah. Tanam 2 biji benih jagung pulut untuk setiap lubang, timbus semula dengan tanah. Lakukan kerja-kerja menanam sehingga selesai. Pancangkan kayu atau seumpamanya pada bekas lubang agar kita tahu di mana kedudukan benih-benih jagung tersebut. Ia sebagai tanda kedudukan/lokasi benih jagung yang ditanam di dalam batas. Bagi dalam pasu pula, buat lubang di tengahnya dan tanam 2 biji benih jagung serta timbus semula dengan tanah. Siram media tanaman anda dengan air yang cukup. 

Benih jagung mengambil masa untuk bercambah kira-kira 5 hari hingga 14 hari. Jika benih jagung tersebut tumbuh melebihi 2 pokok, pilih pokok yang kurang subur dan cabut untuk memberi ruang kepada pokok yang satu lagi untuk tumbuh dengan baik.

Genap usia 2 minggu anak pokok jagung pulut anda, lakukan pembajaan menggunakan baja NPK organik dengan menaburkan disekeliling pokok anak jagung. Sebelum menaburkan baja tersebut. Gembur-gemburkan terlebih dahulu tanah di sekeliling anak pokok supaya serapan lebih cepat oleh akarnya. Lakukan pembajaan selang 2 minggu sekali. Anda boleh selang selikan dengan menyiram kompos teh dan baja cecair ikan kepada anak pokok jagung anda. Ikut panduan membajaan di bawah untuk jagung anda:

Minggu kedua selepas disemai (14 hari)


  • Baja NPK organik - setengah genggam untuk satu pokok pada batas dan 2 sudu untuk anak pokok jagung dalam pasu
Minggu ketiga selepas disemai (21 hari)

  • Baja cecair kompos teh - setengah gelas kompos teh dengan 2 liter air. 
  • Baja cecair ikan (Fish emulsion fertilizer) - 1 gelas baja cecair ikan dengan 3 liter air. 
  • Anda juga boleh menggunakan penyembur/spary ke atas daun, batang dan sekeliling tanah pada pokok jagung. Siram pada tanah atau siram bersama-sama tanaman. lakukan pada petang. 

Minggu keempat selepas disemai (28 hari)

  • Baja NPK organik - setengah genggam untuk setiap pokok jagung dan 2 sudu bagi pokok jagung dalam pasu/polibag
  • Baja bone meal - 2 sudu besar untuk setiap pokok jagung pada batas dan 1 sudu kecil bagi pokok jagung dalam pasu

Minggu keenam selepas disemai (42 hari)

  • Baja tinja ayam/lembu - segenggam untuk sepokok jagung, 2 sudu bagi pokok jagung dalam pasu.
  • Baja bone meal - 2 sudu besar bagi sepokok jagung pada batas dan 1 sudu besar bagi pokok jagung dalam pasu.

Minggu kelapan selepas disemai (56 hari)

Tempoh ini pokok jagung anda sudah berbuah dan tunggu menjadi matang. Tambah baja untuk buah yang cantik, besar dan padat.

  • Baja bone meal - tabur di atas batas dengan anggaran setengah genggam atau 1 genggam bagi setiap pokok. Manakala 2 hingga 3 sudu kecil bagi pokok jagung di dalam pasu.
  • Anda juga boleh menambah baja NPK organik jika sesuai.

Penjagaan pokok jagung tidaklah cerewet, ia mudah untuk dijaga dengan melakukan siraman 2 kali sehari pagi dan petang ketika musim panas dan tidak perlu ketika hujan. Buang segala rumput rumpai yang tumbuh di atas batas atau pasu. Untuk mengurangkan pertumbuhan rumput pada batas dan pasu, letakkan mulsa (mulch) atau sungkupan pada batas seperti jerami padi, rumput kering, habuk kayu, cocopeat dan sebagainya. Ia bukan sahaja mengurangkan pertumbuhan rumput rumpai tetapi juga mengekalkan kelembapan media pada tahap yang lama.

Pokok jagung mudah diserang penyakit. reput akar oleh serangan bakteria, serangan apid dan hena, penyakit serbuk putih pada daun jika suhu tersangat rendah dan serangan ulat pengorek buah jagung. Guna racun organik yang boleh dibeli di pasaran dan sembur pada terkena jangkitan. Cabut dan hapuskan pokok jagung yang teruk agar tidak menjangkiti pokok-pokok yang lain. Kawal kelembapan tanah dan nutrisi pada tanah untuk mengurangkan masalah serangan dan penyakit pada pokok jagung anda.

Pokok jagung pulut sudah boleh dituai genap 60 hari di semai. Untuk mengetahui buah jagung pulut tersebut sudah boleh dituai ialah dengan mencarikkan sedikit kelopak buahnya untuk melihat isinya. Tuai buah jagung pulut dalam keadaan isinya masih berjus/berair dan jika buahnya sudah kering atau menjadi keras ia tidak sesuai untuk direbus kerana keras dan tawar. Petik buah-buah jagung tersebut dengan mematahkannya ke bawah atau dengan menggunakan alatan tajam. Jagung pulut boleh bertahan sehingga 2 minggu apabila disimpan di dalam peti sejuk dengan memasukkannya ke dalam plastik berzip. Oleh kerana jagung pulut ialah jenis heirloom maka tinggalkan sepokok jagung untuk tujuan pematangan buahnya supaya kita dapat benih untuk tanaman musim akan datang. Tak perlu dah membeli benih jagung.


Tips menanam jagung pulut:

  • Tanam pokok jagung pulut anda di batas bersama dengan kentang, kacang pea, kacang tanah, timun dan labu. Jangan ditanam pokok jagung bersama kekacang memanjat (pole bean) dan pokok berri. Ini dikenali sebagai tanaman campuran atau companion plant bagi mengurangkan kerosakkan tanaman anda dari serangan makhluk perosak.
  • Jika baja bone meal (baja serbuk tulang ikan) sukar diperolehi, ganti dengan baja cecair ikan buatan sendiri pun boleh. Klik di SINI cara-cara membuat baja cecair ikan.
  • Jika kapur pertanian tidak ada dalam simpanan, bakar kertas buangan, kayu, ranting, dedaun kering dan rumput kering yang ada di halaman rumah anda dan ambil abunya tabur pada batas tersebut. Abu tersebut boleh mengantikan fungsi kapur pertanian. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

PENANTIAN SAYURAN DI KBR KINI HASILNYA SUDAH BOLEH DINIKMATI

Tags
Masih ingatkah entry mengenai tanaman sayuran sedang membesar di KBR yang diposkan pada musim lalu? Kini sayuran di KBR sudah galak pertumbuhannya. Terdapat sayuran yang sudah dituai seperti lobak merah. Sayuran berdaun yang sudah boleh dituai adalah seperti sawi kerinting, sawi komatsuna rafido F1, sawi bunga komatsuna nanane, sawi pahit hiroshimana (masuk dalam group sawi pahit jika melihat daun dan batangnya) serta sawi bunga jepun. dan ada pokok yang sudah berbunga dan menghasilkan buah namun masih dalam proses membesar seperti edamame (kacang soya hijau). Terdapat juga pokok yang masih galak membesar tanpa ada penghasilan bunga dan buah seperti kacang panjang galaxy, kacang panjang hitam dan pokok jagung. Dengan cuaca yang diselang-selikan panas dan hujan sepanjang bulan ini membolehkan sayuran di KBR tumbuh dengan baik. Klik di SINI untuk mendapatkan gambaran awal mengenai sayuran tersebut. Jom lihat gambar-gambar sayuran dan tanaman berwajah baru.

1. Kacang Buncis Ungu



Inilah kacang buncis ungu tanomkinotuan, selepas 3 minggu ianya sudah menjalar menutupi kayu penyokong yang dipancang di situ. Tidak lama lagi pokok buncis ungu akan mengeluarkan bunga dan buah cuma ada lama sedikit berbanding variati buncis yang lain. Nasib masa ini pokok tidak banyak serangan penyakit seperti pangkal batang daun yang memburuk. Pokok buncis ungu tanomkinotuan yang lepas-lepas habis mati teruk disebabkan serangan pangkal daunnya seolah-olah membengkak gitu. Jika dipatahkan dan lihat di dalamnya elok ja telur-telur tersebut tersusun rapi. 

Jika pokok buncis anda mengalami gangguan seperti itu, Petik daun-daun tersebut bersama tangkainya untuk mengelak telur-telur tersebut menetas dan masuk lebih dalam lagi khususnya batang buncis. Apabila telur tersebut bertukar menjadi ulat dan memakan tisu batang buncis anda lama-kelamaan pokok buncis anda mengalami symptom layu lalu mati. Subur daunnya hasil siraman kompos teh dan baja cecair ikan buatan sendiri.

Dicelah-celah pokok buncis ini terselit pokok tomato juga nampak subur. Maknanya tomato boleh tumbuh bersama pokok buncis. 

2. Sawi Bunga Jepun




Ini pula ialah sawi jepun yang hanya ditaburkan langsung pada batas. Tanomkinotuan gemburkan batas yang asalnya ditanam pokok tomato, tambah kompos sikit dan tabur benih sawi bunga tersebut. Pertumbuhannya agak cepat dan agak subur sekali. Tanomkinotuan hanya bubuh baja organik dua kali sahaja. Lagi pun batas tersebut masih banyak kandungan baja tempoh hari. Dalam masa semingu dua ini sawi bunga jepun sudah boleh dituai.  

3. Bendi Merah


Pokok bendi merah semakan besar berbanding gambar sebelum ini sehingga sawi kerinting dan bayam putih bulat yang ditanam ditepi batas terlindung sepenuhnya. Walau bagaimanapun, sawi kerinting tersebut sudah boleh dituai untuk bekalan dapur. Sudahlah begitu batas ini juga tanomkinotuan tabur benih bayam hijau bulat dan kelihatan bayam hijau bulat juga sudah kelihatan meninggi di celah-celah pokok bendi merah. Batas ini penuh dengan sayuran sebab batas yang terhad, boleh juga berfungsi sebagai mengekalkan kelembapan tanah untuk bendi merah tumbuh dengan baik.


4. Pokok Zucchini

Pandangan sisi jarak jauh

Ini dia gambar-gambar pokok zucchini tanomkinotuan, terdapat dua pokok yang bercambah dan tumbur membesar tetapi pokok zucchini yang satu lagi macam segan-segan pula nak tunjukkan diri sehingga ditutupi oleh pokok zucchini yang sudah 3 kali ganda lebih besar. Entah mampu menghasilkan buah atau tidak. Tanomkinotuan ambil gambar banyak-banyak untuk tatapan para pembaca. Tanomkinotuan pun asyik belek-belek pokoknya, buahnya serta bunganya yang berwarna oren mengamit sang lebah untuk menghampirinya. Pertama kali berjaya menanam zucchini, hari tu mati sebab daunnya habis dibalun oleh serangga. Mudah-mudahan buahnya menjadilah untuk tuanya merasa.

Oleh kerana tanah yang ditanam pokok zucchini ini ialah tanah liat, maka tanomkinotuan bubuh rumput kering di atasnya supaya kekal kelembapan tanah tersebut dan tidak kering. Selepas 2 minggu tanomkinotuan tambah lagi tanah kebun setinggi 5 inci di sekitar batas pokok zucchini dan menutupinya dengan mulsa rumput kering yang diambil di tepi pagar. Rumput tersebut adalah rumput yang tumbuh melata di KBR bulan-bulan lepas. Tanomkinotuan cabut dan longgokkan di satu tempat biarkan ia kering dengan sendiri dan boleh digunakan untuk sungkupan atau mulsa pada tanaman. Jimat sikit untuk membeli habuk kayu atau cocopeat di kedai. Tidak ingat nama pokok zucchini ni nanti tanomkinotuan periksa balik pembungkusnya. 


5. Sayuran sawi bunga dan sawi kerinting


Pandangan atas

Pandangan sisi

Dalam satu batas tanomkinotuan tanam pelbagai sayuran berdaun. Sebenarnya kesemua jenis sayuran berdaun ini tanomkinotuan tabur saja pada batas-batas berbeza tetapi oleh kerana hanya beberapa pokok sahaja yang bercambah dan tumbuh maka tanomkinotuan cabut semuanya dan tanam dalam satu batas, tidaklah membazir tempat menanam. Hasilnya sawi kerinting, sawi bunga komatsuna rafido F1, sawi bunga komatsuna nanane dan sawi pahit hiroshimana boleh saja hidup bersama malah elok ja tumbuh membesar. Sayuran ini sudah boleh dituai sebenarnya tetapi tunggu lah dulu sebab bekalan sayur di dapur masih ada. 

Gambar di atas menunjukkan perbezaan warna ketara bagi sayuran tersebut. Depan sekali adalah sawi komatsuna nanane, Ni benihnya di tempah khas dari Puan Diana "kebunbahagiabersama". Daunnya warna hijau gelap dan bentuk dan struktur daunnya mempunyai persamaan dengan sawi bunga kampung. Daun mengeriting berwarna seakan-akan hijau cerah adalah sawi kerinting dan sayur berdaun lebar tu pula adalah sawi pahit variati hiroshimana. Ni kalau biarkan lebih lama tumbuh, pokoknya lagi besar manakala dihujung gambar pula ialah sawi bunga komatsuna rafido f1. Ni batangnya agak keras sedikit berbanding dengan sawi bunga yang lain.


6. Pokok jagung pulut, buncis bulat dan kacang panjang




Kira 3 dalam 1 lah jawapnya, sekali mengambil gambar langsung 3 jenis tanaman yang diambil malah termasuk jugalah tumbuhan yang sedia ada. Pertama, sebelah kiri tu adalah pokok buncis bulat hanya dua pokok je (ikut kayu penyokongnya). Dah memanjat melebihi junjung kayu sebenarnya tapi tanda-tanda bunga tanomkinotuan belum nampak lagi. 

Pokok jagung pulut sudah separas dada tanomkinotuan, cepat betul membesar sedangkan tanah tersebut adalah tanah liat. Nasib baik hujan pada bulan ini agak kerap. Bolehlah lembut sedikit tanah tersebut berbanding sebelum-sebelum ini keras seperti batu. Dapatlah akar pokok jagung bergerak menyerap makanan dalam tanah. Pokok jagung pulut agak tinggi dan lewat menghasilkan buah/tongkol berbanding jagung manis yang pendek dan cepat berbuah.

Ketiga pula adalah kacang panjang galaxy, memanjat pada junjung kayu yang disediakan. Terdapat juga beberapa pokok kacang panjang yang tak sempat diletak kayu penyokong malah kini pokok jagung dijadikan sandaran untuk menjulang naik. Namun pokok jagung dan kacang panjang sebenarnya boleh ditanam bersama. Pokok jagung menyediakan junjung semulajadi manakala akar kacang panjang membebaskan nitrogen ke tanah untuk kegunaan pokok jagung. Mereka saling bantu membantulah kiranya.


7. Pokok buncis bulat




Ini pula adalah pokok buncis bulat, lazimnya mudah diperolehi di supermarket kerana pokok buncis jenis ini sangat produktif dalam pengeluaran jumlah buah yang banyak. Sebab itu disukai oleh para peladang dan pekebun. Setakat ini belum ada masalah dan yang membanggakan tanomkinotuan bunga-bunga sudah pun keluar dan sebahagian pokok yang lain sudah mengeluarkan buah yang masih kecil. 

8. Edamame (Kacang Soya Hijau)



Edamame atau juga dikenali sebagai kacang soya hijau, jika anda pernah makan di restoran-restoran Jepun di seluruh negara, edamame rebus ini boleh anda nikmati. Buah edamame tanomkinotuan masih dalam tempoh membesar, lihat podnya masih belum berisi atau isinya masih kecil. Seminggu dua lagi bolehlah ia dituai. Melalui pembacaan di blog-blog mengenai edamame, apabila isinya cukup besar bolehlah dipetik dan hanya rebus dengan menambah perasa sedikit garam. Mereka kata sedap lemak-lemak gitu. tanomkinotuan belum pernah lagi kena tunggu tuaian hasil pertama ini dan tanomkinotuan akan pos kat sini untuk dikongsi kepada pembaca semua.

Pokok edamame tanomkinotuan cinonet ja, tidak seperti pokok-pokok edamame yang ditanam oleh orang lain. Tetapi kira oklah sebab walaupun pokok bersaiz kecil tetapi masih menghasilkan buah yang banyak. Alhamdullilah.


Lobak merah sudah tanomkinotuan tuai tempoh hari, pokok mulberi kini sudah menghasilkan buah yang banyak dan timun cina sudahpun memanjat dengan elok. Bermula hari ini KBR sekali lagi menghasilkan bekalan sayuran kepada tanomkinotuan sekeluarga. Tengok hasilnya seperti tidak termakan jawabnya. Terlalu banyak apatah lagi jika pokok kacang panjang dan pokok buncis akan mula berbuah lagilah bekalan sayuran berlambak. Namun tanomkinotuan rasa, kacang panjang dan buncis boleh sampai dekat ramadan. Tidaklah penat dan letih nak berjalan membeli sayuran segar. KBR ada segala-galanya. 

Jadi kepada pembaca sekalian, marilah berkebun di halaman rumah. Tanam tumbuhan yang mudah tumbuh dan dijaga terlebih dahulu seperti pokok cili, pudina, daun bawang, pokok kunyit dan halia tidak kiralah dalam pasu atau atas tanah. Jika ada kejayaan, besarkan kebun anda dengan menanam jenis sayuran pula. Apa tunggu lagi niatkan dalam hati untuk melakukannya dan untuk anak-anak serta keluarga tercinta.

Selamat bertani dan menuai hasil.

PERKEMBANGAN POKOK ZUCCHINI CROOKNECK KUNING

Tags
Hari ini tanomkinotuan ingin berkongsi kepada pembaca semua mengenai sayuran buah zucchini yang ditanam di KBR. Pokok zucchini sangat cepat menghasilkan buah, mengikut kiraan tanomkinotuan selepas benih zucchini bercambah dalam tempoh 7 hari. Pokok zucchini sudah boleh dituai selepas 4 minggu lebih. Walaupun benih zucchini disemai masa musim panas ia mampu bertahan sehingga hari ini. Lihat detik-detik pembesaran pokok zucchini di KBR berdasarkan gambar di bawah:



Selepas 7 hari benih zucchini bercambah di musim panas, sudahlah jenis tanah adalah jenis tanah liat. Namun bersusah payah bercambah sehingga ke permukaan.




Anak pokok zucchini berusia 1 minggu di mana bagi mengekalkan tanah dalam keadaan lembab, tanomkinotuan meletakkan mulsa/sungkupan menggunakan rumput rumpai kering. Rumput rumpai ini dicabut di KBR dan di longgokkan di tepi pagar sehingga kering. Ia juga akan menjadi baja organik kepada pokok zucchini setelah mereput.



Ini pula gambar pokok zucchini berusia hampir 2 minggu di mana ia pun sudah membesar. Tanomkinotuan telah menambah tanah hitam di sekeliling pokok zucchini tersebut dan membubuh semula rumput kering di sekelilingnya. Maksudnya, ini adalah rumput kering kedua diletakkan di atasnya. 



Selepas 3 minggu pula, ia sudah mengeluarkan bunga jantan dan bunga betina yang pertama, bunganya lebar berwarna kuning dengan buahnya juga kuning terang. Pokok pada masa ini sangat besar dengan daun-daun yang sungguh menawan. 








Selepas 4 minggu (1 bulan lebih), buah zucchini kini cukup besar untuk dituai. Masa ini buah zucchini mula mengerutu pada kulitnya. Tanomkinotuan kurang tahu atau lupa akan nama jenis pokok zucchini tersebut. Pokok lebih besar dari 3 minggu yang lepas.




Hasil tuaian buahnya, tanomkinotuan tuai 4 biji dan masih ada 3 biji buah lagi yang sedang membesar, minggu depan masih ada bekalan jika tidak mengalami masalah. Pertama menanam dan pertama kali memakannya. Tanomkinotuan masak tumis dengan sedikit isi ikan, sedap juga. Lagi lembut dan rasa sederhana. Pada masa akan datang tanomkinotuan akan mencubab menanam variati yang lain pula. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

PANDUAN MEMBUAHKAN POKOK MULBERI

Tags
Tidak lengkap sebuah laman pada sesebuah rumah jika tidak menanam sebatang dua pokok mulberi sebagai pokok hiasan atau dekorasi laman bagi membantu menceriakan laman rumah. Bagi tanomkinotuan pokok mulberi mempunyai versatile tersendiri bilamana ditanam depan rumah, sepanjang pagar atau pun di dalam pasu besar pada kedua belah pintu gerbang. Ia sangat cantik dengan daun loncong bergerigi. Bukan sahaja nampak gah dan cantik tetapi perut kenyang jika buah-buahnya sudah boleh dituai. Sesuai diberi makan kepada anak-anak kita selain daripada buah-buah tempatan dan buah import yang sudah tentunya mahal harganya. Pokok mulberi adalah jenis pokok renek berkayu lembut dan bercabang. Ia sangat rajin berbuah jika anda pandai mengolah semula pokok-pokoknya. Bagaimanakah untuk supaya pokok mulberi senantiasa menghasilkan buah?

Berikut tanomkinotuan kongsikan kepada para pembaca bagaimana untuk membuahkan pokok mulberi. Bagi mereka yang belum mempunyai pokok mulberi elok rasanya mendapatkan sepokok mulberi di nusery-nusery yang ada menjualnya. Dapatkan info cara menanam keratan batang pokok mulberi di internet yang sangat banyak sumbernya. Jika saiz pokok mulberi anda masih diperingkat pertumbuhan. Elok biarkan terlebih dahulu pokok mulberi anda membesar sebulan dua atau sehingga tingginya melebihi 1 meter. 

Daripada dahan atau batang pokok mulberi anda, potong dan tinggalkan batangnya lebih kurang 7 inci ke 10 inci atau sekurang-kurangnya mempunyai 6 hingga 9 mata tunas yakni tempat keluarnya tunas pada pangkal daun pokok mulberi anda. Bahasa mudahnya 'trim' kan dahan pokok mulberi anda. Seterusnya tanggalkan daun bersama tangkainya dengan hanya menariknya ke bawah dengan kuat (boleh abaikan jika anda tidak mahu pokok mulberi tersebut menjadi botak). Lakukan kerja ini sehingga pokok mulberi anda tidak mempunyai daun langsung. Dalam erti kata lain, pokok mulberi anda sudah botak aka gondol disebabkan pembuangan daun-daun tertinggal pada batangnya selepas melalui proses pemangkasan. Sebab mengapa tanomkinotuan gondolkan pokok mulberi tersebut ialah kerana tanomkinotuan boleh menanam sayuran di sekelilingnya. Sambil menunggu pokok mulberi bertunas dan berbuah lebat, sayuran tersebut sudah boleh dituai hasilnya. Kira 2 dalam 1 lah kiranya. Dahan-dahan pokok mulberi yang dipangkas jangan dibuang begitu sahaja, anda potong semula dahan mulberi tersebut lebih kurang 7 atau 8 inci dan tanam atau semai semula dalam polibag. Anda juga boleh menanam langsung keratan pokok mulberi tersebut pada tanah, seelok-eloknya ketika hujan supaya ia mudah bercambah.

Sekiranya perlu Bubuh baja organik di sekeliling pokok dengan 2 genggam baja untuk sepokok mulberi. Siram dengan air secukupnya (boleh juga jika anda abaikan aktiviti pembajaan). Selepas 1 minggu, kita boleh lihat tunas-tunas dari bekas pangkal daun akan mula muncul. Selepas 3 minggu pula tunas sudah kelihatan beberapa daun beserta bunga berwarna putih berbulu kasar pada pangkal daun-daun muda. Hah! sebenarnya itu adalah buah pokok mulberi yang keluar seiring dengan tunas baharu. Maka biarkan tunas-tunas ini membesar untuk mendapatkan buah yang sehat, segar dan manis. Genap 1 bulan 1 minggu, buah berbulu putih akan beransur-ansur bertukar wajah kepada warna hijau dengan bulu-bulu berwarna putih itu kian kering. Masa ini anda sudah boleh lihat bentuk buahnya yang seakan-akan mengerutu sedikit, namun buah tersebut belum boleh dituai atau dimakan. Pada tempoh 2 bulan 2 minggu pula buah tersebut sekali lagi bertukar warna kepada kemerah-merahan secara perlahan-lahan menghakis warna hijau tersebut. Maka itu, kadang-kadang kita akan dapati terdapat buah sebelahnya merah manakala sebelahnya pula hijau dan akan beransur-ansur menjadi merah terang sepenuhnya. Pada tempoh tersebut buah pokok mulberi anda masih dalam proses matang tetapi tidak boleh dimakan, Pada masa ini buah tersebut masih terasa masam.

Pada usia 1 bulan 3 minggu ke atas kita akan dapati buah sekali lagi bertukar wajah daripada warna kemerah-merahan kepada ungu gelap. Dalam masa 2 hingga 3 hari saja sebiji buah pokok mulberi sudah bertukar warna kepada ungu. Tibalah masa untuk menuai hasil buah pokok mulberi yang telah matang yakni berwarna ungu. Untuk mendapatkan buah mulberi yang manis, lemak berkrim dan segar, tunggu buah tersebut berubah sepenuhnya menjadi ungu gelap. Apabila buahnya sudah mencecah 2 bulan ke atas, buah mulberi akan kecut dan mula memburuk. Kualitinya agak kurang disebabkan sudah terlalu masak. Oleh itu setelah menjadi ungu tuailah dengan cepat. 

Anda boleh mengutip buah berwarna ungu dengan memetiknya. Sebelum dimakan elok dibasuh terlebih dahulu. Jika buahnya banyak anda boleh membuat jem mulberi dengan memasaknya pada api sederhana dan tuang sedikit air serta tambah gula atau gula perang. Masak sehingga buah mulberi hancur dan menjadi likat. Simpan jem mulberi anda dalam bekas atau botol kedap udara dan guna jika anda membakar roti keping. Sesuai dimakan ketika serapan kepada anak-anak kita.

Setelah pokok mulberi anda dituai sepenuhnya, tunggu atau biarkan pokok mulberi anda dalam masa 1 hingga 2 minggu. Seterusnya lakukan pemangkasan semula seperti yang diterangkan di atas. Pokok mulberi anda sekali lagi menghasilkan tunas baharu bersama buah-buah yang segar. Lakukan aktiviti sedemikian sehingga anda muak memakannya, senang cerita, selagi anda pangkas pokoknya selagi itulah pokok mulberi anda akan berbuah lebat. Kaedah pembuahan di atas juga sesuai kepada pokok mulberi yang ditanam dalam pasu, cumanya buah agak kecil sedikit berbanding yang ditanam di tanah. Jadi apa tunggu lagi hasilkan buah mulberi dengan melakukan pemangkasan pokok mulberi anda dia laman rumah dan nikmati hasil buahnya genap 1 bulan hingga 2 bulan kemudian.

Selamat bertani dan menuai hasil.