Ahad

SAYUR KAILAN JEPUN OP

Tags
Kailan atau nama saintifiknya Brassica alboglabra linn dan sering dipanggil sebagai chinese kale atau chinese brokoli ini mempunyai daun berkilapan (glossy), berdaun hijau mersik atau rapuh (crisp) dengan berbatang lurus. Sayur ini boleh beradaptasi pada cuaca sejuk dan cuaca panas dan ditanam sepanjang tahun di negara kita. Selepas kita memetik batangnya tunas muncul dengan banyak pada pangkal daunnya dan boleh dituai semula setelah matang. Antara jenis sayur kailan yang wujud di dunia ialah;

  • Kailan Blue Star
  • Kailan crispy blue
  • Kailan south sea
  • Kailan china legend
  • Kailan big boy
  • Kailan green delight
  • Kailan thick stem winner
  • Kailan hybrid blue wonder
  • Kailan hybrid southern blue
  • Kailan flower kale


Tanomkinotuan menanam satu lagi variati kailan yang agak berbeza dengan jenis kailan lazim di pasaran tempatan. Daun agak putih berombak dan berbatang hijau putih dan berakar tunjang mudah. Struktur rasa sama dengan kailan biasa. Kailan tersebut ialah kailan jepun op yang dibeli secara online dari En. Iskandar. Ia boleh beradaptasi dengan cuaca panas di negara kita dan boleh tumbuh dengan subur. Tanomkinotuan hanya semai pada batas yang memang tersedia di Kebun Belakang Rumah. Selepas 4 hari benih kailan jepun op mula bercambah dengan baik.

Selepas dua minggu, tanomkinotuan mengalihkan anak benih pada batas yang telah disediakan. Batas telah digembur dan ditambah kompos buatan sendiri. Jarak antara pokok ialah kira-kira 10 hingga 15 inci. Selepas dua minggu dipindahkan ke dalam batas, bubuh baja NPK organik di sekeliling pokok selang dua minggu sekali. Untuk mengelak dari persaingan, cabut rumput pada batas dan siram dua kali sehari ketika kemarau dan tidak perlu ketika hujan.

Selepas dua bulan setengah, anda boleh tuai pokok kailan dengan memotongnya dengan pisau. Biarkan perdunya ia akan bertunas dan boleh dituai kembali apabila sudah matang. Sayur kailan enak dimakan denfan resepi masak sos tiram dicampur dengan ikan masin atau ikan bilis kering, memang sedap. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

CARA MENGGUNAKAN PENYUKAT PH TANAH PADA KEBUN ANDA

Tags
Penyukat ph tanah digital
Terdapat pelbagai jenis penyukat PH tanah atau soil PH meter test yang ada di pasaran antaranya quick-read meter, soil ph meter digital, kit kertas litmus dan sebagainya. Anda boleh mendapatkan pengukat PH tanah di kedai pertanian berhampiran atau kedai online yang berwibawa. Penyukat ph tanah ialah satu alat yang digunakan untuk menyukat keadaan tanah sama ada ia berasid, beralkali atau neutral. Penyukat ph tanah penting untuk mengetahui situasi tanah dan seterusnya mengetahui cara membaikpulih tanah secara terancang. 

Berikut adalah langkah menggunakan penyukat ph tanah di kebun anda, saya menggunakan alat penyukat ph tanah seperti dalam gambar. Mungkin setiap alat penyukat ph tanah berbeza mengikut jenis;

1. Beli satu penyukat ph tanah di kedai pertanian atau beli secara online. Terdapat pelbagai jenis penyukat ph tanah di pasaran. Beli ikut kesukaan anda. 

2. Periksa penyukat ph tanah anda sama ada masih berfungsi atau tidak.

3. Pastikan alat penyukat tanah berada dalam keadaan off. 

4. Cucuk besinya pada tanah yang lembut kira-kira setengah dari panjang besi penyukat ph tanah. On kan alat penyukat ph tanah dan biarkan alat penyukat ph tanah membuat kiraan.

5. Sekiranya penyukat tanah memaparkan bacaan 4 ke bawah bermaksud tanah tersebut berasid, jika bacaan 8 ke atas bermaksud ia beralkali dan bacaan sesuai untuk tanaman ialah 5.0 hingga 7.5, ia adalah neutral. 


Batas ini berPH neutral: 6.0 ph
Namun begitu, setiap jenis tanaman mempunyai nilai ph tanah yang sesuai untuk sayuran anda tumbuh dengan baik. Jika didapati tanah anda kurang dari 5.0 maka anda perlu membaikpulihnya dengan menaburkan serbuk kapur atau kompos pada tanah sebelum mula menanam. Jika kiraan ph tanah anda melebihi 7.5 maka ranah anda terlalu beralkali dan cara untuk mengurangkan alkali tersebut ialah dengan menaburkan sedikit sulfur pada tanah agar kealkalian tanah anda dpt dikurangkan. Menambah kompos juga satu pilihan baik untuk meneutralkan kembali tanah anda.

Dengan pengetahuan mengenai ph tanah anda, anda boleh merancang dan mengetahui masalah dan seterusnya mengatasinya. Dengan itu, anda dapat menghasilkan tanah anda yang berkualiti, neutral dan tanaman anda sihat dengan cukup nutrisi. Oleh itu, sila periksa nilai ph tanah anda sekarang bagi mengetahui posisi tanah anda. 

Selamat mencuba.

Sabtu

CARA DAN PANDUAN MENANAM BAWANG SUP

Tags
Tidak sah semangkuk soto yang dinikmati di restoran atau di rumah sekiranya tidak diletakkan dengan hirisan bawang sup atau daun bawang. Ia berfungsi untuk menaikkan aroma soto bagi membangkitkan selera anda. Bawang sup /daun bawang mempunyai pelbagai variati di mana ada jenis besar dan saiz kecil. Selalunya saiz kecil sesuai dibubuh di dalam soto. Tetapi tahukah anda cara menanam bawang sup atau daun bawang ini? 

Bawang sup atau daun bawang sesuai ditanam dalam batas dan dalam pasu. Bawang sup sesuai ditanam pada jenis tanah loam yang lembab. Sekiranya menggunakan bekas tanaman seperti pasu, gunakan pasu bersaiz besar kira-kira 18 inci ke atas. Ini membolehkan akarnya bebas bergerak di dalam pasu. Bagi mereka yang ingin menanam terus pada tanah media harus digembur terlebih dahulu. Gembur mengunakan cangkul atau alat pengembur yang sesuai. Buang segala bendasing di dalam batas seperti akar, ranting, daun kering dam batu. Bagi tanah liat anda harus mencampurkannya dengan kompos dan tanah hitam (jika ada), gaul hingga sebati. 

Bawang sup boleh dibeli dari pasar atau pasaraya berhampiran dengan kediaman anda. Potong daunnya dan ambil batang berakarnya untuk ditanam. Buat lubang sedalam dua hingga tiga inci dengan jarak kira-kira 8 hingga 10 inci antara lubang. Sebelum memulakan aktiviti menanam bubuh kompos kelapa sawit pada lubang. Tanam batang bawang sup ke dalam lubang yang dibuat dan timbus dengan tanah, padat-padatkan sedikit. Siram dengan air secukupnya. 

Dalam tempoh seminggu, bawang sup akan mula kering pada daunnya, usah bimbang selepas itu daun muda akan muncul dan bawang sup anda tumbuh dengan baik. Dua minggu kemudian, bubuh baja NPK organik disekeliling pokok. Beli baja NPK organik di kedai yang diproses, antara baja organik yang boleh digunakan ialah seperti dari proses tinja haiwan atau alfalfa. Letak baja selang dua minggu sekali. 

Bawang sup tahan pada cuaca panas tetapi alah pada hujan secara berterusan. Bawang sup juga akan layu dan mati jika batas yang digunakan ditakungi air. Tetapi pada permulaan semaian batang bawang sup ia memerlukan air yang banyak. Jika kawasan penanaman anda rendah dan sering ditakungi air bila hujan buat batas setinggi yang boleh namun hal ini tidak berlaku sekiranya anda menanam di dalam pasu di mana ia boleh dialihkan mengikut kehendak anda.  Buang rumput pada batas atau dalam pasu anda. Lazimnya bawang sup suka pada tanah yang gembur oleh itu, gemburkan tanah pada batas atau pasu anda. Hati-hati mengembur tanah jangan mencederakan akarnya.

Selepas satu hingga dua bulan anda sudah boleh menuai daun bawang. Paling bagus hanya potong daunnya sahaja. Daun muda akan muncul semula dan anda boleh menuai daunnya semula bila ingin menggunakannya. Bawang sup mudah ditanam dan tidak perlu penjagaan rapi, cukup baja dan air hiduplah ia.  Oleh itu, menanam bawang sup di halaman rumah boleh menjimatkan ekonomi keluarga anda.

Jadi apa tunggu lagi, jom menanam bawang untuk resepi soto anda. Selamat bertani dan menuai hasil.

CARA MEMBUAT FISH EMULSION DI RUMAH

Tags
Tanomkinotuan pernah menghasilkan kompos sendiri di rumah dengan mengumpulkan segala sisa dapur, daun kering, rumput kering serta rumput hijau yang dicabut dari Kebun Belakang Rumah. Selepas tiga bulan kompos buatan sendiri sudah boleh digunakan. Dengan kompos buatan sendiri, tanomkinotuan membuat kompos teh dengan mencampurkannya dengan gula perang. Kini satu lagi baja cecair organik yang boleh dibuat di rumah iaitu baja fish emulsion. Bahan-bahannya ialah:

1. 2 kilo perut ikan (apa-apa jenis ikan)

2. 500 gram kayu reput / sawdust

3. 100 gram rumput hijau

4. 2 cawan molasses atau gula perang

5. Baldi besar

6. Spatula 

7. Plastik/penutup yang sesuai

8. Tiga gelen air tanpa klorin

Cara-cara membuat baja cecair fish emulsion;

1. Masukkan perut ikan, kayu reput, rumput hijau ke dalam baldi.

2. Tambahkan air dan molasses atau gula petang. Kacau hingga kesemua bahan tersebut sebati.

3. Tutup dengan penutup atau mengunakan plastik dengan ketat. Jangan biarkan lalat bertelur pada cecair anda.

4. Simpan baldi tersebut ditempat yang selamat. Selama proses pemeraman berlaku jangan buka penutup tersebut sebelum genap seminggu.

5. Selepas genap 7 hari, buka penutup dan tapis airnya menggunakan penapis. Masukkan ke dalam botol mineral yang sesuai dan simpan di dalam suhu bilik. Jangan terkejut tentang baunya.

Cara penggunaan baja organik cecair buatan sendiri;

Isi penutup botol mineral tadi hingga penuh dan tambah ke dalam baldi berisi air sebanyak 3 gelen. Kacau hingga sebati dan sembur atau siram pada tanaman anda. Baja organik cecair juga boleh disiram pada batas yang hendak ditanam dengan sayuran. Siram tanaman anda dua minggu sekali dengan diselang selikan dengan kompos, NPK organik dan bone meal. Hasilnya sayuran anda nampak cantik, subur dan tanpa gangguan makhluk perosak.

Jangan bimbang pada minyak dalam air itu, ia sangat baik untuk tanah anda. Sebelum menggunakan baja cecair fish emulsion buatan sendiri, buat ujian terlebih dahulu dengan menyembur satu atau dua pokok pada tanaman anda, jika terdapat keradangan, layu pada tanaman kurangkan dos baja cecair tersebut.

Selamat mencuba...

Jumaat

UBI MANIS

Tags
Siapa yang tidak mengenali ubi manis atau dalam bahasa English disebut sweet potato atau nama saintifiknya ialah Ipomoea batatas. Ubi manis adalah pokok menjalar dan isinya manis berbanding dengan ubi kayu. Tumbuhan ini merupakan makanan ruji bagi penduduk di Asia Tenggara khususnya di kepulauan Borneo sebelum kedatangan pokok padi di kawasan itu. Ia adalah sumber karbohidrat sama seperti nasi, gandum, ubi kayu, kentang dan jagung. Namun kini ubi manis tidak lagi menjadi makanan ruji tetapi sebagai makanan tambahan dengan dijadikan makanan ringan seperti kerepek, kuih atau dicampurkan dalam pengat bubur kacang hijau.

Tanomkinotuan sangat menyukai memakan ubi manis sebagai karbohidrat tambahan. Oleh yang demikian, tanomkinotuan menanamnya di halaman rumah. Ada beberapa jenis ubi manis yang ditanam iaitu ubi manis jepun berwarna ungu dan ubi manis tempatan berwarna putih dan kuning. Ia boleh tumbuh bersama dalam satu batas.

Ubi manis tidak diganggu sangat oleh makhluk perosak. Cumanya kadang-kadang ubinya akan dikorek oleh ulat pengorek menyebabkan isinya cacat dan memburuk. Kambing juga menyukai memakan pucuk ubi manis sehinggakan ubi manis tanomkinotuan ranap tanpa berdaun dikerjakan oleh kambing yang tidak diketahui pemiliknya. Ini telah menyebabkan tanomkinotuan bekerja keras membaiki pagar yang telah dirosakkan oleh si kambing tadi.

Ubi manis sangat sesuai ditanam di negara kita, ia menyukai cuaca panas untuk pembentukan isi yang cantik dan besar. Setiap pokok ubi manis akan menghasilkan 1 hingga 5 isi mengikut kesuburan tanah dan kelembapan. Isi ubi manis membulat sekiranya tanah berkeadaan gembur manakala tanah yang keras pula menyebabkan isi ubi manis memanjang tetapi bagi tanomkinotuan bulat atau panjang tidak kesah yang penting isinya sihat dan tiada serangan makhluk perosak.

Selepas 3 bulan ditanam, ubi manis sudah boleh dituai bagi ubi manis jenis hibrid manakala ubi manis kampung (pokok asli) ia mengamil agak lama kira-kira 6 bulan hingga satu tahun untuk dituai. Anda boleh mencabut pokok ubi manis untuk mendapatkan isinya. Dan jangan lupa untuk menanam kembali pucuk atau batang ubi manis agar musim akan datang anda boleh tuai sekali lagi. Jadi apa kata anda mencuba menanam ubi manis sama ada terus pada tanah atau dalam pasu.

Bagi mereka yang sukar mendapatkan pucuk atau batang ubi manis untuk ditanam. Usah bimbang, beli ubi manis yang dikehendaki di pasar atau pasaraya. Simpan sebiji sebagai benih. Caranya simpan isi ubi manis tersebut ditempat yang gelap dan lembab. Selepas dua minggu isi tersebut akan mengeluarkan tunasnya. Anda boleh menanam sekali dengan isinya ke dalam tanah atau potong kira-kira 1 inci dari tunas tersebut dan bolehlah tunas tersebut ditanam ke tanah atau pasu.

Selamat bertani dan menuai hasil.

BAYAM KUDA

Tags
Anda peminat sayur bayam?  Ini tindakan bijak di mana tanomkinotuan perkenalkan satu lagi jenis bayam liar yang sering tumbuh di kebun atau kawasan semak rumah anda. Bayam ini dikenali sebagai bayam kuda oleh penduduk tempatan dan kadang-kadang juga disebut bayam liar. Bayam ini berdaun hampir bulat, berbatang lembut dan boleh mencecah kira-kira 2 kaki tinggi. Bayam ini tidak perlu ditanam kerana selalunya ia tumbuh sendiri. Sayur bayam kuda enak dimakan sama seperti jenis bayam di pasaran yang lain. 

Tanomkinotuan membiarkan benih anak pokok bayam kuda di Kebun Belakang Rumah, bayam ini mudah tumbuh pada jenis tanah loam dan tanah clay yang cukup nutrisi. Ia cepat membesar jika tanah itu lembab tetapi tidak menakung air. Tanomkinotuan tidak tahu bagaimana bayam kuda ini berada di Kebun Belakang Rumah. Mungkin saja oleh faktor penyebaran atau pemindahan tanah sebab selalu tanomkinotuan mengangkut tanah kebun untuk ditambah pada batas di Kebun Belakang Rumah. Ini satu kemungkinan dan banyak kemungkinan boleh berlaku yang benih bayam kuda ini boleh berada di kebun tanomkinotuan.

Selepas sebulan, bayam kuda sudah boleh dituai. Tanomkinotuan memetiknya dan bukan dicabut. Ini kerana tunas baru akan muncul dan membesar sebagai pucuk baru bagi bekalan sayur bayam kuda akan datang. Selain sayuran yang ditanam, tanomkinotuan masih boleh memperolehi jenis sayuran yang tumbuh sendiri di kebun seperti bayam kuda, tomatilo dan sayur tutan (meranti). Sayur-sayur ini memang enak sebagai tambahan nutrisi untuk keluarga tanonkinotuan. Dan paling penting ia bebas dari racun serangga dan baja kimia.

Tanomkinotuan akan cuba membenihkannya dengan membiarkan ia berbunga dan menghasilkan benih yang boleh disemai pada masa akan datang sesudah matang. Kiranya bayam kuda tidak perlu dijaga dan kurang serangan penyakit berbanding dengan jenis bayam yang biasa. Jadi apa tunggu lagi, jom tanam jenis bayam ini di halaman rumah sebagai sayuran yang berkhasiat untuk keluarga anda.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Rabu

PETOLA SEGI

Tags
Musim hujan tanomkinotuan kurangkan aktiviti mencabut rumput di Kebun Belakang Rumah. Ini kerana tanahnya jenis tanah liat, sangat meleket ketika musim ini. Tanomkinotuan biarkan dahulu rumput yang sudah memenuhi kebun. Beberapa jenis sayur nampak galak pertumbuhannya. Rahmat hujan mengembirakan sayuran yang ditanam di Kebun Belakang Rumah seperti timun, bawang losun (ditanam di atas batas), timun armenia, brokoli ungu, cili padi, cili topurak, tomato dan halia. Tetapi musim hujan satu bencana paling teruk kepada sayuran berdaun seperti ong king, sawi putih, sawi bunga, sawi bak choi dan mustard. Habis daun-daun muda dirata oleh ulat seribu. Musim hujan adalah musim ulat seribu membiak di kebun belakang rumah dengan banyak.

Kita tinggalkan cerita di atas. Tanomkinotuan ingin berkongsi kepada pembaca mengenai pokok petola segi. Pokok petola segi sama kelompok dengan pokok petola ular dan petola bantal. Buahnya berbentuk buah belimbing, kulit keras dan isinya lembut ketika muda dan berserat ketika sudah tua. Biji berwarna hitam dan jenis pokok memanjat. Pokok mengeluarkan bau sedikit kuat.

Petola segi mudah tumbuh apabila ditanam. Tidak banyak ragam ditanam pada apa-apa jenis tanah, yang penting tanah tersebut digaul bersama kompos dan lime sekiranya tanah itu terlalu berasid. Sayur buah ini cepat membesar. Oleh kerana ia jenis memanjat sediakan kayu penyokong atau kayu junjung untuk memudahkan pokok petola segi memanjat dengan baik. 

Secara ringkasnya, cara menanam petola segi ialah gembur terlebih dahulu tanah atau batas yang digunakan. Buang segala bendasing yang tidak diperlukan seperti akar, daun kering, batu, ranting dan rumput. Campurkan batas itu dengan kompos dan gaul sebati. Buat lubang sedalam 2 inci dengan jarak 3 kaki antara lubang. Tanam 2 hingga 3 biji setiap lubang dan timbus lubang tersebut. Siram batas dengan air secukupnya. Benih petola segi akan bercambah setelah 4 hingga 7 hari. Pada masa ini, batas harus lembab tetapi tidak menakung air. Letak mulsa pada batas agar batas tidak kering. Antara mulsayang boleh digunakan ialah rumput kering, kayu reput, daun kering dan cocopeat. Tabur secara merata keseluruhan batas setebal 2 inci. 

Selepas dua minggu hingga tiga minggu anak benih petola segi mula memanjat. Sediakan kayu junjung yang dipacak pada setiap pokok petola segi. Anda juga boleh menggunakan tali rapia sebagai pengganti kayu sekiranya tidak ada. Jika pucuk petola segi tidak memanjat pada kayu atau tali rapia yang disediakan bantu pucuk petola segi itu memanjat dengan mengikatnya pada kayu. Bubuh baja disekeliling pokok petola segi selang dua minggu. Untuk mendapatkan buah yang sihat dan besar, bubuh baja bone meal sekali dalam dua minggu. 

Buah petola segi sudah boleh dituai setelah berusia 2 bulan lebih. Sebelum buah petola segi mengeras petik buahnya dengan memicit untuk menentukan ia mudah atau tua. Buah petola segi sesuai dimasak sup ayam, atau masak tumis. Rasa dan struktur lembut pada buahnya memberikan sayur ini enak dimakan. Adakah anda berminat menanam pokok petola segi di kebun atau halaman rumah anda?

Selamat bertani dan menuai hasil.

ANAK BENIH DISEMAI DI ATAS TANAH

Tags
Tanomkinotuan lebih suka menyemai benih terus pada batas berbanding di dalam pasu. Ini kerana anak pokok benih yang disemai lebih cepat membesar dan sihat tetapi kelemahan menyemai benih terus pada batas ialah jika hujan lebat dan hujan berterusan anak pokok akan rosak dan mati. Antara benih yang pernah disemai terus pada batas adalah seperti berikut;


Sayur sawi pahit (mustard) adalah jenis sayur pertama yang di semai terus pada tanah di Kebun Belakang Rumah. Disemai tahun lalu.


Anak benih pokok brokoli, percubaan menyemai benih brokoli terus pada batas. Brokoli mempunyai daya tahan yang kuat dari sinaran matahari tetapi tidak tahan dengan hujan lebat.


Anak benih sayur ong king @ kerinting musim pertama. Antara sayur yang terawal di tanam di Kebun Belakang Rumah.


Anak benih pokok salad cimmaron. Antara salad yang versatile di Kebun Belakang Rumah. Anak benih salad cimmaron musim pertama.


Anak benih pokok sawi putih kerinting. Pada usia begini kita tidak dapat membezakan benih sawi putih yang biasa dengan sawi putih kerinting. 


Anak benih pokok sayur mibuna. Pertama kali tanomkinotuan menyemai benih mibuna hijau terus pada tanah. Hidup subur dan sihat.


Anak benih pokok bak choi ungu, tumbuh sihat di atas batas. Sayur ini sesuai ditanam di kawasan bersuhu sejuk namun ia masih boleh tumbuh dengan baik walaupun tidak sebaik di tempat asalnya.


Anak benih pokok cili merah (ceyana pepper). Kini pokok cili merah sedang lebat berbuah.


Anak benih pokok sayur ong king dan sawi bak choi hijau. Pertumbuhan yang baik tanpa serangan pada daunnya.


Anak benih pokok cili bomb ceri. Cili ini adalah jenis hibrid dan selalunya benih pada pokok hibrid tidak menghasilkan buah yang baik seperti induknya. Kita tunggu dan lihat.


Anak benih pokok kailan ditanam terus pada batas.


Anak benih pokok sawi bak choi musim baru. Pertumbuhan nampak galak


Kesemua benih yang ditanam terus pada batas adalah digembur terlebih dahulu dan ditambah kompos atau tinja binatang. Selalu siram. Apabila anak benih mencecah satu minggu, kembus sedikit tanah dipangkal pokoknya agar merancang pengeluaran akar hingga anak pokok menjadi kuat.

Ahad

BUNGA-BUNGAAN DI KEBUN BELAKANG RUMAH

Tags
Hari ini tanomkinotuan jadi mat bunga sekejap. Sebenarnya belum ada entry hendak dibuat untuk sayur-sayuran pada hari ini. Maka tanomkinotuan tukar angin mengepos mengenai bunga. Antara jenis bunga di kebun belakang rumah yang mekar.


Bunga marigold menjadi bahan tanaman di kebun belakang rumah. Berfungsi sebagai penghalau serangga perosak yang memakan daun sayuran.


Ni pun spesis marigold juga.


Ni pula jenis bunga kekwa.


Ni orang kampung sebut bunga tingkat atau panggilan umum bunga zinnia.


Ni juga adalah bunga zinnia. Berwarna kuning cair.


Bunga rose jepun kot? Warna merah jambu.


Lagi bunga rose jepun, berwarna kuning.



Bunga daisi berwarna kuning.


Bunga daisi kuning cair


Bunga kekwa lagi.


Bunga daisi berwarna merah muda.


Bunga carnation juga mula mekar pada pagi ini.


Ni bunganya macam ulat bulu, jadinya tanomkinotuan beri nama bunga ulat bulu kayangan. Hehe


Bunga rose


Ni pula tumbuhan yang banyak tumbuh di kawasan semak. Ditanam di dalam pasu. Membuat taman berkonsepkan taman tropika tidak sah sekiranya tumbuhan ini tidak ditanam bersama.

Inilah bunga-bunga yang bersepah di kebun belakang rumah. Sebenarnya ni adik tanomkinotuan yang menguruskannya. Bersepah di tepi batas sehinggakan melangkah ke tempat lain pun agak sukar.

KOBIS UNGU

Tags
Tanomkinotuan tidak berniat langsung untuk menanam kobis apatah lagi kobis ungu. Ini kerana kobis yang ditanam di kawasan tanah rendah agak sukar untuk membulat (heading). Kobis memerlukan suhu yang sejuk untuk membulat. Atas alasan ini, tanomkinotuan tidak mahu membazir penggunaan batas di Kebun Belakang Rumah. Kebun Di Belakang Rumah sangat terhad untuk bercucuk tanam maka tanomkinotuan hanya menanam sayuran yang cepat mengeluarkan hasil.

Tetapi niat itu tidak berpanjangan setelah tanomkinotuan terlibat satu program di Kem Bina Negara di Kundasang yang lalu. Tanomkinotuan sangat terpesona melihat tanaman kobis ungu di perkerangan Kem Bena Negara, kobis ungu hidup subur tanpa gangguan makhluk perosak. Sudahlah suhu di sini sangat sejuk dan amat sesuai pertumbuhan kobis dan pembulatan kobis. Dengan keterujaan tanomkinotuan melihat tanaman di sini, secara tidak sengaja tanomkinotuan bercakap dengan tukang kebun (wanita berbangsa Dusun) untuk meminta anak benih pokok kobis yang tumbuh di sebelah kiri tanomkinotuan. Dengan muka yang tersenyum, wanita tersebut mengiakan. Huh! Tidak disangka betul, dapat greenlight.

Tanomkinotuan menanam benih kobis tersebut pada batas yang kosong. Batas tersebut adalah bekas menanam sayur bak choi dan ong king. Dari segi pemerhatian kobis boleh tumbuh dengan baik tanpa masalah. Tanomkinotuan menambah kompos disekeliling pokok dan tidak lupa untuk menyiramnya. Namun ketibaan musim hujan yang lepas menyebabkan kobis ungu tanomkinotuan terjejas teruk dari serangan ulat seribu. Habis dirata pokok-pokok kobis hingga tunas mudanya rosak.

Tanomkinotuan tidak mahu bersusah hati, bukan rezeki tanomkinotuan. Mungkin ada hikmah disebalik kejadian ini. Dengan lapan pokok kobis yang ditanam hanya dua pokok yang selamat dari serangan makhluk perosak. Dua pokok ini tumbuh dengan baik. Kelihatan ia mula membulat (heading). Bagi pokok yang diserang pula, tunas mula muncul di celah-celah panggal daun. Nasiblah tanomkinotuan tidak mencabutnya. Tunas tersebut terlalu banyaklah pula untuk satu pokok. Tanomkinotuan tidak pasti sama ada boleh dibuka tunas-tunas tersebut dan tinggalkan satu tunas atau membiarkan sahaja. Setakat ini hanya biarkan saja. Tanomkinotuan hanya berserah pada nasib.

Kobis juga boleh tumbuh di kawasan tanah rendah, yang penting tanah perlu ditambah kompos dan jangan lupa membubuh baja organik selang dua minggu sekali. Aktiviti menyiram juga tidak boleh ditinggalkan. Ketika entry ini ditulis kobis ungu tanomkinotuan masih dalam pertumbuhan. Akan diupdate entry kobis ungu pada masa akan datang sama ada berjaya menyai hasil atau sebaliknya.

Selamat berkebun.

TIMUN ARMENIA

Tags
Salam semua.

Kali ini tanomkinotuan menulis mengenai satu variati timun yang jarang ditanam di negara kita. Benih timun ini dibeli secara online. Tanomkinotuan tertarik pada struktur buahnya yang berbeza dengan timun yang sering dilihat di pasar. Memang tanomkinotuan sangat suka menanam tanaman yang baru. Ia satu kepuasan apabila benih yang kita tanam mengeluarkan hasil.

Timun yang dimaksudkan ialah timun armenia atau Armenian long yard cucumber. Timun ini berasal dari negara Armenia dan banyak di tanam di California, USA serta di Eropah. Tanomkinotuan menanamnya terus pada batas pada musim hujan yang lalu. Untuk pengetahuan semua, sudah empat kali percubaan untuk menanamnya tetapi kesemuanya gagal akibat serangan makhluk perosak. Namun kali ini tanomkinotuan telah menjaga sebaik-baik dengan meletakkan jaring net untuk melindunginya dari serangga perosak. Dari pengamatan tanomkinotuan timun romania mudah diserang penyakit dan tidak tahan dengan cuaca di negara kita.

Timun armenia mempunyai bentuk daun seperti timun cina cumanya daun timun romania mempunyai bulu-bulu halus berbanding dengan daun timun cina yang mempunyai bulu yang agak kasar. Timun ini sebenarnya dikelaskan dalam keluarga melon yakni satu keluarga dengan honeydew melon (tembikai susu) dan muskmelon. Nama saintifiknya ialah cucumis melo var. Flexuosus.

Buah timun armenia
Tanomkinotuan mengemburkan batas dan menambah kompos. Tanomkinotuan memasukkan dua benih ke dalam lubang dan timbus. Hanya satu benih yang berjaya tumbuh dan tumbuh dengan agak sederhana, bermaksud tidak terlalu baik pertumbuhannya. Tanomkinotuan telah menambah baja organik pada sekeliling pokok dan menambah kompos. Barulah pokok timun romania tumbuh dengan baik tetapi tidak sebaik pertumbuhan timun cina di sebelahnya. Setelah hampir sebulan, sudah nampak buahnya yang masih kecil. Mudah-mudahan timun romania ini yang jarang ditanam di negara kita boleh membesar dan tanomkinotuan dapat melihat buahnya secara nyata.

Tanomkinotuan tidak pasti cara pertumbuhan timun romania ini. Namun apa yang tanomkinotuan boleh nyatakan di sini ialah menanam timun romania sama dengan timun cina iaitu tanah harus digembur terlebih dahulu. Buang segala akar, ranting, daun kering, kayu mati dan batu pada batas tersebut. Tambah kompis dengan jumlah yang banyak atau tinja binatang. Gunakan tinja binatang yang sudah reput atau yang diproses agar tidak merosakkan benih timnun romania ketika ditanam. 

Tanam benih timun ini 1 inci ke dalam tanah dan jangan lupa menyiramnya selepas dua minggu bubuh semula baja NPK organik di sekeliling anak benih timun romania. Bubuh baja selang dua minggu sekali bagi bekalan makanan bagi pokok timun senantiasa ada. Untuk memperbaiki pengudaraan pada tanah jangan lupa mengemburkan semula tanah disekeliling pokok. Timbus batang timun setinggi 2 inci agar pokok timun boleh mengeluarkan akar dan seterusnya menguatkan lagi pokok tersebut. Hati-hati dalam aktiviti mengembur tanah di sekeliling pokok bagi mengelak akar timun menjadi rosak. 

Selepas dua bulan buah timun romania sudah boleh dituai. Rasa buah timun romania sama seperti timun lain cumanya ia mempunyai struktur lembut yang lembut dan sesuai dimasak dalam sup. Anda boleh mencuba menanam timun ini di kebun atau di halaman rumah. Cuma perlu penjagaan secara berterusan.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Sabtu

7 RAHSIA KEJAYAAN MENYEMAI BENIH DALAM PASU

Tags
Seringkali kita menghadapi masalah ketika menyemai apa-apa benih dalam pasu di mana benih yang disemai tidak tumbuh atau diserang oleh semut. Kadang-kadang juga disebabkan oleh fungi yang membiak di atas permukaan pasu kita. Berikut adalah langkah yang boleh diikuti oleh pembaca untuk menyemai benih dalam pasu; 

1. KUALITI BENIH

Harus menggunakan benih tanaman yang sihat, tidak cacat atau berpenyakit. Jangan semai benih yang berlubang mungkin benih ini sudah rosak dan tidak mampu untuk bercambah. Walau bagaimanapun, membeli benih di kedai pertanian adalah keputusan yang baik kerana benih-benih yang dijual adalah terpilih dan kualitinya masih dalam keadaan baik. Namun begitu pastikan tarikh luput pada pembungkus benih itu masih belum berakhir pada tarikh yang tertera. 

Jangan lupa membaca dan mengikuti arahan dan langkah-langkah pada pembungkus benih jika ada terutamanya benih import. Kadang-kadang pada pembungkus benih disertakan arahan menyemai.

Jangan menanam benih pokok yang tidak mampu untuk pasu menampungnya. Tanam benih yang bersesuaian ditanam dalam pasu ialah seperti salad, sayuran hijau, herba dan kacang buncis.

2. BEKAS SEMAIAN

Apabila benih sudah berada dalam tangan maka pemilihan bekas semaian perlu untuk memastikan ia sesuai untuk semaian. Sekiranya tray semaian khas (styrofoam cup) tidak ada di rumah, anda boleh menggunakan apa-apa bekas yang sesuai dengan pertumbuhan benih. Jangan guna bekas terlalu kecil atau terlalu besar. Contoh bekas semaian yang boleh digunakan ialah polibag, kontena aiskrim, tupperware terbuang dan bekas semaian yang difikirkan sesuai. Bilamana menggunakan bekas semaian ini mestilah ditebuk di bawahnya agar air lebihan mudah mengalir dan media semaian tidak terlalu basah. 

3. PENYEDIAAN MEDIA

Menyemai benih pada sebarang tanah memungkinkan benih akan diserang penyakit yang disebabkan oleh bakteria atau fungi. Oleh itu, penyediaan media semaian adalah perkara paling penting dalam aktiviti menyemai. Media yang baik adalah 95 peratus kebarangkalian benih boleh bercambah manakala media yang tidak baik memungkinkan benih yang disemai tidak bercambah. Maka dengan itu, pembaca hendaklah menggunakan media yang sesuai untuk semaian. Berikut ialah contoh media atau campuran media bagi tujuan semaian benih.

A. Campuran awal-benih atau seed-starting mixes. Campuran awal-benih adalah terdiri daripada 2 bahagian kompos atau peat moss, 1 bahagian perlite dan 1 bahagian vermiculite.  

B. Media topsoil digaul dengan sedikit kompos.

C. Campuran tanah loam, kompos dan pasir sungai dengan nisbah 2:1:1.

D. Campuran media peat-moss dan sedikit topsoil

Media-media seperti seed-starting mixes, topsoil, peat moss dan kompos boleh dibeli di kedai pertanian berhampiran. Media-media tersebut dimasukkan ke dalam pasu, styrofoam cup, kontena atau bekas semaian pilihan para pembaca. Padat-padatkan sedikit agar media menampung keseluruhan ruang pada bekas semaian. Namun jika pembaca mahu jimat belanja, boleh menggunakan campuran media tanah hitam, tinja binatang dan pasir sungai (pasir membuat semen juga boleh digunakan) dengan nisbah 2:1:1. 

Kadang-kadang terdapat pakar bidang perkebunan mengeluarkan pendapat bahawa media kebun tidak sesuai untuk semaian kerana tanah tersebut tidak disteril bagi membunuh mikroorganisma merbahaya. Walau bagaimanapun setakat ini tanomkinotuan tidak mengalami sebarang masalah menggunakan tanah kebun sebagai media semaian malah lebih baik pertumbuhan berbanding lain-lain media. Maka itu terpulang pada pembaca jika mahu menggunakannya sebagai semaian.

4. SEMAIAN BENIH

Menyemai benih tidak harus dipandang enteng oleh para pembaca. Kesempurnaan semaian memungkinkan benih yang disemai akan boleh bercambah dengan baik. Oleh itu, apabila hendak menyemai campurkan benih itu kepada sedikit tanah dan tabur ke atas permukaan bekas semaian atau pada alur yang dibuat. Timbus sedikit tanah agar kerosakannya dapat dikurangkan. Benih yang bersaiz besar tidak perlu dicampurkan dengan tanah.

Jangan menyemai benih terlalu rapat yakni menabur benih pada bekas semaian dengan jumlah benih yang banyak. Ini boleh mengakibatkan persaingan mendapatkan makanan menyebabkan benih terbantut dan tidak sihat. 


5. KELEMBAPAN DAN AIR

Perkara paling mustahak untuk kejayaan cambahan benih ialah media semaian haruslah lembab senantiasa iaitu tidak kering dan tidak juga terlalu basah. Jika tahap kekeringan pada media semaian berlaku, benih tidak boleh bercambah dengan sempurna manakala terlalu basah pula memungkinkan benih lemas dan mati.

Oleh yang demikian, setelah anda menabur benih di atas permukaan tanah dan kelihatan media ditahap kering maka siram air dengan secukupnya tetapi jika media tersebut lembab sediakala sembur atau spray dengan sedikit air.

6. TEDUHAN ATAU PENUTUP PLASTIK

Bilamana semaian benih selesai dan disiram. Tutup bekas semaian dengan plastik lutsinar pada had masa tertentu mengikut cambahan benih. Penutup pladtik ini bertujuan untuk melembabkan tanah atau media semaian agar tidak menjadi kering. Selalulah memantau bekas semaian anda setiap hari. Apabila benih mulah kelihatan bercambah maka bolehlah penutup plastik lutsinar tersebut dibuka. Selain berfungsi sebagai pelembab tanah, plastik tetsebut juga berfungsi sebagai mengekalkan haba pada tahap minimun untuk cambahan benih. Suhu sesuai untuk percembahan benih ialah 65 F. 

7. SINARAN MATAHARI

Meletakkan bekas semaian pada cahaya matahari pada waktu pagi dan petang membekalkan haba yang diperlukan oleh benih untuk bercambah. Bekas semaian harus dicahayakan pada waktu pagi kira-kira jam 6 hingga jam 7 pagi manakala waktu petang pula pada jam 6 hingga jam 7 petang selama satu jam setiap hari hinggalah benih mula bercambah. Jangan terkena sinaran matahari terik kerana ia mengeringkan media dan mematikan benih. Ini juga bertujuan mematikan atau nenghadkan serangan fungi dan bakteria.

Percambahan benih adalah mengikut jenis benih sayuran yang anda tanam. Jadi bersabar sekiranya benih anda lambat bercambah. Namun jika benih anda tidak bercambah selepas dua minggu bermaksud benih tersebut mengalami masalah. Jangan susah hati semai lagi benih dan ubah kaedah penyemaian sehinggalah benih anda itu bercambah. 

8 CARA MEMBAIKPULIH TANAH PADA KEBUN ANDA

Tags
Membaikpulih tanah pada kebun atau backyard anda bermaksud menambah sesuatu ke dalam tanah agar tanah tersebut berkualiti dan kaya dengan nutrisi yang diperlukan oleh tanaman. Tapi sebelum anda ingin membaikpulih tanah kebun anda, anda harus tahu terlebih dahulu keadaan tanah anda sama ada tanah jenis clay atau tanah berpasir. Juga perlu diketahui juga sama ada tanah anda jenis berasid atau beralkali. Ini semua benda yang perlu diketahui agar anda tahu apa yang perlu anda lakukan. Terdapat 8 cara secara umum bagaimana memperbaiki tanah kebun anda iaitu; 

1. Mengorek dan mengembur

Tanah yang digunakan untuk menanam sayuran atau bunga-bungaan harus dikorek dan digembur hingga gembur. Ini terutamanya mengusaha tanah di halaman rumah atau kawasan kebun. Korek tanah kira-kira satu kaki ke dalam dan gembur menggunakan cangkul atau alatan penggembur. Jika menggunakan tanah yang luas guna alatan rototeller atau jentera pengembur. Mengorek dan mengembur bertujuan untuk mengurangkan kepadatan tanah dan juga pengudaraan yang baik. Tanah yang gembur juga penting untuk memudahkan air meresap ke dalam tanah. Semua jenis tanah seperti tanah clay, loam dan silt harus digembur agar struktur tanah berada dalam keadaan baik.

2. Serbuk kapur, abu kayu atau sulfate

Satu cara yang berkesan untuk membaikpulih tanah anda ialah mencampurkan tanah anda dengan serbuk kapur (lime). Serbuk kapur mengandungi kandungan kalsium yang tinggi. Serbuk kapur ini berfungsi untuk mengurangkan keasidan pada tanah. Tanah yang terlalu berasid menyebabkan tanaman kita tidak mampu untuk tumbuh dengan baik manakala tanah yang terlaku beralkali pula tanaman terancat pertumbuhan.  Kapur juga berperanan untuk memudahkan akar tanaman menyerap nutrisi dengan mudah. Anda boleh mencampurkan terus serbuk kapur pada tanah atau membubuh pada setiap lapisan yang diselang-selikan dengan baja organik.

3. Baja organik atau kompos

Kadang-kadang tanah tidak mempunyai atau kurang sumber nutrisi untuk tanaman. Oleh itu, satu cara untuk membaiki tanah adalah menambah baja organik ke dalam tanah yang ingin diusahakan. Bubuh baja organik seperti tinja binatang diproses seperti tinja ayam, tinja lembu, tinja kambing, tinja arnab atau guano (tinja kelawar) pada batas berkenaan dan gaul hingga sebati. Untuk mendapatkan hasil yang baik setelah dibubuh baja organik rehatkan tanah atau batas tersebut selama seminggu atau dua minggu. Biar baja organik tersebut betul-betul sebati dengan tanah. Jumlah baja organik yang harus dicampurkan ke atas tanah tersebut adalah mengikut saiz batas tersebut. 

4. Serbuk kayu 

Anda juga boleh menambah serbuk kayu ke dalam tanah yang ingin anda diusahakan. Serbuk kayu akan mereput dalam tanah dan akan menjadi humus yang tinggi nutrisi untuk tanaman. Ia juga sesuai dijadikan sebagai mulsa untuk batas sebagai mengurangkan kekeringan pada tanah. Selain itu ia juga berfungsi untuk pengudaraan dan saliran yang baik pada tanah.

5. Topsoil / tanah atas

Anda boleh menambah topsoil pada batas tanah anda. Ini khususnya tanah yang berjenis tanah clay. Tanah clay tidak menyerap air dan kurang subur. Dengan menambah tanah topsoil ini maka struktur tanah clay dapat dibaiki dengan pengudaraan dan saliran semakin baik. Ini bermakna, liang-liang udara dalam tanah semakin besar dan baik sementara saliran menjadi mudah menyerap ke dalam tanah. Juga anda boleh menambah pasir untuk tanah clay anda itu. Ia bukan sahaja memperbaiki pengudaran dalam tanah dan saliran air tetapi juga menambah nutrient ke dalam tanah tersebut.

6. Tanaman giliran

Tanaman giliran bermaksud melakukan penanaman tumbuhan pada tanah secara bergilir-gilir mengikut musim menanam. Jangan lupa menanam pokok tanaman yang boleh mengeluarkan nitrogen semulajadi dalam tanah. Ini secara langsung memperbaiki struktur tanah tersebut. Antara tanaman yang mempunyai fungsi seperti di atas ialah kacang tanah, kacang buncis, kacang panjang dan pokok alfalfa.

7. Kompos teh atau baja organik cecair

Penambahan atau siraman kompos teh dan baja organik pada batas menjadikan tanah dihuni oleh mikrob baik yang memakan sisa kompos tersebut akan menghasilkan makanan yang banyak kepada tanaman ini secara tidak langsung akan memperbaiki kandungan nutrisi kepada tanah.

8. Pemulsaan

Mulsa juga penting untuk membaikpulih tanah. Mulsa berperanan melambatkan kekeringan pada tanah anda. Antara mulsa yang boleh digunakan ialah daun kering, rumput kering, jerami reput, cocopeat, kayu hancur dan peat moss. Letakkan mulsa di atas tanah setinggi kiria-kira 2 inci. Mulsa akan mereput dan menjadi humus sebagai makanan pada tanaman.

Dengan cara di atas membolehkan tanah kebun anda semakin lama semakin berkualiti, hitam dan gembur. Ini membolehkan tanaman tumbuh dengan baik dan galak. Walaupun tanah di kawadan anda kurang subur, ia menjadi berkualiti jika anda tahu membaikpulih tanah tersebut. Mudah-mudahan info ini memberi manfaat kepada pembaca semua.

Selamat bertani dan menuai hasil.


POKOK BUNGA TELANG

Tags
Ini adalah tumbuhan herba yang terkenal dikalangan bangsa Melayu di Semenanjung. Ia adalah bahan asas (bunganya) membuat pewarna biru pada makanan nasi kerabu yang enak. Bunganya juga diekstrak sebagai minuman yang berkhasiat kepada manusia. Pewarna asli semulajadi yang tidak mempunyai kesan sampingan ini ditanam semata-mata untuk ekstrak pewarna dari bunganya. 

Tanomkinotuan mendapatkan benihnya dengan membelinya menerusi pembelian online. Melalui benihnya tanomkinotuan tanam terus pada batas dan kini ia tumbuh dengan baik sekali. Pokok telang tidak mempunyai banyak masalah. Yang penting cukup baja yakni bubuh baja organik dua minggu sekali dan jangan lupa menyiramnya. Oleh kerana pokok ini jenis memanjat sediakan kayu penyokong untuk membolehkan ia memanjat dengan baik. 

Bunganya cantik dan berwarna biru. Pokok ini boleh dijadikan pokok hiasan di halaman rumah. Ia menyerikan laman dengan bunga-bunga yang menawan dipandang. Tanomkinotuan pernah mengutip bunganya dan diekstrak  sebagai minuman. Memang sedap, selain pokok rosselle pokok bunga telang juga sesuai dijadikan minuman seisi keluarga. Namun tanomkinotuan belum pernah membuat nasi kerabu. Bila ada masa nanti, tanomkinotuan akan mencuba dengan menggunakan ekstrak bunga pokok telang.

Jumaat

HERBA DALAM NILAI PERUBATAN DI KEBUN BELAKANG RUMAH (KBR)

Tags
Ada pelbagai jenis herba berkhasiat dalam perubatan yang boleh kita tanam di halaman rumah, herba-herba ini mudah tumbuh dan mudah dijaga. Ia memudahkan kita apabila hendak menggunakan herba jika diperlukan dengan petik saja di halaman rumah atau di belakang rumah tidak perlu memeningkan kepala untuk bersiap diri ke pasar semata-mata membeli herba yang digunakan.

Antara herba yang boleh kita tanam di halaman rumah sama ada ditanam terus ke tanah atau menggunakan bekas seperti polibag, tin susu, pasu dan sebagainya ialah:

1. Pokok Herba Halia 



Halia (nama saintifik : Zingiber officinale Roscoe). Selain sebagai rempah masakan ia sangat tinggi nilai dalam perubatan tradisional. 

2. Pokok Herba Basil



Pokok basil, merupakan herba dan ramuan memangang daging kambing.

3. Pokok Herba Kecur



Pokok herba cekur.

4. Pokok Herba Kunyit Hitam


Pokok kunyit hitam, banyak manfaat dalam perubatan tradisional.

5. Pokok Herba Kari



Pokok kari, bila memasak resepi berasaskan daging kutip saja daun kari di kebun belakang rumah.

6. Pokok Herba Tampaka


Pokok tampaka, banyak manfaat dalam bidang perubatan tradisional.

7. Pokok Herba Basil Opal


Pokok Basil Opal Afrika. Bagus dicampurkan dalam memanggang daging.

8. Pokok Herba Pegaga



Pokok pegaga. Selalunya dimakan sebagai ulam. Terbukti nilai khasiat yang baik untuk tubuh manusia.

9. Pokok Herba Pandan


Pokok pandan, lazimnya sebagai pewangi dalam masakan.

10. Pokok Herba seleri/daun sup


Pokok selery atau pokok daun sup. Ia juga baik untuk menurunkan kadar kolestrol dalam badan. Juga sesuai dimakan sebagai ulam.

11. Pokok Herba Serai


Pokok serai, banyak digunakan dalam resepi masakan.

12. Pokok Herba Telang


Pokok bunga telang, bunganya diekstrak untuk dijadikan pewarna pada nasi kerabu dan juga minuman.

13. Pokok Herba Lidah buaya


Pokok lidah buaya terkenal sebagai herba dalam perubatan tradisional. Ia berperanan mempercepatkan penyembuhan luka, menghaluskan kulit, anti-bakteria dan juga boleh dibuat jus dan diminum sebagai minuman ringan.

14. Pokok Herba stevia


Pokok stevia yang berasal dari Amerika Latin ini merupakan pokok herba yang unik kerana daunnya boleh dikeringkan dan dijadikan pemanis makanan dan minuman mengantikan gula biasa. Sesuai digunakan oleh para pengidap kencing manis.

15. Pokok Herba Halia Merah


Halia merah adalah variati halia yang wujud dan sangat berkhasiat untuk kesihatan. Ia mujarab menghilangkan mukus pada tekak, menstabilkan metabolisma tubuh badan, mengurangkan rasa loya dan pening kepala. Tanomkinotuan menanamnya untuk mendapatkan benih dan akan ditanam semula di kebun KBR nanti.

16. Pokok Herba Selayur


Pokok salayur merupakan herba yang baik mengubati pundi kencing bermasalah dan kencing kotor. Pic di atas bersama pokok pegaga jadi jangan terkeliru. Daun berbentuk oval dan besar itulah pokok selayur.

17. Pokok Herba Pecah Beling


Pokok pecah beling merupakan tumbuhan herba yang sangat berkhasiat dalam perubatan tradisional. Ia berfungsi sebagai anti-barah, mengubati kencing manis dan penyakit buah pingang.

18. Pokok Mahkota Dewa


Anak pokok mahkota dewa ini tanomkinotuan beli di tamu tempoh hari dengan harga RM10 dan ditanam di KBR. Ia dipercayai berkesan mengubati penyakit kanser, kencing manis, darah tinggi dan menurunkan paras kolestrol dalam darah. Sebab itu tanomkinotuan cuba untuk menanamnya.

Gambar di atas merupakan herba yang ditanam di Kebun Belakang Rumah. Menanam herba banyak kebaikannya. Anda boleh menanam herba ini di dalam pasu atau di atas tanah. Oleh itu, sambil anda menanam pokok bunga di halaman rumah anda. Apa kata anda tanam herba-herba yang anda sukai di kawasan halaman rumah anda untuk kegunaan sendiri.