Sabtu

CARA MENANAM POKOK BAWANG KUCAI CINA

Tags

Bawang kucai atau nama saintifiknya Allium schoenoprasum dari keluarga Alliaceae adalah jenis bebawang yang boleh hidup subur ditanaman di negara kita dengan baik. Ramai penggemar berkebun menyukai menanam pokok bawang kucai di mana bukan sahaja sesuai dalam masakan tetapi amat sesuai sebagai pokok hiasan di halaman rumah sama ada ditanam terus pada tanah atau dalam pasu. Pokok kucai cina mengeluarkan putik bunga seperti jejerum berwarna putih manakala variati lain pula berbunga ungu. Berikut cara dan panduan menanam pokok bawang kucai dari batangnya/isinya sama ada langsung pada tanah atau dalam pasu.

Pertama sekali cari pokok bawang kucai yang dijual  bersama-sama akarnya. Lazim para petani yang ada menanam pokok bawang kucai ini menjual hanya dari potongan daunnya sahaja tanpa akar. Tetapi jika anda bernasib baik, anda boleh menjumpai pokok bawang kucai dijual bersama akar, beli seikat dua. Bagi ditempat tanomkinotuan, seikat pokok bawang kucai dijual dengan harga RM2 sahaja sama ada bersama akar atau tidak. 1 ikat anda boleh mendapat 10 hingga 15 batang pokok kucai sebagai benih. Dengan pokok kucai berakar tersebut, anda boleh memotong 3 hingga 4 inci dari akarnya dan daunnya bolehlah dimasak sebagai santapan anda sekeluarga. biarkan batang pokok bawang kucai ditempat terbuka selama 1 hingga 2 minggu. Tunggu batang bawang kucai kering sedikit barulah ditanam. Jika tidak menjumpai pokok bawang kucai yang dijual bersama akar di mana-mana tamu atau pasar siang, anda boleh meminta dari kenalan atau orang yang anda kenal secara percuma atau membelinya. Tidak mengapa jika anda beli, ia berbaloi untuk anda. Jika anda menanam pokok kucai tersebut ia boleh membiak dengan cepat jika dijaga dengan baik. Dan pilihan terakhir anda jika kedua saranan di atas tidak berjaya ialah membeli benih kucai yang banyak dijual di internet atau kedai pertanian berhampiran rumah anda. Pilih pembungkus benih pokok kucai yang masih valid tarikh luputnya agar bila disemai ia akan tumbuh dengan baik.

Tindakan seterusnya ialah menyediakan tapak menanam atau batas di lokasi yang sesuai dan strategik dari segi pencahayaan sinaran matahari penuh. Pilih kawasan yang menerima matahari penuh kerana pokok kucai menyukai matahari penuh untuk tumbuhbesaran yang baik. begitu juga jika anda menanam dalam pasu, strategik peletakan pasu-pasu yang ditanam dengan pokok kucai harus diletakkan di kawasan terkena sinaran matahari penuh untuk pertumbuhan yang sihat seperti balkoni menghadap matahari dari pagi dan petang dan sebagainya. 

keratan akar kucai
Proses pengemburan tanah perlu dilakukan jika mereka yang ingin menanam pokok kucai di atas batas. Gembur tanah dan tambah kompos organik atau tinja binatang reput. Gaul merata dan biarkan untuk seminggu atau 2 minggu terlebih dahulu. Biar kompos atau tinja binatang itu benar-benar sebati dengan tanah. Sebelum penambahan kompos atau tinja binatang buang segala bendasing seperti akar, batang kayu, ranting, paku, semen, tile dan sebagainya yang boleh menganggu akar pokok kucai. Jika tanah dihalaman rumah anda adalah jenis tanah liat, jangan gusar dan susah hati. Semua maklum bahawa tanah liat adalah jenis tanah yang kurang sesuai untuk penanaman tetapi ia boleh dibaikpulih secara tuntas untuk tujuan di atas. Caranya korek tanah liat tersebut pada musim kemarau (jangan sesekali mengorek dan mengembur di musim hujan) dan gembur sehingga tanah tersebut menjadi serpihan-serpihan kecil. Tambah kompos secara lapisan sehingga 5 inci tebal keseluruhan saiz batas anda dan gaul merata. Anda juga boleh menggunakan tinja ayam secara lapisan setebal 5 inci pada batas anda dan gaul hingga sebati. Jika anda mempunyai cocopeat atau dalam istilah biasanya ialah sabut kelapa hancur anda boleh menambah secara lapisan setebal 3 hingga 5 inci pada keseluruhan saiz batas anda dan jangan lupa gaul sehingga merata dengan tanah. Anda juga boleh menambah peat-moss ke batas anda jika ada dengan lapisan sama seperti di atas. Seterusnya siram batas anda dengan air yang banyak. 

Bagi mereka yang berniat menanam pokok bawang kucai dalam pasu besar, polibag besar atau bekas plastik beras 10kg atau apa-apa bekas yang difikirkan sesuai. Anda boleh menggunakan media campuran tanah dengan nisbah 2:1:1 iaitu 2 bahagian tanah hitam/lom, 1 bahagian kompos, dan 1 bahagian pasir sungai. Gaul media-media tersebut ke dalam satu bekas dan masukkan ke dalam pasu atau bekas tanaman anda. Pastikan bekas tanaman anda harus diletakkan beberapa ketul batu atau jerami atau seumpamanya agar media tanaman anda tidak bebas keluar dari pasu melalui lubang-lubang tersebut. Anda juga boleh menggunakan tanah kebun, tanah hitam berhumus tinggi atau campuran tanah dengan cocopeat. Perlu diingatkan bahawa jika menggunakan tanah kebun berhati-hati dengan mikrob jahat yang ada dalam tanah kebun kerana ia boleh membunuh batang pokok kucai anda. Dedahkan tanah kebun anda pada cahaya matahari terik selama seminggu untuk mengurangkan atau menghapuskan mikrob-mikrob tidak berguna pada tanaman anda. 

Bagi mereka yang menanam pokok bawang kucai dari benih pula adalah semai benih bawang kucai pada bekas semaian terlebih dahulu dengan menggunakan media semaian yang berkualiti. Anda boleh menggunakan tanah hitam atau topsoil untuk media menyemai. Isikan bekas semaian dengan media semaian sehingga penuh. Tabur benih bawang kucai di atas tanah dan timbus senipis mungkin tanah diatasnya, cukup-cukup menutupi benih tersebut dan jangan lupa siram dengan air secukupnya. letakkan semaian tersebut pada sinaran matahari agar benih bawang kucai boleh bercambah seperti yang dikehendaki. Pada tempoh proses percambahan, pastikan tanah semaian berada dalam keadaan lembab senantiasa, jika kering spray atau siram dengan air. Setelah benih bercambah dan tumbuh dengan baik, Benih pokok bawang kucai sudah boleh dipindahkan setelah berusia 4 minggu atau lebih. Pastikan pokoknya kuat dan kukuh sebelum dipindahkan. 

Pada batas yang telah disediakan, anda perlu membuat lubang sedalam 2 hingga 2 setengah inci dengan jarak antara lubang ialah 5 hingga 10 inci. Jika batang-batang pokok kucai anda masih bersatu, pisah-pisahkan batang-batang pokok bawang kucai anda secara berhati-hati. Tanam keratan batang bawang kucai berakar pada setiap lubang pada batas yang disediakan lalu timbus dan padat-padatkan tanah agar batang kucai tersebut tidak tumbang jika anda menyiramnya. Separuh batang pokok kucai yang ditanam haruslah berada di permukaan tanah, jangan tanam kesemuanya ke dalam tanah pula. Batang pokok bawang kucai tidak bercambah sekiranya dibenamkan ke dalam tanah. 

Bagi pasu atau bekas tanaman lain pula buat lubang ditengah-tengah pasu dan tanam kucai pada lubang tersebut. Jika anda menggunakan bekas tanaman melebihi 18' inci ke atas, anda boleh menanam 3 hingga 5 batang dalam satu bekas tanaman. Dan siram dengana air setelah selesai menanam.

Pokok kucai tidaklah memerlukan baja yang banyak untuk pertumbuhan, cukup menambah sedikit baja organik pada pangkal pokoknya dan setengah sudu hingga 1 sudu baja NPK organik pada pokok kucai dalam pasu, buat pembajaan pokok kucai anda selang 2 minggu mengikut kesesuaian. Anda juga boleh menyiramnya dengan kompos teh, baja cecair ikan atau seumpamanya untuk bekalan zat makanan tambahan kepada pokok kucai anda selang 2 minggu. Boleh diselang-selikan dengan baja NPK organik dan baja cecair seperti disarankan di atas.

Pokok kucai akan mula membiak pada usia 1 bulan lebih. Pembiakan pokok kucai adalah dengan cara belahan pada setiap pokoknya. Jika anda menanam sepokok bawang kucai ke dalam 1 lubang, anda akan dapati selepas sebulan pokok kucai anda sudah bertambah 2 batang, dan akan bertambah lagi kepada 4 batang, dan 8 batang dan begitulah seterusnya.

Merumput adalah kerja rutin yang harus dilakukan ke atas pokok kucai anda. Pokok kucai tidak tumbuh subur jika banyak rumput rumpai di sekelilingnya. Cabut dan buang rumput tersebut. Jangan lupa mengembur-gemburkan tanah batas tersebut agar pengudaraan dan serapan pada zat nutrisi mudah dilakukan oleh akar-akar pokok bawang kucai anda. Pokok kucai tahan tanpa siraman selama seminggu, siram pokok kucai anda 4 kali seminggu sudah memadai. terlalu menyiram dengan air pada pokok kucai anda menyebabkan pokok kucai anda layu dan membusuk seterusnya mati. Jenis pokok allium adalah pokok yang boleh mati sekiranya menerima jumlah air yang banyak apatah lagi jika tempat menanam ditakungi air.

Pokok kucai anda sudah boleh dituai dalam usia 50 hingga 60 hari. Jika anda hanya mempunyai dua tiga pokok bawang kucai, anda tidak perlu mencabutnya. Memadai dengan memotong daunnya sahaja. Jika anda ingin menggunakan daun pokok kucai dalam masakan anda, potong seinci dari paras tanah. Jangan bimbang selepas seminggu keratan tersebut akan mengeluarkan tunas yang baharu dan terus membesar sebagai sepokok bawang kucai yang cantik dan subur. yang penting anda membubuh jumlah baja organik berpatutan dan menyiramnya ikut kesesuaian. Ia akan mampu memberikan anda bekalan daun bawang kucai selagi pokoknya tidak diserang penyakit. Alami sendiri rasa dan struktur bawang kucai tanam sendiri dengan resepi kesukaan anda malah ianya organik dan selamat kepada  kesihatan pada keluarga anda.

Tips untuk anda:
Anda boleh menanam pokok kucai berdekatan dengan sayuran berdaun seperti sawi bunga, sawi kerinting, sawi bak choi dan sayuran lain. Pokok bawang kucai berkesan menghalau makhluk perosak yang ingin menghinggapi sayuran berdaun anda. Tapi ingat pokok kucai tidak sesuai ditanam bersama kacang buncis dan kacang panjang di mana kucai anda tidak tumbuh dengan baik jika ditanam berhampiran dengan pokok kekacang. Semua pokok dari keluarga allium alah dengan pokok jenis kekacang (memanjat). Semoga bermanfaat.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon