Ahad

CARA DAN PANDUAN MENANAM PETOLA SEGI

Tags

Petola segi adalah termasuk dalam keluarga Cucurbitaceae yang boleh tumbuh dengan baik di kawasan tropika dan sub-tropika seperti di negara kita. Pokok petola segi dipercayai berasal dari benua India dan menyebar ke seluruh Asia Tenggara. Nama saintifiknya ialah Luffa acutangula adalah jenis pokok menjalar tahunan termasuk dalam sayuran buah yang banyak dikonsumsi oleh rakyat kita. Setiap petani yang menjalankan pertanian secara ladang menanam petola segi kerana ia mudah diurus dan tidak cerewet. Tidak hairanlah di supermarket atau pasar mingguan kita boleh melihat dan membeli buah petola segi dengan harga berpatutan. terdapat pelbagai variati sayur patola yang wujud iaitu antaranya patola segi (Luffa acutangula), Petola span/bantal (Luffa aegyptica), petola bulat (Luffa operculata). Namun variati yang ditanam di negara kita adalah jenis petola segi dan petola span/bantal. Untuk pekebun baru yang baru berjinak-jinak dalam bidang perkebunan ini boleh mencuba menanam pokok petola segi di halaman rumah anda. Berikut adalah cara dan panduan menanam petola segi secara kecil-kecilan di halaman rumah.


PEMILIHAN LOKASI

Anda harus memilih kawasan atau lokasi yang sesuai untuk menanam pokok petola segi ini di mana kawasan tersebut harus mendapat cahaya matahari sekurang-kurangnya melebihi 6 jam sehari. Perlu juga diambil perhatian bahawa jangan tanam pokok petola berhampiran dengan bangunan rumah anda jika anda tidak mahu kelihatan rumah anda menjadi semak kerana pokok petola segi ini adalah tumbuhan memanjat, selagi pokoknya masih produktif selagi itu pokoknya masih menjalar dan mengeluarkan buah. Juga pastikan tanah tersebut tidak ditakungi air apabila hujan. Anda juga dilarang menanam pokok petola segi di kawasan yang mempunyai pokok kayu yang rimbun. Pokok petola anda nanti terbantut pertumbuhannya. Sila pilih kawasan seperti belakang rumah, tepi pagar atau hadapan rumah untuk melihat kesesuaian lokasi berkenaan tentang cahaya.


PEMBELIAN BENIH

Anda tidak perlu gusar untuk mendapatkan benih petola segi, pergi saja ke kedai hardware atau kedai pertanian berhampiran dan anda boleh mendapatkan benih petola segi dengan mudah. Pilih benih yang masih elok dan bertanyakan kepada penjual tentang tarikh luput benih petola segi tersebut. Jika anda ingin membeli benih petola segi dari brand siap dibungkus, sila pastikan tarikh luput pada label pembungkus tersebut. Ini penting sebagai informasi kepada anda bahawa benih-benih yang sudah melebihi tarikh luput tidak akan bercambah lagi. 


PEMBATASAN LOKASI


Setelah anda tentukan lokasi sesuai untuk petola segi anda, kini tugas seterusnya ialah anda dikehendaki membersihkan kawasan tersebut dengan membuang rumput (jika ada) mengikut saiz batas yang anda inginkan. Dengan menggunakan cangkul korek tanah sedalam 1 kaki, gembur tanah tersebut hingga menjadi ketulan-ketulan kecil. Buang segala bendasing yang ada seperti paku, semen, tile, serpihan besi atau akar kayu, batu-bata dan batu. Jika anda ingin menanam benih petola segi dalam jumlah yang banyak, sebagai contohnya 4 hingga 6 pokok. Anda bolehlah membuat batas kira-kira 2 X 8 kaki persegi sudah memadai. Namun jika hanya menanam dua tiga biji, memadai untuk mengembur tanah kira-kira 1 X 4 kaki persegi (ukur batas anda dengan kaki anda anda sendiri, senang tanpa pening kepala. Tanomkinotuan selalunya menjadikan kaki sendiri sebagai pengukur paling vesertile). Dedahkan tanah tersebut kepada cahaya matahari selama seminggu atau 2 minggu untuk mengurangkan mikrob jahat yang boleh menjejaskan pokok petola anda nanti. (Nota: Anda boleh sahaja menanam benih petola segi tanpa mendedahkan tanah anda kepada cahaya matahari dengan syarat selepas dibubuh kompos secukupnya)

PENGOMPOSAN DAN PENGAPURAN

Batas yang sudah digembur dan dibentuk bolehlah dibubuh baja organik seperti kompos atau tinja ayam. Bagi batas 2 X 8 kaki persegi memerlukan kompos sebanyak 10 hingga 20 genggam tangan anda dan 5 hingga 8 genggam bagi batas 1 X 4 kaki persegi. Tanomkinotuan guna ukuran genggam supaya mudah pembaca untuk mentakrifkannya. Terpulang pada kebijaksanaan pembaca untuk mengunakan seberapa banyak kompos atau baja untuk batas tersebut. Tabur serbuk kapur pertanian sekiranya tanah anda didapati berasid. Dapatkan penyukat PH tanah di kedai berhampiran atau beli di pasaran online yang berwibawa dan dipercayai. Jumlah serbuk kapur yang perlu ditabur ialah mengikut nilai keasidan tanah anda. Namun secara umumnya anda boleh meletakkan setengah genggam untuk 1 X 1 kaki persegi untuk batas anda, maka jika 2 X 8 kaki persegi anda perlu 8 genggam serbuk kapur manakala batas berukuran 1 X 4 pula adalah 2 setengah genggam. Selepas dibubuh baja dan kapur (kapur hanya dibubuh sekiranya tanah bernilai asid, jika tanah anda neutral maka kapur pertanian tidak diperlukan), siram dengan air secukupnya. Biarkan batas anda selama seminggu hingga 2 minggu lagi agar baja/kompos dan kapur sebati dengan tanah.

PENANAMAN BENIH 

Benih petola segi tidak digalakkan untuk di semai, paling ideal ialah tanam secara terus pada batas. Namun untuk mempercepatkan percambahan, anda harus merendam benih petola segi dalam air selama 4 jam dan barulah ditanam di atas batas yang anda sediakan. Buat lubang sedalam 3 inci dengan jarak antara lubang ialah 1 kaki. Masukkan benih petola segi tersebut ke dalam lubang sebanyak 1 atau 2 biji dan timbus lubang tersebut dengan tanah ditepinya. Setiap lubang harus ditanda dengan mencucuk sebatang kayu padanya agar anda tahu kedudukan benih petola segi tersebut. Buat aktiviti menanam benih tersebut hingga selesai. Selepas menanam benih petola segi anda, siram batas tersebut dengan air yang banyak. 

PEMULSAAN ATAU SUNGKUPAN BATAS

Selepas batas tersebut ditanam dengan benih dan disiram, anda disarankan untuk meletakkan mulsa/sungkupan di atas batas tersebut. Antara mulsa (mulch) yang boleh digunakan ialah, serbuk kayu, cocopeat, peat-moss, jerami, rumput kering, daun kering, kertas dicarik, kotak yang dihancurkan, daun-daun potongan bunga yang sihat (jangan guna daun bunga yang berpenyakit) dan sebagainya. Mulsa berperanan untuk melembabkan batas anda untuk mempercepatkan benih petola segi anda bercambah juga mengurangkan pertumbuhan rumput rumpai. Letak mulsa pada keseluruhan batas tersebut kecuali bekas lubang yang anda bubuh benih, ia perlu dibiarkan terdedah dengan sinaran matahari. Peletakkan mulsa ke atas batas anda adalah optional, nak letak pun boleh dan tak nak letak pun tidak mengapa.

PERCAMBAHAN DAN PENYIRAMAN

Dalam peringkat percambahan benih petola anda, anda haruslah kerap menyiram batas tersebut jika batas tersebut mempunyai tanda-tanda kering. Benih petola segi akan mula bercambah dari hari ke-5 sehingga hari ke-14 hari. Jadi menanam petola harus sabar kerana ia agak lambat untuk keluar dari permukaan tanah. Pernah tanomkinotuan menanam benih petola dengan masa 3 minggu lebih baru nampak anak pokok petola segi keluar dari permukaan tanah. Ingatkan benih tersebut sudah tidak bercambah. Ini semuanya dipengaruhi oleh faktor kelembapan, suhu dan tanah anda.

PEMBAJAAN SUSULAN

Selepas 2 hingga 3 minggu selepas anak pokok petola ular anda keluar dari permukaan tanah, maka perlu membubuh semula baja NPK organik di sekeliling pokok petola ular tersebut. Bubuh baja secara berhati-hati jauh sedikit dari batangnya. jangan lupa gembur-gemburkan tanah berhampiran pokok tersebut dan hati-hati mengembur jangan mencederakan akar petola segi anda. Setiap pokok letakkan setengah genggam baja pada pokok petola dan bubuh pokok petola anda selang dua minggu beserta baja organik untuk buah. Perlu diambil perhatian bahawa jika terlebih membubuh baja subur pada pokok petola anda menyebabkan pokok petola anda hanya merimbun dengan galak tetapi buahnya sedikit atau tiada langsung. Jadi anda kena tahu sukatan pembajaan baja organik dengan betul.

MERUMPUT BATAS PETOLA

Rutin merumput adalah kerja yang harus dilakukan oleh anda ke atas batas petola segi untuk mengurangkan persaingan mendapatkan makanan. Cabut rumput rumpai yang masih kecil sehingga bersih. Namun jika anda telah meletakkan sungkupan atau mulsa ke atas batas tersebut sebelum ini kerja anda kurang dalam aktiviti merumput. Hanya saja mencabut rumput pada parit batas dan sekitarnya. 

PENYEDIAAN JUNJUNG KAYU/KAYU PENYOKONG

Petola segi bersifat memanjat dengan itu anda harus penyediakan kayu junjung atau 'trellis' sebagai penyokong pokok petola segi memanjat dengan baik. Anda boleh menggunakan kayu berukuran 2 X 4 cm. Kayu penyokong harus disediakan 2 minggu selepas benih petola segi mulai tumbuh. Namun jika tiada masalah anda boleh menanam pokok petola segi berdekatan dengan pagar anda dan biarkan ia memanjat pada pagar.

PENYAKIT DAN CARA KAWALAN

Petola segi kurang serangan penyakit tetapi ia masih diserang oleh makhluk perosak seperti lalat buah di mana menyuntik telurnya ke dalam buah petola segi yang masih kecil dan ulat tersebut membesar sambil memakan buah petola ular hingga membusuk. Cara kawalannya ialah setelah bunga betina (buah yang masih kecil) layu cepat-cepat balut dengan kertas agar selamat daripada lalat buah. Selain itu serangan dari apid hitam yang memakan sap batang dan pucuk petola segi. Guna campuran racun organik bawang putih dan sabun pencuci piring dan sembur di tempat-tempat serangan apid. Namun serangan kulapuk dan kumbang daun tidak mampu dilakukan dengan cara organik melainkan semburan racun kimia yang boleh dibeli di kedai tetapi ia sudah tidak bersifat organik jika anda menggunakan racun kimia sebagai kawalan. Anda boleh membuang terus pokok petola segi yang diserang teruk oleh kumbang daun atau kulapuk ini. Seelok-eloknya bakar atau buang ditempat yang jauh.

Tahun ini pokok petola segi tanomkinotuan tidak mengalami serangan seperti di atas. Ini kerana pokok petola segi tanomkinotuan dikerumuni oleh kerangga dan sudah membina mahligai indah di pokok tersebut. Jadi kurang serangan dari lalat buah dan kumbang daun disebabkan sifat perlindungan kawasan oleh kerangga-kerangga ini. Tetapi kerangga tidak bernilai sekiranya terdapatnya apid hitam pada pokok petola segi anda di mana kerangga sangat-sangat menjaga dan memberi perlindungan kepada apid ini dari gangguan luar. Sebagai balasannya kerangga-kerangga mendapat sedikit habuan cecair/sap dari perut apid itu tadi. 

PENUAIAN BUAH PETOLA

Buah petola sudah boleh dituai apabila berusia 1 bulan setengah atau (45 hari). Anda boleh menuai buah petola segi sebanyak 40 hingga 60 kali. Potong tangkai buah dengan pisau yang tajam. Ready untuk dimasak.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

2 komen

alhamdulillah..terima kasih tuan atas perkongsian..


EmoticonEmoticon