Sabtu

SAYUR DUKARUK: SAYUR HERBA TUMBUH DI CELAH-CELAH BATU SUNGAI

Tags


Dukaruk, itulah nama yang diberikan kepada sejenis sayuran yang termasuk dalam keluarga keladi yang sangat digemari oleh rakyat Sabah khususnya komuniti Kadazandusun. Tumbuhan ini tidaklah ditanam seperti jenis-jenis keladi komersil yang lain tetapi hidup subur di tebing-tebing sungai kecil di kaki gunung atau bukit. Pokok sayur dukaruk tidak tumbuh pada kawasan sungai yang bersaiz besar tetapi sungai kecil berbatu dan berlumut serta persekitarannya yang masih tidak tercemar serta bersuhu sejuk. Pokoknya jenis renek dan berdaun bulat atau setengahnya berdaun bujur, tumbuh menempel pada celah-celah batu di tebing sungai. Daun, batang dan isinya boleh dimakan. Tumbuh secara serumpun dengan anak-anak pokok mengelilingi induknya. Selalunya pengemar sayur ini akan mereda belukar ke kawasan hulu sungai untuk mendapatkan dukaruk yang segar dengan mengumpul batang muda pada setiap pokok dukaruk tersebut.

Kawasan atau daerah yang banyak ditumbuhi pokok Dukaruk ini ialah di kawasan tanah tinggi yang mempunyai anak sungai yang mengalir dari Keningau, Tenom, Tambunan, Ranau hingga kawasan Kota Belud di Utara Sabah dan kawasan Beluran dan Tongod Daerah Sandakan di Timur Sabah. Sayur dukaruk ini boleh kita jumpainya apabila rajin ke tamu/badi (nama gelaran bagi pasar siang di Sabah) kerana ramai penjual menjualnya secara terbuka. Seikat sayur dukaruk dijual pada harga RM2. Rasa dan struktur sayur dukaruk sama dengan kita memakan pucuk keladi variati komersil, tidak jauh bezanya. Terdapat dua jenis sayur Dukaruk dalam pengetahuan tanomkinotuan, jenis daun bulat digelar sebagai sayur dukaruk manakala daun lebar membujur pula digelar sayur dungkalang. Mengikut pendapat emak tanomkinotuan, sayur dungkalang ini lebih sedap dan tidak gatal berbanding sayur pokok dukaruk yang mempunyai rasa gatal apabila dimakan. Oleh kerana majoriti kawasan pertumbuhan sayur ini dimonopoli oleh jenis sayuran pokok dukaruk berbanding sedikit sayur pokok dungkalang maka istilah sayur dukaruk banyak digunakan. Dukaruk dan dungkalang adalah merujuk kepada sayur yang sama tetapi dari spesis yang berbeza (hanya beza dari segi bentuk daun).

Dukaruk tumbuh ditepi sungai
Pada bulan lepas tanomkinotuan sempat ke tamu Keningau selepas selesai melansaikan semua kerja yang bertimbun dari 2 bulan yang lalu. Untuk mengurangkan tekanan kerja, tanomkinotuan pergi ke tamu untuk melihat suasana tamu yang meriah dengan manusia berpusu-pusu mencari keperluan dapur. Sesampai di kawasan tamu berjalanlah tanomkinotuan melilau kiri kanan kalau-kalau ada sesuatu yang menarik hati untuk dibeli. Sambil berjalan ternampak sayur dukaruk tersusun rapi sebaris dengan timun cina, penjualnya masih muda remaja dalam lingkungan 20-an. terfikir tanomkinotuan bahawa budak ni memang bagus orangnya, dalam usia belia remaja sudah pandai dan berusaha untuk mencari wang saku sendiri. Inilah yang kita mahu, berdikari tanpa menyusahkan orang lain. Maka tanomkinotuan menghampiri gadis ayu tersebut lalu tanomkinotuan duduk berhadapan dengannya dan menanyakan harga sayur dukaruk di hadapan tanomkinotuan (tipikal Kadazandusun, sudah nampak harga tertera pada kadboard yang ditulis RM2 ringgit masih gatal mulut untuk menanya harganya). Sambil tersenyum simpul si gadis cantik memberitahu harganya adalah RM2, mungkin si gadis tersebut menyindir dengan senyum simpulnya tetapi tanomkinotuan steady sahaja, hahaha. 

Tanomkinotuan mengangkat 2 ikat sayur dukaruk dan tidak lama kemudian sayur tersebut bertukar tangan. Tiba di rumah, tanomkinotuan memprojek sayur tersebut untuk santapan makan tengahari. Fuhh, sayur dukaruk masak lemak cili padi sap-sai (slanga bahasa di Sabah bermaksud habis, licin). Bermakna sedap kut resepi dukaruk tersebut hingga licin bekasnya. 

Sayur dukaruk merupakan sayur herba dalam keluarga keladi di mana tumbuh sendiri tanpa ditanam oleh sesiapa, bagi tanomkinotuan ia adalah tumbuhan yang dicipta oleh Minamangun (Sang Pencipta) untuk manusia di muka bumi. Tanpa sebarang racun serangga mahupun racun kulat (fungicide), ia selamat dimakan. Inilah contoh sayuran yang digemari oleh tanomkinotuan. sekurang-kurangnya tanomkinotuan dapat mengelak daripada memakan sayuran yang diracun dengan bahan kimia merbahaya kepada tubuh badan. Al-maklumlah pada era dan ketika ini, semua tanaman harus diracun untuk mengelak dari kerugian disebabkan serangan makhluk perosak dan jangkitan virus atau bakteria. 

Secara tradisi turun temurun, sayur dukaruk dimasak bersama bahan lain untuk menambah keenakan rasanya. Contohnya sayur dukaruk dimasak bersama siput sedut sungai atau tuntul/birid, ikan sungai, pandit atau usus kecil kijang yang dikeringkan melalui bara api. Namun dengan perkembangan teknik memasak yang kini boleh diakses dengan mudah di internet, anda boleh mempelbagaikan kaedah resepi memasak sayur dukaruk mengikut kesukaan anda. Berikut adalah resepi yang boleh anda cuba bagi memasak dukaruk iaitu:


1. Resepi Dukaruk pinapat cili padi.

Bahan-bahannya:

1. satu ikat sayur dukaruk - dipotong kira-kira 5 cm panjang, bersihkan dan toskan.

2. satu mangkuk besar pandit - usus kijang yang dikeringkan, potong kira-kira 1 setengah inci.

3.  350 ml pati santan - tak nak letak pun tak apa.

4. Dua keping kulit kering tangkub-angkub.

5. empat sudu besar minyak masak.

6. Satu sudu pes tuhau.

7. Setengah mangkuk kecil hirisan pinapat (kimchi sabah).

8. satu sudu kecil sos ikan.

9. Sepuluh hingga lima belas biji cili padi, ikut suka.

10. Empat sudu besar cili boh/cili giling.


Bahan-bahan tumbuk:

1. Lima biji bawang merah

2. Empat biji bawang putih

3. satu inci kunyit hidup

4. satu sudu makan biji ketumbar

5. Satu sudu makan biji jintan putih

6. Satu sudu makan jintan manis

7. Dua inci kulit kayu manis/koningau

8. Dua sudu kecil ikan bilis sandakan diblender.


Cara penyediaannya:

1. Rebus terlebih dahulu sayur dukaruk selama 5 minit, toskan.

2. Rebus pandit sehingga lembut, apabila sudah lembut keluarkannya ke dalam bekas lain dan cuci dengan air hingga bersih.

3. Panaskan minyak, masukkan bahan tumbuk tadi. Goreng hingga garing atau terbit minyak.

4. Masukkan pinapat, pes tuhau dan sos ikan serta cili padi, gaul hingga sebati. 

5. Masukkan pandit dan kacau sekejap. Tambah sedikit air jika masakan agak kering. Kacau dan biarkan sekejap.

6. Masukkan kulit kering tangkub-angkub dan sayur dukaruk ke dalam periuk. Kacau hingga layu. Masukkan santan dan diaduk sekejap. 

7. Tambah garam, gula dan aji secukup rasa, kacau sebati.

8. Apabila sudah masak angkat dan hidangkan.

Anda yang meminati sayur dukaruk apa kata, mencuba resepi ini. Jika anda tidak mempunyai kulit kering tangkub-angkub boleh tukar kepada asam gelugur, limau atau asam jawa. Pes tuhau itu boleh tukar dengan jeruk tuhau yang banyak dijual dalam botol kecil. Pes tuhau ada dua jenis, batang tuhau yang diblender secara segar dan batang tuhau yang dijeruk dengan garam selama seminggu dan diblender. Jeruk pinapat pula anda boleh tukar kepada jeruk sayur yang lain. Pandit pula agak sukar untuk mendapatkannya, anda boleh saja menukarkannya dengan bahan lain yang difikirkan sesuai.

Selamat mencuba..

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon