Rabu

SAYUR MUSTARD HIJAU

Tags
Entry kali ini adalah gambar berkaitan dengan sayur mustard hijau. Sayur ini adalah termasuk dalam jenis sayuran sawi lain dan ia lebih dekat dengan sawi pahit. Pertumbuhannya amat galak sekali dan ini menunjukkan sayur mustard hijau ini menyukai terik matahari langsung selama lebih enam jam. Daunnya berombak-ombak pada tepi daunnya seperti salad lolorossa dan baunya seakan-akan bau sawi pahit. Batang yang lembut dan crunchy sehinggakan bilamana hendak menyiram harus berhati-hati agar batang daunnya tidak patah. 







Untuk pengetahuan para pembaca, pada pic ketiga sayur mustard ini ditanam bersama sayur brokoli dihujung sebelah sana dan Brussels sprout di tengahnya. 

Cara Penanaman Sayur Mustard:

Sayur mustard sama seperti sayuran berdaun lain yang mudah untuk disemai dan dijaga. Pertama sekali sediakan medium semaian yang digembur dan ditambah dengan kompos atau tinja binatang. Bagi tanah jenis clay (tanah liat) harus dibubuh dengan baja lime (serbuk kapur) untuk meneutralkan tanah yang digunakan. Oleh kerana benih sawi mustard ini amatlah kecil maka campurkan dengan sedikit tanah apabila hendak menabur ke tapak semaian. Ini bertujuan untuk menjarakkan benih-benih tersebut. Setelah ditabur lapiskan dengan tanah di atasnya sekadar menutupi medium semaian tersebut untuk tujuan lembapan pada tanah, agar benih tidak melantun atau keluar dari medium semaian ketika penyiraman dilakukan dan mengelak dari serangan semut yang suka memakan benih-benih sayuran.

Selepas satu minggu lebih, bolehlah dialihkan ke tapak penanaman atau batas yang disediakan. Jarak menanam antara anak benih sayur mustard ialah 5 atau 6 inci dari setiap pokok. Ini membolehkan anak pokok membesar dengan baik dan mengelak persaingan. Siram anak benih dua kali sehari jika cuaca panas dan sekali atau tidak perlu ketika masa hujan. Untuk tidak merosakkan anak benih akibat terik matahari yang kuat eloklah batas tersebut dibuat teduhan jaring hitam atau seumpamanya selama 4 hari hingga seminggu. 

Selepas dua minggu bubuh baja organik untuk tumbuhbesaran anak pokok mustard, sama ada menggunakan baja cecair yang mudah dibeli di pasaran atau menggunakan baja biji terpulang pada seseorang. Merumput adalah kerja wajib ketika berkebun kerana jika rumput rumpai tidak dibuang maka persaingan untuk mendapatkan makanan akan berlaku dan ini mengakibatkan pertumbuhan anak pokok sayur mustard terbantut. Jika tanah pada batas itu agak keras bolehlah digembur tanpa mencederakan akar anak pokok itu, ini bertujuan untuk pengudaraan bagi membolehkan anak pokok mustard boleh tumbuh dengan baik.

Selepas tiga minggu lebih anda boleh tuai sayur mustard untuk hidangan anda sekeluarga. Amalan memakan sayuran organik tanpa racun serangga adalah satu amalan yang sihat.

Selamat bertani dan menuai hasil.

BROKOLI HIJAU [update]

Tags
Kini genaplah 4 bulan setengah usia brokoli hijau tanomkinotuan di kebun belakang rumah. Setelah membelek kembali gambar-gambar terdahulu semacam teruja pun ada kerana dari usia kecil hinggalah kini yang boleh dikatakan tidak lama lagi brokoi hijau tanomkinotuan akan mengeluarkan bunga.

Macam-macam cabaran yang dihadapi oleh brokoli hijau tersebut, serangan belalang di waktu malam (hinggakan tanomkinotuan bersengkang mata untuk datang ke kebun belakang rumah bertemankan lampu suluh untuk mencari si belalang-belalang ini. Hari tu tanomkinotuan berjaya membunuh 2 ekor belalang besar gedabak yang sedang lena menjamah daun-daun brokoli. Tanomkinotuan mengambil dan membuangnya dalam kolam setelah dilemaskan biar penghuni kolam yang akan melakukan tugas-tugas seterusnya.

















Ini adalah update brokoli hijau tanomkinotuan yang baru, gambar ini diambil pada minggu lepas sebelum bertolak ke tempat kerja nun jauh ke pedalaman. Sekarang ini cuaca amat terik dan ia boleh menjejaskan pertumbuhan brokoli hijau malah tanomkinotuan tidak meletakkan sebarang teduhan kerana ia sukar dilakukan akibat batas-batas yang sempit antara satu sama lain. Tanomkinotuan hanya berharap brokoli ini tumbuh dan mampu bertahan apa jua rintangan mendatang...ceeehwaaah... bermada la pulak....

Satu cara untuk membesarkan batang pokok brokoli adalah setiap tunas yang tumbuh dekat dengan panggal daun haruslah dibuka atau petik agar makanan tertumpu kepada batang dan daun sahaja. Daun-daun lama atau berada di bawah harus juga dipetik untuk tujuan yang sama. 

Setiap dua minggu bubuh baja kompos atau baja organik seperti tinja binatang untuk tujuan pertumbuhan yang baik. Rumput rumpai disekitarnya harus dibuang atau dicabut tetapi pastikan tidak menjejaskan akar brokoli agar pertumbuhan tidak terganggu. Penyiraman hendaklah konsisten di mana siram dua kali sehari jika panas terik (cuaca panas), kawasan tempat tinggal tanomkinotuan mempunyai kepanasan melampau pada tengahari hinggakan sayur ong king menyembah bumi akibat suhu yang amat panas seperti gambar di bawah. Bayangkanlah betapa peritnya sayur-sayuran tanomkinotuan untuk bertahan. Tetapi sawi kerinting tersebut akan kembali segar menjelang petang, beginilah rutin sayur ongking tanomkinotuan di kebun belakang rumah.



Syukur dengan pokok brokoli ini kerana boleh menahan kepanasan yang melampau. Ini disebabkan daun brokoli dan seangkatannya seperti kailan dan kobis mempunyai daun yang tebal berbanding dengan sayuran jenis berdaun yang lain.

Setakat ini, serangan yang dilakukan oleh serangga perosak tidaklah teruk sangat. Cuma dijamahnya daun-daun pokok brokoli sebesar duit 50 sen dan begitulah seterusnya. Kadang-kadang ulat seribu juga menyerang hinggakan daun-daun tersebut rosak teruk. Tetapi cara terbaik ialah senantiasa membelek-belekkan daun di belakang dan jika terdapat telur ulat seribu tersebut yang berwarna kekuning-kuningan melekat pada daun maka elok dibuka telur tersebut sebelum mereka berpesta untuk meraihkan kemenangan. Dalam usia brokoli sebegini, jarang serangan daripada siput babi dan lintah bulan mungkin dedaun brokoli agak liat kot dalam usia kini. 

Tanomkinotuan menyarankan kepada petani sampingan (hobi berkebun) untuk mencuba menanam sayur brokoli kerana kejayaan menanam pokok ini menandakan anda seorang juara.  

Selamat bertani dan menuai hasil.

Hasil Tuaian Kebun di Belakang Rumah

Tags
Entry ini mengumpulkan kesemua gambar sayuran yang pernah dituai di kebun belakang rumah. Ada gambar yang lama dan juga baharu. 



Gambar di atas menunjukkan beberapa sayuran jenis daun yang ditanam iaitu sayur ongking (ditanam musim kedua), Sawi putih atau nan you pak choi, timun dan kacang panjang.



Tanomkinotuan tidak mengetahui nama pokok apakah di atas itu, rasanya seperti lobak putih dan agak liat sedikit. Tanomkinotuan cabut walaupun isinya belum matang sepenuhnya untuk merasa sayuran luar negara.


Ini adalah sawi bunga gergasi, ia boleh membesar lebih berbanding dengan variati sawi bunga yang lain.



Sawi ongking atau sayur kerinting, ia ditanam kali kedua sebelum ni ketot-ketot saja. Musim hujan kot menyebabkan terbantut tumbuhbesaran. Namun sawi ongking tanaman musim kedua tumbuh dengan galak seperti dalam gambar di atas.



Ni pula adalah hasil tuaian pertama tanomkinotuan di kebun belakang rumah. Buah timun cina dan salad cina manis (gompuri).
 





Ini adalah hasil tuaian di kebun belakang rumah, gambar no dua tanomkinotuan tidak ingat nama. Pada pembaca yang tahu nama tersebut bolehlah memberitahu kepada tanomkinotuan. 

Masih banyak sayuran yang sudah dituai tetapi tidak dapat ditepek di sini kerana tidak ada simpanan gambar itu seperti bayam merah, bayam hijau, lobak putih dan sebagainya.

TURNIP HINONAKABU

Tags
Setelah menjelajah ke beberapa blog bertani secara sampingan terbaca entry mengenai turnip hinonakabu, tahulah tanomkinotuan bahawa tumbuhan yang ditanam dan kini mengeluarkan isinya itu bernama turnip hinonakabu. Sebelum ini tanomkinotuan tidak mempunyai idea langsung akan nama sayuran berubi tersebut. Semasa pokok ini bercambah tanomkinotuan ingatkan ianya sayuran jenis mustard kerana daun sama dengan kumpulan sayuran mustard lain. Namun amat memeranjatkan pula ia mengeluarkan isi berwarna keungu-unguan dan putih pula di bawahnya. Terima kasih pada entry kebunbahagiabersama atas penjelasan mengenai sayur tersebut. 





Gambar kedua pula adalah turnip hinonakabu bersama daun bawang ditanam dalam satu batas, kelihatan juga sayur ongking yang berdaun 4. Tanomkinotuan telah menyemai benih ong king tersebut dan tidak tahu hendak ditanam di mana, jadi kesudahannya tercampaklah ia di batas ini. Saudara maranya yang lain sudah gugur menyembah bumi ekoran serangan ulat seribu minggu lepas. Turnip hinonakabu top pada gambar kedua belum mengeluarkan isi lagi, mungkin batas tersebut terlalu tinggi kandungan nitrogen atau pun belum masanya untuk hasilkan umbisi. 

Turnip hinonakabu ini mudah dijaga, tidak ada serangan oleh mana-mana makhluk perosak setakat ini cumanya cabut rumput yang tumbuh disekitar pokok turnip agar persaingan untuk mendapatkan makanan dan cahaya matahari dapat dikurangkan. Selebihnya tunggu pokok turnip ini menonjolkan umbisinya.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Khamis

KACANG BUNCIS MANIS

Tags
Selain kacang buncis tendergreen, satu lagi jenis kacang buncis yang ada ditanam oleh tanomkinotuan di kebun belakang rumah iaitu kacang buncis manis. Variati kacang buncis ini ialah jenis panjang dan mempunyai rasa manis sedikit kuat berbanding dengan variati kacang buncis yang lain. Warna batang hijau bersama daun dan putik bunga berwarna putih kapas serta putih susu. Kacang buncis jenis ini meluas ditanam di area Kundasang sebagai daerah yang popular mengeluarkan hasil sayuran suhu sederhana.




kacang buncis manis ini sesuai ditanam di kawasan tanah tinggi atau tanah rendah. Tanomkinotuan menanamnya dan kini telah mengeluarkan hasil.

Cara menanam benih ini sama juga dengan variati kacang buncis yang lain. Paling sesuai semai terus pada batas yang disediakan yang telah dicampurkan dengan baja kompos. Semai kira-kira satu kaki atau satu kaki setengah dengan dua hingga tiga biji satu lubang. Siram semaian dua kali sehari jika cuaca panas.

Oleh kerana buncis ini jenis memanjat sediakan kayu penyokong untuk memudahkan pokok buncis memanjat dengan baik. Apabila pokok sudah menjangkau dua minggu, bubuh baja kompos atau tinja binatang untuk pertumbuhan yang baik. Untuk meningkatkan pengeluaran buah, bolehlah dibubuh baja penggalak buah boleh guna baja npk organik yang banyak dijual di pasaran.

Penjagaan kacang buncis amat mudah hanya buang rumput di sekitar batas dan kawal makhluk perosak yang boleh menjejaskan pertumbuhan pokok.



Buah kacang buncis manis amat disukai oleh tanomkinotuan kerana rasa manisnya lebih berbanding dengan kacang buncis jenis bulat dan leper. Ia sesuai dimasak dengan ikan masin atau masak kicap, sungguh menyelerakan. Pembaca boleh mencuba variati ini untuk ditanam di kebun atau belakang rumah. Kacang buncis ini boleh ditanam di tepi pagar rumah jika kayu penyokong sukar didapati, pagar boleh dijadikan sebagai alat memanjat kepada pokok buncis.

Selamat berkebun dan menuai hasil.

Selasa

Pantun Tumbuh-Tumbuhan Sabah

Tags
Buah timadang
Timadang itu persis terap,
Nama umumnya buah tarap;
Isinya putih manis dan sedap,
Pabila makan santun beradab.


Kulit tarap persis nagka,
Banyak bujur bulat pun ada;
Elok direbus buah yang muda,
Lauk kegemaran si emak janda.


Polod adalah sejenis umbut,
Pohon palma bayas disebut;
Banyak di bukit di hutan Sugut,
Warnanya putih sangat lembut.

Umbut polod
Polod boleh dimakan mentah,
Budak-budak suka meratah;
Dimasak lemak lebihkan kuah,
Lauk nenek di sulap sawah.


Tomborua itu umbut rotan,
Asalnya memang dari hutan;
Rasanya pahit bukan buatan,
Demi khasiat tetap dimakan.


Tomborua itu lauk pesara,
Kaum ibu dan anak dara;
Tetap ditelan tanpa bicara.
Awet muda menglipur lara.

Tuhau pula keluarga kantan,
Hidup subur di dalam hutan;
Perdu ke atas jadikan keratan,
Dibuat jeruk gaya tempatan.


Tamu tempat tuhau dijual,
Harga tetap usah disangkal;
Tiba di rumah dicecah sambal,
Selera terbuka musnahlah mual.
Umbut tuhau

Bambangan pula keluarga bacang,
Isinya kuning kulitnya perang;
Kuat baunya bukan kepalang,
Penaik selera kakak dan abang.


Asal bambangan rasanya masam,
Ada yang manis pabila diperam;
Isi dan biji dibuat pekasam,
Kecur liur orang mengidam.


Tutan ialah sayur meranti,
Subur di Tenom hidup sendiri;
Di Tambunan juga mudah dicari,

Untuk hidangan keluarga sendiri.

sayur tutan
Tutan segar di dalam raga,
Elok rebuskan untuk pak jaga;
Masakan lemak untuk bertiga,
Ketika makan terlupa mentua.


Jenis bebawang sayurnya itu,
Losun namanya sudahlah tentu;
Keluaran Kiasu sangat bermutu,
Untuk hidangan anak menantu.


Daunnya halus keras sedikit,
Bawangnya putih tidak lekit;
Hidup berumpun di atas bukit,
Penaik selera orang sakit



Hasil Nukilan:

Mohd Isa Abd Razak
Port Dickson
24 September 2012

TUTAN HIJAU

Tags
Sayur tutan (nama saintifik: Solanum nigrum) English: dikenali sebagai black nighshade: duscle, garden nighshade, hound's berry, petty morel, wonder berry, small-fruited black nightshade atau popolo adalah tergolong dalam genus solanum.


Tutan adalah sayur yang amat terkenal di Sabah khususnya suku kaum Kadazan & dusun. Sayur ini amat digemari kerana rasa dan struktur yang lembut setelah dimasak. Jenis pokok berbatang lembut, daun bulat bujur dan bercabang ini tumbuh meliar di kawasan kebun yang baru dibuka dan kawasan tanah subur yang kaya dengan kompos atau organan. Zaman dahulu semasa membuka ladang untuk menanam padi bukit sayur tutan inilah yang menjadi rumput menghalang pertumbuhan padi yang ditanam. Ia terpaksa dimusnahkan oleh petani untuk memberi laluan kepada padi bukit tersebut membesar dengan baik. Kawasan pertumbuhan sayur tutan paling tinggi di Sabah ialah dari kawasan  Banjaran Crocer di daerah Keningau merentas ke daerah Tambunan hingga ke daerah Ranau.

Kini sayur ini bukan sahaja digemari oleh kaun Kadazandusun malah kaum cina di Sabah khususnya menyukai sayur ini yang mempunyai rasa sedikit pahit kerana mempunyai khasiat yang baik untuk tubuh badan manusia. Rata-rata tamu (pasar minggu) menjual sayur ini dengan harga RM2 ringgit seikat. Di Sabah terdapat 3 variati utama sayur tutan yang dapat diketahui iaitu tutan hitam dengan keseluruhan batangnya berwarna hitam, tutan hijau tanpa duri dan tutan hijau berduri, berduri tidak bermaksud duri seperti bunga ros yang boleh melukakan, duri bagi sayur tutan amat lembut dan tidak mencederakan.

Sayur ini tidak ditanam tetapi ia tumbuh sendiri di kebun dan kawasan yang terbuka. Kadang-kadang petani akan membiarkan sahaja sayur ini tumbuh di kebunnya untuk dijadikan sayur tambahan selain sayuran yang di tanam oleh mereka. Tanomkinotuan perasaan di kebun belakang rumah terdapat satu pokok sayur tutan ini tumbuh berhampiran dengan radish franch breakfast jadi tanomkinotuan tidak membuangnya tetapi menjaganya hingga kini kerana ianya sedap untuk dibuat sayur.





Sayur tutan tidaklah popular seperti mana sayuran komersil tetapi pengemarnya tetap ada untuk merasa dan menikmati keenakan sayur ini. Jika tidak masakan setiap tamu di Sabah ada sahaja penjual menjual sayur ini hinggakan terciptanya soalan teka-teki lawak yang meniti di setiap bibir yang mengemari sayur ini iaitu teka-tekinya berbunyi begini "Sebanyak-banyak sayur, sayur apakah yang paling berat sekali?" Jawapannya adalah "sayur tutan" kerana bila bunyinya seakan-akan "two tan" di mana apabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu menjadi "dua tan". Sayur kampung yang popular di Sabah.

Khasiat tutan ini adalah merebus keseluruhan pokoknya untuk dijadikan teh dan diminum untuk mengubati barah cervix, Ia juga boleh digunakan sebagai ubat tradisional pelbagai guna yang disapu untuk luaran, sayur tutan ini juga mempunyai keupayaan antivirus terpilih terhadap herpes simplex Jenis-1 virus (HSV-1),  Ekstrak metanol daripada sayur tutan mempunyai aktiviti antimikrob yang tinggi terhadap Escherichia coli, Pseudomonas aeruginosa, Staphylococcus aureus dan Aspergillus Niger. Selain itu, di Sabah  sayur tutan hitam pula boleh mengubati ketuat atau bintil yang tumbuh pada kaki dan tangan seseorang.



Ketuat yang tumbuh pada badan seseorang terutama kaki dan tangan boleh dihilangkan dengan menumbuk 6 helai daun tutan hitam (jika tidak ada boleh guna tutan hijau) hingga lumat dan sapukan ke tempat tubuhnya ketuat dua kali sehari iaitu pagi (selepas dibasahkan dengan air suam) dan sebelah petang (selepas mandi petang). Amalkan sehingga ketuat itu mengecil dan hilang. Lakukan dengan konsisten dan sabar.

Selamat berkebun dan menuai hasil.

SALAD LOLOROSSA

Tags
Tanomkinotuan memang sangat minat menanam salad di kebun belakang rumah kerana keunikan struktur daun dan warna amat menarik sekali. Salah satu jenis sayuran yang boleh dimakan begitu sahaja ia tidak rugi untuk menanam di halaman rumah. Selepas kejayaan menanam salad cina manis tempoh hari, tanomkinotuan telah mencuba pelbagai variati salad yang wujud kini dan salah satunya ialah salad lolorossa. Salad lolorossa ini tergolong dalam salad jenis 'loose leaf lettuce' di mana daunnya jenis terbuka. Uniknya daun salad lolorossa ini berkerinting ditepi pada setiap daun. 

Percambahan salad lolorossa sangat perlahan di mana selepas dua minggu barulah kelihatan benih bercambah tetapi mungkin ianya dipengaruhi oleh faktor suhu dan ketinggian. Pada pertumbuhan awalnya, menunjukkan pertumbuhan sangat perlahan tanomkinotuan fikir terbantuk akibat tidak cukup nutrient tetapi setelah mempunyai 2 hingga 3 helai daun barulah pertumbuhannya amat galak. Gambar-gambar berikut adalah gambar yang diambil dari kebun belakang rumah tanomkinotuan.

Salad lolorossa sebelum dipindahkan.







Sekiranya salad ini menerima cahaya matahari yang banyak setiap helai daun berwarna merah kehijauan manakala gambar pertama berwarna hijau disebabkan tanomkinotuan meletakkan teduhan jaring. Berbeza dengan salad-salad lain, daunnya amat lembut seolah-olah tangan anda tidak menyentuh pun daunnya. Namun sekiranya salad lolorossa terkena sinaran matahari kuat, rasa pahitnya menyerlah.
 

Cubalah menanam salad ini di kebun halaman rumah anda, mudah di jaga dan sesuai untuk dijadikan hiasan laman dengan keunikan warna dan daun yang membuatkan sesiapa memandangnya terpesona tidak terkata.


BAWANG MERAH KAMPUNG

Tags
Salam semua kepada pembaca budiman..

Kini genaplah 14 hari umat Islam berpuasa di bulan ramadan yang mulia ini, semoga kita melipatgandakan amalan pada bulan ramadan al-mubarak bulan berkat bulan mulia. Tanomkinotuan ingin berkongsi kepada pembaca akan satu jenis bawang yang ditanam di kebun belakang rumah. Bawang merah atau shallot ini banyak variati atau jenisnya salah satunya adalah bawang merah tempatan (local shallot). Bawang merah jenis ini juga ada ditanam di  negara Indonesia.

Kelebihan bawang ini ialah wanginya amat semerbak ketika digunakan dalam gorengan berbanding dengan bawang import yang banyak dijual di pasaran. Benih bawang merah ini tanomkinotuan beli di tamu (panggilan orang Sabah untuk pasar siang) dengan harga RM2 ringgit satu plastik. Sesampai di rumah tanomkinotuan perasan bahawa bawang merah ini masih baharu dituai dan selalunya perlu direhatkan dua ke tiga minggu barulah ditanam agar mudah tumbuh. Lihat gambar yang disertakan di bawah untuk tatapan para pembaca.


 



Menanam bawang merah tidak sama dengan bawang putih di mana jika bawang putih perlu ditanam keseluruhan ubinya dan dikambus dengan tanah tetapi berbeza dengan bawang merah di mana hanya setengah inci daripada bawangnya harus ditanam ke tanah dan selebihnya biarkan terdedah begitu sahaja.

Pilih ubi bawang yang sihat dan besar, boleh juga menanam bawang merah import yang banyak dijual di pasaran. Potong sedikit pada hujung bawang itu dengan pisau agar bila ditanam ia muda untuk bercambah. Sediakan batas semaian dengan digaul tinja binatang atau baja kompos, masukkan ubi bawang setengah inci ke tanah dan biarkan hujung atasnya terdedah. Lakukan penyiraman dua kali sehari jika hari panas. Bawang merah boleh dituai selepas tiga bulan ditanam.

Penjagaan bawang merah sangat mudah iaitu penyiraman, membuang rumput rumpai dan kawalan kulat atau bakteria perosak daun, jika ada tanda-tanda daun diserang harus pokok tersebut dicabut dan dimusnahkan agar tidak menjangkiti pokok-pokok bawang yang lain. Dalam masa tiga bulan anda boleh menikmati bawang hasil tangan sendiri yang pastinya organik tanpa sebarang semburan racun kimia.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Ahad

KOHLRABI UNGU

Tags
Salam Ramadan Karim..

Entry kali ini adalah berkaitan dengan sejenis sayur yang jarang-jarang ditanam di negara kita tetapi sangat terkenal di negara-negara Barat sebagai makanan sayuran yang sihat yakni kohlrabi. Kohlrabi adalah sejenis tumbuhan (Brassica oleracea var. gongylodes) termasuk dalam keluarga mustard. Batang pada bawah di atas permukaan tanah yang membengkak atau membesar dimakan sebagai sayuran. Kohlrabi adalah berasal dari bahasa Jerman yakni 'kohl' bermaksud 'kobis' manakala 'rabi' pula bermaksud 'lobak'. Struktur dan rasa batang membangkak tersebut mempunyai persamaan rasa dengan bunga kobis atau brokoli yang rangup dan sedikit manis.

Tanomkinotuan mencuba menanam kohlrabi ini di kebun belakang rumah. Ia ditanam pada pertengahan bulan Mac tahun 2014 namun hampa kerana setelah dua minggu menunggu tidak ada satu pun benih tersebut bercambah. Benih kohlrabi tersebut disemai bersebelahan dengan benih brokoli ungu, hanya benih brokoli ungu saja yang bercambah dengan baik, tiba-tiba ibu tanomkinotuan memanggil bertanyakan kepelikan satu pokok brokoli ungu di mana berbeza dari segi batang dan daun, bila tanomkinotuan cuba amati dengan betul, sah! pokok ini bukan pokok brokoli ungu tetapi kohlrabi ungu, tanomkinotuan gembira bukan kepalang kerana ingatkan benihnya tidak akan tumbuh, walaupun hanya satu pokok, ia sudah membuatkan hati tanomkinotuan gembira tidak terkata.










Kelihatan batangnya mula membengkak menandakan ia mula mengeluarkan hasil. Jadi apa yang dilakukan oleh tanomkinotuan agar kohlrabi ungu yang ditanam ini tumbuh dengan galak ialah menjaga air dengan menyiram dua kali sehari, membubuh baja kompos buatan sendiri diselang selikan dengan tinja binatang (tinja lembu yang banyak bertebaran di kampung tanomkinotuan, tanomkinotuan memungut tinja lembu tersebut dan peramkan terlebih dahulu hingga sebulan, dalam tempoh tersebut tinja lembu itu dibalik-balikkan selang dua minggu di mana ditutup dengan plastik hitam dan dicahayakan dengan cahaya matahari agar kepanasan tinja tersebut mempercepatkan pertumbuhan kulat bagi membolehkan penguraian tinja menjadi cepat, setelah tinja itu tidak berbau maka ia boleh digunakan untuk baja pada tanaman) serta menambah tanah hitam di sekitar pokok kohlrabi itu.

Dengan pertumbuhannya yang galak, tanomkinotuan berpendapat sayur kohlrabi boleh tumbuh di negara kita walaupun di kawasan tanah rendah paling penting penjagaan yang rapi dan berterusan. Anda boleh menanam sayur jenis ini di halaman rumah anda selain tanaman sayuran lain.


Selamat bertani dan menuai hasil.

Khamis

RADISH FRANCH BREAKFAST

Tags
Tanomkinotuan sangat teruja akan kejayaan menanam radish franch breakfast di kawasan tanah rendah yang mempunyai suhu kepanasan yang melampau. Selalunya radish franch breakfast ini hanya sesuai tumbuh di kawasan yang mempunyai suhu rendah atau sejuk terutamanya di kawasan tanah tinggi. Tanomkinotuan ingin mencuba menyemai benih radish ini, dalam fikiran tanomkinotuan apalah salah untuk mencuba lagipun dah ramai blogger yang berjaya menanamnya walaupun tinggal di kawasan tanah rendah. Dengan berbekalkan semangat dan positive thinking tanomkinotuan semai benih radish ini terus pada batas. Batas tersebut telahpun ditanam dengan sawi kerinting (ong king). Selepas tiga hari radish franch breakfast mula bercamba, gembira tak terkata. 



Kelihatan bulb dah mula membesar, teruja vs excited hahaha... sebenarnya kerana ini kali pertama menanam radish berwarna crimson. 



Cara menanam radish franch breakfast sama seperti menanam lobak putih (nama saintifik: Raphanus sativus), radish adalah paling sesuai untuk semai terus atas batas kerana panggal atas pokoknya akan menjadi ubi atau isi. Jika semai dan alihkan ke tempat lain takut akarnya akan rosak dan isi lobaknya membesar dengan rupa yang tidak cantik. Namun, jika kena dengan caranya mungkin anak benih radish yang dialihkan itu boleh mengeluarkan bulb.

Tanam benih radish kira-kira 2/3 ke dalam tanah dengan jarak 5 inci ke 6 inci, jangan lupa siram dua kali sehari dan pastikan batas untuk menanam radish harus digembur terlebih dahulu serta digaulkan bersama baja kompos atau tinja binatang. Benih radish franch breakfast mula bercambah pada hari ketiga hingga hari ketujuh. Ia tidak tumbuh serentak. Tanomkinotuan tidak membubuh baja organik selepas itu hanya tunggu akarnya menghasilkan lobak.

Penjagaannya tidaklah rumit, hanya perlu mencabut rumput yang tumbuh pada batas dan sekitarnya. Pada pemerhatian tanomkinotuan radish yang ditanam tidak diserang oleh serangga perosak mungkin saja serangga atau musuh utama sayuran tak kenal akan lobak jenis ini atau masih ragu-ragu hendak menyerang maklumlah jenis tanaman baharu di kebun belakang rumah. 


Lobak semakin besar dan boleh dituai. Sangat enak untuk dicampurkan ke dalam sup ikan atau ayam.


Rasanya sama seperti lobak putih yakni sedikit pedas tetapi ada blogger menyarankan tuai pada usia muda agar rasa pedas kurang terasa. Tanomkinotuan ada menuai/mencabut dua batang radish franch breakfast untuk dicampurkan ke dalam masakan sup ikan tetapi tak sempat ambil gambar, teruja punya pasal. Memang sup ikan tersebut rasa manis dan hirisan radish tersebut agak lembut dan berjus.

Sekembalinya tanomkinotuan ke rumah pada hujung minggu ini, akan disemai benih lebihan radish franch breakfast ini agar bekalan radish tersebut senantiasa ada. Para pembaca sekalian, jika kalian mahu kebun belakang rumah atau halaman rumah anda berwarna warni cubalah menanam lobak jenis ini, ia cukup menarik perhatian kerana warnanya yang cukup memikat.

Selamat bertani dan menuai hasil.

SAWI PAHIT

Tags
Inilah sayur daun pertama yang ditanam oleh tanomkinotuan di kebun belakang rumah, kesempatan untuk membeli benih sayur memang tidak ada untuk waktu ini, maka tanam sahaja benih yang ada di tangan. Sawi pahit menjadi bahan experiment untuk ditanam di kebun belakang rumah. Tanah di kebun belakang rumah adalah jenis tanah liat di mana musim kemarau tanah ini akan menjadi batu kerasnya manakala musim hujan pula bertukar menjadi meleket nak mampus sehinggakan tangan tanomkinotuan melecet semata-mata membentuk batas yang dinginkan. Cangkul yang menjadi alat untuk memecahkan clay tersebut melantun-lantun akibat kerasnya tanah itu. Tanomkinotuan tawakal dan berusaha untuk menyiapkan batas pertama. Namun batas tersebut terbengkalai untuk beberapa minggu akibat urusan yang perlu diselesaikan segera. Kerja-kerja membatas disambung semula beberapa hari setelah tugasan yang diarahkan oleh bos tanomkinotuan selesai dilakukan.

Untuk pengetahuan pembaca semua, sawi pahit mempunyai dua variati di pasaran. Variati pertama ialah jenis panjang dan tidak membulat manakala variati kedua pula adalah jenis pendek dan membulat dengan batangnya agak lebar, sawi pahit jenis pendek adalah sedikit pahit dan selalunya sawi pahit pendek akan dibuat sayur jeruk masin oleh kaum Cina. Jenis sawi pahit yang ditanam oleh tanomkinotuan ialah jenis sawi pahit panjang.



Nampak tak tanah liat (clay) pada tepi batas di atas, inilah tanah sebenar kebun di halaman rumah tanomkinotuan yang menyebabkan tangan melecet akibat menguruskannya. Tanah hitam tersebut adalah tanah kebun dicampur dengan kompos kelapa sawit.


Kompos kelapa sawit sesuai digunakan untuk sayur jenis daun. Kompos ini berupaya melebarkan daun dan batang sayuran menjadi lebih rangup. Sawi pahit ini jugalah adalah sayur pertama yang menjadi sayuran organik di dapur sebelum sayuran lain boleh dituai. Puas hati dan amat bermakna kepada tanomkinotuan. Penat lelah selama menyediakan batas pada sawi pahit ini berbaloi setelah tuaian pertama. Selepas itu, tanomkinotuan menyemai beberapa jenis sayuran lain hinggalah sekarang.

Cara menyemai sayuran ini amat mudah, sediakan batas cukup untuk bekalan seisi keluarga. Jika ingin menanam dalam kuantiti yang banyak boleh membuat batas atau tapak menanam dengan keluasan 90 X 150 cm saiz batas atau saiz kecil daripada itu pun boleh. Ikut kesesuaian penanam. Sawi pahit boleh juga ditanam dalam polibag atau kotak terbuang dari dapur. Seelok-eloknya mengunakan nisbah 2:1:1 iaitu tanah hitam, baja kompos dan pasir, namun tanomkinotuan tidak meletakkan pasir kerana tanah hitam yang digunakan sudah pun mengandungi pasir.

Untuk menyemai benih sawi pahit ini ada dua cara, cara pertama semai terus ke batas yang disediakan, pastikan semaian benih itu haruslah mempunyai jarak antara satu sama lain agar pertumbuhan anak benih sawi pahit kelak tidak berlaku persaingan sengit mendapatkan zat makanan. cara kedua pula ialah semai di tapak semaian terlebih dahulu dan setelah lebih kurang seminggu lebih bolehlah dipindahkan ke tapak atau batas yang disediakan, anak pokok sawi pahit hendaklah ditanam dengan jarak sekurang-kurangnya 12 cm atau 15 cm antara satu sama lain, ini bertujuan agar anak sawi pahit cukup zat makanan dan oksigen (pengudaraan yang baik). 

Siram dua kali sehari pagi petang anak benih tersebut dan juga sewaktu pemindahan ke tapak atau batas yang baru kerana anak pokok sawi pahit memerlukan banyak air sewaktu awal pertumbuhan juga keperluan air untuk menyerap makanan. 

Kawalan harus dilakukan dengan mencabut rumput rumpai yang tumbuh pada batas, lebih elok menggunakan tangan sahaja agar tidak merosakkan akar pokok sawi pahit tersebut. Jika boleh gunakan sungkupan daripada rumput kering atau kayu mati yang dihancurkan untuk mengurangkan pertumbuhan rumput di sekitar batas tersebut. Musuh utama adalah belalang, siput babi, reput akar dan ulat daun. senarai musuh tersebut boleh dikurangkan dengan menggunakan tangan atau jaring tetapi agak sukar jika daun sawi pahit terkena serangan penyakit yang disebabkan oleh bakteria terutamanya reput akar. Apa yang perlu dilakukan ialah cabut sawi pahit yang terkena jangkitan dan musnahkan (seboleh-bolehnya dibakar) agar tidak menjangkiti tanaman lain.

Sawi pahit boleh dituai 2 bulan lebih selepas ditanam, sayur daun jenis ini cepat matang lebih-lebih lagi jika cukup air dan zat makanan.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Rabu

SAWI BUNGA MANIS

Tags
Tanomkinotuan sangat menyukai sayur daun khususnya sawi bunga atau sayur bunga, berasal dari negara selatan China ini banyak ditanam di negara kita secara komersil. Daunnya yang rangup dan enak boleh saja dicampurkan ke dalam masakan nasi goreng atau mee goreng yang akan membekalkan vitamin dan serat serta rasa sedap pada masakan tersebut.  Ia bukan saja enak tetapi sihat kerana ditanam sendiri tanpa semburan dengan racun serangga.





Hobi menanam sayur-sayuran banyak manfaatnya selain dijadikan satu riadah bersama keluarga ia juga membekalkan bekalan sayur bebas racun untuk kita. Tanomkinotuan telah menyemai benih  jenis sawi bunga manis dan memindahkan ke batas yang telah disediakan. Selepas dua minggu lebih pertumbuhannya amat galak. 

Musuh utama sayur ini adalah belalang dan siput babi, kadang kala terdapat seekor dua lintah bulan merata daun anak pokok sawi  ketika masih kecil, tanomkinotuan hanya mengutip siput babi dan lintah bulan tersebut dan musnahkan ditempat lain, tidak pun tanomkinotuan lemparkan ke kolam berhampiran biar kerja-kerja pemusnahan dilakukan oleh ikan-ikan yang kelaparan dalam kolam tersebut kerana jarang diberi makan. 

Sayur sawi bunga ini perlukan air yang cukup serta cahaya matahari berterusan untuk pertumbuhan yang baik. seminggu selepas dipindahkan ke batas yang disediakan bubuh baja kompos atau NPK organik untuk pertumbuhan yang baik. Tanomkinotuan ada terbaca satu artikel berbahasa English di mana sekiranya sayuran mengalami tekanan/stress seperti kekurangan zat makanan, air dan suhu melampau. Serangga boleh kenalpasti sayuran yang mengalami tekanan dengan memakan daun serta membiakkan keturunan mereka pada daun-daun sayuran itu, ini menyebabkan sayuran akan dimamah oleh ulat-ulat hijau sehinggakan pokok sayuran yang ditanam akan layu dan mati. Oleh yang demikian, seharusnyalah menjaga unsur-unsur penting yang diperlukan oleh tumbuhan tersebut agar tidak mengalami tekanan atau stress melampau. (aikkk... macam manusia jugalah tumbuhan ini boleh stress gamaknya)

Sawi bunga juga boleh ditanam dalam polibag atau bekas-bekas buangan dari dapur misalnya kotak minuman yang bersaiz besar, tin-tin susu dan jika ada lebihan atau pasu bunga yang tidak digunakan elok ditanam sayur banyak faedahnya. Penjagaan adalah sama seperti menanam sayur di atas batas. Ini adalah cara bagi mereka yang mempunyai ruang halaman rumah yang sempit. Sebenarnya idea tersebut banyak dipraktikkan di kawasan perumahan kawasan bandar yang menjadikan hobi berkebun sebagai hobi sampingan sambil menunggu kepulangan suami dan anak-anak tercinta.

Selamat bertani dan menuai hasil.

PETOLA ULAR

Tags
Petola ular atau nama saintifiknya Trichosanthes cucumerina, adalah tumbuhan berasal dari negara India dan sekitarnya. Hari ini ia ditanam oleh petani secara kecil-kecilan untuk dijual di pasar atau tamu.

Petola ular adalah termasuk dalam kelompok keluarga petola segi dan petola bantal, buah petola ular berwarna putih dengan berjalur hijau. Pada pengamatan tanomkinotuan terdapat dua jenis pokok petola ular iaitu jenis panjang dan jenis pendek tetapi rasa dan struktur buahnya adalah sama. Tanomkinotuan ada menanam pokok petola ular di kebun belakang rumah. Ia mudah tumbuh dan menyukai cahaya matahari secara berterusan.









Pokok petola ular yang ditanam kini mengeluarkan hasil yang pertama, tidak lama lagi tanomkinotuan boleh menuai buahnya. Sempena bulan ramadan tahun ini, bekalan sayur mencukupi sehingga akhir ramadan. Jimat sikit duit belanja dapur untuk membeli sayur di pasar atau tamu. Duit tersebut bolehlah disimpan untuk membeli keperluan barang basah pula. 

Cara menanam pokok petola ular amat mudah, sesiapa di antara para pembaca yang pernah menanam benih petola segi, begitulah cara untuk menanam petola ular. Tidak ada beza pun. Pastikan batas untuk menanam benih petola ular ini harus digembur terlebih dahulu serta digaul bersama baja kompos organik atau tinja binatang. Benamkan benih kira-kira 2/4 inci ke dalam tanah dan kambus semula, siram benih itu dua kali sehari sehinggalah benih tersebut tumbuh. Percambahan benih petola ular mengambil masa kira-kira 3 hari untuk bercambah. selepas dua minggu bubuh baja NPK organik untuk kesuburan daun dan bekalan nutrient mencukupi. Petola ular adalah jenis sayuran buah memanjat dengan itu sediakan palang atau kayu untuk menyokong pokok tersebut memanjat. Selepas 3 minggu ke 1 bulan anda boleh menikmati bunga jantan dan betina pada pokok tersebut menandakan tidak lama lagi akan mengeluarkan hasil. 

Pokok petola ular tahan cahaya matahari terik, seelok-eloknya siram pagi dan petang untuk membolehkan akar pokoknya menyerap makanan. Pokok ini mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan termasuklah buahnya tetapi bau tersebut akan hilang apabila dimasak. Pelbagai resipi boleh cuba untuk sayur buah ini.

Pokok petola ular juga boleh ditanam dalam polibag, pastikan polibag yang digunakan itu bersaiz besar yang boleh menampung akarnya. Jangan lupa bubuh baja organik selang dua minggu untuk pertumbuhan pokok ini ditahap yang baik.

Selamat bertani dan menuai hasil.