Ahad

POKOK CERI ACEROLA: TINGGI KANDUNGAN VITAMIN C

Tags
Bagaimanakah anda mendapatkan sumber vitamin C untuk tubuh anda? Selain memakan sayuran dan buah-buahan atau membuat sirap dari buah rosalle, anda boleh menikmati vitamin C daripada buah pokok acerola atau nama saintifiknya ialah Malpighia emarginata dalam keluarga Malpighiaceae dan yang berasal dari Amerika Selatan khususnya dari Yukacatn dan kini menyebar di beberapa tempat seperti USA dan Asia. Juga dikenali sebagai Ceri Barbados, West Indian Cherry dan wild crepe myrtle. Acerola adalah jenis pokok renek kira-kira 2 hingga 3 meter tinggi dengan daun berwarna hijau serta banyak cabang. Bunganya berwarna merah jambu dengan lima helai bunga yang cantik.

Sebenarnya tanomkinotuan beserta keluarga ke Ranau sempena perkahwinan abang tanomkinotuan di sana, oleh kerana pada waktu hari tersebut (sabtu) tidak ada acara maka sempat kami sekeluarga melaram ke tamu ranau dekat dengan sungai Liwogu. Adik tanomkinotuan yang sudah tidak kelihatan di tamu tersebut telah datang ke tempat kami di kawasan menjual baju rombengan/pakaian lelong sambil mencadangkan membeli pokok ceri. Tanomkinotuan dah terbayang ceri bertangkai panjang dan selalu digunakan untuk campuran kek. Maka tidak berfikir panjang tanomkinotuan menyerahkan beberapa not wang kertas untuk diserahkan kepada adik tanomkinotuan. Tidak berapa kemudin pokok acerola itu bertukar tangan. Gembira kerana sudah dapat menambah pokok hiasan di rumah selain pokok delima, keladi tikus, dan pokok buah-buahan.

Sesampai di rumah, bila tanomkinotuan belek pokok tersebut maka didapati ianya bukanlah pokok ceri yang tergambar dalam fikiran tanomkinotuan tempoh hari kerana tangkai buah pokok ini agak pendek dan jenis lembut berbanding ceri yang selalu digunakan dalam campuran kek. Tanomkinotuan tidak puas hati dan mula mengoogle untuk mendapatkan jawapan. Cari punya cari ternampaklah gambar seakan-akan pokok yang baru dibeli, rupa-rupanya pokok yang dibeli oleh adik tanomkinotuan adalah pokok acerola jenis beri juga tetapi berbeza dengan pokok ceri yang selalu dicampur dalam kek. Walau bagaimanapun, ia berbaloi kerana nilai khasiatnya cukup mempesonakan. 

Pokok acerola mempunyai buah yang kaya dengan kandungan vitamin C, ia sama dengan pokok rosalle. Sumber vitamin C semula jadi dari tumbuh-tumbuhan. Buah acerola berwarna hijau muda ketika muda dan bertukar menjadi merah terang ketika matang. Keesokan harinya adik tanomkinotuan telah memindahkan pokok acerola ini pada pasu yang besar sedikit. Hairan bin ajaib, tanah yang digunakan oleh penjual yang menanam pokok acerola ini 100% tanah liat. Tanomkinotuan berfikir sekejap mengapa ramai penjual atau nusery suka menggunakan tanah liat untuk menanam pokok-pokok yang ingin dijual, Semua pokok yang ditanam subur-subur belaka. Apa rahsia para penjual ini? Semasa pokok acerola dibeli tempoh hari, sudah terdapat 2 biji buah yang sedang tunggu untuk matang/masak. Dan bila terbaca akan entry mengenai buah acerola kepada manusia, tanomkinotuan rasa tidak rugi untuk membelinya. 

Selang beberapa minggu, buah acerola matang dengan warna merah yang cukup memikat hati. Adik tanomkinotuan cuba memakannya dengan tidak dijangka adik tanomkinotuan memejamkan mata dengan mimik wajah yang tersangat buruk dan terdetik dihati tanomkinotuan bahawa buah aceola ini sangat masam. Pendapat tanomkinotuan tersebut betul apabila adik tanomkinotuan memberitahu akan kemasaman buah tersebut. Tanomkinotuan hanya senyum simpul saja. Memang buah yang masa mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi. Cuba rasa vitamin C yang dipelletkan/supliment memang rasa asam pun. Tidak percaya, cuba vitamin C keluaran SHAKLEE.

Untuk memakan buah acerola ini adalah dengan mencampurkan gula atau madu atau dicampurkan dengan apa-apa buah yang manis untuk mengurangkan rasa asam tersebut. Bagi pendapat tanomkinotuan, lebih elok mendapatkan sumber vitamin C dari sumber-sumber yang asli seperti sayur-sayuran dan buah-buahan, atau dari buah rosalle dan acerola ini. Ia lebih asli dan organik sifatnya. Wang pun tidak terbang begitu sahaja setiap bulan. Tanomkinotuan bukanlah anti kepada supliment-supliment ini akan tetapi jika ada cara mudah dan murah untuk mendapatkan sumber vitamin C ini maka jawapannya adalah buah acerola.

Gambar di atas adalah buah yang kedual kali, selepas buah pertama matang kini pokok acerola mengeluarkan kudup bunga yang sangat cantik dengan berwarna merah jambu. Tanomkinotuan mempunyai 2 pokok acerola yang ditanam dalam pasu dan disimpan di KBR, kedua-duanya mengeluarkan bunga dengan galak. Bila tima masanya nanti, tanomkinotuan akan pindahkannya ke tanah agar akarnya bebas bergerak untuk pertumbuhan pokok acerola yang baik. Diharap apabila ditanam di atas tanah bolehlah pokok ini mengeluarkan hasil buahnya yang banyak untuk dibuat sirap acerola nanti. Dan yang pastinya, pokok acerola boleh saja dijadikan pokok bonsai yang cantik di halaman rumah. Namun tanomkinotuan belum ada pengalaman untuk membuat bonsai. Mungkin setahun dua tahun lagi kot.. Apa-apapun buah pokok acerola ini menjadi satu kepentingan bagi tanomkinotuan sekeluarga untuk mendapatkan kandungan vitamin C secara organik dan segar. Selain buah pokok acerola kita juga boleh mendapatkan sumber vitamin C dari buah pokok rosalle dan sayuran serta buah-buahan.

Selamat bertani dan menuai hasil.

CARA DAN PANDUAN MENANAM PETOLA SEGI

Tags
Petola segi adalah termasuk dalam keluarga Cucurbitaceae yang boleh tumbuh dengan baik di kawasan tropika dan sub-tropika seperti di negara kita. Pokok petola segi dipercayai berasal dari benua India dan menyebar ke seluruh Asia Tenggara. Nama saintifiknya ialah Luffa acutangula adalah jenis pokok menjalar tahunan termasuk dalam sayuran buah yang banyak dikonsumsi oleh rakyat kita. Setiap petani yang menjalankan pertanian secara ladang menanam petola segi kerana ia mudah diurus dan tidak cerewet. Tidak hairanlah di supermarket atau pasar mingguan kita boleh melihat dan membeli buah petola segi dengan harga berpatutan. terdapat pelbagai variati sayur patola yang wujud iaitu antaranya patola segi (Luffa acutangula), Petola span/bantal (Luffa aegyptica), petola bulat (Luffa operculata). Namun variati yang ditanam di negara kita adalah jenis petola segi dan petola span/bantal. Untuk pekebun baru yang baru berjinak-jinak dalam bidang perkebunan ini boleh mencuba menanam pokok petola segi di halaman rumah anda. Berikut adalah cara dan panduan menanam petola segi secara kecil-kecilan di halaman rumah.


PEMILIHAN LOKASI

Anda harus memilih kawasan atau lokasi yang sesuai untuk menanam pokok petola segi ini di mana kawasan tersebut harus mendapat cahaya matahari sekurang-kurangnya melebihi 6 jam sehari. Perlu juga diambil perhatian bahawa jangan tanam pokok petola berhampiran dengan bangunan rumah anda jika anda tidak mahu kelihatan rumah anda menjadi semak kerana pokok petola segi ini adalah tumbuhan memanjat, selagi pokoknya masih produktif selagi itu pokoknya masih menjalar dan mengeluarkan buah. Juga pastikan tanah tersebut tidak ditakungi air apabila hujan. Anda juga dilarang menanam pokok petola segi di kawasan yang mempunyai pokok kayu yang rimbun. Pokok petola anda nanti terbantut pertumbuhannya. Sila pilih kawasan seperti belakang rumah, tepi pagar atau hadapan rumah untuk melihat kesesuaian lokasi berkenaan tentang cahaya.


PEMBELIAN BENIH

Anda tidak perlu gusar untuk mendapatkan benih petola segi, pergi saja ke kedai hardware atau kedai pertanian berhampiran dan anda boleh mendapatkan benih petola segi dengan mudah. Pilih benih yang masih elok dan bertanyakan kepada penjual tentang tarikh luput benih petola segi tersebut. Jika anda ingin membeli benih petola segi dari brand siap dibungkus, sila pastikan tarikh luput pada label pembungkus tersebut. Ini penting sebagai informasi kepada anda bahawa benih-benih yang sudah melebihi tarikh luput tidak akan bercambah lagi. 


PEMBATASAN LOKASI


Setelah anda tentukan lokasi sesuai untuk petola segi anda, kini tugas seterusnya ialah anda dikehendaki membersihkan kawasan tersebut dengan membuang rumput (jika ada) mengikut saiz batas yang anda inginkan. Dengan menggunakan cangkul korek tanah sedalam 1 kaki, gembur tanah tersebut hingga menjadi ketulan-ketulan kecil. Buang segala bendasing yang ada seperti paku, semen, tile, serpihan besi atau akar kayu, batu-bata dan batu. Jika anda ingin menanam benih petola segi dalam jumlah yang banyak, sebagai contohnya 4 hingga 6 pokok. Anda bolehlah membuat batas kira-kira 2 X 8 kaki persegi sudah memadai. Namun jika hanya menanam dua tiga biji, memadai untuk mengembur tanah kira-kira 1 X 4 kaki persegi (ukur batas anda dengan kaki anda anda sendiri, senang tanpa pening kepala. Tanomkinotuan selalunya menjadikan kaki sendiri sebagai pengukur paling vesertile). Dedahkan tanah tersebut kepada cahaya matahari selama seminggu atau 2 minggu untuk mengurangkan mikrob jahat yang boleh menjejaskan pokok petola anda nanti. (Nota: Anda boleh sahaja menanam benih petola segi tanpa mendedahkan tanah anda kepada cahaya matahari dengan syarat selepas dibubuh kompos secukupnya)

PENGOMPOSAN DAN PENGAPURAN

Batas yang sudah digembur dan dibentuk bolehlah dibubuh baja organik seperti kompos atau tinja ayam. Bagi batas 2 X 8 kaki persegi memerlukan kompos sebanyak 10 hingga 20 genggam tangan anda dan 5 hingga 8 genggam bagi batas 1 X 4 kaki persegi. Tanomkinotuan guna ukuran genggam supaya mudah pembaca untuk mentakrifkannya. Terpulang pada kebijaksanaan pembaca untuk mengunakan seberapa banyak kompos atau baja untuk batas tersebut. Tabur serbuk kapur pertanian sekiranya tanah anda didapati berasid. Dapatkan penyukat PH tanah di kedai berhampiran atau beli di pasaran online yang berwibawa dan dipercayai. Jumlah serbuk kapur yang perlu ditabur ialah mengikut nilai keasidan tanah anda. Namun secara umumnya anda boleh meletakkan setengah genggam untuk 1 X 1 kaki persegi untuk batas anda, maka jika 2 X 8 kaki persegi anda perlu 8 genggam serbuk kapur manakala batas berukuran 1 X 4 pula adalah 2 setengah genggam. Selepas dibubuh baja dan kapur (kapur hanya dibubuh sekiranya tanah bernilai asid, jika tanah anda neutral maka kapur pertanian tidak diperlukan), siram dengan air secukupnya. Biarkan batas anda selama seminggu hingga 2 minggu lagi agar baja/kompos dan kapur sebati dengan tanah.

PENANAMAN BENIH 

Benih petola segi tidak digalakkan untuk di semai, paling ideal ialah tanam secara terus pada batas. Namun untuk mempercepatkan percambahan, anda harus merendam benih petola segi dalam air selama 4 jam dan barulah ditanam di atas batas yang anda sediakan. Buat lubang sedalam 3 inci dengan jarak antara lubang ialah 1 kaki. Masukkan benih petola segi tersebut ke dalam lubang sebanyak 1 atau 2 biji dan timbus lubang tersebut dengan tanah ditepinya. Setiap lubang harus ditanda dengan mencucuk sebatang kayu padanya agar anda tahu kedudukan benih petola segi tersebut. Buat aktiviti menanam benih tersebut hingga selesai. Selepas menanam benih petola segi anda, siram batas tersebut dengan air yang banyak. 

PEMULSAAN ATAU SUNGKUPAN BATAS

Selepas batas tersebut ditanam dengan benih dan disiram, anda disarankan untuk meletakkan mulsa/sungkupan di atas batas tersebut. Antara mulsa (mulch) yang boleh digunakan ialah, serbuk kayu, cocopeat, peat-moss, jerami, rumput kering, daun kering, kertas dicarik, kotak yang dihancurkan, daun-daun potongan bunga yang sihat (jangan guna daun bunga yang berpenyakit) dan sebagainya. Mulsa berperanan untuk melembabkan batas anda untuk mempercepatkan benih petola segi anda bercambah juga mengurangkan pertumbuhan rumput rumpai. Letak mulsa pada keseluruhan batas tersebut kecuali bekas lubang yang anda bubuh benih, ia perlu dibiarkan terdedah dengan sinaran matahari. Peletakkan mulsa ke atas batas anda adalah optional, nak letak pun boleh dan tak nak letak pun tidak mengapa.

PERCAMBAHAN DAN PENYIRAMAN

Dalam peringkat percambahan benih petola anda, anda haruslah kerap menyiram batas tersebut jika batas tersebut mempunyai tanda-tanda kering. Benih petola segi akan mula bercambah dari hari ke-5 sehingga hari ke-14 hari. Jadi menanam petola harus sabar kerana ia agak lambat untuk keluar dari permukaan tanah. Pernah tanomkinotuan menanam benih petola dengan masa 3 minggu lebih baru nampak anak pokok petola segi keluar dari permukaan tanah. Ingatkan benih tersebut sudah tidak bercambah. Ini semuanya dipengaruhi oleh faktor kelembapan, suhu dan tanah anda.

PEMBAJAAN SUSULAN

Selepas 2 hingga 3 minggu selepas anak pokok petola ular anda keluar dari permukaan tanah, maka perlu membubuh semula baja NPK organik di sekeliling pokok petola ular tersebut. Bubuh baja secara berhati-hati jauh sedikit dari batangnya. jangan lupa gembur-gemburkan tanah berhampiran pokok tersebut dan hati-hati mengembur jangan mencederakan akar petola segi anda. Setiap pokok letakkan setengah genggam baja pada pokok petola dan bubuh pokok petola anda selang dua minggu beserta baja organik untuk buah. Perlu diambil perhatian bahawa jika terlebih membubuh baja subur pada pokok petola anda menyebabkan pokok petola anda hanya merimbun dengan galak tetapi buahnya sedikit atau tiada langsung. Jadi anda kena tahu sukatan pembajaan baja organik dengan betul.

MERUMPUT BATAS PETOLA

Rutin merumput adalah kerja yang harus dilakukan oleh anda ke atas batas petola segi untuk mengurangkan persaingan mendapatkan makanan. Cabut rumput rumpai yang masih kecil sehingga bersih. Namun jika anda telah meletakkan sungkupan atau mulsa ke atas batas tersebut sebelum ini kerja anda kurang dalam aktiviti merumput. Hanya saja mencabut rumput pada parit batas dan sekitarnya. 

PENYEDIAAN JUNJUNG KAYU/KAYU PENYOKONG

Petola segi bersifat memanjat dengan itu anda harus penyediakan kayu junjung atau 'trellis' sebagai penyokong pokok petola segi memanjat dengan baik. Anda boleh menggunakan kayu berukuran 2 X 4 cm. Kayu penyokong harus disediakan 2 minggu selepas benih petola segi mulai tumbuh. Namun jika tiada masalah anda boleh menanam pokok petola segi berdekatan dengan pagar anda dan biarkan ia memanjat pada pagar.

PENYAKIT DAN CARA KAWALAN

Petola segi kurang serangan penyakit tetapi ia masih diserang oleh makhluk perosak seperti lalat buah di mana menyuntik telurnya ke dalam buah petola segi yang masih kecil dan ulat tersebut membesar sambil memakan buah petola ular hingga membusuk. Cara kawalannya ialah setelah bunga betina (buah yang masih kecil) layu cepat-cepat balut dengan kertas agar selamat daripada lalat buah. Selain itu serangan dari apid hitam yang memakan sap batang dan pucuk petola segi. Guna campuran racun organik bawang putih dan sabun pencuci piring dan sembur di tempat-tempat serangan apid. Namun serangan kulapuk dan kumbang daun tidak mampu dilakukan dengan cara organik melainkan semburan racun kimia yang boleh dibeli di kedai tetapi ia sudah tidak bersifat organik jika anda menggunakan racun kimia sebagai kawalan. Anda boleh membuang terus pokok petola segi yang diserang teruk oleh kumbang daun atau kulapuk ini. Seelok-eloknya bakar atau buang ditempat yang jauh.

Tahun ini pokok petola segi tanomkinotuan tidak mengalami serangan seperti di atas. Ini kerana pokok petola segi tanomkinotuan dikerumuni oleh kerangga dan sudah membina mahligai indah di pokok tersebut. Jadi kurang serangan dari lalat buah dan kumbang daun disebabkan sifat perlindungan kawasan oleh kerangga-kerangga ini. Tetapi kerangga tidak bernilai sekiranya terdapatnya apid hitam pada pokok petola segi anda di mana kerangga sangat-sangat menjaga dan memberi perlindungan kepada apid ini dari gangguan luar. Sebagai balasannya kerangga-kerangga mendapat sedikit habuan cecair/sap dari perut apid itu tadi. 

PENUAIAN BUAH PETOLA

Buah petola sudah boleh dituai apabila berusia 1 bulan setengah atau (45 hari). Anda boleh menuai buah petola segi sebanyak 40 hingga 60 kali. Potong tangkai buah dengan pisau yang tajam. Ready untuk dimasak.

Selamat bertani dan menuai hasil.

UMBUT TOMBORUA: KHASIAT BAIK UNTUK DARAH

Tags
Pokok tomborua atau dalam bahasa saintifiknya dikenali sebagai Plectocomiopsis geminiflora dalam keluarga Arecaceae ialah sejenis rotan yang tumbuh dengan baik di kawasan tropika seperti di negara kita. Dalam bahasa Melayu ia dipanggil sebagai umbut lalis atau pokok lalis. Ia sesuai tumbuh di semua kawasan di Asia Tenggara khususnya di Sabah. Batangnya kecil dan berwarna hijau, gugusan pokok yang padat, berduri sepanjang batangnya, dan pokok jenis memanjat dengan internod yang panjang. Batang dari pucuknya dikopek untuk mendapatkan umbut mudanya yang berwarna putih. Struktur rasa sangat kuat dan pahit. Di Sabah umbut tomborua dijadikan sayuran oleh komuniti yang meminati makanan ini. Ia banyak dijual di tamu/pasar siang dengan harga mencecah RM2 satu plastik bagi yang dikopek kulit kerasnya, manakala jika yang belum dikopek berharga RM2 untuk 2 hingga 3 batang. Bagi yang biasa membeli umbut tomborua ini, mereka lebih suka membeli yang belum dikopek kerana ia tahan lama dan berbaloi.

Tanomkinotuan sering membeli umbut tomborua jika singgah di tamu/pasar siang di sekitar Ranau, Keningau atau Tambunan. Pada tahun lepas, tanomkinotuan ke pasar basah untuk membeli beberapa kilo ikan untuk bekalan seminggu dua. Mengikut penjual ikan tersebut, ia baru sampai semalam. Bermaksud ikan tersebut bolehlah dikatakan masih segar dan cantik. Tanomkinotuan membeli ikan tenggiri, ikan basung bulat (jenis ikan kembung), ikan lumahan (jenis ikan kembung) dan ikan kurisi. Tanomkinotuan juga membeli beberapa kilo ketam laut, solisip (jenis kerang) dan sekilo udang yang mencecah RM48. Tanomkinotuan hanya mampu beli sekilo, harganya boleh cekik darah. Tapi untuk keluarga tanomkinotuan, tutup mata sahaja beli, lagi pula ibu tanomkinotuan sangat meminati udang ini. Selepas selesai semuanya, tanomkinotuan ke bahagian menjual sayur-sayuran. Maka ternampaklah tanomkinotuan umbut tomborua yang baru dikopek dan dimasukkan ke dalam plastik lutsinar. Tanomkinotuan beli dua plastik dengan harga RM4.

Seorang pangkaji dari Universiti Putra Malaysia iaitu Muhajir Hamid telah membuat kajian tentang nutrisi terkandung dalam pokok tomborua di mana hasil kajiannya mendapati ia kaya dengan serat, sumber mineral penting seperti photosium, magnesium, kalsium, zink dan phosporus. Sementara itu tomborua mempunyai bahan anti-oksidan seperti flavonoid myricetin dan phenolic iaitu asid protocatechuik dan asid chlorogenik. Ia berkesan menyekat aktiviti alpha-amylase yakni enzim yang melibatkan pencernaan kaborhidrat. Juga berkesan merendahkan tahap glucose dalam darah kepada pengidap diabetis. Maka dengan itu, tomborua berkesan dalam aktiviti anti-diabetik (antidiabetic).

  Bagi tanomkinotuan, perlu seimbangkan rasa makanan yang kita makan iaitu manis, pahit, dan masin. Kita tidak boleh hanya memakan yang manis sahaja. Keseimbangan itu perlu bagi mengekalkan keasidan dan kealkalian dalam tubuh badan kita agar ia dapat mengekalkan kesihatan sepanjang masa. sesuatu yang pahit itu adalah penawar, memang betul bidalan tersebut. Ubatan dari hospital rata-ratanya pahit. Tidak memakan umbut tomborua disebabkan rasa pahit adalah alasan yang tidak munasabah. pahit itu diperlukan dalam badan untuk menyeimbangkan manis dan masin dalam badan kita. Kaum Cina sudah lama mengamalkan konsep sebegini dalam cara untuk mengekalkan kesihatan dan kecantikan. Tak sanggup makan umbut tomborua, cuba memasak sayuran buah seperti peria dan salad lolorrosa yang mengandungi rasa sedikit pahit. 

Sebenarnya orang Sabah sudah lama beradaptasi dengan alam di sekelilingnya. Banyak makanan yang boleh diperolehi dari hutan berdekatan. Umbut tomborua berkesan untuk merendahkan tekanan darah anda. Kepada sesiapa yang mempunyai darah tinggi, elok memakan umbut tomborua dengan memakannya sebagai sayur. Ramai di luar sana menggunakan umbut tomborua sebagai bahan tambahan untuk menurunkan darah tinggi, tetapi perlu diingatkan bahawa dilarang sama sekali memakan umbut tomborua kepada mereka yang mempunyai tekanan darah rendah dan kepada ibu mengandung. 

Tanomkinotuan pernah melakukan pelbagai kerja sebelum mendapat pekerjaan sekarang ini seperti menoreh getah, tanomkinotuan menoreh getah dikebun tinggalan datuk tanomkinotuan untuk mencari wang sampingan. Dijadikan cerita, makcik tanomkinotuan akan mengambil tomborua dengan mencantas batangnya lalu ditarik sekuat tenaga untuk menurunkan batangnya yang menjalar hingga ke puncak pokok getah. Lalu makcik tanomkinotuan mencantas perdu (pucuk pokok tomborua) tersebut dan membuang duri-duri sepanjang 2 inci. Kalau tercucuk di mana-mana bahagian tubuh badan kita sememangnya menyakitkan. barulah makcik tanomkinotuan membuang kulit luarannya dan mengopek hingga kelihatan umbut tomborua yang masih muda. Makcik tanomkinotuan suka memakan umbut tomborua dengan memanggangnya sahaja. Panggang di atas bara api hingga layu dan lembut. Makan dengan dicicah cili berkicap yang diperah limau. Fuhhh! pahit bukan main.

Bagi tanomkinotuan umbut tomborua yang dihiris harus direbus terlebih dahulu kira-kira 5 hingga 20 minit. Tanomkinotuan kurangkan terlebih dahulu rasa pahitnya. Barulah dimasak ikut resepi sendiri. Tanomkinotuan masak umbut tomborua dengan sardin dalam tin dan dicampur sedikit daun sup/seleri untuk aroma lebih segar dan sedikit limau nipis untuk menyeimbangkan rasa pahit pada umbut tersebut. Boleh dimakan bersama nasi putih bukit dan ikan goreng. Sedap...

Selamat bertani dan menuai hasil.

Sabtu

BIJI PATAU BERAKAR: MAKANAN EKSOTIK DARI HUTAN DARA

Tags
Patau merupakan sejenis pokok berkayu keras yang tumbuh dengan banyak di kawasan tertentu di Sabah misalnya di kawasan pedalaman atau kawasan tanah tinggi dari Keningau merentas ke Tambunan hingga Ke Ranau. Juga pokok ini hidup subur di kawasan Beluran hingga ke Tongod dan sempadan Tawau. Pokok patau boleh mencecah ketinggian kira-kira 10 hingga 15 meter. Batang lurus seakan-akan berwarna putih dan kadang-kadang berakar banir jika tumbuh dikawasan tanah subur. Daun kecil dan halus memenuhi tangkai daunnya secara selari. Pokok patau mengeluarkan buah berbentuk sarung parang kira-kira 5 hingga 18 cm panjang, berwarna hijau ketika muda dan bertukar menjadi hitam ketika matang. Akan gugur sendiri ke tanah setelah matang oleh tiupan angin bersama sarungnya. Biji patau tidak akan terkeluar sehinggalah sarung buahnya mereput. Bijinya pula berwarna hitam dan diselaputi selaput keras. Sarung buah biji patau mempunyai kulapuk seakan-akan talkum jika buahnya baru sahaja jatuh ke tanah. Berbeza dengan pokok petai yang menjadi kegemaran kaum Melayu di semenanjung di mana buah petai di makan dalam usia muda (kulit masih berwarna hijau) sedangkan buah patau pula adalah dimakan ketika buahnya sudah matang/tua dan kering. Perlu mengopek kulit pembungkusnya untuk mendapatkan biji patau. Setiap sarung buah tersebut mempunyai kira-kira 3 hingga 10 biji patau tersusun secara individu.

Tanomkinotuan terbaca satu artikel di borneoherbs.blogspot yang bertajuk "KEPENTINGAN TUMBUH-TUMBUHAN DI DALAM KEHIDUPAN MASYARAKAT KADAZANDUSUN DI NEGERI SABAH, MALAYSIA" di mana menyatakan bahawa "...Petai ini boleh diperolehi di hutan dara mahupun di hutan sekunder. Bagaimanapun, ada satu buah kekacang yang mungkin tidak sesuai dimakan oleh manusia (tetapi diminati oleh "gawir" (kelawar) ialah patau ". Pertama, artikel tersebut sangat berinformasi dengan nama tumbuh-tumbuhan beserta nama saintifiknya sangat berguna kepada tanomkinotuan bagi  penulisan dalam blog ini. Kadang-kadang tanomkinotuan merujuk di blog tersebut untuk mendapatkan scientific name kepada sesuatu tanaman atau tumbuhan. Tetapi kenyataan penulis di atas tidak disandarkan dengan alasan kukuh yang boleh menjadi kayu ukur kepada alasan mengapa biji patau tidak sesuai dimakan oleh manusia. Ia berupa kenyataan umum dengan perkataan "mungkin" di mana penulis sebenarnya tidak pasti sama ada ianya boleh dimakan atau pun tidak.

Jika sandaran penulis kepada makanan beracun, tidaklah tepat walaupun setiap individu pengemar patau sudah maklum bahawa buah ini tidak boleh dimakan secara berlebihan. Malah patau sprout (Patau berakar) ini berkesan menurunkan darah tinggi. Mungkin penulis boleh datang ke tamu-tamu sekitar Keningau, Tambunan dan Ranau dan melihat biji patau dijual dan sehingga kini patau masih di konsume oleh penjual-penjual untuk bekalan kepada pengguna malah permintaannya cukup tinggi di pasaran. Walau bagaimanapun, hanya beliau tahu alasanya.

Berbalik kepada entry biji berakar patau, biji patau yang dikopek dari sarungnya itulah yang dimakan. Namun ianya tidak boleh dimakan begitu sahaja seperti biji petai kerana kulit bijinya yang hitam agak keras. Mengikut sejarah, pada zaman dahulu, oleh kerana pokok patau ini besar dan tinggi, mereka membiarkan buah patau yang jatuh itu mereput yang hanya tinggal adalah bijinya, apabila biji tersebut bercambah barulah dikutip dengan mencabutnya. Tetapi cara ini sangat lama iaitu mengambil masa 3 hingga 6 bulan. Satu lagi cara ialah dalam tempoh membuat kebun dilereng bukit yang ada pokok patau, selepas kebun bukit tersebut dibakar. Biji patau akan bercambah dengan banyaknya dan sebelum menjadi anak pokok, mereka akan mencabutnya. Kaedah ini terbawa-bahawa hingga awal 90'an iaitu melakukan secara semi-menual. Mereka sendiri mencari biji patau yang gugur ke tanah di hutan dan mengopek untuk mendapatkan bijinya. Biji-biji patau tersebut dilonggokkan di satu tempat lalu ditimbun dengan kayu, ranting, daun kering dan jerami lalu di bakar. selepas di bakar ia dibiarkan selama 5 hingga 7 hari barulah dituai hasilnya. Lama kelamaan kaedah ini bertukar lagi cara yang paling ringkas iaitu mereka sendiri mencari buah patau lalu mengopeknya. Mereka mengetip dihujung bijinya (tip) dengan pengepit kuku lalu ditanam ke dalam tanah selama 1 minggu. Kaedah ini digunakan oleh semua penjual hingga hari ini.

Caranya mudah sahaja, biji patau harus diketip kira-kira pecah kulitnya bagi membolehkan kelembapan masuk ke dalamnya. Pastikan diketip secara betul dan bukan dibelakang (bontot). Buat pengemburan tanah di halaman rumah anda cukup untuk menanam biji patau yang telah diketip. Tidak perlu meletakkan apa-apa cuma gembur dan benamkan biji patau dengan hujung yang diketip harus di bawah, ia harus menegak dan bukannya dibaringkan atau telentang. Jangan terbalikkannya pula. Timbus sedikit tanah cukup-cukup untuk menutupi biji tersebut dan siram dengan air. Tutup dengan menggunakan apa-apa yang sesuai. Biarkan ia selama 6 hingga 7 hari. Selepas 6 hari anda sudah boleh menuai biji patau anda kerana ia sudahpun bercambah dengan mencabutnya lalu cuci sebersih-bersihnya. Hari yang ke-4 anda sudah boleh menuainya tetapi akarnya masih pendek. Hari ke-7 adalah hari yang sangat sesuai kerana anda hanya tinggal cabut sahaja tanpa bersusah payah untuk mengopek kulitnya lagi. Jika anda ternampak biji patau yang masih hitam dan tidak bercambah, beli pada jumlah yang banyak. Anda boleh menanamnya sendiri dengan mengikut panduan di atas. Lagi selamat dan puas hati. Anda juga boleh menyemainya ke dalam kontena, pasu dan bekas lain yang difikirkan sesuai.

Sebenarnya ketika tanomkinotuan masih kecil-kecil dulu, tanomkinotuan tidak suka memakan biji patau berakar ini. Termuntah-muntah tanomkinotuan apabila aki (datuk sebelah bapa) menyuruh memakan biji patau yang dimasak tumis bersama tipun (udang kering halus yang tidak berisi, hanya kulit ja). Malah tanomkinotuan juga tidak suka memakan jenis udang tipun hinggalah sekarang. Tetapi persepsi tanomkinotuan berubah apabila kakak tanomkinotuan memasak patau berakar ini dengan menumbuknya hingga hancur bersama udang kering yang biasa dan dimasak hingga garing. Saat itulah tanomkinotuan suka memakannya. Jika anda blender biji patau berakar tersebut dan memasaknya, baunya tidak sekuat pada biji patau yang masih asli.
Biji patau berakar boleh dimasak dengan pelbagai cara resepi yang enak dan sedap. Baunya yang kuat seperti petai menjadi menambat selera bagi yang memahaminya tetapi bau tersebut menjadi pembunuh selera kepada yang menghindarinya. Anda boleh merebusnya dalam 15 minit dan cuci hingga bersih lalu dihidang bersama sambal cili padi atau bilis, ia juga sesuai dimakan bersama sambal ikan masin. Patau sprout juga boleh ditumbuk dan dimasak bersama udang kering, goreng hingga garing bersama cili padi dan sedikit bahan sayuran buah lain seperti kacang buncis atau kacang panjang. Tanomkinotuan pernah memasak resepi ayam masak patau dan kodop. Fuhhhhh!, enak hingga tidak ingat dunia. Akan tanomkinotuan postkan resepi ayam masak patau dan kodop di blog ini bila tiba masanya. Patau sprout juga sesuai dicampurkan dalam syur campur bawang losun.

Selamat mencuba.

POKOK PUDINA: CARA DAN PANDUAN MENANAM PADA BATAS

Tags
Pokok pudina atau dalam nama saintifiknya dikenali sebagai Mentha Arvensis yang tergolong dalam keluarga Labiatae ini adalah tumbuhan herba jenis pokok berbantang lembut dan beraromatik. Daunnya kecil bujur serta menjalar jika tidak dipotong ini mudah tumbuh di negara kita. Ramai diluar sana yang menanam pokok pudina kerana khasiatnya yang baik untuk manusia. Mereka menanamnya dalam pasu dan diletakkan dikawasan strategik di halaman rumah. Pudina juga berfungsi sebagai penghalau sesetengah makhluk serangga yang menyerang sayuran kita. Oleh itu anda boleh menanamnya bersama sayuran berdaun lain dalam satu batas. Selain pudina pokok herba yang boleh ditanam bersama sayuran untuk menjauhkan tanaman kita dari serangan sesetengah makhluk perosak ialah basil/selasih/kemangi, jenis pokok allium/bebawang seperti bawang kucai, bawang losun dan bawang putih, serta pokok marigold perancis. Berikut adalah cara menanam pokok herba pudina ini di atas batas atau lebih tepat di luar halaman rumah anda langsung pada tanah.

Pokok pudina tidaklah memerlukan cahaya matahari yang banyak cukup sekiranya kawasan yang dipilih itu terkena cahaya pada waktu pagi atau hanya pada waktu petang. Anda boleh menanamnya di hadapan rumah, belakang rumah, tepi pagar atau di kebun mini anda. Pokok pudina tidaklah cerewat tentang suhu dan pencahayaan tetapi pudina akan tidak tumbuh dengan baik jika ditanam ditempat yang langsung tidak terkena dengan sinaran matahari. Jadi kebijaksanaan kepada pembaca untuk memilih kawasan mana yang sesuai.

Tanomkinotuan sarankan kepada semua untuk menanam pokok pudina dari keratan batang. Datanglah ke pasar sayur berhampiran anda dan bertanya mengenai pokok pudina. Belilah seikat dua, jika tidak ditanam pun anda boleh guna dalam campuran resepi masakan anda atau lebih senang dibuat sebagai teh, minum setiap pagi dan sebelum tidur. Ia bagus untuk kesihatan anda.

Sediakan batas 2X2 kaki persegi dikawasan yang anda pilih. Gemburkan tanah hingga menjadi ketulan-ketulan kecil. Buang segala bendasing yang terdapat dalam tanah tersebut seperti akar kayu, ranting dan sebagainya. Lakukan pengemburan tanah ketika musim panas, pengemburan pada musim hujan sangat tidak digalakkan kerana tanah tersebut akan padat semula dan merosakkan struktur tanah. Tambah kompos atau tinja binatang atau kedua-duanya sekali, 5 genggam kompos dan segenggam tinja ayam dan tabur pada batas mini yang anda telah gemburkan. Gaul hingga merata. Pastikan kawasan batas tersebut tidak ditakungi air ketika hujan. Pokok pudina alah dengan kandungan air yang banyak.

Jika tanah anda jenis tanah liat, tambah kompos sebanyak setengah kilo pada tanah dan gembur hingga sebati. Anda juga boleh menambah rumput kering pada tanah tersebut untuk pengudaraan dan saliran yang baik. Rumput kering akan mereput menjadi humus yang kaya dengan nutrisi dan baik untuk pokok pudina anda.

Setelah usai mengembur dan menambah kompos, tanam pokok keratan batang pokok pudina dengan membuat lubang secara rawak ke atas batas sedalam 2 inci setengah. Tanam keratan batang pudina setengah dari panjangnya. Padat-padatkan tanah disekitar pangkal pokok pudina agar udara mampat disekelilingnya. Jangan tanam terlalu dalam takut keratan batang pokok pudina sukar tumbuh dan jangan pula tanam terlalu dipermukaan tanah, takut ia tak tumbuh dengan baik. 

Anda haruslah menyiramnya dengan air yang banyak dan menutupnya dengan jaring hitam atau apa-apa bahan yang sesuai menutupnya selama seminggu. Tujuan menutup dengan jaring hitam ialah supaya pokok pudina tidak mati terkena cahaya matahari yang terik dan ini membolehkan pokok pudina boleh bercambah dengan baik. Lagi pula suhu dan kelembapan di sekitar batas yang ditutup dengan jaring hitam adalah sejuk.

Dalam tempoh percambahan dan pertumbuhan pokok pudina anda, ia sangat memerlukan air yang banyak. Oleh itu jika tanah batas pokok pudina kering anda dikehendaki siramnya agar kelembaban tanah dapat dikekalkan. 2 minggu selepas ditanam pokok pudina anda mulai tumbuh dengan baik. Selepas 3 minggu bubuh baja NPK organik disekitar batas anda. Cabut rumput rumpai dan gembur-gemburkan tanah batas tersebut agar pengudaraan dan serapan baja dilakukan oleh akar pokok pudina secara mudah.

Sekiranya pokok pudina anda sudah panjang dan menjalar potong semula batang yang terlalu panjang agar pokok pudina anda merimbun dengan baik. Dan anda boleh menanam semula atau mengunakannya dalam masakan pada potongan tersebut. Sentiasa memotong pokok pudina agar ia sihat dan rimbun. 

Pokok pudina mempunyai nilai perubatan yang tinggi terhadap manusia. Antara khasiat dan kegunaan pokok pudina kepada kita ialah:

1. Peransang penghadaman pada perut kita dengan lebih mudah.

2. Meransang pengeluaran peluh.

3. Sebagai anti-septik, anti-parasit dan anti-virus yang berkesan.

Amalkan meminum daun pudina dengan merendam 4 hingga 5 helai daun ke dalam air mendidih dan tunggu 5 hingga 10 minit. Minum pada waktu pagi dan petang. Hasilnya amat mengujakan.

Selamat bertani dan menuai hasil.

PERANCANGAN KEBUN ORGANIK: PANDUAN KEPADA PEKEBUN BAHARU

Tags
Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi secara santai mengenai perancangan yang perlu diketahui atau aspek asas yang perlu diselidiki dalam perkebunan organik yang diusahakan secara kecil-kecilan di halaman rumah terutamanya mereka yang sudah mula berjinak-jinak dalam bidang perkebunan. Salah satu kesalahan para pekebun yang baru dalam perkebunan ialah menanam terlalu banyak sayuran dalam satu-satu masa sehingga membazir dibuatnya. Makanya konsep asas memulakan perkebunan harus ada pada setiap individu pekebun baharu sebagai jambatan atau tali panduan agar segala perancangan yang dilaksanakan mengikut arah yang betul.

Pertama sekali, beberapa konsep asas dalam bidang ini yang perlu anda terokai dan fahami dengan baik sebelum menjadi pekebun yang versatile di antara semua pekebun mini antaranya ialah:

1. Adakah kawasan atau halaman rumah anda disinari cahaya matahari secara penuh? tanaman seperti sawi bunga, sawi kerinting dan tomato menyukai cahaya matahari penuh sekurang-kurangnya melebihi 6 jam waktu hingga 8 jam waktu. Buat sedikit kajian tentang pencahayaan di halaman rumah anda di mana senaraikan tempat-tempat yang sesuai yang anda boleh fikirkan untuk mini yard anda serta kaji jumlah jam cahaya yang menyinari kawasan tersebut. Contohnya balkoni, hadapan rumah anda, belakang rumah anda, halaman rumah sebelah kiri dan kanan dan sebagainya. Maka pilih kawasan yang menerima cahaya matahari yang melebihi 6 jam sehari.  

2. Ketahui jenis tanah di halaman rumah anda sama ada tanah jenis loam/lom, pasir, gambut, atau tanah liat. rata-rata tanah boleh dikayakan dengan bahan kompos untuk memperbaiki nutrisi di dalamnya dan terdapat jenis tanah yang sememangnya perlu dibaikpulih secara menyeluruh untuk memperbaiki kualiti, struktur tanah, pengudaraan dan kelembapan serta jumlah mikroorganisma bagi tujuan penanaman. Juga ketahui PH tanah di halaman rumah anda dengan membeli kit penyukat nilai PH tanah di kedai berhampiran untuk menyukat PH tanah anda tersebut. Kedudukan Ph tanah sememangnya mempengaruhi pertumbuhan tanaman anda. Terdapat tiga cara pembacaan PH tanah iaitu tanah berasid (sesetengah tanaman boleh tumbuh pada jenis tanah ini), tanah beralkali (sesetengah tanaman boleh tumbuh pada jenis tanah ini) dan tanah neutral (amat sesuai untuk menanam majoriti jenis tanaman). Ukuran PH tanah berasid ialah 5.5 ke bawah, bagi tanah beralkali pula ialah 7.5 ke atas dan tanah neutral pula ialah 6.5 - 7.0 sahaja.

3. Hindari menanam berdekatan atau bersebelahan dengan pokok besar. Ini kerana pokok besar akan merebut zat-zat makanan pada baja yang anda tabur disekeliling batas atau sayuran anda menyebabkan sayur anda tidak membesar dengan baik. Menanam sayuran hampir dengan rumah banyak faedahnya di mana ia kurang diganggu oleh binatang liar dan mudah untuk menuainya. Turun sahaja ke halaman rumah dan tuai sayuran yang dikehendaki seperti cili padi, bendi dan sebagainya.

4. Tanaman anda sangat memerlukan jumlah air yang cukup. Batas atau pasu senantiasa lembab bagi memudahkan akar tanaman menyerap nutrient dengan baik. Oleh itu, aktiviti menyiram harus secara berkala. Biasanya menyiram dilakukan dua kali sehari ketika kemarau dan tidak perlu ketika musim hujan.

5. Anda memerlukan beberapa peralatan perkebunan, sekurang-kurangnya membantu anda memudahkan segala urusan. Tidaklah kita mengorek tanah menggunakan tangan sahaja atau kayu. Alatan seperti cangkul, supid, parang, penyiram, alat pencakar, sarung tangan, pongkas, sabit,  dan sebagainya diperlukan di kebun mini anda. Mungkin ia mengeluarkan sedikit wang untuk tujuan ini tetapi ianya dibeli sekali sahaja dan boleh digunakan sepanjang masa. Tanomkinotuan mempunyai alat tambahan selain di atas iaitu gagamas. Siapa kenal gagamas?

6. Belajar mengenai katalog biji benih yang dijual di kedai-kedai pertanian. Baca dan fahami cara dan panduan penanaman yang tertera pada pembungkusnya dan paling penting tarikh luput benih tersebut.

7. Buat kajian secara umum tentang keadaan cuaca dan iklim setempat. Umum mengetahui kita boleh menanam sayuran sepanjang tahun tetapi yang kita hendak ketahui ialah bencana alam yang pasti berlaku setiap tahun misalnya kemarau panjang, banjir/bah dan sebagainya bagi mengurangkan risiko kerugian tenaga anda. Bagi di tempat tanomkinotuan tempoh menyemai paling sesuai ialah pada akhir Desember hingga akhir bulan Januari dan bulan April. Kerana tempoh ini keadaan sedikit lembab. Bagi bulan Mei hingga Jun cuaca agak panas dan tanomkinotuan mengurangkan penanaman jenis sayuran berdaun tetapi menukar kepada sayuran buah seperti timun, petola dan kekacang. Bulan ini juga serangan penyakit sangat membimbangkan terutamanya sayuran berdaun. Pengetahuan sebegini dapat mengurangkan masalah yang dihadapi oleh anda di kemudian hari malah dapat menyelamatkan sayuran anda juga.

8. Sekiranya anda ingin membuat batas atau lebih tepat lagi raised-bed di halaman rumah anda, ukuran raised-bed yang ideal ialah 16X10 kaki tetapi ia juga melihat kepada keluasan halaman rumah anda. Bagi halaman rumah yang sempit anda boleh menanam sayuran dalam pasu dan pilih pasu atau kontena yang sesuai untuk penanaman yakni 18' inci ke atas.

9. Belajar menanam sayuran secara tanaman campuran atau companion plants. Ia bagus untuk penjagaan kualiti dan mengelak sesetengah serangan makhluk perosak. Anda dikehendaki mengetahui mana tanaman-tanaman yang berkawan baik (boleh hidup bersama dalam satu batas) dan mana tanaman yang bermusuh (tidak boleh ditanam bersama dalam satu batas).

10. Kepada pekebun yang baharu dan mahukan kebun sayuran organik harus tahu dan faham apa itu baja organik, NPK organik, kompos dan baja organik cecair serta baja kimia/uriea. Maklumat ini penting agar anda tidak tertipu ketika membeli baja nanti. Bertanya kepada yang arif mengenai baja organik untuk sayuran anda.

11. Para pekebun baru harus tahu benih yang perlu disemai terlebih dahulu dan benih yang langsung ditanam dalam batas. Jangan terlalu menanam terlalu dalam, misalnya benih kecil seperti benih sayuran hijau harus disemai dipermukaan tanah sahaja sudah memadai manakala biji benih seperti jagung, kekacang, bendi dan petola ditanam ke dalam tanah kira-kira 2 inci dalam. Bagi keratan batang seperti ubi kayu, ubi manis, cekur manis, dan pudina harus ditanam setengah dari pokoknya ke dalam tanah.

12. Jangan menyemai benih dalam jumlah yang banyak pada bekas semaian yang kecil. Ini hanya menyebabkan anak benih tersebut tumbuh dengan rapat dan berlaku persaingan mendapatkan makanan. Memadai menyemai benih sedikit jika bekas semaian anda dalam saiz yang kecil.

13. Pekebun baru juga harus tidak meletakkan sungkupan atau mulsa terlalu banyak dan tebal ke atas batas anda. Sungkupan seperti jerami, cocopeat, peat-moss, sekam padi dan daun kering terlalu tebal pada batas anda menyukarkan benih yang baru ditanam sukar untuk tumbuh kecuali pada batas yang pokoknya sudah membesar. Anda perlu menghindari menggunakan sungkupan jenis berbuah kerana benihnya akan tumbuh pada batas dan ini menyukarkan anda untuk membersihkannya.

14. Terdapat pekebun baru yang membiarkan sahaja rumput rumpai pada batas sehinggakan tanaman yang ditanam kurang tumbuhbesarannya. Elakkan membuang/membersihkan rumput rumpai pada saiz yang terlalu besar dan rimbun. Tempoh membuang rumput rumpai yang ideal ialah sewaktu rumput rumpai masih bersaiz kecil. Cabut rumput rumpai pada batas anda sehingga bersih dan jika boleh letakkan mulsa secukupnya.

15. Harus diingat kepada para pekebun baru di mana menanam benih dengan cara betul. Jangan menanam benih atau keratan batang secara terbalik. Contohnya umbisi bawang merah, keratan ubi kayu, dan keratan pokok mulberi. Pastikan anda tahu kedudukan umbisi atau keratan batang tanaman dengan betul apabila menanamnya.

16. Kadang-kadang keterujaan kita menyebabkan kita terlebih menyiram air menyebabkan tanaman kita layu lalu mati. Setengah tanaman tidak memerlukan lebihan air cukup sekadar ikut keperluan. Jenis bebawang jika terlebih siram akan membusuk. Pastikan anda menyiram secara konsisten tetapi berkala.

17. Terlebih membaja juga boleh menyebabkan tanaman mati. Oleh itu para pekebun kecil harus tahu mana tanaman yang memerlukan baja lebihan dan mana tanaman yang memerlukan baja sederhana atau kurang. Umumnya sayuran berdaun memerlukan kandungan nitrogen yang tinggi manakala kacang tanah, kacang buncis dan kacang panjang hanya memerlukan sedikit baja organik subur untuk pertumbuhan. Jika pokok kacang panjang terlebih baja ia hanya merimbun tanpa menghasilkan buah yang banyak.

Dengan ilmu pengetahuan di atas, diharap dapat membantu para pekebun-pekebun baharu yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti perkebun secara mini atau dibuat di halaman rumah. Apa yang penting adalah semangat kuat menambah pengetahuan khususnya dalam bidang penanamandan berusaha lebih gigih untuk menjayakan misi berkebun. Jangan patah hati atau kalah semangat sekiranya benih yang pertama kali anda semai tidak bercambah. Mungkin ada sesuatu yang anda terlepas pandang. Ubah kaedah atau teknik menyemai sehingga anda berjaya mencambahkan benih sayuran anda tersebut. Ia satu kepuasan dan satu kemenangan yang tidak ada taranya. Anggaplah anda berkebun ini untuk kesihatan dan bawalah bersama-sama anak anda untuk tolong sekali apa yang patut. Di sini lahir satu kemesraan dan silaturamin sesama keluarga dapat ditautkan semula dengan syarat anda harus sabar memberikan penjelasan tentang kebaikan dan faedah berkebun secara mudah kepada anak-anak anda.

Selamat bertani dan menuai hasil.

SAYUR DUKARUK: SAYUR HERBA TUMBUH DI CELAH-CELAH BATU SUNGAI

Tags

Dukaruk, itulah nama yang diberikan kepada sejenis sayuran yang termasuk dalam keluarga keladi yang sangat digemari oleh rakyat Sabah khususnya komuniti Kadazandusun. Tumbuhan ini tidaklah ditanam seperti jenis-jenis keladi komersil yang lain tetapi hidup subur di tebing-tebing sungai kecil di kaki gunung atau bukit. Pokok sayur dukaruk tidak tumbuh pada kawasan sungai yang bersaiz besar tetapi sungai kecil berbatu dan berlumut serta persekitarannya yang masih tidak tercemar serta bersuhu sejuk. Pokoknya jenis renek dan berdaun bulat atau setengahnya berdaun bujur, tumbuh menempel pada celah-celah batu di tebing sungai. Daun, batang dan isinya boleh dimakan. Tumbuh secara serumpun dengan anak-anak pokok mengelilingi induknya. Selalunya pengemar sayur ini akan mereda belukar ke kawasan hulu sungai untuk mendapatkan dukaruk yang segar dengan mengumpul batang muda pada setiap pokok dukaruk tersebut.

Kawasan atau daerah yang banyak ditumbuhi pokok Dukaruk ini ialah di kawasan tanah tinggi yang mempunyai anak sungai yang mengalir dari Keningau, Tenom, Tambunan, Ranau hingga kawasan Kota Belud di Utara Sabah dan kawasan Beluran dan Tongod Daerah Sandakan di Timur Sabah. Sayur dukaruk ini boleh kita jumpainya apabila rajin ke tamu/badi (nama gelaran bagi pasar siang di Sabah) kerana ramai penjual menjualnya secara terbuka. Seikat sayur dukaruk dijual pada harga RM2. Rasa dan struktur sayur dukaruk sama dengan kita memakan pucuk keladi variati komersil, tidak jauh bezanya. Terdapat dua jenis sayur Dukaruk dalam pengetahuan tanomkinotuan, jenis daun bulat digelar sebagai sayur dukaruk manakala daun lebar membujur pula digelar sayur dungkalang. Mengikut pendapat emak tanomkinotuan, sayur dungkalang ini lebih sedap dan tidak gatal berbanding sayur pokok dukaruk yang mempunyai rasa gatal apabila dimakan. Oleh kerana majoriti kawasan pertumbuhan sayur ini dimonopoli oleh jenis sayuran pokok dukaruk berbanding sedikit sayur pokok dungkalang maka istilah sayur dukaruk banyak digunakan. Dukaruk dan dungkalang adalah merujuk kepada sayur yang sama tetapi dari spesis yang berbeza (hanya beza dari segi bentuk daun).

Dukaruk tumbuh ditepi sungai
Pada bulan lepas tanomkinotuan sempat ke tamu Keningau selepas selesai melansaikan semua kerja yang bertimbun dari 2 bulan yang lalu. Untuk mengurangkan tekanan kerja, tanomkinotuan pergi ke tamu untuk melihat suasana tamu yang meriah dengan manusia berpusu-pusu mencari keperluan dapur. Sesampai di kawasan tamu berjalanlah tanomkinotuan melilau kiri kanan kalau-kalau ada sesuatu yang menarik hati untuk dibeli. Sambil berjalan ternampak sayur dukaruk tersusun rapi sebaris dengan timun cina, penjualnya masih muda remaja dalam lingkungan 20-an. terfikir tanomkinotuan bahawa budak ni memang bagus orangnya, dalam usia belia remaja sudah pandai dan berusaha untuk mencari wang saku sendiri. Inilah yang kita mahu, berdikari tanpa menyusahkan orang lain. Maka tanomkinotuan menghampiri gadis ayu tersebut lalu tanomkinotuan duduk berhadapan dengannya dan menanyakan harga sayur dukaruk di hadapan tanomkinotuan (tipikal Kadazandusun, sudah nampak harga tertera pada kadboard yang ditulis RM2 ringgit masih gatal mulut untuk menanya harganya). Sambil tersenyum simpul si gadis cantik memberitahu harganya adalah RM2, mungkin si gadis tersebut menyindir dengan senyum simpulnya tetapi tanomkinotuan steady sahaja, hahaha. 

Tanomkinotuan mengangkat 2 ikat sayur dukaruk dan tidak lama kemudian sayur tersebut bertukar tangan. Tiba di rumah, tanomkinotuan memprojek sayur tersebut untuk santapan makan tengahari. Fuhh, sayur dukaruk masak lemak cili padi sap-sai (slanga bahasa di Sabah bermaksud habis, licin). Bermakna sedap kut resepi dukaruk tersebut hingga licin bekasnya. 

Sayur dukaruk merupakan sayur herba dalam keluarga keladi di mana tumbuh sendiri tanpa ditanam oleh sesiapa, bagi tanomkinotuan ia adalah tumbuhan yang dicipta oleh Minamangun (Sang Pencipta) untuk manusia di muka bumi. Tanpa sebarang racun serangga mahupun racun kulat (fungicide), ia selamat dimakan. Inilah contoh sayuran yang digemari oleh tanomkinotuan. sekurang-kurangnya tanomkinotuan dapat mengelak daripada memakan sayuran yang diracun dengan bahan kimia merbahaya kepada tubuh badan. Al-maklumlah pada era dan ketika ini, semua tanaman harus diracun untuk mengelak dari kerugian disebabkan serangan makhluk perosak dan jangkitan virus atau bakteria. 

Secara tradisi turun temurun, sayur dukaruk dimasak bersama bahan lain untuk menambah keenakan rasanya. Contohnya sayur dukaruk dimasak bersama siput sedut sungai atau tuntul/birid, ikan sungai, pandit atau usus kecil kijang yang dikeringkan melalui bara api. Namun dengan perkembangan teknik memasak yang kini boleh diakses dengan mudah di internet, anda boleh mempelbagaikan kaedah resepi memasak sayur dukaruk mengikut kesukaan anda. Berikut adalah resepi yang boleh anda cuba bagi memasak dukaruk iaitu:


1. Resepi Dukaruk pinapat cili padi.

Bahan-bahannya:

1. satu ikat sayur dukaruk - dipotong kira-kira 5 cm panjang, bersihkan dan toskan.

2. satu mangkuk besar pandit - usus kijang yang dikeringkan, potong kira-kira 1 setengah inci.

3.  350 ml pati santan - tak nak letak pun tak apa.

4. Dua keping kulit kering tangkub-angkub.

5. empat sudu besar minyak masak.

6. Satu sudu pes tuhau.

7. Setengah mangkuk kecil hirisan pinapat (kimchi sabah).

8. satu sudu kecil sos ikan.

9. Sepuluh hingga lima belas biji cili padi, ikut suka.

10. Empat sudu besar cili boh/cili giling.


Bahan-bahan tumbuk:

1. Lima biji bawang merah

2. Empat biji bawang putih

3. satu inci kunyit hidup

4. satu sudu makan biji ketumbar

5. Satu sudu makan biji jintan putih

6. Satu sudu makan jintan manis

7. Dua inci kulit kayu manis/koningau

8. Dua sudu kecil ikan bilis sandakan diblender.


Cara penyediaannya:

1. Rebus terlebih dahulu sayur dukaruk selama 5 minit, toskan.

2. Rebus pandit sehingga lembut, apabila sudah lembut keluarkannya ke dalam bekas lain dan cuci dengan air hingga bersih.

3. Panaskan minyak, masukkan bahan tumbuk tadi. Goreng hingga garing atau terbit minyak.

4. Masukkan pinapat, pes tuhau dan sos ikan serta cili padi, gaul hingga sebati. 

5. Masukkan pandit dan kacau sekejap. Tambah sedikit air jika masakan agak kering. Kacau dan biarkan sekejap.

6. Masukkan kulit kering tangkub-angkub dan sayur dukaruk ke dalam periuk. Kacau hingga layu. Masukkan santan dan diaduk sekejap. 

7. Tambah garam, gula dan aji secukup rasa, kacau sebati.

8. Apabila sudah masak angkat dan hidangkan.

Anda yang meminati sayur dukaruk apa kata, mencuba resepi ini. Jika anda tidak mempunyai kulit kering tangkub-angkub boleh tukar kepada asam gelugur, limau atau asam jawa. Pes tuhau itu boleh tukar dengan jeruk tuhau yang banyak dijual dalam botol kecil. Pes tuhau ada dua jenis, batang tuhau yang diblender secara segar dan batang tuhau yang dijeruk dengan garam selama seminggu dan diblender. Jeruk pinapat pula anda boleh tukar kepada jeruk sayur yang lain. Pandit pula agak sukar untuk mendapatkannya, anda boleh saja menukarkannya dengan bahan lain yang difikirkan sesuai.

Selamat mencuba..

CARA MENANAM POKOK BAWANG KUCAI CINA

Tags
Bawang kucai atau nama saintifiknya Allium schoenoprasum dari keluarga Alliaceae adalah jenis bebawang yang boleh hidup subur ditanaman di negara kita dengan baik. Ramai penggemar berkebun menyukai menanam pokok bawang kucai di mana bukan sahaja sesuai dalam masakan tetapi amat sesuai sebagai pokok hiasan di halaman rumah sama ada ditanam terus pada tanah atau dalam pasu. Pokok kucai cina mengeluarkan putik bunga seperti jejerum berwarna putih manakala variati lain pula berbunga ungu. Berikut cara dan panduan menanam pokok bawang kucai dari batangnya/isinya sama ada langsung pada tanah atau dalam pasu.

Pertama sekali cari pokok bawang kucai yang dijual  bersama-sama akarnya. Lazim para petani yang ada menanam pokok bawang kucai ini menjual hanya dari potongan daunnya sahaja tanpa akar. Tetapi jika anda bernasib baik, anda boleh menjumpai pokok bawang kucai dijual bersama akar, beli seikat dua. Bagi ditempat tanomkinotuan, seikat pokok bawang kucai dijual dengan harga RM2 sahaja sama ada bersama akar atau tidak. 1 ikat anda boleh mendapat 10 hingga 15 batang pokok kucai sebagai benih. Dengan pokok kucai berakar tersebut, anda boleh memotong 3 hingga 4 inci dari akarnya dan daunnya bolehlah dimasak sebagai santapan anda sekeluarga. biarkan batang pokok bawang kucai ditempat terbuka selama 1 hingga 2 minggu. Tunggu batang bawang kucai kering sedikit barulah ditanam. Jika tidak menjumpai pokok bawang kucai yang dijual bersama akar di mana-mana tamu atau pasar siang, anda boleh meminta dari kenalan atau orang yang anda kenal secara percuma atau membelinya. Tidak mengapa jika anda beli, ia berbaloi untuk anda. Jika anda menanam pokok kucai tersebut ia boleh membiak dengan cepat jika dijaga dengan baik. Dan pilihan terakhir anda jika kedua saranan di atas tidak berjaya ialah membeli benih kucai yang banyak dijual di internet atau kedai pertanian berhampiran rumah anda. Pilih pembungkus benih pokok kucai yang masih valid tarikh luputnya agar bila disemai ia akan tumbuh dengan baik.

Tindakan seterusnya ialah menyediakan tapak menanam atau batas di lokasi yang sesuai dan strategik dari segi pencahayaan sinaran matahari penuh. Pilih kawasan yang menerima matahari penuh kerana pokok kucai menyukai matahari penuh untuk tumbuhbesaran yang baik. begitu juga jika anda menanam dalam pasu, strategik peletakan pasu-pasu yang ditanam dengan pokok kucai harus diletakkan di kawasan terkena sinaran matahari penuh untuk pertumbuhan yang sihat seperti balkoni menghadap matahari dari pagi dan petang dan sebagainya. 

keratan akar kucai
Proses pengemburan tanah perlu dilakukan jika mereka yang ingin menanam pokok kucai di atas batas. Gembur tanah dan tambah kompos organik atau tinja binatang reput. Gaul merata dan biarkan untuk seminggu atau 2 minggu terlebih dahulu. Biar kompos atau tinja binatang itu benar-benar sebati dengan tanah. Sebelum penambahan kompos atau tinja binatang buang segala bendasing seperti akar, batang kayu, ranting, paku, semen, tile dan sebagainya yang boleh menganggu akar pokok kucai. Jika tanah dihalaman rumah anda adalah jenis tanah liat, jangan gusar dan susah hati. Semua maklum bahawa tanah liat adalah jenis tanah yang kurang sesuai untuk penanaman tetapi ia boleh dibaikpulih secara tuntas untuk tujuan di atas. Caranya korek tanah liat tersebut pada musim kemarau (jangan sesekali mengorek dan mengembur di musim hujan) dan gembur sehingga tanah tersebut menjadi serpihan-serpihan kecil. Tambah kompos secara lapisan sehingga 5 inci tebal keseluruhan saiz batas anda dan gaul merata. Anda juga boleh menggunakan tinja ayam secara lapisan setebal 5 inci pada batas anda dan gaul hingga sebati. Jika anda mempunyai cocopeat atau dalam istilah biasanya ialah sabut kelapa hancur anda boleh menambah secara lapisan setebal 3 hingga 5 inci pada keseluruhan saiz batas anda dan jangan lupa gaul sehingga merata dengan tanah. Anda juga boleh menambah peat-moss ke batas anda jika ada dengan lapisan sama seperti di atas. Seterusnya siram batas anda dengan air yang banyak. 

Bagi mereka yang berniat menanam pokok bawang kucai dalam pasu besar, polibag besar atau bekas plastik beras 10kg atau apa-apa bekas yang difikirkan sesuai. Anda boleh menggunakan media campuran tanah dengan nisbah 2:1:1 iaitu 2 bahagian tanah hitam/lom, 1 bahagian kompos, dan 1 bahagian pasir sungai. Gaul media-media tersebut ke dalam satu bekas dan masukkan ke dalam pasu atau bekas tanaman anda. Pastikan bekas tanaman anda harus diletakkan beberapa ketul batu atau jerami atau seumpamanya agar media tanaman anda tidak bebas keluar dari pasu melalui lubang-lubang tersebut. Anda juga boleh menggunakan tanah kebun, tanah hitam berhumus tinggi atau campuran tanah dengan cocopeat. Perlu diingatkan bahawa jika menggunakan tanah kebun berhati-hati dengan mikrob jahat yang ada dalam tanah kebun kerana ia boleh membunuh batang pokok kucai anda. Dedahkan tanah kebun anda pada cahaya matahari terik selama seminggu untuk mengurangkan atau menghapuskan mikrob-mikrob tidak berguna pada tanaman anda. 

Bagi mereka yang menanam pokok bawang kucai dari benih pula adalah semai benih bawang kucai pada bekas semaian terlebih dahulu dengan menggunakan media semaian yang berkualiti. Anda boleh menggunakan tanah hitam atau topsoil untuk media menyemai. Isikan bekas semaian dengan media semaian sehingga penuh. Tabur benih bawang kucai di atas tanah dan timbus senipis mungkin tanah diatasnya, cukup-cukup menutupi benih tersebut dan jangan lupa siram dengan air secukupnya. letakkan semaian tersebut pada sinaran matahari agar benih bawang kucai boleh bercambah seperti yang dikehendaki. Pada tempoh proses percambahan, pastikan tanah semaian berada dalam keadaan lembab senantiasa, jika kering spray atau siram dengan air. Setelah benih bercambah dan tumbuh dengan baik, Benih pokok bawang kucai sudah boleh dipindahkan setelah berusia 4 minggu atau lebih. Pastikan pokoknya kuat dan kukuh sebelum dipindahkan. 

Pada batas yang telah disediakan, anda perlu membuat lubang sedalam 2 hingga 2 setengah inci dengan jarak antara lubang ialah 5 hingga 10 inci. Jika batang-batang pokok kucai anda masih bersatu, pisah-pisahkan batang-batang pokok bawang kucai anda secara berhati-hati. Tanam keratan batang bawang kucai berakar pada setiap lubang pada batas yang disediakan lalu timbus dan padat-padatkan tanah agar batang kucai tersebut tidak tumbang jika anda menyiramnya. Separuh batang pokok kucai yang ditanam haruslah berada di permukaan tanah, jangan tanam kesemuanya ke dalam tanah pula. Batang pokok bawang kucai tidak bercambah sekiranya dibenamkan ke dalam tanah. 

Bagi pasu atau bekas tanaman lain pula buat lubang ditengah-tengah pasu dan tanam kucai pada lubang tersebut. Jika anda menggunakan bekas tanaman melebihi 18' inci ke atas, anda boleh menanam 3 hingga 5 batang dalam satu bekas tanaman. Dan siram dengana air setelah selesai menanam.

Pokok kucai tidaklah memerlukan baja yang banyak untuk pertumbuhan, cukup menambah sedikit baja organik pada pangkal pokoknya dan setengah sudu hingga 1 sudu baja NPK organik pada pokok kucai dalam pasu, buat pembajaan pokok kucai anda selang 2 minggu mengikut kesesuaian. Anda juga boleh menyiramnya dengan kompos teh, baja cecair ikan atau seumpamanya untuk bekalan zat makanan tambahan kepada pokok kucai anda selang 2 minggu. Boleh diselang-selikan dengan baja NPK organik dan baja cecair seperti disarankan di atas.

Pokok kucai akan mula membiak pada usia 1 bulan lebih. Pembiakan pokok kucai adalah dengan cara belahan pada setiap pokoknya. Jika anda menanam sepokok bawang kucai ke dalam 1 lubang, anda akan dapati selepas sebulan pokok kucai anda sudah bertambah 2 batang, dan akan bertambah lagi kepada 4 batang, dan 8 batang dan begitulah seterusnya.

Merumput adalah kerja rutin yang harus dilakukan ke atas pokok kucai anda. Pokok kucai tidak tumbuh subur jika banyak rumput rumpai di sekelilingnya. Cabut dan buang rumput tersebut. Jangan lupa mengembur-gemburkan tanah batas tersebut agar pengudaraan dan serapan pada zat nutrisi mudah dilakukan oleh akar-akar pokok bawang kucai anda. Pokok kucai tahan tanpa siraman selama seminggu, siram pokok kucai anda 4 kali seminggu sudah memadai. terlalu menyiram dengan air pada pokok kucai anda menyebabkan pokok kucai anda layu dan membusuk seterusnya mati. Jenis pokok allium adalah pokok yang boleh mati sekiranya menerima jumlah air yang banyak apatah lagi jika tempat menanam ditakungi air.

Pokok kucai anda sudah boleh dituai dalam usia 50 hingga 60 hari. Jika anda hanya mempunyai dua tiga pokok bawang kucai, anda tidak perlu mencabutnya. Memadai dengan memotong daunnya sahaja. Jika anda ingin menggunakan daun pokok kucai dalam masakan anda, potong seinci dari paras tanah. Jangan bimbang selepas seminggu keratan tersebut akan mengeluarkan tunas yang baharu dan terus membesar sebagai sepokok bawang kucai yang cantik dan subur. yang penting anda membubuh jumlah baja organik berpatutan dan menyiramnya ikut kesesuaian. Ia akan mampu memberikan anda bekalan daun bawang kucai selagi pokoknya tidak diserang penyakit. Alami sendiri rasa dan struktur bawang kucai tanam sendiri dengan resepi kesukaan anda malah ianya organik dan selamat kepada  kesihatan pada keluarga anda.

Tips untuk anda:
Anda boleh menanam pokok kucai berdekatan dengan sayuran berdaun seperti sawi bunga, sawi kerinting, sawi bak choi dan sayuran lain. Pokok bawang kucai berkesan menghalau makhluk perosak yang ingin menghinggapi sayuran berdaun anda. Tapi ingat pokok kucai tidak sesuai ditanam bersama kacang buncis dan kacang panjang di mana kucai anda tidak tumbuh dengan baik jika ditanam berhampiran dengan pokok kekacang. Semua pokok dari keluarga allium alah dengan pokok jenis kekacang (memanjat). Semoga bermanfaat.

Selamat bertani dan menuai hasil.

TIMUN BETIK THAI DI KEBUN GETAH (KG) KINI BERBUAH

Tags

Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi dengan anda mengenai satu tanaman yang sedang tumbuh dan berbuah di KG dengan baiknya. Biasanya kita boleh melihat pelbagai variati timun yang dijual di pasar atau supermarket dan juga boleh search/mencari di internet mengenainya. Walau bagaimanapun, kita jarang atau kurang tahu akan satu lagi variati dalam keluarga timun yang wujud di sesetengah tempat atau kawasan yang ada menanamnya atau sekurang-kurangnya sesuai tumbuh di persekitaran tersebut. Yang dimaksudkan oleh tanomkinotuan ialah batad thai atau nama lainnya ialah timun dosayaki atau Indian cucumber, Bahasa Melayunya ialah timun betik. Sebenarnya ia bukanlah seperti timun yang boleh dimakan begitu sahaja tetapi dalam ia dalam keluarga yang sama. Tanomkinotuan memanggilnya batad kerana ia mempunyai rasa, struktur, ciri-ciri yang sama dengan batad tempatan (Borneon dosayaki) dimana berbentuk bujur dan berjalur putih pemanjang manakala batad thai pula berbentuk bulat.

Lazimnya pada waktu dahulu ketika musim menugal (tempoh menanam padi bukit), antara sayuran dan sayuran buah yang ditanam bersama-sama padi bukit ialah timun kampung, timun cina, jagung, batad tempatan, dan kacang panjang di mana kesemua di atas di tanam secara rawak bersama padi bukit kecuali kacang panjang dan buncis ditanam di tepi-tepi kebun. Teringat tanomkinotuan semasa zaman kanak-kanak jika ke kebun pertama kerja yang harus dilakukan ialah mencari buah batad tempatan dan timun di celah-celah pokok padi yang rimbun dan sedang berbuah. Waktu pagi embun masih melekat pada daun-daun padi hingga basah kuyup dibuatnya. Namun ia tidak mematahkan semangat untuk masuk lebih dalam lagi ke kawasan tengah-tengah kebun pokok padi bukit ini kerana habuannya memang berbaloi, buah batad yang masak dan timun dengan hanya makan begitu sahaja dicecah dengan garam bercampur cili padi. Fuh! kenangan yang tidak dapat dilupakan. 

Dijadikan cerita semasa adik tanomkinotuan berjalan-jalan di pasar malam tempoh hari, dia terlihat buah batad thai ini dan membelinya dari seorang wanita tua dengan harga RM2 sebiji. Dirumah tanomkinotuan projek buah tersebut dengan pembelah dan membuka kulitnya untuk dimakan sebelum memakan makanan berat. Amalan memakan buah sebelum makan berat amat-amat digalakkan kerana bukan sahaja mengikut sunnah nabi kita tetapi banyak manfaat kepada kesihatan. Jangan sesekali mengamalkan memakan buah selepas makan. Tindakan memakan buah selepas makan adalah tindakan yang salah. Maka tanomkinotuan mengumpulkan biji-bijinya ini untuk ditanam. Pertama, tanomkinotuan cuci biji-biji batad thai tersebut hingga bersih dan menjemurnya di bawah sinaran matahari selama 2 hari. Selepas itu tanomkinotuan biarkan ia di kawasan selamat untuk beberapa minggu agar biji benih batad thai benar-benar kering selama 2 minggu. 

Minggu ketiga tanomkinotuan telah membawa biji benih batad thai ini ke kebun getah (KG) untuk ditanam. Tanomkinotuan tidak melakukan rutin mengembur dan membaja seperti biasa di mana tanomkinotuan hanya korek tanah dan masukkan 3 biji setiap lubang dan timbus kembali. Tanomkinotuan juga tidak menyiramnya selepas tanam, hanya berserah kepada air hujan. Selepas 2 minggu dari ditanam tanomkinotuan mendapati biji tersebut sudah bercambah dengan jayanya di mana pertumbuhannya sangat galak. Dengan itu, barulah tanomkinotuan menaburkan baja organik di sekelilingnya dan gembur-gemburkan tanah disekitar pokok batad thai dengan berhati-hati. Takut akarnya cedera yang boleh menyebabkan pokok mati. sekembalinya tanomkinotuan ke KG selepas 2 minggu kemudian, pokok batad thai sudah mula menjalar dengan daun dan pokok yang sihat dan pertumbuhan yang memberansangkan. Terfikir tanomkinotuan bahawa tidak lama lagi boleh merasa buah batad thai tanam sendiri. 

Selepas sebulan pokok batad thai kini sudah mengeluarkan 4 biji buah yang masih muda, berbentuk bulat dan berwarna hijau sedikit gelap. Pokoknya pun sudah menjalar jauh. Bila tanomkinotuan fikir semula. Batad thai ini sama sahaja dengan batad tempatan sabah yakni daun dan bunganya tidak mempunyai perbezaan ketara. Tetapi bila berbuah baru kita tahu bahawa itu batad thai, ini batad tempatan kerana bentuk buah antara keduanya adalah sangat berbeza. 

Dari segi pemerhatian tanomkinotuan, pokok batad thai mudah tumbuh pada kelembapan sederhana dan sesuai ditanam pada media yang gembur sedikit berpasir. Ia juga sesuai dengan suhu yang panas seperti cuaca di negara kita, pokok batad thai suka akan sinaran matahari penuh dan tahan tanpa air selama seminggu (tetapi tidak sesuai jika masih dalam peringkat percambahan). Oleh kerana tanomkinotuan jarang ke KG pada masa ini disebabkan tugas-tugas yang perlu dibuat di tempat lain, maka pokok batad thai telah ditumbuhi rumput dengan banyak tetapi pokok ini masih tumbuh dengan galak. Maksudnya ia mampu hidup bersama rumput rumpai lain. Dengan rumput tersebut dapat melindungi buahnya dari serangan makhluk perosak buah. Buktinya buah yang terhasil dari luar kawasan yang ditumbuhi rumput telah diserang oleh serangga berbanding buah yang tersembunyi di bawah rimbunan pokok rumput di sekitarnya. 

Dengan hati-hati tanomkinotuan mencabut satu persatu rumput rumpai yang terlalu besar dan rimbun untuk mengurangkan persaingan mendapatkan makanan disekitarnya. Sudah dimaklumi bahawa walaupun batad thai ini boleh hidup bersama dengan rumput tetapi lebih elok jika ia bebas dari rumpai kerana segala makanan disekitarnya hanya dimonopoli oleh pokok batad thai sahaja. Sewaktu entry ini ditulis batad thai belum boleh dimakan lagi In Sha Allah akan tanomkinotuan update perkembangan batad thai ini dari semasa ke semasa.

Selamat bertani dan menuai hasil.