Ahad

CARA MENANAM POKOK MULBERRI HITAM

Tags

Pokok mulberri hitam
Secara umumnya pokok mulberri dapat dibahagikan kepada 3 jenis yang biasa dilihat atau ditanam di seluruh dunia iaitu mulberri putih, mulberri merah dan mulberri hitam. Terdapat pelbagai saiz dan bentuk buah mulberri yang dijumpai di serata tempat. Mulberri hitam atau nama saintifiknya ialah morus nigra adalah pokok yang biasa ditanam di negara kita kerana sesuai tumbuh di kawasan bersuhu panas. Jenis pokok mulberri yang ditanam oleh tanomkinotuan ialah dari jenis mulberri hitam di mana bertukar menjadi hitam apabila sudah masak sepenuhnya. Warna hitam mempunyai rasa manis dan berlemak berbanding buah yang masih berwarna merah. Tunggu hingga buah menjadi warna hitam barulah dipetik.

Cara menanam pokok mulberri adalah dengan menggunakan keratan batang yang telah matang. Anda boleh dapatkan keratan batang pokok mulberri ini dari sahabat atau kenalan yang ada menanamnya atau membeli secara online. Tanomkinotuan dapatkan keratan batang pokok mulberri ini dengan membelinya secara online. 7 batang berharga RM10 sahaja. Kira murah dan berpatutan. Tetapi jika anda dapatkan keratan batang pokok mulberri secara percuma lagi baik.

Keratan batang pokok mulberri harus ditanam dalam polibag terlebih dahulu. Perlu dimaklumkan bahawa pokok mulberri sesuai tumbuh pada nilai PH tanah yang sedikit berasid iaitu 5.5 hingga 6.5. Maksudnya media semaian tidak perlu ditambah serbuk kapur pertanian. Anda boleh menggunakan apa-apa jenis tanah untuk media tanaman seperti tanah lampung, tanah hitam, tanah kebun atau tanah campuran. Masukkan tanah ke dalam polibag hingga penuh dan pastikan tanah sedikit dipadatkan agar tidak berkurangan/mendap atau turun jika tanah tersebut disiram.
Mulberri berusia 3 minggu
Pada tanah dalam polibag, buat lubang menggunakan jari anda atau kayu sama saiz dengan keratan batang pokok mulberri kira-kira 4 hingga 5 inci dalam. Tanam keratan batang pokok mulberri pada lubang yang dibuat setengah dari panjang keratan batang mulberri tersebut dan timbus dengan tanah serta padatkannya agar keratan tersebut tidak mudah tumbang jika disiram.  Pastikan menanam keratan batang pokok mulberri dengan cara yang betul di mana lihat mata tunas pada setiap keratan batang tersebut dan tanam keratan batang dengan mata tunas menghala ke atas. Jangan tanam terbalik. Seterusnya siram dengan air yang mencukupi. Keratan pokok mulberri yang sudah ditanam harus disimpan atau diletakkan di kawasan teduh terlebih dahulu sehingga 4 minggu atau sehingga mata tunas mengeluarkan tunas kira-kira 3 inci. Barulah dipindahkan ke kawasan menerima sinaran matahari penuh. Dalam tempoh percambahan tunas, jangan sesekali digoyangkan atau tergoyang keratan batang pokok mulberri tersebut itu. Keratan batang pokok mulberri akan mati disebabkan kerosakan pada akar muda yang mula keluar dari pangkal batangnya.

Selepas 2 minggu ditanam dalam polibag, keratan batang pokok mulberri akan menunjukkan tunas mulai bercambah atau tumbuh. Jika pokok mulberri anda berbuah pada ketika cambahan, sila buka buah tersebut untuk memberi laluan pokok mulberri membesar. Ketika ini media tanaman/tanah jangan terlalu kering, siram tanah biar ia lembab senantiasa. Tanah lembab diperlukan untuk mempercepatkan pengeluaran akar keratan batang pokok mulberri anda. Apabila pokok mulberri anda sudah berusia 4 minggu, tunasnya sudah melebihi 3 inci dan bolehlah dipindahkan ke tempat yang terkena sinaran matahari penuh. Masa ini anda boleh membubuh baja organik pellet dengan menanamnya ke dalam tanah tetapi tidak terkena pada batangnya.

Pokok mulberri tersebut sudah boleh dipindahkan ke tempat baharu atau ditanam di dalam tanah apabila ia sudah berusia sebulan setengah atau 2 bulan. Dalam tempoh ini pokok mulberri sudah kukuh dan kuat. Buat lubang pada tanah dengan mengali sedalam 1 kaki (ikut saiz polibag yang anda gunakan), jika polibag anda bersaiz besar maka besarlah lubang yang anda harus gali. Pada lubang tersebut, bubuh baja organik 2 genggam dan timbus senipis mungkin dengan tanah, cukup menutupi baja tersebut. Dengan mengunakan pisau tajam, potong polibag memanjang dari atas ke bawah sebelah menyebelah. Berhati-hati ketika memotong jangan sampai terpotong akar pokok mulberri. Buka plastik polibag perlahan-lahan agar tanah tersebut tidak berderai. Tanam tanah pokok mulberri ke dalam lubang dan timbus semula dengan tanah hingga selesai. Siram pokok mulberri anda dengan air yang cukup.

Jika anda menanam pokok mulberri pada musim kemarau, anda teduhkan pokok mulberri dengan jaring hitam selama seminggu. Ini mengelak daripada pokok mulberri anda mati akibat cuaca panas. Jika keadaan/cuaca terkawal tidak perlu menggunakan penutup jaring hitam. Pokok mulberri cepat membesar dengan pembajaan yang konsisten. Bubuh baja sebulan sekali untuk hasil yang memuaskan.

Buah mulberri kali pertama dituai
Setelah pokok mulberri anda berusia 4 hingga 6 bulan yang pertama. Cantas batang pokok mulberri anda. Caranya cantas batang kira-kira 10 hingga 12 inci dari pucuknya dan buka semua daun pada batang. Tujuan mencantas ialah untuk membolehkan pokok mulberri anda menghasilkan buah. Selepas dicantas pokok mulberri anda akan mula bertunas selepas 2 minggu cantasan yakni tunas bersama buahnya. Jangan gusar atau bimbang jika buah yang terhasil bersaiz kecil kerana kali pertama menghasilkan buah memang seperti itu. Tetapi setelah 2 tahun ke atas, saiz buah mulberri anda semakin besar saiznya mengikut saiz pokok. Cantas semula pokok mulberri anda selepas 4 hingga 5 bulan dari cantasan yang pertama. Buat cara tersebut sepanjang tahun untuk mendapatkan buah pokok mulberri. Dengan cara ini pokok mulberri and tidak akan meninggi dan pada masa yang sama anda dapat rezeki buah yang enak dari pokoknya.

Pokok mulberri mempunyai nilai perubatan yang tinggi terhadap kesihatan. Buah mulberri mengandungi asid sitrik, gula dan vitamim C manakala daun mulberri mengandungi adenin, amilas, asid suksinik, karoten dan kolin. Biji mulberri pula mengandungi ureas dan kulitnya mengandungi beta-amirin, minyak meruap, resinotanol, dan sitosterol. Selain daunnya diberi makan kepada ulat sutera dan rusa, daun mulberri sangat baik untuk pencuci mata yang bengkak dengan merebusnya dan sapu pada mata yang bengkak di awal pagi dan petang. Daun mulberri yang dikeringkan berkesan melegahkan selesema, batuk, demam panas dan membersihkan dalaman badan. Caranya rebus daun kering dan minum airnya. Daun mulberri juga berkesan melegahkan gigitan serangga dengan menumbuk 6 helai daun hingga lumat dan tampal pada kesan gigitan. Buah mulberi pula berkesan untuk menyembuhkan penyakit kronik pencernaan, meransang rembesan cecair gastrik, memperbaiki selera makan dan membuang kembung perut. Akar pokok mulberi pula berkesan untuk penyakit asma, batuk, busung, melawaskan pembuangan air kecil dan radang dengan cara merebusnya. Air rebusan kulit pokok mulberri pula dikatakan boleh merawat sistem pernafasan, asma, batuk, bronchitis,menyingkirkan kahak dan mengawal tekanan darah tinggi. Pucuk muda daun pokok mulberri juga boleh dijadikan sebagai ulam atau sayur tumis. Rasa seperti kangkung atau tutan tetapi tidaklah pahit. Apapun sila dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu jika menggunakannya sebagai ubat bagi mengelak daripada sebarang masalah yang tidak dingini.

pokok mulberri sesuai ditanam di tepi pagar rumah anda. Tanam sebaris dengan pagar di sekeliling rumah dengan jarak rapat. Ia bukan sahaja menjadi pokok hiasan tetapi sebagai penghadang yang praktikal. Pokok mulberi juga boleh ditanam di dalam pasu jenis besar. Sekiranya pokok mulberi anda terlalu rimbun atau tinggi, cantas pokok mulberri tersebut. Dengan cantasan ini pertumbuhan pokok mulberri dapat dikawal dan paling penting ia akan menghasilkan buah yang enak dan sedap. Jom mencuba menanam pokok mulberri di halaman rumah.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon