Sabtu

PANDUAN RINGKAS MENANAM TERUNG UNGU

Tags

Terung atau nama saintifiknya dikenali sebagai Solanum melongena ini merupakan sayuran buah yang dipercayai berasal dari negara Sri Langka dan India. Pokok terung dikelompokkan dalam keluarga Solanaceae dalam genus Solanum termasuklah kentang, ranti @ tutan, terung liar @ terung pipit dan sebagainya. Kini pokok terung ditanam diseluruh dunia termasuklah negara kita dengan pelbagai variati. Buah terung mempunyai bermacam warna seperti ungu, hijau keputihan, ungu gelap, hijau berbelang ungu dan lain-lain. Istilah seperti eggplant, aubergine, brinjal, melongine, garden egg dan guinea squash adalah merujuk kepada satu entiti yang sama iaitu terung. Bintorung atau kiou pula istilah oleh penduduk pedalaman di Sabah bagi merujuk kepada terung.

Berikut panduan secara ringkas menanam pokok terung langsung pada tanah. Pertama sekali dapatkan benih terung di kedai berhampiran yang ada menjualnya. Pastikan benih terung tersebut masih elok dan tidak rosak serta tarikh luput masih sempurna. Anda juga boleh mendapatkan benih terung daripada buah terung yang telah matang/tua. Caranya belah terung yang matang dan asingkan benihnya serta keringkan di bawah sinaran matahari atau biarkan terdedah dengan haba di kawasan terlindung dan selamat. Anda juga boleh menggunakan kaedah tradisional dengan membelah 4 secara memanjang dari hujung buah hingga ke pangkal tangkai buah terung. Tetapi tidak dibelah secara terpisah. Sangkutkan buah terung yang matang/tua di tempat yang selamat dan masih terkena haba bagi membolehkannya kering secara perlahan-lahan. Sesudah kering bolehlah terus menyemai bersama benih dan buah yang kering itu, tidak perlu diasingkan Benih dan buah yang telah kering.

Jika anda sudah memiliki benih terung maka langkah seterusnya ialah dengan menyemainya. Semai benih terung terlebih dahulu dalam syorofoam cup dengan mengisi media semaian pada setiap cup padanya. Buat lubang sedalam 1 1/2 inci dan masukkan 2 hingga 3 biji benih dalam cup syorofoam tersebut. Timbus lubang dengan tanah ditepinya lalu siram dengan air yang banyak. Letakkan syorofoam tersebut di tempat terkena cahaya matahari dan pastikan media senantiasa lembab hinggalah benih terung bercambah.

Anda juga boleh menggunakan bekas-bekas terbuang sebagai semaian seperti pasu, kontena ais krim, tupperware terbuang, cup aiskrim dan bekas yang difikirkan sesuai. Antara bahan media yang boleh anda cuba untuk menyemai benih terung ialah:

1. Media campuran dengan nisbah 2:1:1 di mana 2 bahagian untuk tanah hitam/lom, 1 bahagian untuk pasir sungai dan 1 bahagian untuk kompos. Penjelasannya ialah anda boleh menggunakan apa-apa bekas untuk menyukatnya seperti gelas atau tin kecil. Maksudnya nisbah 2:1:1 ini mewakili masing-masing dengan 2 gelas tanah lom/hitam. 1 gelas pasir sungai dan 1 gelas kompos. Gaulkan ketiga-tiga campuran tersebut dan anda boleh menggunakannya.

2. Tanah kebun yang dicampurkan dengan kompos.

3. Cocopeat/sabut kelapa yang digiling halus yang dicampurkan dengan kompos dan sedikit pasir.

4. Peat-moss atau lumut gambut yang boleh dibeli di kedai.

5. Topsoil atau tanah atas yang bokeh dibeli di kedai.

Terpulang pada anda mana yang disukai dan masukkan media tersebut ke dalam bekas semaian dan tabur benih terung di atasnya. Tutup benih terung tersebut dengan tanah nipis di atas lalu siram dengan air secukupnya. Simpan ditempat terkena sinaran matahari untuk proses percambahan.

Untuk kualiti tanah, anda harus melakukan sedikit kerja dengan membuat pengemburan dan batas tanah untuk menanam pokok terung. Dengan menggunakan cangkul, korek tanah sedalam 1 kaki dengan saiz batas 2 X 6 kaki persegi atau mengikut kemahuan sendiri. Gemburkan tanah hingga menjadi serpihan-serpihan kecil. Buang segala bendasing yang tertanam di dalam tanah seperti akar kayu, rumput kering, daun kering, tile, semen, paku, papan reput, potongan besi dan sebagainya. Tujuan pengemburan tanah ialah untuk pengudaraan dan saliran menjadi lebih baik supaya akar mudah bergerak dalam tanah.

Selepas pengemburan, tambah kompos pada tanah dengan 4 genggam kompos untuk 1 kaki persegi. Anda juga boleh mengantikan tinja binatang seperti tinja ayam, tinja lembu, guano terproses (tinja kelawar) dan arnab. Untuk makluman, untuk pokok terung jangan terlalu banyak meletakkan baja pada batas, kandungan baja yang tinggi pada batas anda hanya menyuburkan daun pokok terung tetapi kurang buah. Tabur kapur pertanian jika tanah anda didapati sangat berasid. Beli penyukat PH tanah di kedai berhampiran untuk menentukan tahap PH tanah anda. Dedahkan tanah anda pada sinaran matahari selama 1 minggu atau 2 minggu untuk mematikan mikrob jahat dalam tanah.

Selepas 2 minggu atau 3 minggu, benih terung anda sudah boleh dialihkan ke batas. Siram anak benih pokok terung terlebih dahulu untuk mudah dicabut. Buat lubang sedalam 2 hingga 3 inci dalam dengan jarak lubang adalah kira-kira 3 kaki antara lubang. Cabut anak benih terung secara berhati-hati dan tanam sepokok untuk 1 lubang. Padatkan tanah disekeliling anak pokok agar anak benih pokok terung anda tidak tumbang jika dilakukan penyiraman. Lakukan penanaman anak pokok terung anda hingga selesai. Siram dengan air secukupnya dan letakkan jaring hitam sebagai teduhan untuk mengelak daripada layu dan seterusnya mati. Cara membuat teduhan ialah pancangkan kayu pada tepi batas secara sebelah menyebelah supaya jaring hitam dapat diletakkan di atasnya secara sempurna.

Pembajaan boleh dilakukan selepas 2 minggu anak pokok dialihkan di atas batas. Tabur baja di setiap pokok terung dengan anggaran 3 sudu besar. Lakukan pembajaan 2 minggu sekali dan boleh diselangselikan dengan baja cecair organik seperti kompos teh atau baja cecair ikan. Buang rumput pada batas dan sekitarnya. Tambah sungkupan atau mulsa (mulch) di atas batas untuk kelembapan tanah dan mengurangkan rumput rumpai tumbuh pada batas anda. Antara mulsa yang boleh anda lakukan ialah cocopeat, daun kering, rumput kering, jerami, dan lalang kering.

Buah terung sudah boleh dituai selepas 1 bulan setengah hingga 2 bulan. Petik buah terung yang matang dengan melihat kulit buahnya yang berkilat. Buah terung sangat sedap dimasak kari atau dimasak sambal terung masak merah. Nikmati buah terung hasil tanam sendiri yang organik dan bebas bahan kimia.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

1 komen so far

sedey teringatkan terung yg berbunga bkn maen lg... tp sume bunga luruh cam tu aje lpas kembang....


EmoticonEmoticon