Khamis

CARA DAN PANDUAN MENANAM SAWI PAHIT

Tags
Sawi pahit panjang
Terdapat pembaca di luar sana yang berminat mengetahui cara menanam sawi di rumah secara kecil-kecilan bagi bekalan dapur atau sebagai hobi sampingan sekeluarga. Aktiviti menanam sayuran di halaman rumah bukan sahaja bermanfaat kepada kesihatan tubuh badan malah dengan sayur-sayuran ini dapat menghijaukan halaman rumah disamping pokok bunga yang sedia ada. sambil menunggu suami dan anak-anak kembali ke rumah pada waktu petang bolehlah melakukan rutin seperti mengembur, membaja dan menyiram di halaman rumah sebelum meneruskan kerja-kerja di dalam rumah. Tanomkinotuan ingin berkongsi cara dan panduan menanam sawi pahit atau mustard heading mengikut pengalaman tanomkinotuan sendiri.

Mula-mula dapatkan terlebih dahulu benih sawi pahit di kedai pertanian atau nusery berhampiran kediaman anda. Terdapat kedai menjual benih sawi pahit dengan kadar murah iaitu RM1 atau RM2 satu pek. Namun sesetengah brand yang mempunyai pembalut sendiri beserta cara menanam dan bulan yang sesuai untuk menyemai mempunyai harga mahal tetapi sangat bagus untuk para beginner memulakan menanam sawi pahit, kerana benihnya 95% bercambah dengan baik. Terdapat 3 variati sawi pahit yang boleh anda cuba menanam iaitu sawi pahit panjang jenis non-heading. Sawi pahit jenis panjang adalah mempunyai batang panjang dan tidak membulat, struktur rasa sangat lembut dan tidak pahit. Variati kedua pula ialah sawi pahit bulat (heading), sawi pahit jenis ini mempunyai bentuk pendek dengan batang melebar dari pangkal dan sedikit berombak-ombak, struktur rasa lembut dan mempunyai sedikit pahit. Biasanya jenis sawi pahit ini dijadikan oleh kaum Cina sebagai jeruk sayur masin yang banyak dijual di supermarket. Jenis yang ketiga pula ialah sawi pahit kampung jenis kecil pendek dan tidak membulat. Terdapat jenis sawi pahit liar yang tumbuh meliar di kebun-kebun tanah tinggi di kawasan pedalaman Sabah yang dikenali sebagai 'sabih' oleh penduduk tempatan tetapi pahitnya masyallah. Ciri daun dan batangnya sama seperti sawi pahit hibrid yang ada di pasaran cuma saiz kecil. struktur rasa lembut tetapi sangat pahit. Mungkin sawi pahit sabih ini boleh di komersilkan sebagai sayur jenis sawi pahit asal negeri Sabah atau boleh dihibridkan untuk mencipta sawi pahit sabih yang baharu. Akan tanomkinotuan buat entry mengenai sawi pahit sabih di lain masa.

Setelah sudah mendapat benih, kerja seterusnya ialah menyemai benih tersebut terlebih dahulu. Terdapat dua cara menyemai benih sawi pahit pertama semai dalam bekas semaian terlebih dahulu seperti styorofoam, polibag, pasu, tupperware terbuang, bekas aiskrim dan sebagainya. Kedua anda boleh menyemai secara langsung ke atas tanah yang digembur dan dibubuh kompos atau tinja binatang. Anda boleh menggunakan beberapa kaedah campuran media seperti berikut:

1. Campuran media 2:1:1 iaitu 2 bahagian tanah hitam/lom, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai. Gaul bersama dan masukkan ke dalam bekas semaian.

2. Anda boleh menggunakan media campuran kompos, perlite dan vermiperlite dengan nisbah 2:1:1 iaitu 2 bahagian kompos, 1 bahagian perlite (abu vulkano), dan 1 bahagian vermiperlite. Gaul bersama dan masukkan ke dalam bekas semaian. Kesemua bahan / media ini boleh dibeli di kedai yang ada menjualnya.

3. Menggunakan topsoil yang dicampurkan 1 bahagian kompos.

4. Menggunakan tanah hitam atau tanah kebun.

5. Menggunakan cocopeat yang dicampurkan dengan tanah hitam.

Anda boleh memilih mana-mana cara di atas atau  menggunakan kaedah atau cara yang difikirkan sesuai. Masukkan media semaian ke dalam bekas semaian dan tabur biji benih sawi pahit di atas permukaannya. siram dengan air secukupnya. Jika langsung pada tanah pula, gembur tanah hingga menjadi ketulan kecil dan tambah kompos atau tinja binatang. Tabur benih sawi pahit di atasnya dan timbus sedikit tanah cukup untuk menutupi benih tersebut dengan tujuan agar benih tidak diganggu oleh makhluk perosak.

Sementara menunggu benih yang disemai bercambah, anda boleh menyediakan batas tanaman bagi mereka yang memilih untuk menanam di atas batas manakala bekas tanaman dan media bagi mereka yang memilih menanam di dalam pasu/kontena atau apa-apa bekas yang difikirkan sesuai. Gembur tanah dengan menggunakan alat seperti cangkul untuk memecahkan tanah dan gembur menjadi ketulan/serpihan-serpihan kecil. Buang segala bendasing dalam tanah seperti akar kayu, ranting mati, daun kering, batu, semen, besi, kayu mati, paku dan serpihan tile (kadang-kadang di halaman rumah khususnya kawasan perumahan benda seperti di atas banyak terbenam dalam tanah), setelah selesai mengembur bentukkan batas yang diinginkan mengikut keluasan tanah anda. Tambah kompos sebanyak 4 genggam bagi 3 kaki persegi dan tinja binatang 2 genggam untuk 3 kaki persegi. gaul hingga sebati. Tabur serbuk kapur jika perlu (untuk kes tanah yang berasid sahaja), penambahan kompos dan tinja binatang sudah mampu untuk mengurangkan keasidan tanah anda. Batas yang dibuat haruslah mendapat cahaya matahari penuh untuk tumbuhbesaran sawi pahit yang baik.

Bagi menanam dalam pasu pula sediakan pasu/kontena/bekas yang sesuai serta media tanaman seperti ditunjukkan di atas. Tanah liat juga boleh digunakan jika tiada pilihan lain kecuali tanah tersebut dirawat dan dibaikpulih. Caranya tanah liat dicampurkan dengan sama ada tanah hitam, cocopeat, peat-moss atau kompos sebanyak mungkin. Masukkan media ke dalam bekas tanaman yang dipilih dan simpan di kawasan yang menerima cahaya matahari penuh atau boleh disimpan di kawasan teduh sesudah ditanam anak pokok sawi pahit.

Selepas 2 minggu atau 3 minggu benih sawi pahit yang disemai sudah boleh dialihkan ke batas atau kontena. Bagi menanam dalam batas anda dikehendaki membuat lubang sedalam 2 inci dengan jarak antara lubang pula ialah 5 hingga 10 inci. Cabut anak benih sawi secara perlahan-lahan dan tanam 1 pokok untuk 1 lubang. Tanam anak pokok sawi pahit setengah dari tingginya. Jangan tanam melebihi paras daun kerana ia akan mati disebabkan tidak boleh menjalankan proses fotosintesis. Siram pokok-pokok sawi pahit dengan air yang cukup. Letak teduhan jaring hitam atau seumpamanya selama 1 minggu agar anak pokok sawi tidak layu dan mati. 

Bagi menanam dalam pasu pula buat lubang ditengah sedalam 2 inci pada pasu atau bekas tanaman anda. Tanam anak pokok sawi pahit setengah dari tingginya. Jangan lupa siram. Simpan pasu anda di kawasan teduh terlebih dahulu sehingga anak pokok sawi pahit benar-benar kuat barulah dialihkan ke tempat terkena sinaran matahari penuh.

Setelah 2 minggu dialihkan ke batas. Bubuh baja NPK organik disekeliling pokok dengan kadar berpatutan. Ambil sejemput baja tersebut dan tabur disekeliling pokok sawi pahit. Buat pembajaan hingga selesai dan seelok-eloknya siram selepas membaja. Bagi dalam pasu pula cukup 1 sudu untuk ditaburkan di sekeliling pokok sawi pahit. Buat pembajaan selang dua minggu sekali untuk hasil tumbuhbesaran yang baik. Buat pengemburan batas dan tanah dalam pasu jika tanah kelihatan keras. Berhati-hati jika mengembur akar tidak merosakkan akar anak pokok sawi pahit.

Membuang rumput adalah rutin yang harus dibuat oleh pekebun. Cabut rumput di atas batas agar persaingan mendapatkan makanan dapat dikurangkan antara sawi pahit dan rumput rumpai. Letak mulsa atau sungkupan pada batas atau permukaan pasu untuk mengelak rumput rumpai tumbuh. Anda boleh menggunakan mulsa seperti cocopeat, peat-moss, daun kering, rumput kering, jerami dan sebagainya. Lakukan penyiraman 2 kali sehari jika musim panas dan tidak perlu ketika hujan.

Selepas 4 hingga 5 minggu anda sudah boleh menuai sawi pahit anda di halaman rumah. Lakukan penuaian pada sebelah petang jika anda ingin menuai dalam jumlah yang banyak. Ini kerana sayur anda berada, dalam keadaan kering dan masukkan ke dalam plastik berzip dan simpan di dalam peti sejuk. Sawi pahit anda boleh bertahan hingga 2 minggu lebih. Jika menuai untuk sekali makan anda tuai pada bila-bila masa dan tiada masalah. Nikmati sawi pahit tanam sendiri bersama keluarga tersayang mengikut resepi pilihan anda sendiri. Apa tunggu lagi tanam sawi pahit di halaman rumah hari ini.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Isnin

KACANG PANJANG HITAM

Tags
Kacang panjang hitam
Kacang panjang hitam atau Black Long Yard Bean adalah variati kacang panjang yang banyak ditanam oleh petani secara kecil-kecilan bagi dijual di pasar siang atau dijual secara pukal kepada peraih yang datang dari Kota Kinabalu. Ia juga popular dikalangan pengemar kacang panjang sama seperti jenis kacang panjang galaxy dan kacang panjang hijau.

Ciri-ciri bagi kacang panjang hitam adalah batang dan daun berwarna hijau, daun berbentuk oval. Bunga berwarna putih dan sedikit ungu ditengahnya. Jenis pokok memanjat dan cepat mengeluarkan hasil. Buah kacang panjang pula adalah sedikit panjang dengan warna kehitam-hitaman bercampur hijau. Dari jauh ia kelihatan hitam pada pandangan kasar. Mempunyai corak hitam pada pangkalnya. 

Tanomkinotuan menanam kacang panjang hitam ini pada bulan Disember tahun lepas di bawah celah-celah pokok mulberri yang telah dicantas dan dibuka daunnya. Dengan ruang tersebut memang sesuai untuk menanam benih kacang panjang hitam ini. Oleh kerana tanah tersebut jenis clay (lampung) maka tanomkinotuan bersusah payah untuk mengembur dan membaikpulih. Pokok mulberri sesuai ditanam di tanah jenis tanah liat yang dibaikpulih. Tanah itu tanomkinotuan bentuk sebagai batas dan pokok pegaga yang tumbuh betul-betul dibawah pokok mulberri terpaksa dicabut. Pokok pegaga pun sudah terlalu menjalar hingga serabut kebun tanomkinotuan. Tanah sudah terlalu padat dan keras. Tambahan kompos dalam jumlah yang banyak amat disyorkan bagi membaikpulih tanah tersebut. 

Tanomkinotuan tidak perlu menyediakan junjung atau kayu sebagai pemanjat untuk pokok kacang panjang hitam ini. Tujuan tanomkinotuan menanam pokok kacang panjang berhampiran pokok mulberri adalah supaya ia boleh memanjat pada pokok mulberri tersebut. Ini dikenali sebagai tanaman campuran atau companion plant yang amat disyorkan oleh pakar pertanian. Kedua pokok ini saling bantu-membantu dan bekerjasama. Pokok mulberri menyediakan perlindungan dan sebagai junjung pokok kacang panjang hitam manakala pokok mulberri mendapat faedah besar dengan menyerap nitrogen yang dihasilkan oleh akar pokok kacang panjang. Sangat-sangat mengurangkan kerja tanomkinotuan khususnya menyediakan junjung untuk kacang panjang tersebut. Cara ini dikenali sebagai tanaman campuran atau companion plant.

Kini selepas 1 bulan setengah pokok kacang panjang menghasilkan buah yang pertama. Cantik dan sihat saja. Tanomkinotuan telah menuai beberapa batang kacang panjang yang sudah boleh dituai walaupun hanya sedikit ia sangat bermakna. Ia boleh dimasak dengan dicampurkan dengan sayur lain. Kali ini apid tidak kelihatan pada batang dan daun kacang panjang. Selalunya kacang panjang tanomkinotuan akan diserang apid hitam yang menyebabkan kerosakan yang teruk hinggakan buah yang terhasil tidak sihat dan terbantut. Mungkin saja apid takut akan kerangga yang dominan berlegar-legar di pokok kacang panjang. Setiap pokok yang tumbuh di KBR sudah dikuasai oleh kerangga ini dan nampak buah tidak teruk sangat diserang makhluk perosak. Ini salah satu kebaikan jika kerangga bertandang ke kebun anda cuma saja anda kena tahan sekiranya anda digigit oleh mereka, amat memeritkan.

Selamat bertani dan menuai hasil.

MENANAM TUTAN HITAM DARI KERATAN BATANG

Tags
Pada entry yang lepas tanomkinotuan ada berkongsi satu jenis sayuran herba liar yang menjadi kegemaran rakyat di Sabah iaitu tutan hijau yang banyak tumbuh di kebun-kebun tanah tinggi sekitar Sabah. Kali ini tanomkinotuan berkongsi satu lagi variati tutan yang kini jarang-jarang dijumpai akibat kepupusan atau diganti secara semula jadi dengan variati yang lain yang dikenali sebagai tutan hitam.

Tutan hitam atau umum dalam bahasa English dipanggil American nightshade (The Bornion American nightshade variaty is types of herb that can eaten and not poison at all) ini mempunyai batang berwarna hitam bercabang manakala daunnya pula berwarna hijau. Ketinggian boleh mencecah 1 meter atau lebih. Tidak mempunyai duri dan rasa sedikit pahit berbanding dengan tutan hijau.

Sudah lama tanomkinotuan ingin mendapatkan pokok atau benihnya untuk ditanam di KBR. Ini kerana bagi tanomkinotuan tutan hitam lebih versetile berbanding tutan hijau di mana ia lebih berkhasiat dari segi perubatan tradisional berbanding tutan jenis lain terutamanya mengubati ketuat atau kutil. Lagi pula menanam pokok tutan hitam di KBR satu cara mudah untuk pokok ini tidak pupus agar boleh dinikmati oleh generasi akan datang.

Pada hujung bulan Disember yang lalu tanomkinotuan ke Ranau untuk mengiringi majlis perkahwinan abang tanomkinotuan. Keesokan harinya tanomkinotuan ke tamu/pasar siang dekat jambatan sungai Liwogu untuk melihat kalau-kalau ada yang boleh dibeli dan dibawa pulang. Sambil melilau melihat barangan yang dijual oleh para penjual, tanomkinotuan ternampak seorang nenek berbangsa Dusun menjual sayur tutan hitam yang cantik dan masih muda. Maksud tanomkinotuan pokok tutan hitam ini baru dipetik kali yang pertama.

Disinilah tanomkinotuan dapat menggunakan bahasa ibunda sebagai pertuturan untuk berbicara dengan nenek tersebut. Malah lebih dekat dan mesra dengan menggunakan dialek yang sama iaitu dialek Dusun Liwan (majoriti daerah Ranau menggunakan bahasa Kadazandusun dialek Liwan dan Bundu disamping dialek Tagahas, Talantang dan beberapa dialek lain). Tanomkinotuan membeli 2 ikat tutan hitam dengan harga kesemuanya RM4 ringgit.

Kata nenek tersebut, tutan boleh ditanam menggunakan keratan batang disamping benihnya. Jadi tanomkinotuan ingin mencuba untuk menanam menggunakan batang, jika berjaya ia satu kejayaan besar bagi tutan hitam untuk ditanam dan diperbanyakkan pada masa akan datang. Setelah kembali ke rumah tanomkinotuan memetik pucuk muda dan daun muda untuk dijadikan sayur manakala batangnya tanomkinotuan rendam dengan air semalaman. Esoknya tanomkinotuan tanam pada batas dengan harapan agar keratan batang tutan hitam itu bertunas dan tumbuh dengan baik.

Keratan batang mula bertunas
Selepas dua minggu kelihatan tunas keluar dari mata tunas dipanggal bekas tangkai daun. Kini tutan hitam tanonkinotuan tumbuh dengan baik malah daunnya cukup cantik tanpa sebarang masalah. Waktu ditanam keratan batang tutan hitam tersebut adalah masa kemarau dan jarang disiram. Tetapi ia tetap tumbuh dengan jayanya. Syukur alhamdulillah harapan tersebut menjadi kenyataan. Tinggal saja menjaganya dan tunggu ia membesar untuk berbuah bagi penanaman akan datang. Selain dari tutan hijau yang sedia ada di KBR sekarang ditambah 1 lagi variati yakni tutan hitam.

Bagi tanomkinotuan tutan hitam yang ditanam dan semakin membesar ini sudah boleh dituai sebenarnya tetapi jumlah pokoknya yang sedikit tidak cukup untuk menampung seisi keluarga maka tanomkinotuan hanya membiarkan saja dahulu, jika terdesak mungkin tanomkinotuan akan memetik juga pucuk-pucuknya pada satu hari nanti. Yang penting sekarang biar pokok-pokok tutan hitam ini mengeluarkan buahnya dahulu.

Mengumpul sayuran unik dan jarang dilihat satu kepuasan yang tidak terhingga. Tanomkinotuan sangat fanatik dengan sayuran seperti ini. Anda bagaimana pula?

Selamat bertani dan menuai hasil.

LAGI TUAIAN SAYURAN DI KBR

Tags
Hujung minggu yang lalu tanomkinotuan kembali ke rumah setelah seminggu di tempat kerja. Tidak sabar untuk sampai ke rumah kerana terbayang-bayang akan sayuran yang ditanam di KBR. 2 minggu yang lepas baru sahaja selesai menanam 3 variati sawi dalam satu batas atas sebab kekurangan tempat menanam. Sayur-sayur tersebut ialah sawi bunga kampung, sawi putih dan sawi putih taiwan.

Minggu lepas pula tanomkinotuan menanam sawi komatsuna atau sawi Jepun. Sayur ini masih dalam peringkat pertumbuhan. Berikut adalah sayuran yang sempat dituai pada masa itu;


Sawi putih taiwan atau siew bak choi dituai selepas 4 minggu menunggu untuk membesar. Sawi ini cepat membesar dan struktur rasa yang ranggup dan lembut. Sesuai dimasak sup atau tumis.


Sayur kangkung masih lagi menghasilkan pucuk-pucuk muda. Kangkung mempunyai hayat yang panjang jika pandai menjaganya. Caranya, petik pucuk muda dan bubuh baja organik. Jangan lupa siram, ia akan bertunas dengan jayanya. Ini kali ketiga menuai pucuk kangkung.


Pokok timun di KBR juga masih boleh dituai walaupun buahnya tidak secantik tuaian pertama. Pokok timun di KBR hanya 2 pokok sahaja kali ini tetapi banyak membantu keluarga tanomkinotuan dalam menyediakan resepi bahan soto tulang rusuk kegemaran sekeluarga.


Tomato brandywine hearloom ini galak menghasilkan buah walaupun matangnya tidak serentak. Tanomkinotuan belah 4 dan dimasukkan ke dalam sup. Boleh mengantikan asam jawa.


Tuaian lobak putih yang terakhir. Selepas ini tanomkinotuan akan menyemainya semula. Lazimnya lobak putih dihiris nipis dan ditambah dalam sup ikan atau ayam. Memang sedap selain dari khasiatnya yang sangat bagus.


Buah petola segi pertama dituai. Terdapat 2 pokok ditanam di KBR. Pokoknya masih rajin mengeluarkan buah dalam tempoh beberapa minggu sebelum pokoknya mati.



Akhir sekali adalah tuaian ketiga buah mulberri di KBR. Sangat manis dan berlemak. Puas makan dengan memakan terus pada buah mulberri tanomkinotuan blender buah tersebut untuk dijadikan jus dan minum sambil menonton TV. Memang mengujakan.

Inilah sayuran yang dinikmati oleh tanomkinotuan sekeluarga. Hingga kini tanomkinotuan tidak pernah membeli sayur di mana-mana bekalan sayur di KBR dan KG lebih dari mencukupi. Bagaimana pula dengan anda?

Selamat bertani dan menuai hasil.

Sabtu

POKOK ASPARAGUS MARRY WANSHINGTON

Tags
Pernahkah kamu mengalami situasi di mana menyemai sesuatu benih dalam pasu atau tanah tetapi tidak bercambah. Tanomkinotuan mengalami keadaan ini dengan menyemai benih asparagus walaupun sudah melebihi 10 kali percubaan dengan pelbagai kaedah digunakan tetapi masih tidak berjaya.

Menyingkap kembali pengalaman menyemai benih asparagus pada mula-mula tanomkinotuan berkecimpung dalam bidang perkebunan tahun lalu. Tanomkinotuan menyemai benih asparagus langsung pada batas. Kononnya tanomkinotuan ingin mengalihkannya ke dalam polibag sekirannya ia bercambah dan tumbuh dengan baik. Tunggu punya tunggu sehingga 3 minggu benih asparagus tidak muncul-muncul. Tanomkinotuan juga pernah merendam benih asparagus dalam air semalaman dan semai dalam polibag, situasi masih sama benih asparagus tidak juga bercambah. Tanomkinotuan juga pernah menyimpan benih asparagus dalam peti sejuk selama 2 minggu dan menyemainya tetapi benih yang disemai tidak juga muncul-muncul. Pelbagai kaedah dan teknik yang diajar dalam blog-blog orang lain semuanya tidak menjadi. Mungkin saja ada kesilapan dibuat tanpa disenggajakan, siapa tau?



Jadi hingga kini tanomkinotuan sudah menyerah kalah untuk menanam benih asparagus. Kira tanomkinotuan gagal dalam menyemai benih asparagus. Dulu tanomkinotuan juga gagal menyemai benih lobak merah tetapi setelah mencuba pelbagai teknik menyemai kini tanomkinotuan dapat mencambahkan lobak merah dengan jayanya. Semasa entry ini ditulis terdapat 3 jenis lobak yang sedang tumbuh di KBR dengan jayanya iaitu lobak merah curado F1, lobak merah imperator dan danvers. Tanomkinotuan juga menanam lobak merah dalam polibag.

Oleh kerana isu itu, tanomkinotuan mencari alternatif bagaimana untuk mendapatkan pokok asparagus yang boleh ditanam di KBR agar dapat tanomkinotuan dan keluarga dapat menikmati sayur pucuk muda asparagus. Oleh itu, tanomkinotuan melayari internet kalau-kalau terdapat blog menjual anak pokok asparagus yang boleh. dibeli secara online. Cari punya cari jumpa laman web tuan Iskandar yang ada menjual anak pokok asparagus. Apalagi langsung tanomkinotuan berhubung empunya blog dan menyelesaikan segala yang perlu khususnya pemindahan wang. Tidak sampai 2 hari anak pokok asparagus bertukar tangan.

Sampai di rumah, tanomkinotuan menanam kesemuanya anak pokok asparagus dalam polibag dan menyiram dengan air yang cukup. Jumlah anak pokok asparagus semuanya 10 pokok. Tanomkinotuan telah menyimpannya dalam kawasan yang teduh tetapi masih terkena haba. Selepas seminggu di kawasan teduh tidak sangka bahawa anak pokok asparagus sudah mengeluarkan pucuk muda. Hati tanomkinotuan gembira tidak terkata, ini bermaksud kesemua pokok asparagus tumbuh dengan baik tanpa masalah. Mungkin selepas ni, tanomkinotuan mencari info bagaimana menjaga anak pokok asparagus ini hingga mengeluarkan pucuk muda yang boleh dimakan. Berdasarkan pembacaan tanomkinotuan jika menanam pokok asparagus menerusi benih ia mengambil 2 tahun baru boleh dituai manakala jika menanam dari akarnya (crown) hanya mengambil masa kira-kira 6 hingga 8 bulan sahaja. 

Kebunbahagiabersama ada menjual crown aka akar asparagus tetapi masa promosi tersebut tanomkinotuan dalam keadaan poket kering. Tidak dapatlah tanomkinotuan membeli variati asparagus yang nampak bermacam-macam itu. Ada rezeki akan tanomkinotuan bertanya kepada Diana akan crown asparagus nanti. Harap masih ada stok. Puan Diana masih ada stok lagi tak crown asparagus tu? 

Jika tanomkinotuan menanam asparagus menerusi crown sudah tentu tunas pertama yang muncul akan dipotong untuk dimakan. Bagi tanomkinotuan pucuk muda asparagus cukup hanya dipanggang dengan sedikit olesan butter agar tidak hangus teruk dan terus ngap macam makan snack. Sedap dan rasa berlemak sikit. 

Cuma risaulah sedikit kerana tanomkinotuan bukanlah berada senantiasa di rumah untuk memberi penjagaan sewajarnya pokok asparagus yang mula tumbuh dengan baik. Tanomkinotuan hanya berada di rumah pada hujung minggu sahaja. Namun diharap semuanya baik-baik belaka. Jadi sekiranya anda mempunyai masalah untuk mencambahkan apa-apa benih. Ada jalan penyelesaian yang mudah di mana beli saja anak pokoknya yang ada dijual di mana-mana dan tanam di yard anda. Tidak perlu merunsingkan kepala dengan benda yang tidak akan mendatangkan khabar gembira.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Jumaat

SAWI PUTIH TAIWAN KINI BOLEH DITUAI

Tags
Sudah boleh dituai
Selepas 4 minggu ditanam di atas batas, sawi putih taiwan tanomkinotuan yang ditanam di Kebun Belakang Rumah (KBR) sudah boleh dituai dengan megahnya. Selepas bersusah payah menyemainya pada cup aiskrim yang disimpan di tepi jendala dapur yang hanya terkena sinaran matahari selama 4 jam setengah dan menyediakan batas yang perlu digembur hingga benar-benar menjadi ketulan-ketulan kecil sehinggalah ditanam pada batas kini selepas menunggu selama 4 minggu tanomkinotuan tersenyum kepuasan hasil tanaman sawi putih taiwan tumbuh galak dan cantik tanpa sebarang masalah.

Hujung minggu yang lalu, bila tanomkinotuan tiba di rumah dan menjenguk di KBR. Sawi putih taiwan tersebut masih dalam saiz sederhana. Walaupun masa itu saiznya sudah boleh dituai (sesetengah) namun tanonkinotuan menahan dahulu nafsu untuk memetiknya. Tanomkinotuan juga telah maklumkan kepada emak ketika itu dan arahan dipatuhi. Ini bertujuan agar tanomkinotuan boleh mengambil beberapa gambar untuk diposkan disini dan juga sebagai tanda kenang-kenangan malah sayuran lain seperti kangkung, kacang panjang galaxy dan timun masih menghasilkan buah yang banyak ketika itu.

Brokoli ungu
Kali ini serangan makhluk perosak tidak kelihatan. Tidak seperti tahun lepas. Sawi putih taiwan bukan sahaja diratah oleh apid dan belalang tetapi juga ulat seribu tumpang sekaki menyebabkan sawi putih taiwan berlubang-lubang dan tidak cantik. Sama kes dengan sawi bunga kampung yang baru sahaja dituai 2 minggu lepas langsung tidak dijamah oleh mana-mana makhluk perosak. Mungkin awal tahun menanam adalah tempoh yang amat sesuai bagi menanam sayuran. Buktinya, pokok kobis bunga dan brokoli ungu habis diserang dengan belalang dan ulat seribu yang memakan daun-daun muda tetapi kini ia nampak elok tumbuh malah semakin subur dan berdaun cantik. Cumanya pokok brokoli ungu ini sudah berusia 3 bulan lebih tetapi belum menunjukkan tanda-tanda berbunga. Adakah pokok brokoli ungu lambat menghasilkan bunga ungunya? Kita tunggu saja perkembangannya akan datang.

Tanomkinotuan mencabut beberapa pokok sawi putih taiwan untuk sayur malam ini. Sawi putih taiwan juga dikenali di negara barat sebagai chinese cabbage (brassica rapa) yakni kobis tidak membulat atau non-heading. Tapi bagi tanonkinotuan pendapat itu agak jauh jika dibandingkan dengan ciri, bentuk serta daun antara keduanya walaupun tanomkinotuan bersetuju keduanya adalah dari kumpulan atau keluarga yang sama, buktinya benih dan daun cambahan adalah sama.

Selain mencabut sawi putih taiwan ini, petang tadi emak tanomkinotuan telah memetik pucuk cekur manis atau sayur manis yang telah merimbun dengan banyaknya. Walaupun telah dilitupi rumput rumpai jenis menjalar pokok cekur manis masih bertahan dan tumbuh dengan baik. Sayur kangkung juga tidak luak hingga kini malah pucuk-pucuk muda tumbuh dengan baik di KBR.  Bulan Januari ini memang melimpah ruah rezeki pasal sayuran. Ini belum dikira lagi sayuran yang ditanam di Kebun Getah (KG). Syukur alhamdullilah kepada Allah semester alam yang melimbahkan rezeki kepada keluarga tanomkinotuan dengan sayuran tanam sendiri. 

Petang tadi juga tanomkinotuan menanam anak benih pokok sawi tatsoi yang dicambahkan di dalam cup bekas puding yang dibeli dari kawan. Tanomkinotuan juga menyemai benih komatsuna hijau tetapi mati kesemuanya akibat bekas semaian dijadikan sarang oleh semut hitam. Akan diusahakan lagi untuk menyemai benih komatsuna pada masa akan datang.

Selamat bertani dan menuai hasil. 

BUNGA KANTAN: BUNGA RIMBA YANG MEKAR

Tags
Bunga kantan ialah sejenis pokok saka herba yang tumbuh meliar di kawasan hutan tanah tinggi. bunga kantan atau nama saintifiknya dikenali sebagai Etlingera Elatior ini hidup subur pada suhu sederhana sejuk. Ia banyak ditemui di kawasan seluruh Sabah khususnya Tambunan, Keningau, Ranau, Kota Belud, Tamparuli, Beluran, tongod dan kawasan sekitarnya. Pokok bunga kantan juga mudah dijumpai seluruh Asia Tenggara. Pokok jenis berbatang lembut bukan kayu, daun berwarna hijau dengan memanjang. Bunga keluar dari rizom dalam tanah yang muncul memanjang. Bunga berwarna merah jambu dan merah terang. Terdapat juga variati bunga kantan berwarna putih cair. 

Pada Jumaat lalu tanomkinotuan kembali ke rumah dari tempat kerja. Tanomkinotuan dan kawan-kawan akan melalui kawasan hutan yang belum terusik lagi. Sepanjang jalan tanomkinotuan dihidangkan pokok bunga kantan yang hidup subur dengan bunganya yang banyak dan mekar. Apa lagi tanomkinotuan berhenti dan memetik bunga kantan mana-mana tercapai oleh tangan. Tanomkinotuan mampu capai 4 batang bunga kantan dan disimpan langsung masuk dalam beg. Tanomkinotuan terbayang sup ikan yang enak apabila dicampurkan dengan bunga kantan. Haruman bunga kantan mengamit selera.


Pokok bunga kantan atau sebutan tempatan di Sabah ialah topu', atau tompu ini merupakan serumpun dengan keluarga pokok tuhau (pokok kesing), pokok halia dan sewaktu dengannya. Seluruh pokok, daun dan bunganya mengeluarkan aroma yang meyenangkan. Maka tidak hairan mengapa pokok terutamanya bunga kantan ini banyak digunakan dalam tambahan sesuatu resepi.

Lazimnya tanomkinotuan menggunakan sekuntum atau 2 kuntum bunga kantan yang belum berkembang ke dalam campuran sup kepala ikan. Ia memberikan struktur rasa yang cukup menambat selera malah sifat asam pada bunga kantan ini memberikan rasa asam pada sup ikan tanpa menambah bahan seperti asam jawa, asam keping atau tangkup-angkup.

Bagi tanomkinotuan, bunga kantan yang sudah berkembang juga boleh diproduksikan sebagai sayuran dengan menambah segenggam leraian bunga kantan ke dalam sayur campur bawang losun, lada topurak, kodop, hirisan umbut tuhau dan bilis sandakan. Gabungan rasa dan bau bahan-bahan tersebut sangat-sangat mengujakan. Malah bunga kantan yang telah berkembang juga sesuai sebagai bahan campuran dalam resepi serunding tuhau yang enak dan lazat. Serunding tuhau sangat popular di daerah Kundasang. Sekiranya anda sampai ke Kundasang jangan lupa bertanyakan serunding tuhau yang banyak dijual di sana. Sama ada anda memakannya begitu sahaja atau makan bersama nasi bukit atau nasi bario dengan sawi kerinting tumis. Memang padanan yang seimbang.

Selain itu, buahnya pula boleh dijadikan perapan pada ikan yang ingin digoreng. Ia sama fungsinya dengan asam jawa yakni boleh menghilangkan bau hanyir ikan dan menjadikan isi ikan yang digoreng tidak terlalu garing. Caranya kopek kulit buah pokok kantan dan keluarkan biji-bijinya. Biji-biji inilah yang dilumurkan kepada ikan tersebut dan perap dalam setengah jam barulah ikan tersebut digoreng. Amat-amat sempurna.

Menanam pokok kantan adalah dengan menggunakan rizomnya atau benihnya yang sudah matang. Rizom pokok kantan harus ditanam setengah kaki ke dalam tanah dan timbus dengan tanah. Siram menggunakan air yang banyak. Jika menggunakan biji pula, semai terlebih dahulu dalam polibag dan barulah ditanam ke dalam tanah setelah pokok kantan berusia 3 minggu hingga 1 bulan. Pokok kantan boleh tumbuh pada semua jenis tanah termasuk tanah liat yang kaya dengan nutrisi.

Tanomkinotuan dapat jimat wang kira-kira RM4 dengan mendapat bunga kantan secara percuma di hutan belantara. Di tamu-tamu atau pasar basah sekitar kediaman tanomkinotuan, bunga kantan dijual dengan harga RM2 ringgit dengan 2 kuntum bunga seikat. Bolehlah tanomkinotuan merasa bunga kantan keluaran fresh dari hutan belantara pada sup kepala ikan tenggiri nanti.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Isnin

CARA DAN PANDUAN MENANAM SAWI PUTIH TAIWAN

Tags
Sawi putih taiwan atau siew bak choy merupakan sayuran jenis berdaun yang banyak ditanam di negara kita secara ladang atau komersil, sawi ini ditanam bersama sawi jenis lain seperti sawi putih, sawi bunga, sawi pahit dan sawi kerinting. Tempoh matangnya sangat singkat.Mempunyai batang lebar dipangkal dan berwarna hijau muda. Daun berbentuk sudu lonjong dan berwarna hijau, rasa dan struktur lembut. Sawi putih ini berasal dari negara China dan menyebar ke Asia Tenggara khususnya di negara kita. Menanam sawi putih taiwan teramat mudah dan dijaga. Berikut adalah cara dan panduan menanam sawi putih taiwan mengikut pengalaman tanomkinotuan.

Mula-mula dapatkan benih sawi putih taiwan di kedai pertanian atau nusery berhampiran. Membeli benih sawi putih taiwan di kedai pertanian berbaloi kerana benih berkualiti serta mudah bercambah. Namun pastikan terlebih dahulu tarikh luput benih tersebut agar benih masih dalam tempoh percambahan. Benih sawi putih tamat tempoh bermakna ia sudah tidak aktif untuk bercambah. Anda juga boleh mendapatkan atau membeli benih sawi putih taiwan jenis hibrid yang besar dan padat. Anda boleh mendapatkan benih sawi putih taiwan dengan harga RM1 atau RM2 di pasaran. Terdapat juga benih sawi putih yang dijual dalam plastik dengan brand sendiri tetapi harganya sedikit mahal.

Penentuan lokasi menanam adalah aspek yang harus diambil berat. Makluman kepada pembaca semua bahawa seperti sawi bunga dan sawi kerinting, sawi putih taiwan juga memerlukan sinaran matahari penuh. Oleh itu balkoni, tepi pagar menghadap matahari dan belakang rumah adalah yang sesuai untuk menanam. Jika anda memilih menanam sawi putih taiwan dalam pasu sila pilih lokasi yang sesuai seperti tempat-tempat di atas. Anda boleh meletakkan pasu-pasu sawi putih di kawasan strategik dengan sinaran penuh matahari seperti balkoni, tepi pagar, belakang rumah, jendela dan sebagainya. 

Sekiranya anda tersalah pilih kawasan menanam atau peletakan padu-pasu anda, sudah tentu sawi putih taiwan anda tidak tumbuh seperti sepatutnya. Ketot dan batang panjang dan kurus dengan daun lonjong kecil. Tempoh matang agak lama dan terbantut. Ini bermakna hasil kutipan kurang memuaskan.

Sebelum memulakan kerja-kerja menanam, elok rasanya anda menyemai benih sawi putih terlebih dahulu pada bekas semaian seperti cup styorofoam, pasu, kontena, tupperware buangan, tin susu atau besen terbuang. Anda juga boleh menyemai terus di atas tanah yang lapang. Sediakan media tanaman seperti kompos bakar yang boleh dibeli di kedai pertanian. Masukkan media tersebut kedalam bekas semaian dan tabur benih di atasnya. Jangan tabur benih secara rapat bagi mengelak persaingan dalam pertumbuhan. Siram benih dengan air secukupnya. Cup styorofoam harus ditanam 1 hingga 2 biji benih sawi putih taiwan. Anda juga menggunakan media campuran atau tanah hitam sebagai semaian

Bagi mereka yang ingin menyemai benih di atas batas pula harus mengemburkan terlebih dahulu tanah tersebut, tambah sedikit kompos atau tinja binatang. Tabur benih sawi putih taiwan dan kambus sedikit tanah di atasnya. Selepas itu, jangan lupa siram dengan air secukupnya. Selepas 2 hingga 3 minggu benih sawi putih taiwan sudah boleh dialihkan ke tempat yang disediakan.

Penyediaan batas adalah asas penanaman. Korek tanah sedalam setengah kaki dan gembur hingga menjadi ketulan-ketulan kecil. Terpulang pada anda berapa saiz batas yang perlu di buat. Namun jika halaman rumah anda luas dan besar memadai dengan batas 2x5 kaki. Bersihkan tanah dengan membuang bendasing yang tidak diperlukan seperti akar, ranting, batu, sepihan tile, semen, kayu, paku atau besi. 

Tambah kompos pada batas dengan menaburkan 3 genggam bagi 3 kaki persegi, gaul hingga sebati. Jika jumlah kompos dirasakan kurang tambah segenggam atau 2 genggam. Anda juga boleh menambah tinja binatang jika ada. Antara tinja binatang yang boleh digunakan ialah tinja ayam, kerbau, lembu, kuda, arnab dan tinja kelawar (guano). Tabur serbuk pertanian jika perlu. Rehatkan batas selama seminggu dengan mendedahkan dengan sinaran matahari terik. Ini bertujuan untuk menghapuskan mikrob jahat dalam tanah.

Penanaman atau pengalihan anak pokok sawi putih taiwan boleh dilakukan setelah anak pokok sawi putih taiwan berusia 2 hingga 3 minggu atau sudah mempunyai 4 helai daun. Pada batas yang disediakan, buat lubang sedalam 2 inci atau mengikut ketinggian anak pokok sawi putih taiwan anda dengan jarak antara lubang kira-kira 6 hingga 10 inci. Tanam sebatang anak pokok sawi putih taiwan pada 1 lubang yang disediakan. Berhati-hati ketika melakukan aktiviti mencabut anak pokok agar tidak mencederakan akar pokok. 

Bagi mereka yang menyemai dalam cup styorofoam pula, tanam pokok sawi putih taiwan bersama media/tanah tersebut dengan mencungkil perlahan-lahan dan berhati-hati. Sesudah selesai kerja-kerja menanam siram anak benih dengan air yang cukup. Buat teduhan pada batas dengan jarung hitam selama seminggu agar anak pokok sawi tidak layu dam mati terkena pancaran matahari terik. 

Bagi pasu pula, buat lubang ditengahnya dan tanam sepokok anak benih sawi putih taiwan dan timbus dengan tanah lubang tersebut. Siram dengan air secukupnya. Letak pasu-pasu anda ditempat terlindung selama seminggu barulah dialihkan ke lokasi yang disediakan.

Dalam tempoh 2 hingga 3 minggu selepas dipindahkan ia sangat memerlukan air untuk pertumbuhan dan makanan. Siram pokok sawi putih taiwan 2 kali sehari atau tidak perlu ketika hujan. Cabut rumput pada batas atau pasu untuk elak masalah persaingan. Bubuh baja NPK organik selang 2 minggu. Setelah genap 1 bulan setengah. Sawi putih anda sudah boleh dituai. Cara tuaian sama ada mencabutnta atau hanya petik daun matang sahaja. Nikmati sawi putih taiwan tanam sendiri dengan resepi sendiri.

Selamat bertani dan menuai hasil.

TUMBUHAN DAN KESESUAIAN PH TANAH

Tags
Jenis sayuran yang ditanam mempunyai kesesuaian pertumbuhan pada nilai PH tanah yang berbeza-beza. Sayuran boleh hidup subur pada tingkat keasidan tanah yang berbeza mengikut jenis dan variati. Pada asasnya PH tanah adalah ukuran pada jumlah serbuk kapur (kalsium) yang terdapat dalam tanah anda. Berikut adalah jadual nama sayuran, herba dan buah mengikut nilai PH. 

1. Artichoke: 5.6-6.6

2. Asparagus: 6.5-7.5

3. Buah lemak: 6.0-7.0

4. Kekacang, legum: 6.0-7.0

5. Ubi beet: 5.6-6.6

6. Brokoli: 6.0-7.0

7. Brussels sprouts: 6.0-7.0

8. Kobis: 5.6-6.0

9. Cantaloupe: 6.0-7.0

10. Lobak merah: 5.0-6.0

11. Catnip: 5.0-6.0

12. Kobis bunga: 6.0-7.0

13. Daun sup, seleri: 6.0-7.0

14. Chard: 6.0-7.0

15. Lada besar: 5.0-6.0

16. Chives: 5.0-6.0

17. Timun: 5.0-6.0

18. Dill: 5.0-6.0

19. Terung: 5.0-6.0

20. Bawang putih: 5.0-6.0

21. Gourds: 5.0-6.0

22. Kiwi: 5.0-7.0

23. Leek: 5.0-6.0

24. Salad: 6.5-7.0

25. Pudina: 6.0-7.0

26. Cendawan: 7.0-8.0

27. Bendi: 6.0-8.0

28. Bawang besar/bawang india: 6.2-6.8

29. Parsley: 6.0-8.0

30. Parsnip: 5.0-7.0

31. Kacang pea: 5.6-6.6

32. Kacang tanah: 5.0-6.0

33. Cili: 6.8-8.0

34. Kentang: 5.8-6.5

35. Labu: 5.0-7.0

36. Radis/variati lobak putih: 6.0-7.0

37. Raspberri: 6.0-6.5

38. Rhubarb: 5.0-7.0

39. Rutabaga: 5.0-7.0

40. Bawang merah: 5.0-7.0

41. Spinach: 5.0-6.0

42. Squash: 6.0-7.0

43. Bunga matahari: 6.0-7.0

44. Jagung manis: 6.0-7.0

45. Ubi manis: 5.0-7.0

46. Swiss chard: 6.0-7.0

47. Tembakau: 5.0-7.0

48. Tembakau: 5.0-7.0

49. Tomato: 5.5-7.0

50. Turnip: 5.0-7.0

51. Keladi: 6.0-7.0

52. Zucchini: 6.0-7.0

53. Bayam: 6.0-6.5

54. Lavender: 6.0-6.5

55. Marygold: 6.5-7.5

56. Tembikai: 5.5-6.5

57. Semua jenis sawi: 6.0-7.5

58. Basil, selasi, kemangi: 5.5-6.5

59. Rosemerry: 5.0-6.0

60. Halia: 6.0-8.0

61. Kailan: 6.0-7.5

62. Peppermint: 6.0-7.5

63. Kacang soya: 5.5-6.5

64. Kohlrabi: 6.0-7.5

65. Lentil: 5.5-6.5

66. Tyhme: 5.5-6.5

67. Sage: 5.5-6.5

68. Nanas: 5.0-6.0

69. Majoram: 6.0-8.0

70. Kacang adas: 5.0-6.0

71. Fig/pokok Tin: 5.0-6.0

72.bunga kertas: 5.5-7.5

73. Mustard: 6.0-7.5

Rujukan nilai PH tanah mengikut tumbuhan di atas adalah berdasarkan kajian dari luar negara, mungkin saja terdapat perbezaan kiraan PH mengikut tempat, situasi dan pengalaman. Walau bagaimanapun, ia sesuai untuk mendapatkan gambaran awal pembaca bagi membuat keputusan penyediaan media tanaman di halaman rumah atau pun di kebun/ladang. Sekiranya anda membaca mengenai kesesuaian PH tanah mengikut tumbuhan, anda akan dapati setiap artikel memberikan nilai-nilai PH yang berbeza-beza. Apa-apa pun, anda harus tahu apakah nilai PH tanah anda yang anda gunakan dan rawat ia sekiranya berada dalam paras yang membimbangkan.

Selamat bertani dan menuai hasil.


Ahad

KACANG BENDI

Tags
Kacang bendi atau nama saintifiknya adalah Abelmoschus Esculentus adalah tumbuhan berbatang lembut menegak, berwarna hijau dan mempunyai banyak cabang. Tinggi pokok bendi boleh mencecah kira-kira 1 hingga 2 meter. Daun berwarna hijau dan berbentuk rupa jari tangan (palmate), susunan secara alternate. Tangkai daun berbentuk panjang berwarna hijau atau kemerahan. Bunga berwarna kuning dan merah tua ditengahnya manakala buah bentuk lonjong dan panjang bersegi-segi dan berbulu. Bendi juga dikenali sebagai kacang tanduk, kacang lendir atau okra dan lady finger di dalam sebutan Englishnya. Sebenarnya tahun lepas ada tanomkinotuan menanam 2 variati bendi di KBR. Namun tidak kesampaian untuk diposkan di sini. Tahun ini pula tanomkinotuan telah mencuba sekali lagi menanam benih bendi kampung cuma hanya 1 pokok yang berjaya hidup. Itupun ditanam pada batas yang tidak terawat. Maksudnya tanah yang tidak dicampurkan dengan sebarang jenis tanah seperti tanah hitam atau pasir. Tanomkinotuan hanya korek dan bubuh benih lalu timbus. Ia tumbuh dan membesar dengan baik. 

Tanomkinotuan suka melihat pelbagai sayuran yang ditanam di KBR. Dengan kepelbagaian ini, tanomkinotuan dapat membekalkan sayur kepada dapur secara organik. Tidak terkecuali dengan kacang bendi ini. Kacang bendi gergasi ditanam di KBR pada bulan Jun tahun lepas tanpa membuat batas yang sepatutnya. Tanomkinotuan hanya mengorek lubang dan bubuh kompos setiap lubang. Oleh kerana kompos tersebut adalah kompos buatan sendiri, tanomkinotuan biarkan dahulu hingga seminggu dan barulah benih ditanam pada lubang itu.  Tanomkinotuan menanam 2 biji benih bendi untuk 1 lubang dengan jarak kira-kira 4 kaki. Percambahan bendi mengambil masa sehingga 4 hingga 7 hari untuk bercambah. Ia perlu ditanam pada tanah atau kawasan lapang yang menerima sinaran matahari penuh.

Selepas dua minggu anak benih bendi sudah pun mempunyai 3 hingga 4 helai daun dan tanomkinotuan bubuh sekali lagi baja NPK yang boleh dibeli di kedai pertanian atau nusery berhampiran. Setiap lubang ditabur segenggam hingga 2 genggam baja. Lakukan berhati-hati agar tidak terkena batang atau anak benih bendi. Selepas dibaja gembur tanah disekeliling agar baja sebati atau bercampur dengan tanah lalu siram dengan air secukupnya. Ini bertujuan untuk lembapan tanah dan juga mempercepatkan penguraian baja untuk serapan akar secara maksimum. Tanomkinotuan juga pernah menyembur atau menyiram pokok bendi gergasi tersebut dengan baja cecair kompos teh buatan sendiri dan baja cecair ikan. Hasilnya pertumbuhan sangat galak dengan batang pokok yang besar, berdaun lebar dan rajin berbunga. Buahnya cukup panjang besar dan cantik.

Pertumbuhan pokok bendi di negara kita cukup baik malah sangat sesuai ditanam sepanjang tahun. Pokok bendi ini juga ditanam secara meluas di negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina. Setiap pasar di seluruh Malaysia ada menjual buah bendi pelbagai variati. Tanomkinotuan tidak mempunyai masalah untuk menanam pokok benih malah jarang diserang penyakit. Untuk makluman semua, bendi boleh disemai atau ditanam pada bila-bila masa sepanjang tahun. Semai pada tanah atau yang tidak menakung air. Air berlebihan pada tanah menyebabkab pokok bendi layu dan mati.

Pokok bendi menyukai tanah yang kaya dengan nutrient dan bersaliran baik. Korek dan gembur tanah serta bubuh kompos. Tanam benih bendi dengan sebiji atau 2 biji setiap lubang dengan jarak lubang adalah 4 kaki atau mengikut kesesuaian anda. Pokok bendi juga sesuai ditanam dalam pasu. Gunakan media campuran untuk menanam pokok bendi. Bendi boleh dituai selepas 1 bulan setengah dengan memotong tangkainya dengan pisau tajam. Bendi sesuai dijadikan ulam dicecah sambal cili.atau dicampurkan dalam masakan kari.

Selamat bertani dan menuai hasil.

TUAIAN SAYURAN DAN BUAH DI KBR

Tags
Hujung minggu adalah masa yang dinanti-nantikan oleh tanomkinotuan sebab boleh pulang ke kampung setelah 5 hari berada nun jauh di pedalaman. Walaupun hanya dua hari cuti rehat tetapi dengan dua hari itu tanomkinotuan dapat menyiapkan pelbagai kerja di Kebun Belakang Rumah aka KBR. Tanomkinotuan tiba ke kampung jam 5 petang, setelah menyimpan barang dan menukar pakaian tanomkinotuan langsung ke KBR untuk meninjau perkembangan di sana bagai pengurus pulak lagaknya.

5 hari ditinggalkan sudah banyak sayuran yang boleh dituai tetapi melihat dalam peti sejuk masih ada beberapa jenis sayur yang boleh dimasak malam nanti, maka tanomkinotuan memutuskan esok sahaja menuai sayuran tersebut lagi pula esok tanonkinotuan hanya di rumah tidak ke mana-mana. Masa terluang begitu banyak untuk menuai satu persatu jenis sayuran di KBR. Tanomkinotuan hanya sempat menyiram batas yang baru ditanam dengan sawi putih taiwan atau siew pak choy. Gelap pun menjelang dengan iringan angin kuat. Mungkin hujan akan turun detik tanomkinotuan. Cheeeee.... Macam cerita novel pula.

Esok pagi tanomkinotuan ke KBR dengan besen besar dipikul bersama. Pertama sekali tanomkinotuan menuai buah mulberri yang sudah matang. Rata-rata pokok mulberri menghasilkan buah yang banyak dan sudah mulai bertukar warna hitam. Warna hitam mempunyai lebih rasa manis berbanding merah terang. Jadi untuk menuai buah mulberri anda tuailah buahnya yang sudah hitam warnanya. Buah mulberri tanomkinotuan ketot saja sebab pokoknya belum besar lagi. 3 tahun nanti dapatlah merasa buah mulberri yang besar-besar.

Cili hijau juga sudah besar dan matang. Tanomkinotuan tuai buah-buah yang besar. Tidak sangka tanomkinotuan boleh mengumpulkan kira-kira setengah kilo buahnya yang dihasilkan hanya 2 pokok cili hijau dengan nilai RM4 ringgit. Ini adalah tuaian terakhir bagi 2 pokok ini, tanomkinotuan akan mencabutnya untuk memberi laluan untuk menanam sayuran lain tetapi sebelum itu tanomkinotuan terpaksa mengembur terlebih dahulu kerana tanahnya sudah terlalu padat dan keras. Tanomkinotuan lebih suka menuai buahnya ketika masih berwarna hijau. Ini kerana buah cili hijau tidak sempat bertukar warna ke merah disebabkan buah membusuk dan gugur. Serangan serangga pengorek buah telah mengurangkan sedikit hasil tuaian hari ini.

Sayur kangkung pun sudah terlalu matang malah sudah mula menjalar dengan batangnya yang sangat besar dan rapuh. Tanomkinotuan petik pucuk kangkung pada batas yang pertama. Dapatlah tanomkinotuan 2 ikat sayur kangkung yang bernilai RM4 ringgit. Kangkung jarang diserang makhluk perosak dan penjagaannya mudah. Penggunaan baja juga tidak sekerap dengan pembajaan sayuran lain. Kangkung juga masih baik walaupun tidak disiram selama 3 hari. Sayur kangkung pun dimasak untuk makan tengahari tadi. Kangkung masak belacan, dimakan dengan soto rusuk lembu dan nasi bukit (ditanam di kawasan bukit dan tanpa air).

Pokok timun tidak berapa menjadi pada musim ini. Banyak buah timun disengat oleh lalat pengorek buah menyebabkan buah rosak teruk dan membusuk. Tanomkinotuan hanya sempat tuai sebiji timun yang masih elok. Tidak seperti musim-musim lepas yang pokok timun mengeluarkan buah yang banyak. Bolehlah dihiris kecil untuk bahan sampingan pada soto nanti. Petik buah timun yang sederhana besar adalah paling bagus kerana manis dan ranggup teserlah. Jika terlalu matang rasa sedikit tawar. Musim ini hanya terdapat 2 pokok timun. Tanomkinotuan tidak dapat menanam pada kali ini kerana tempat menanam sudah penuh. Ini menyebabkan pokok-pokok lama akan ditumbang atau cabut bagi memberikan laluan kepada sayuran seperti timun untuk ditanam.

Dan akhir sekali ialah lobak putih aka chinese radish. Tanomkinotuan menanamnya sebatas dengan pokok kacang buncis ungu (Franch Bean Burgundy). Tanaman yang boleh hidup bersama tanpa masalah. Lobak putih juga sesuai ditanam bersama lobak merah. Lobak putih cepat tempoh menuai berbanding dengan lobak merah. Kali ini pokok lobak merah tidak diserang kulat mahupun serangga perosak. Hidup subur hingga menghasilkan lobak yang cantik. Tanomkinotuan hanya cabut menggunakan tangan. Lobak putih bolehlah dimasak sup malam nanti bersama buah timun di atas. Timun dan lobak putih sesuai dimasak sup.

Ini adalah antara tuaian yang sempat tanomkinotuan tuai sebelum kembali bertugas di tempat kerja. Suka dengan aktiviti menuai sayur-sayuran. Satu pengalaman yang cukup meransang minda.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Sabtu

Cara Mudah Menanam Sawi Putih / Bak Choi

Sawi putih atau bak choi adalah sayuran jenis berdaun. Sayur berbatang lembut dan warna putih. Daun seakan bentuk sudu dan berwarna hijau manakala variati sawi putih kerinting pula daunnya mengeriting atau berombak-ombak. Sesuai ditanam pada batas mahupun pasu yang menggunakan tanah peroi sebagai media tanaman. Ramai mengemari sayur ini kerana struktur rasa yang lembut dan ranggup. Sawi putih adalah antara sayuran berdaun yang ditanam secara meluas di negara kita sama ada ditanam secara ladang atau kecil-kecilan. Berikut cara dan panduan ringkas yang boleh diikuti oleh pembaca untuk menanam sawi putih.

BENIH SAWI PUTIH

Berikut adalah cara menanam sawi putih mengikut pengalaman tanomkinotuan. Pertama sekali perlu membeli benih sawi putih di kedai pertanian berdekatan. Anda boleh mencuba menanam benih sawi putih atau benih sawi putih kerinting. Terpulang pada anda untuk memilih benih yang mana berkenan. Namun jika anda seorang beginner dalam bidang perkebunan di halaman rumah beli saja benih sawi putih di kedai pertanian dan semai. Harga 1 pek sawi putih biasanya RM 1 atau RM 2 mengikut kedai.

PEMILIHAN LOKASI

Pemilihan lokasi harus dipilih secara bijak di kawasan atau halaman rumah. Pilih lokasi yang menerima sinaran matahari penuh sekurang-kurangnya melebihi 6 jam. Lokasi-lokasi strategik seperti koridor rumah, tepi pagar, belakang rumah yang luas atau mengikut kedudukan rumah anda mana yang sesuai. Begitu juga bagi mereka yang ingin menanam sawi putih di dalam pasu. Letak pasu-pasu anda di kawasan menerima pancaran matahari penuh sekurang-kurangnya melebihi 6 jam.

SEMAIAN BENIH

Benih sawi harus disemai terlebih dahulu. Dua kaedah yang sering digunakan untuk menyemai iaitu semai pada bekas styorofoam, kontena atau pasu terlebih dahulu atau menyemai terus pada batas. Bagi semaian di dalam pasu gunakan kompos yang boleh dibeli di kedai berhampiran. Penuhkan kompos ke dalam pasu, kontena atau styorofoam dan taburkan benih di atasnya kecuali styorofoam, isikan satu lubang semaian styorofoam dengan sebiji atau 2 biji benih sawi putih. Apabila sawi putih sudah berusia 5 hingga 7 hari cabut benih sawi putih yang tidak elok, cacat dan terbantut. Kekalkan benih sawi putih yang baik, subur dan hijau. Selepas 2 hingga 3 minggu, anak benih sawi putih sudah boleh dialihkan ke batas atau pasu tanaman yang dipilih.

PENGEMBURAN TANAH

Ini adalah bagi mereka yang ingin menanam pokok sawi putih di tanah. Seeloknya buat batas dengan mencangkul tanah hingga gembur. Buang benda seperti akar, ranting, rumput, daun kering atau rumput kering. Kadang-kadang di halaman rumah terdapat pelbagai benda tinggalan seperti paku, tile, semen rumah, batu, zink dan besi. Kesemua yang disebutkan ini haruslah dialihkan atau dibuang di tempat lain. Bagi tanah yang pertama kali diurus bagi penanaman perlu dikapurkan dengan serbuk kapur pertanian. Tabur segenggam kapur pada saiz 5 kaki persegi pada batas dan gaul sebati. Tambah kompos dan tinja binatang dengan 4 genggam bagi 2 kaki persegi. Anda juga boleh menampah kompos kelapa sawit yang boleh didapati di kilangnya secara percuma. Kandungan minyak pada kompos kelapa sawit mempercepatkan pertumbuhan dan daunnya akan melebar dan cantik. Tambahan cocopeat atau peat moss juga disarankan bagi membaiki pengudaraan tanah dan serapan air dengan lebih baik lagi. Untuk supaya tanah tidak cepat padat (compact), tabur 1 sudu gypsum 7 hingga 10 kaki persegi pada batas dan gaul sebati. Cukup dengan kuantiti yang sedikit, jangan membubuh terlalu banyak menggunakan gypsum.

Bagi memilih menanam di dalam pasu pula sediakan media tanaman yakni 2 bahagian tanah hitam/lom, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai. Anda juga boleh menambah 1 bahagian peat moss atau cocopeat ke dalam media tanaman tadi. Untuk hasil yang baik, anda boleh tukarkan pasir sungai dengan perlite (abu volcano) yang boleh dibeli di pasaran berhampiran. Gaul kesemua media tersebut hingga sekata dan masukkan ke dalam pasu-pasu yang telah anda sediakan. Selain pasu anda juga boleh menggunakan bahan tanaman sesuai seperti polibag saiz besar, kontena, bekas besen terbuang dan sebagainya. Seboleh-bolehnya guna bekas tanaman yang tidak mengeluarkan kos tinggi.

PENDEDAHAN DAN PENYINARAN CAHAYA

Dedahkan tanah batas anda selama 1 minggu kepada cahaya terik agar mikrob jahat dapat dikurangkan atau dihapuskan. Mikrob jahat boleh membunuh tanaman anda.

PENGALIHAN DAN PENANAMAN

Setelah anak pokok sawi anda sudah berusia 2 hingga 3 minggu. Ia sesuai untuk dialihkan ke batas atau pasu. Bagi semaian dalam styorofoam anda haruslah menanam anak benih sawi putih bersama tanahnya sekali. Caranya. Masukkan alat pemegang kayu aiskirm ke dalam tanah dan cungkil perlahan-lahan. Jangan mencederakan akar benih sawi putih.

Terlebih dahulu, buat lubang sedalam 2 inci setengah hingga 3 inci dengan jarak antara lubang pula ialah 6 inci. Bagi semaian secara rawak, cabut anak benih sawi putih secara berhati-hati agar tidak merosakkan akarnya. Tanam ke dalam lubang yang disediakan dengan memasukkan setengah batangnya ke dalam tanah atau sehingga pada had daunnya yang pertama. Jangan benamkan daun walaupun daun yang pertama. Seeloknya daun harus terbuka dan tidak tertimbus. Ini supaya daun boleh terkena pancaran / haba matahari untuk proses fotosentesis bagi mempercepatkan lagi pertumbuhannya di tanah baharu. Tanam anak benih kesemuanya hingga selesai. Siram dengan air. Tutup dengan net atau jaring hitam untuk mengelak anak benih pojok sawi putih layu dan mati oleh sinaran cahaya terik.

Bagi pasu pula, sangat mudah di mana buat lubang di tengahnya dan tanam anak benih pokok sawi putih dengan membenamkan batangnya ke dalam tanah atau separuh batangnya. Bagi benih yang ditanam dalam styorofoam pula tanam bersama tanahnya sekali dengan lubang yang dibuat haruslah besar. Kambus dengan tanah dan siram dengan air yang mencukupi. Simpan pasu-pasu anda di tempat teduh dan selamat dalam tempoh seminggu. Barulah diletakkan ditempat atau lokasi yang dipilih iaitu kawasan mendapat cahaya matahari yang banyak.

PENYIRAMAN DAN PENJAGAAN

Pada usia 2 minggu selepas dialihkan, ia sangat memerlukan air yang banyak. Siram pokok sawi putih anda 2 kali sehari dan tidak perlu ketika hujan.

Lakukan aktiviti merumput pada batas untuk mengelak saingan untuk mendapatkan makanan. Untuk memudahkan kerja anda. Letak mulsa atau sungkupan pada batas agar kelembapan dapat dikekalkan dan rumput rumpai dapat dikawal. Mulsa seperti daun kering, rumput kering, jerami, lalang kering, cocopeat, tinja binatang, habuk kayu, reputan kayu, kompos, dan kertas yang dibasahkan adalah boleh digunakan ke atas batas anda.

JANGKITAN DAN KAWALAN

Pokok sawi putih mudah diserang penyakit dan makhluk perosak. Antara penyakit yang dilakukan oleh fungi, virus dan bakteria ialah reput akar, tompokan putih pada daun, penyakit batang dan layu serta penyakit busuk pada pucuk pokok. Jika terdapat serangan seperti ini jangan segan silu untuk mencabut dan musnahkan.

Serangan lintah bulan, siput dan belalang pada daun dan batang biasa berlaku kepada pokok sawi putih. Lintah bulan boleh memanjat dan memakan daun hingga ronggak. Begitu juga dengan siput dan belalang. Pungut lintah bulan dan siput serta musnahkan. Anda boleh membeli racun organik yang boleh menjauhkan sawi anda dari serangan belalang. Anda juga boleh mengatasi serangan makhluk perosak dengan menanam pokok allium / bebawang, basil, marigold francis dan selasih pada batas sayur anda. Kimia yang dikeluarkan oleh pokok-pokok di atas boleh mengelirukan serangga yang ingin menyerang tanaman.

TUAIAN HASIL

Setelah 4 minggu lebih sayuran anda sudah boleh dituai. Anda boleh mencabutnya atau hanya memetik daun dari bawah. Kaedah memetik daun boleh membekalkan dapur anda sehinggalah pokok sawi anda mengeluarkan kudup bunga. Jika mencabutnya dengan jumlah yang banyak, hanya bersihkan tanah dan buang daun buruk serta masukkan terus ke dalam plastik berjip atau plastik yang kering. Simpan ke dalam peti sejuk. Jangan sesekali mencucinya dengan air jika anda ingin menyimpannya lebih lama di dalam peti sejuk. Lebihan air pada pokok sawi putih anda boleh merosakkan sayur anda dalam beberapa hari. Lakukan penuaian tersebut pada sebelah petang di mana pokok sawi anda kering dari air embun, hujan atau air siraman. Jika ingin menggunakan sayur sawi putih pula, keluarkan sawi putih yang ingin dimasak dan cuci sebersih-bersihnya barulah dihiris dan dimasak.

Dan kini anda boleh menikmati sawi putih tanam sendiri dengan garapan resepi yang anda inginkan. Nikmati sawi tanam sendiri yang ranggup, sedikit manis dan betul-betul rasa sayur.

Selamat bertani dan menuai hasil.

CARA DAN PANDUAN MENANAM SAWI KERINTING

Tags
Sawi kerinting 
Sawi kerinting merupakan salah satu sayur berdaun yang banyak dikeluarkan oleh para petani secara ladang bagi memenuhi permintaan di pasaran yang tinggi. Sawi kerinting atau curly mustard ini mempunyai batang lembut berwarna putih manakala daun hijau cerah hampir kekuningan yang mengeriting. Ia juga dikenali sebagai kai choy oleh komuniti Cina di Malaysia. Sawi kerinting mudah tumbuh dan cepat membesar, 4 minggu sudah boleh dituai. Berikut adalah cara menanam sawi kerinting pada batas atau pasu/kontena.

Benih: Pertama yang harus dilakukan terutama kepada pekebun sampingan yang baru berjinak-jinak dengan perkebunanan di halaman rumah ialah mendapatkan benih sawi kerinting di kedai pertanian berhampiran. Anda juga boleh membeli sawi kerinting secara online di laman sesawang yang dipercayai. Terdapat 2 jenis sawi kerinting yakni sawi kerinting jenis kecil dan jenis besar. Kadang-kadang sawi kerinting jenis besar mampu melakukan pembulatan separa (half heading). Terpulang pada anda untuk memilih benih yang hendak ditanam.

Lokasi: jika tanam di tanah pilih lokasi yang menerima cahaya matahari melebihi 6 jam kerana sawi kerinting menyukai sinaran matahari penuh. Jika tidak pertumbuhan lambat dan saiz tidak sebesar pokok sawi kerinting yang menerima sinaran penuh. Jika menanam dalam pasu pula, pilih kawasan yang lapang dan menerima pancaran matahari melebihi 6 jam untuk meletakkan pasu-pasu anda. Contohnya balkoni, tepi pagar rumah atau kawasan belakang rumah yang lapang. Sinaran matahari penting untuk pertumbuhan sawi kerinting dengan baik.

Percambahan: benih yang dipilih harus disemai terlebih dahulu dalam bekas semaian. Guna bekas semaian seperti pasu, atau kontena yang sesuai. Jika ada mampu boleh membeli styorofoam benih semaian yang lebih praktikal. Anda boleh menggunakan bekas semaian yang tidak memerlukan kos seperti tupperware plastik terbuang, cup aiskrim, kotak minuman dan sebagainya.

Media semaian untuk benih dengan kompos sangat sesuai. Guna kompos yang disteril/dibakar dengan memasukkannya ke dalam bekas semaian. Juga boleh menggunakan tanah campuran. Tabur benih di atasnya dan siram dengan air yang cukup. Jaga benih dan pasu tersebut dari serangan semut yang suka membuat rumah dalam tanah pasu. Jika berlaku sedemikian, tabur sebuk kunyit pada tanah yang dijadikan sarangnya. Semut akan meninggalkan tempat tersebut.

Batas/pasu: mereka yang memilih untuk menanam sawi kerinting di tanah seeloknya buat batas mengikut saiz kehendak sendiri atau mengikut keluasan rumah anda. Tidak pun anda boleh gemburkan saja kawasan tanah yang anda gunakan jika ia tidak ditakungi air. Gembur batas tersebut hingga menjadi ketulan-ketulan kecil. Buang bendasing di dalamnya seperti kaca, serpihan tile, besi, batu, rumput kering atau akar. Bubuh kompos atau tinja binatang dan gaul merata. Tabur serbuk kapur jika berkaitan.

Pada pasu pula, perlu menggunakan tanah peroi dan gambur. Untuk mendapatkan tanah sebegitu campurkan 2 bahagian tanah hitam, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai. Gaul hingga sebati dan masukkan ke dalam pasu atau kontena sesuai. Anda boleh gantikan pasir sungai dengan perlite (abu volkano) jika ada, anda boleh beli perlite ini di kedai pertanian yang ada menjualnya. Juga boleh menambah 1 bahagian cocopeat atau peat moss ke dalam campuran tadi. Cocopeat atau peat moss berfungsi sebagai mengekalkan kelembapan pada media.

Penanaman: benih sawi kerinting yang disemai dalam pasu semaian atau styorofoam bolehlah alihkan ke batas atau pasu/kontena selepas anak pokok sawi kerinting berusia 2 hingga 3 minggu. Buat lubang sedalam 2 inci hingga 3 inci mengikut saiz anak benih pokok sawi kerinting anda. Jarak antara lubang /pokok adalah kira-kira 4 hingga 6 inci atau terpulang pada cara anda untuk menjarakkan pokok benih yang penting jangan tanam anak pokok terlalu rapat.

Bagi anak benih yang ditabur secara rawak dalam bekas semaian, hendaklah dicabut secara perlahan-lahan. Takut merosakkan akar anak pokok sawi kerinting. Guna kayu aiskrim untuk mengorek tanah atau alat yang difikirkan sesuai. Bagi anak pokok sawi kerinting yang ditanam di styorofoam semaian pula tanam anak pokok sawi kerinting bersama tanah semaian. Caranya apabila pokok sudah berusia 3 minggu atau sekurang-kurangnya pokok mempunyai 4 helai daun. Korek tanah dengan batang aiskrim sedalam mungkin dan cungkil keluar tanah dan tanam di batas atau pasu yang dikehendaki. Berhati-hati apabila melakukannya agar akar anak pokok tidak mengalami kecederaan teruk.

Selepas kerja penanaman anak pokok sawi kerinting selesai. Siram menggunakan air secukupnya. Cara betul untuk menyiram ialah jangan halakan air yang banyak terus kepada pokok kerana pokok sawi kerinting boleh rebah atau senget. Ini kerana bebanan air pada daun dan batang tetapi siram seakan-akan hujan yang turun dan siram tanah secara menyeluruh hingga basah. Siraman pada pasu pula adalah mudah. Siram secara menggunakan curahan air yang sederhana keseluruhan tanah pasu.

Buat teduhan pada batas menggunakan jaring hitam, pelapah daun kelapa, jerami dan bahan yang difikirkan sesuai selama seminggu supaya anak benih pokok tidak mati oleh sinaran matahari terik. Bagi padu pula, letak pasu atau kontena tersebut ditempat teduh terlebih dahulu selama seminggu sebelum dialihkan di kawasan menerima cahaya matahari bagi pertumbuhan yang cepat.

Pertumbuhan anak pokok sawi kerinting mula galak setelah seminggu dan untuk zat makanan bubuh baja organik pada batas apabila pokok sawi kerinting sudah berusia 2 minggu diselang selikan dengan kompos dan NPK organik dua minggu sekali. Untuk hasil yang memuaskan siram pokok sawi kerinting dengan cecair kompos teh atau baja cecair ikan selang 2 minggu. Kompos teh berfungsi bukan sahaja membekalkan nutrisi yang cukup tetapi juga menghindari pokok sawi kerinting dari serangan makhluk perosak.

Penjagaan dan Penyiraman: penjagaan di sini termasuklah membuang rumput rumpai pada batas dan pasu tanaman. Untuk mengurangkan rumput pada batas adalah letak mulsa atau sungkupan pada batas/pasu tanaman. Anda boleh menggunakan bahan seperti kayu reput, jerami, rumput kering, daun kering, tinja binatang, cocopeat, peat moss dan habuk kayu sebagai sungkupan. Sungkupan bukan sahaja berperanan untuk kelembapan tanah tetapi juga menyekat pertumbuhan rumput rumpai pada batas dan pasu. Siram pokok 2 kali sehari dan tidak perlu ketika hujan.

Penyakit: pokok sawi kerinting sangat disukai oleh serangga. Di awal penanaman anak benih, pokok sawi akan berhadapan musuhnya seperti lintah bulan, siput dan belalang hijau. Kutip lintah bulan dan siput serta musnahkan. Anda boleh menaburkan racun organik penghalau siput dan lintah bulan disekeliling pokok. Serangan belalang berlanjutan hingga pokok membesar. Berwaspada pada ulat seribu yang menyerang, ia mampu menghabiskan sepokok sawi kerinting dengan 1 malam. Selalu membelek-belekkan daun belakang pada sawi kerinting anda jika terdapat telur ulat seribu berwarna kuning pucat yang diselaputi benang halus, kopek dan musnahkan. Cara mengetahui serangan ulat seribu ialah terdapat benang-benang halus di sekitar daun dan pokok sawi kerinting serta daun banyak rosak akibat dimakan dan banyak ketulan-ketulan kecil bertaburan pada daun dan pokok. Tanda tersebut adalah ulat seribu telah bermaharajalela merosakkan pokok sawi kerinting anda. Cari ulat-ulat ini hingga habis dan musnahkan. Anda juga boleh menggunakan racun organik pembunuh ulat untuk mengawalnya.

Menuai hasil: pokok sawi kerinting boleh dituai apabila sudah berusia 4 minggu atau lebih. Cabut pokok atau hanya tuai daun matangnya sahaja. Jika anda menuai sekali gus, tuai pada waktu petang. Masukkan sayur sawi kerinting anda dalam plastik berjip yang bersih dan kering, simpan ke dalam peti sejuk. Sawi kerinting anda boleh bertahan hingga 2 hingga 3 minggu. Teknik supaya sawi anda tidak rosak. Jangan cuci sawi anda selepas dicabut. Memadai dengan membersihkan tanah dan buang daun-daun mati. Akhir sekali nikmati sawi kerinting tanam sendiri anda itu dengan resepi kegemaran keluarga anda.

Selamat bertani dan menuai hasil.